Thursday, August 9, 2007

Ezam akan umum nama menteri rasuah di Kepala Batas


KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK), Ezam Mohd Nor akan mendedahkan nama seorang menteri kanan yang terlibat dalam rasuah dan pecah amanah dalam satu perhimpunan di parlimen Kepala Batas tidak lama lagi.


Kata Ezam, beliau hanya menunggu masa yang sesuai dan memilih kepala Batas sebagai tempat mengumumkan pendedahan itu sebagai satu mesej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Kepala Batas merupakan kerusi parlimen yang diwakili Abdullah.


"Saya telah memberi tempoh yang lama kepada beliau (Abdullah) dan saya akan mendedahkan nama itu di tempat beliau sendiri," kata Ezam dalam satu ceramah bersama Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu di Taman Datuk Senu baru-baru ini.


Penghujung Jun lalu Ezam telah menyerahkan kepada Abdullah dokumen setebal lebih 600 muka surat yang mengandungi dua laporan pois, invois, resit dan segala bukti berkaitan perlakuan rasuah seorang menteri.


Bagaimanapun Ezam mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan nama menteri terbabit untuk melihat sejauh mana komitmen Abdullah menangani kes rasuah yang berlaku terutamanya dikalangan menterinya.


Bagaimanapun sehingga hari ini, belum ada sebarang tindakan atau pendedahan berhubung kes itu diumumkan oleh Perdana Menteri.


"Saya masih memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk mengambil tindakan, tetapi jika tiba tempoh tersebut tanpa ada sebarang tindakan saya sendiri akan mendedahkan nama itu," kata bekas Ketua Angkatan Muda Parti keadilan Rakyat yang pernah dipenjara di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan rasuah melibatkan Datuk seri Rafidah Aziz beberapa tahun lalu.


Tambah Ezam lagi, kes rasuah itu suatu yang amat serius kerana melibatkan seorang menteri yang masih memegang jawatan dan berada dalam kabinet Abdullah pada waktu ini.


"Ia bukan melibatkan orang yang telah bersara, Mustahil Abdullah tidak tahu" tegasnya.


Kata beliau juga, Abdullah tidak perlu m,eneliti terlalu lama dokumen itu untuk mengetahui nama menteri terbababit kerana nama itu tertera di muka surat pertama dokumen tersebut.


Sebelum ini, Abdullah dalam satu kenyataanya berkata, beliau akan meneliti terlebih dahulu memorandum yang diserahkan oleh Ezam."Saya akan baca, saya telah diberitahu mengenai memorandum itu,” kata Perdana Menteri.


Manakala dalam perkembangan lain pula, Ezam turut mendakwa wujudnya 12 kes penyelewengan kewangan dan 15 kes salah guna kuasa melibatkan pelantikan dan kenaikan pangkat dalam Kementerian Pertanian dan Asas Tani.


Beliau turut menyerahkan laporan tentang penyelewengan tersebut kepada Menteri Pertanian dan Asas Tani di Putrajaya 8 Julai lalu. Laporan penyelewengan setebal 20 muka surat itu menjurus kepada salah guna kuasa yang berlaku dalam Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...