Saturday, August 11, 2007

Pak Lah diminta elakkan krisis dengan Majlis Raja-raja


KUALA LUMPUR, 11 Ogos: Perdana Menteri diminta berfikir dua kali sebelum melaksanakan haknya mengikut Perlembagaan untuk melantik Hakim Besar Malaya tanpa mendapat restu Majlis Raja-raja.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, jika Perdana Menteri berbuat demikian sebagaimana kenyataan Ketua Hakim Negara bahawa PM mempunyai kuasa untuk melantiknya, ia akan menimbulkan krisis.

Bagi Husam, “Ini tidak sepatutnya berlaku.”
Akhbar Strait Times Singapura melaporkan, Majlis Raja-raja telah menolak calon Hakim Besar Malaya yang dikemukakan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia hari ini (11 Ogos) melaporkan, Ketua Hakim Negara berkata, Perdana Menteri berhak melantik Hakim Besar Malaya itu walaupun tidak mendapat restu Majlis Raja-raja kerana itu hak PM dari segi Perlembagaan.

Sekalipun mungkin Perdana Menteri boleh berbuat demikian dari segi Perlembagaan, pelbagai aspek lain mesti ditimbangkan, tulis beliau dalam blognya cetusan-hati.blogspot.com.

Beliau memberikan empat hujjah iaitu:

1. Langkah seperti itu hanya akan mengundang krisis.


2. Ia boleh dianggap Raja-Raja Melayu pada pandangan Perdana Menteri boleh diketepikan begitu sahaja


3. Ia akan meletakkan seolah-olah Raja-Raja Melayu memberi pandangan yang tidak mempunyai asas yang kuat untuk Perdana Menteri mempertimbangkan semula pandangan beliau yang terdahulu


4.Membelakangkan prinsip perundingan dan akan meletakkan precedent pandangan Raja-Raja Melayu tidak penting untuk dipertimbangkan. Ia akan membawa pelbagai implikasi serius terhadap perimbangan kuasa politik di negara ini pada masa akan datang dan keadaan itu seharusnya dielakkan.


"Berfikir dua kali, Pak Lah!” tegas Husam dalam blognya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...