Wednesday, January 9, 2013

Politik global 2012: Isu, idea dan tokoh (Bhg 2)

Politik global: 5 isu utama

Daripada protes hingga ke obsesi dunia kiamat, 2012 berlalu sebagai tahun yang dramatik, dan boleh dihujahkan sebagai menyamai atau melebihi perkembangan tahun 2011, tahun kemuncak kebangkitan di dunia Asia Barat dan Afrika Utara. Berikut senarai lima isu besar politik seluruh dunia sepanjang tahun lalu.

5. Krisis Greece dan Kesatuan Eropah

Akibat perbelanjaan yang melebihi kemampuan, Greece akhirnya berdepan kegagalan membayar hutang yang dibuat untuk memenuhi keperluan negara. Greece kemudian terpaksa membuat pinjaman besar-besaran, bermula dengan AS$140 bilion pada 2010. Masalah yang lebih besar dihadapi ialah syarat reformasi yang perlu dilaksanakan untuk pinjaman dan penghapusan hutang. Greece kini mendedahkan jurang besar hal urus tadbir dan kemakmuran di Eropah, dan menjadi satu kisah kegagalan Kesatuan Eropah.

4. Konflik di Republik Demokratik Congo

Congo ialah sebuah negara besar di Afrika tengah, dan kaya dengan pelbagai sumber galian termasuk coltan, yang penting untuk alat popular zaman ini; telefon mobil dan juga alat elektronik lain, tetapi tanpa kerajaan yang efektif dan infrastruktur yang mencukupi. Lebih memburukkan keadaan, Congo juga menerima kesan daripada pembunuhan etnik melibatkan Hutu dan Tutsi di Rwanda yang bermula pada 2004. Negara kaya sumber tanpa kerajaan yang stabil ini kini mempertemukan kapitalis perompak, militia, dan pertembungan etnik.

3. Protes anti-Putin di Rusia

Tahun 2012 menyaksikan protes besar-besaran digerakkan di Rusia, dalam usaha bersepadu pembangkang menggugat pemerintahan Presiden Vladimir Putin, yang kembali menjadi presiden dan menjalankan dasar luar yang lebih tegas dalam berhadapan dengan AS dan Barat. Pemerintah Rusia melaksanakan beberapa peraturan baharu pada 2012, dalam menghadapi peningkatan tekanan daripada pembangkang. Tahun ini juga, Kremlin menghalau pertubuhan Agensi Bantuan Antarabangsa Amerika Syarikat, USAID, yang dikaitkan dengan bantuan kepada penentang rejim-rejim yang tidak sehaluan dengan nilai demokrasi dan pasaran bebas Barat.

2. AS dan China di Asia-Pasifik

AS menggerakkan kekuatan ketenteraannya ke Asia-Pasifik, menempatkan kapal-kapal pengangkut pesawat di perairan berdekatan perairan Jepun dan China dan memulakan penempatan tentera marin di Darwin, Australia. Semua ini berlatarbelakangkan peningkatan kuasa tentera China, termasuk permulaan operasi kapal pengangkut pesawat dan pertikaian di Laut China Selatan dan Laut China Timur yang semakin panas. Beijing malah menggunakan pengaruhnya terhadap Asean sehingga memperlihatkan ketidaksepakatan pertubuhan itu dengan lebih jelas, dan pada masa sama meningkatkan retorik dan mobilisasi aset ketenteraan dalam menghadapi pertikaian dengan Jepun.

1. Percaturan berhubung konflik Syria

Konflik di Syria mempertemukan kuasa besar AS, Rusia, dan kuasa-kuasa serantau pertengahan Perancis, Turki, Arab Saudi, Qatar, dan Iran. Konflik di Syria berkait dengan pelbagai perkembangan lain, seperti usaha rejim-rejim Arab memecahkan aliansi diketuai Iran di Asia Barat, keselamatan Israel, dan falsafah orde dunia dipegang Washington dan sekutu Barat menghadapi idea Moskow dan kuasa-kuasa baharu muncul. Syria menjadi medan persaingan yang lebih daripada sekadar politik, tetapi juga berkait idea tentang perkongsian kuasa dalam era baharu yang menyaksikan pengaruh AS sedang merosot secara relatif.

