Friday, August 3, 2007

Hasil berjimat cermat, rakyat miskin dapat dibantu


KOTA BHARU, 3 Ogos: Hasil mengamalkan dasar berjimat cermat sejak 17 tahun lalu, membolehkan kerajaan negeri Kelantan kini melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat, Dato’ Anuar Tan Abdullah berkata, biar pun menghadapi halangan kewangan namun program kebajikan kepada rakyat tetap dilaksanakan.

(Foto: Anuar Tan Abdullah menyampaikan hadiah kepada pasangan yang menjuarai pertandingan Foto Bayi Comel 2007)

“Tidak sedikit peruntukan yang disediakan kerajaan negeri bagi melaksanakan program tersebut antaranya bantuan kepada ibu tunggal (armalah) dan anak yatim sebanyak RM4 juta setahun.



“Bantuan rumah kepada rakyat termiskin di bawah program rumah Dhuafatsebanyak RM2.6 juta setahun, bantuan OKU sebanyak RM1 juta dan bantuan pesakit kronik (RM1 juta),” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Foto Bayi Comel 2007 dan penyerahan cek kepada rumah kebajikan Darul Aitam di sebuah pasar raya, di sini baru-baru ini.



Program lain pula kata Anuar Tan termasuk Pembangunan Ladang Rakyat, skim Takaful Kifaalah dan Jihad Ternak yang ternyata berjaya membantu penduduk miskin.



“Malah penubuhan Tabung Serambi Mekah dan Tabung Amanah Tok Kenali juga merupakan bukti kesungguhan kerajaan negeri menjayakan agenda kebajikan rakyat,” katanya.



Oleh itu, beliau berharap golongan korporat, swasta dan badan bukan kerajaan turut berganding bahu bagi mencapai misi menjadikan Kelantan sebagai negeri kebajikan.



Menurutnya Islam sememangnya dari awal lagi mementingkan kehidupan yansaling bantu membantu antara anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.





“Suasana harmoni inilah yang diterapkan kerajaan negeri melalui dasarMembangun Bersama Islam. Kita meletakkan aspek keadilan Islam kepada semua rakyat sebagai teras pemerintahan,” ujarnya.



Pada majlis itu, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Cacat dari Perakmenyerah sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Tabung Pengurusan Rumah Kebajikan Darul Aitam. Sumbangan itu diserahkan pengerusinya, Cheong Kok Leong kepada Ketua Pegawai Pembangunan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Nik Mohd Noor Nik Ishak.



Sementara itu, bayi Adam Darwisy Che Azhar, 9 bulan anak kepada pasangan suami isteri, Che Azhar Abdul Rahman, 33 dan Hasniza Abd. Rahman, 34 menjuarai pertandingan tersebut dengan menewaskan 1,120 peserta lain. Pasangan itu berjaya memenangi hadiah bernilai RM10,000 dan piala.



Manakala tempat kedua, Yeap Ann Drew memenangi hadiah bernilai RM5,000 bersama piala dan ketiga, Nur Laa Syariq Mohd Abid hadiah bernilai RM3,000 berserta piala. Pertandingan itu dianjur gabungan pasar raya Billion, Pantai Timur dan Ceria.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...