Friday, August 10, 2007

Beli heli baru dengan cara yang telus - PAS

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: PAS meminta kerajaan membeli helikopter baru bagi mengganti Nuri dengan cara telus dan bukan mengulangi kesilapan membeli kapal selam sebelum ini yang dibuat melalui agen yang terpaksa dibayar sehingga RM500 juta kepada kroni Menteri Pertahanan.

Ketua Penerangannya, Mahfuz Omar dalam kenyataannya berkata, PAS pada asasnya sangat bersetuju supaya pesawat usang ini diganti, tetapi malangnya Kabinet terlalu lambat bertindak sehingga dikatakan 95 orang telah terbunuh akibat kemalangan pesawat ini.


Beliau juga berkata, rundingan dan pembukaan tender mesti dibuat mengikut kaedah biasa yang telus dalam pembelian pesawat baru ini supaya ia tidak menjejaskan sistem pertahanan kita.


“Kemalangan pesawat bukan hanya melibatkan kerugian kerana kerosakan jentera sahaja, tetapi juga sumber manusia kerana ia mengorbankan tenaga-tenaga terlatih. Kerana itu, PAS mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Bebas di bawah Parlimen ditubuhkan oleh kerajaan untuk memantau proses tender dan pembelian pesawat ini.


“Perkara ini diamalkan di Britain di mana Jawatankuasa Khas Parlimen ditubuhkan untuk memastikan pembelian jentera pertahanan tidak berlaku penyelewengan,” kata beliau dalam kenyataannya itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...