Monday, January 7, 2013

Politik global 2012: Isu, idea dan tokoh

Politik dunia Islam: 10 isu utama
(Bahagian 1 daripada 2)

10. Dasar luar Qatar

Lanjutan daripada perkembangan 2011, Qatar menggiatkan lagi usaha yang bermatlamat meningkatkan pengaruhnya di rantau Asia Barat dan global. Lawatan berprofil tinggi emir negara itu ke Gaza yang menjadi tumpuan dunia Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan citi-cita besar negara ini.

9. Iraq dan Nouri al-Maliki

Perdana Menteri Iraq Nouri al-Maliki berdepan kritikan hebat dan memasuki penggal keduanya mula menampakkan kelemahan dalam pentadbiran dan dipertanggungjawabkan atas keganasan sektarian di negara ini. Kesannya turut menarik penglibatan Turki, yang kini didakwa terlibat dalam usaha menjatuhkan beliau.

8. Protes Mesir

Mohamed Morsi memenangi pemilihan presiden Mesir dan menjadi presiden pertama selepas era Mubarak, dengan diletakkan harapan yang besar. Persaingan kuasa beliau dengan kepimpinan tentera, pembangkang, hakim-hakim berpengaruh dan rakyat menjadikan 2012 tahun yang penuh drama bagi Mesir dan kepimpinan beliau.

7.  Konflik Kurdi

Masyarakat Kurdi, kaum terbesar tanpa negara di dunia menghadapi 2012 yang sukar, tetapi juga kelihatan menjanjikan sesuatu. Kurdi Turki, terus berperang dengan dengan Turki berterusan tanpa tanda akan selesai, dan Kurdi Syria pada masa sama dimusuhi tentera Syria dan pemberontak Syria. Walau bagaimanapun, perkembangan ini menyimpan manfaat kerana penyatuan Kurdi dan penubuhan negara Kurdi Di Iraq dilihat semakin hampir dapat direalisasikan.

6. Iran

Tahun 2012 meningkatkan lagi tekanan terhadap Iran, dengan tekanan Amerika Syarikat terhadap institusi-institusi kewangan memberi kesan negatif kepada perdagangan minyak Iran. Pakatan tidak formal anti-Iran yang ditingkatkan lagi sepanjang tahun juga mengukuhkan kuasa-kuasa pesaing serantau, dan konflik Syria melemahkan cengkaman Iran di wilayah Syam.

5. Serangan dron

Serangan dron Amerika Syarikat di Pakistan merosot berbanding tahun lalu dan 2011, tetapi terus dilaksanakan sehingga memungkinkan pelbagai reaksi balas kepada AS. Tahun 2012, 43 serangan dijalankan, berbanding 72 pada 2011 dan 122 pada 2010. Pada masa sama, Yaman turut menyaksikan peningkatan serangan dron pada 2012.

4. Konflik utara Mali

Konflik di Mali, yang bermula dengan pemberontakan Tuareg akhirnya menyaksikan penguasaan militan yang dikaitkan dengan al-Qaeda, yang kini menguasai wilayah utara Mali. Konflik ini tenggelam daripada perhatian umat Muslim yang tertumpu pada isu Syria, malah turut kurang mendapat perhatian Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC. Satu kesan besar yang juga kurang mendapat perhatian umat ialah pemusnahan dan ancaman terhadap warisan sejarah di Timbuktu, pusat aktiviti perdagangan dan keilmuan Islam pada abad ke-12.

3. Pembunuhan massa Rohingya

Sejurus selepas Burma membuka ekonomi, mereformasi politik dan cuba memulihkan hubungan dengan dunia luar terutama Amerika Syarikat, masyarakat Rohingya menghadapi gelombang baharu keganasan yang disokong kerajaan dan pemimpin agama Buddha. Sensitiviti berhubung kegiatan perdagangan dan hubungan serantau turut menyukarkan sebarang tindakan daripada pertubuhan serantau Asean.

