Wednesday, February 13, 2008

Jangan jadi pekakas secara tidak demokratik

KUALA LUMPUR, 13 Feb: PAS memberikan ingatan agar semua pihak tidak menjadi pekakas dan membantu mana-mana parti politik secara tidak demokratik dalam pilihan raya umum nanti.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, PAS mengharapkan agar pilihan raya kali ini akan dilaksanakan secara bebas, bersih dan adil sejajar dengan sistem demokrasi yang kita sama-sama terima.

Parlimen akhirnya dibubarkan hari ini setelah pelbagai teka-teki dan spekulasi terpaksa dimainkan oleh rakyat dan para pemerhati.

Pembubaran diumumkan hari ini oleh Perdana Menteri selepas menafikan ianya akan dibubarkan hari ini semalam.

Ketidak-tentuan tarikh sebenar pilihan raya sebelum ini adalah sangat mengecewakan dan ternyata tidak memenuhi asas sistem demokrasi itu sendiri, kata Nasharudin dalam kenyataannnya.

Katanya, kerajaan BN sengaja berdolak-dalik dan mengeksploitasi kuasa yang diberikan kepada mereka untuk memerangkap parti-parti pembangkang dengan memanggil pilihan raya hanya apabila mereka sendiri telah bersedia untuk menghadapinya.

PAS, katanya, walaubagaimanapun bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke 12 ini walaupun tarikhnya dipilih secara tidak demokratik oleh BN.

PAS, kata Nasharudin, menegaskan amaran yang pernah disuarakan oleh Presiden parti agar tidak ada mana-mana pihak menjadi perkakas dan mengizinkan dirinya membantu mana-mana parti secara tidak demokratik termasuklah menjadi pengundi hantu pada hari mengundi nanti.

Jentera Pilihan Raya PAS seluruh negara, katanya, sudah pun bersedia dan dengan kerjasama erat dan persefahaman bersama PKR melalui Barisan Alternatif, PAS yakin akan mampu memenangi sokongan rakyat dengan menamatkan keangkuhan kuasa mutlak BN disemua peringkat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...