2. Gaza dan Hamas

Perang Gaza, melibatkan kumpulan-kumpulan di kawasan kecil Palestin itu dengan tentera Israel berlaku lagi pada 2012, tetapi untuk tempoh yang lebih singkat dan jauh lebih mudah diselesaikan. Berbeza dengan perang Gaza sebelumnya, konflik kali ini melibatkan peranan lebih besar kumpulan lain seperti Jihad Islami dan Jawatankuasa Penentangan Popular, kumpulan-kumpulan yang mempunyai hubungan baik dengan Syria dan Iran.

1. Konflik Syria

Konflik di Syria mempertemukan persaingan kuasa-kuasa serantau dan global, melibatkan pertembungan sektarian antara mazhab yang pergelutan dan kesannya berlangsung di seluruh dunia Islam termasuk Malaysia. Tumpuan yang jauh melebihi isu lain di dunia Islam diberikan oleh umat Muslim kepada konflik ini, disebabkan sisi politiknya yang lebih menarik minat dan sentimen.


Drama kesilapan kira undi DAP

Kekecohan melibatkan kesilapan pengiraan undi pemilihan jawatankuasa tertinggi DAP telah menarik respons yang dijangkakan daripada Umno dan penyokong.

Seperti dijangkakan juga, tuduhan hipokrit atau cakap tak serupa bikin menghujani parti DAP yang mendakwa mewakili masyarakat berbilang kaum itu.

Apapun jawapan yang diberikan oleh DAP, kes ini sukar untuk ditutup begitu sahaja, memandangkan kekuatan persepsi dalam permainan politik.

Episod ini mencetuskan persoalan besar ekoran plotnya yang seperti sebuah drama.

Kesilapan yang kemudian membawa Zairil Khir Johari ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP selepas pembetulan jelas sekali satu contrived coincidence yang sukar untuk diterima.

Kedudukan Zairil sebagai orang kuat Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan ketua pegawai eksekutif badan pemikir kerajaan negeri tidak boleh diabaikan.

Kesilapan yang didakwa DAP itu telah membantu dalam mencapai dua perkara yang dilihat penting; kemasukan orang kuat setiausaha agung ke jawatankuasa tertinggi dan meletakkan seorang Melayu ke kedudukan itu, walaupun kelihatan sebagai satu token minority.

Kerosakan yang dihadapi DAP akibat kesilapan pengiraan undi ini juga lebih kecil berbanding faedah yang dapat diberikan kepada pihak yang berkepentingan, dan pengakuan kesilapan itu juga boleh menenggelamkan isu yang mungkin menjadi isu sebenar, sekiranya tidak dilihat dengan lebih mendalam.

Selepas kekalahan calon-calon Melayu dalam pemilihan DAP yang lalu, kes ini menambahkan lagi kerosakan kepada DAP ekoran perkembangan yang dilihat sebagai sangat tidak realistik ini.

Hal ini mendedahkan lagi sifat DAP sebagai sebuah parti yang paling dinastik dan tertutup, tuduhan-tuduhan yang sering dilemparkan kepada parti pemerintah terutama Umno.

Friday, January 4, 2013

Detik Utopia, karya terbaharu Ahmad Lutfi Othman


Ahmad Lutfi Othman, pengamat politik yang kini ketua pengarang Harakah baru saja menghasilkan buku terbaharu, Detik Utopia: Komentar Kritis Isu Pakatan Rakyat dan Politik Malaysia, mengumpulkan tulisan-tulisan terbaik penulis prolifik ini.

Ulasan dan analisis beliau yang dimuatkan dalam buku ini meliputi isu-isu penting berkaitan Pakatan Rakyat dan usaha membawa perubahan ke arah yang lebih baik di Malaysia.

Lutfi mengulas dengan mendalam dan kadang-kala dari sudut yang sedikit berbeza isu Akta Keselamatan Dalam Negeri, kebebasan media, kebertanggungjawaban dan urus tadbir baik, dan berkaitan gabungan Pakatan Rakyat yang kini bercita-cita untuk menawan pemerintahan persekutuan di Putrajaya.

Buah fikiran Lutfi ini menyentuh isu berkaitan kekuatan dan kelemahan PR, harapan dan kebimbangan yang tercetus sejak kemenangan besar pada 8 Mac 2008, dan saranan-saranan penting untuk gabungan yang dijangka bakal membentuk kerajaan pusat satu hari nanti.

Komentar dan saranannya berdasarkan pengalamannya sebagai aktivis media sejak mula berkhidmat sebagai wartawan dan editor di Harakah, sebagai pengusaha penerbitan-penerbitan berkala dan tidak berkala dan akhirnya kembali bergiat bersama Harakah.
 
Karya terbitan Buku Harakah ini telah berada di pasaran dan dijual dengan harga RM25.00 di Semenanjung Malaysia dan RM28.00 di Sarawak dan Sabah.

Isu Amanat Haji Hadi untuk jejas kredibiliti agama PAS

Umno kelihatan kembali ke era 1980-an apabila memainkan kembali isu Amanat Haji Hadi sebagai sebahagian kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-13 yang menjelang.

Petikan ucapan dalam ceramah pada 1981 yang diperbesarkan oleh ahli parti itu telah lama mencetuskan perbahasan panas, dan dikaitkan sebagai satu punca perpecahan dan pelbagai kekeliruan dalam masyarakat Melayu Muslim terutama di Terengganu.

Tindakan pemerintah menimbulkan kembali isu ini, dan tanpa tindakan serius untuk membenarkan penjelasan dan pendengaran pandangan selain yang menjadi konsensus parti pemerintah menimbulkan persoalan besar.

Keengganan menyahut cabaran Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi penjelasan secara langsung di stesen televisyen utama - yang matlamatnya dipercayai mengelakkan suntingan dan manipulasi selain mendapatkan audiens yang besar - telah mendedahkan kebimbangan pemerintah terhadap sebarang gugatan terhadap naratif yang dikemukakan pemerintah itu.

Masa yang lama untuk mencapai satu sikap terhadap ucapan Abdul Hadi itu, lama selepas April 1981 juga mendedahkan pemerintah dan birokrasi berkaitan kepada kelemahan yang besar.

Sikap itu menjelaskan bahawa isu ini dibawa kembali ke perhatian awam sebagai kempen pilihan raya dan tidak lebih daripada itu.

Debat isu ini setakat ini hanya dilakukan di media dikuasai pemerintah, dengan hanya satu pihak mengemukakan pandangan dan dakwaan-dakwaan yang sering meragukan.

Tidak seperti isu-isu berkaitan agama sebelum ini seperti penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim dan pluralisme agama, isu Amanat Haji Hadi ini tidak mendapat reaksi daripada aktivis dan intelektual Muslim seperti yang disaksikan dalam kes kalimah Allah dan isu pluralisme agama yang dikaitkan dengan PKR dan Pakatan Rakyat.

Isu Amanat Haji Hadi ini, yang antara pencetus awalnya pada kali ini ialah akhbar Utusan Malaysia dan TV3, menjadi hampir sepenuhnya permainan politik Umno.

Malah, isu ini juga bersaing dengan isu berhubung kenyataan pemimpin DAP, Lim Guan Eng supaya penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Isu amanat ini kelihatan menjadi satu isu yang digunakan untuk menambahkan lagi isu yang boleh menjejaskan kredibiliti agama yang dimiliki PAS, selepas isu kalimah Allah dan kontroversi gereja di Selangor.

Pemerintah dijangka akan turut menerima kesan negatif daripada isu amanat ini, termasuk disebabkan reaksi kepada kempen murahan dan desakan membenarkan penjelasan yang terus dielakkan.




Krisis air, kenapa berlaku sekarang?

Penduduk di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur memasuki tahun 2013 dengan berdepan masalah bekalan air, dilaporkan akibat kerosakan stesen pam.

Krisis ini masih baru tercetus, dan mungkin boleh sahaja selesai tanpa berlaku sebarang implikasi politik.

Tetapi masa krisis ini terjadi menjadikannya menarik untuk diperhatikan, lebih-lebih lagi isu ini sentiasa tidak terlepas daripada kaitan politik.

Beberapa akhbar harian hari ini telah menjadikan isu ini tajuk muka depan, memberi gambaran seriusnya masalah ini.

Kerajaan negeri Selangor telah dipersalahkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor, Syabas, melanjutkan lagi pertembungan antara kedua-dua pihak terbabit yang bermula beberapa bulan lalu.

Isu bekalan air Selangor ini juga telah mencetuskan pertembungan antara kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan Putrajaya dan menampakkan tanda akan berpanjangan.

Pilihan Raya Umum ke-13 kini semakin hampir, disebabkan tempoh mandat daripada pilihan raya umum yang lalu hampir tamat, bermakna  pilihan raya umum tidak dapat ditangguh lagi.

Krisis yang sedang berlaku ini baru bermula dan belum menunjukkan gambaran jelas sama ada hanya sementara atau akan berlanjutan lagi.

Dari segi politik kepada kerajaan PR Selangor, krisis air yang berpanjangan dan melibatkan lebih ramai penduduk boleh memberi kesan negatif sekiranya dimainkan dengan berkesan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Umno telah menjadikan isu-isu melibatkan air termasuk kekurangan bekalan dan bekalan air percuma dijanjikan kerajaan negeri yang tidak terlaksana sepenuhnya sebagai bahan politik, menyebabkan kerajaan PR Selangor kelihatan agak defensif.

Sebagai negeri yang menjadi sasaran utama Umno dan BN, peluang ini tidak akan dilepaskan, memandangkan krisis ini melibatkan jumlah penduduk yang besar.

Sekiranya BN mahu benar-benar mempolitikkan isu ini - jika krisis berlanjutan - masa kelihatan berpihak kepada mereka, tetapi kesan negatifnya tetap boleh kembali kepada BN, sekiranya persepsi ramai melihatnya sebagai sengaja diadakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13atau kesalahan lebih diletakkan di bahu Syabas.


Thursday, January 3, 2013

2012: Politik artis dan suasana menunggu pilihan raya

Sejak awal tahun 2012, spekulasi tarikh pilihan raya menjadi tajuk besar dalam perbincangan politik negara.

Semua pihak ternanti-nanti bila parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya umum ditentukan.

Akibatnya, sepanjang tahun, aktiviti berpolitik pada tahap maksima berlangsung, dengan kedua-dua kumpulan utama bersaing dalam semua hal.

Dalam pentadbiran sebuah negara, politik kepartian dan kempen pilihan raya ialah satu bahagian yang besar, tetapi sepatutnya bukan yang paling besar. Selepas kempen dan berpolitik, urus tadbir dan pembinaan negara ialah hal yang sepatutnya diberi perhatian oleh pemain-pemain politik, terutama semua yang terlibat dalam kerajaan termasuk ahli parlimen pembangkang.

Malangnya, dalam keghairahan menuju pilihan raya dan Putrajaya, hampir seluruh tenaga dan masa dihabiskan dengan berpolitik, dengan segala mainan di media dan di segala ruang yang ada.

Suasana panas yang berterusan sejak 2008, terutama menjelang 16 September, diteruskan lagi pada tahun 2012.

Tahun ini, 2013, bakal menyaksikan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan, selepas sekurang-kurangnya dua tahun ramai tertunggu-tunggu untuk merasai dan terlibat dalam proses politik yang dianggap sebagai penentu penting haluan politik negara.

Satu hal yang menarik untuk diberi perhatian ialah Bersih dan protes besar-besaran yang menjadi identiti badan gabungan pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik Pakatan Rakyat ini.

Pada 2012, protes Bersih yang ketiga diadakan, yang antara tujuannya ialah sebagai persediaan meningkatkan momentum untuk menghadapi sebarang kemungkinan menyusul Pilihan Raya Umum ke-13.

Sejak Oktober 2007 hingga hari ini, Bersih telah berjaya membentuk kesatuan dan keberkesanan sebagai satu instrumen dan kuasa penyatu untuk menghadapi Barisan Nasional.

Bersih kini telah menjadi kuasa yang mampu digerakkan untuk menjejaskan pemerintah BN, terutama sekiranya segala elemennya mencukupi dan digerakkan dengan berkesan.

Momentum ke arah protes besar-besaran selepas pilihan raya umum telah kelihatan, termasuk melalui satu kenyataan A Samad Said, ahli jawatankuasa Bersih 2.0.

Usaha pemantauan oleh Bersih juga telah disusun, yang boleh meningkatkan lagi kredibiliti suara protes Bersih terhadap proses pilihan raya umum akan datang, sekiranya didapati tidak memenuhi tuntutan yang disuarakan selama ini.

Sekiranya protes besar-besaran diadakan, semua yang terlibat sukar untuk berundur lagi, dan terpaksa terus menggempur dan mara ke hadapan, lebih-lebih lagi memandangkan pertaruhan besar bagi semua pihak terlibat.

Ini bermakna apa yang digerakkan sejak 2007 dan ditingkatkan dengan mendadak pada 2012 bakal dilaksanakan pada 2013, membawa persaingan politik Malaysia ke satu tahap yang baharu dan lebih sengit.

Satu lagi isu yang mengambil bahagian yang besar dalam perbincangan politik negara ialah peningkatan peranan selebriti dalam kempen politik.

Sehingga kini, satu-satunya peranan besar yang dimainkan oleh penggiat budaya popular dalam pentas politik ialah kempen perhubungan awam untuk parti politik, terutama PAS.

Perkembangan sejak 2011 diteruskan pada 2012 dengan artis menjadi tumpuan utama dan menjadi penceramah popular program-program PAS, sehingga mencetuskan kritikan termasuk dari dalam parti.

Abby Abadi, yang pernah popular melalui drama Gerak Khas, muncul sebagai selebriti paling popular dalam politik tahun 2012 melalui aktivitinya bersama PAS.

Abby ialah salah seorang daripada satu gelombang "artis insaf" yang aktif dalam aktiviti keagamaan, yang sebahagiannya hampir secara eksklusif di atas platform parti politik.

Dari segi menarik perhatian massa, PAS telah berjaya dalam membina pengikut yang ramai melalui penglibatan selebriti.

Ini dikuatkan lagi oleh peranan penceramah popular Ustaz Azhar Idrus, yang pernah mendapat anugerah daripada Pemuda PAS dan mempunyai kaitan rapat dengan parti ini.

Peranan dan kedudukan penceramah ini dalam aktiviti seperti ini telah meningkatkan elemen budaya popular aktiviti keagamaan yang digerakkan parti politik ini, mencetus satu fenomena agak baharu yang menggabungkan budaya popular dengan aktiviti keagamaan.

Selain PAS, PKR juga telah mendapat bahagiannya melalui kemenangan penulis lirik lagi Awan Nano, Hasmi Hashim, yang sebelum ini aktif bersama PKR dan kembali aktif dalam beberapa program ekoran peningkatan popularitinya.

Episod ini juga tidak kurang elemen politiknya apabila pemuda PKR segera mengambil kredit daripada kemenangan Hasmi itu, dan mencetuskan reaksi negatif yang keras daripada blog-blog Umno.

Unsur Islam pop ini telah diperhatikan berleluasa, dan memainkan peranannya yang tersendiri dalam menarik massa mendekatkan diri kepada aktiviti keagamaan seperti ceramah.

Hasil jangka pendeknya dalam menterjemahkan hasil politik kepada PAS akan dilihat pada tahun ini, pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...