Friday, May 20, 2011

Mat Sabu bakal terkorban lagi?

Penyandang jawatan timbalan presiden PAS kini meningkatkan lagi kempen untuk mengukuhkan sokongan dan mengekalkan kedudukan, dan pada masa sama, sesetengah pihak dalam parti itu semakin kuat mendesak Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding jawatan timbalan presiden.

Penyandang, Nasharudin Mat Isa yang dipandang rendah sejak sebelum pencalonan pertama dibuat semakin menunjukkan kesediaan dan kemampuan untuk bersaing.

Nasharudin yang dilihat tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang dan dikaitkan dengan hubungan baik dengan Umno walau bagaimanapun masih menerima sokongan ramai - walaupun merosot - dan dianggap calon selamat, sebahagiannya disebabkan kedudukan sebagai penyandang.

Nasharudin sebelum ini mendapat sokongan terbuka daripada Datuk Harun Taib, ketua Dewan Ulama.

Pihak yang melobi Tuan Ibrahim bertanding menilai pemimpin dari Pahang itu sebagai calon kompromi dalam usaha menghalang calon popular Mohamad Sabu dan penyandang yang semakin tidak popular.

Tuan Ibrahim walau bagaimanapun masih dilihat baharu kerana baru sepenggal menjadi naib presiden, dan beliau telah beberapa kali menyatakan tidak mahu bertanding timbalan.

Tetapi, faktor yang dilihat pihak dalaman sebagai paling berpotensi menjejaskan peluang Mohamad ialah sokongan kuat kem Erdogan terhadap beliau, yang dikait dengan liputan media tertentu yang positif dan kebimbangan terhadap kedudukan nombor dua yang bukan agamawan.

Ada portal berita walau bagaimanapun kelihatan telah mengubah nada dengan melaporkan pertikaian terhadap angka pencalonan tidak rasmi yang dilaporkan sebelum itu.

Mohamad juga dilihat dengan kritikal oleh sesetengah pihak ekoran hubungan baiknya dengan seorang penulis blog kontroversi yang pernah menyerang Nasharudin di Parlimen.

Mohamad juga dikatakan hanya menerima pencalonan kawasan-kawasan tertentu ekoran keperluan politik supaya kawasan tersebut dilihat tidak menentang beliau, dan Mohamad akan bersedia berceramah di kawasan tersebut.

Kritikan lantang juru kempen beliau terhadap ulama juga dilihat pihak dalaman sebagai berpotensi untuk memberi kesan negatif.

Mohamad walau bagaimanapun mempunyai kekuatan sokongan ahli-ahli akar umbi, yang selesa dengan beliau yang mudah mesra dan tidak dikaitkan dengan imej elit.

3 comments:

Anonymous said...

saya yakin mat sabu mampu membawa perubahan kepada pas. kita perlukan gandingan ulamak dan pejuang berani seperti mat sabu di barisan hadapan.

Ahmad Khairul Ikhwan Abdullah Jr said...

Kita perlukan kepimpinan ulama bukan perjuang berani mati..ulama golongan yang memahami agama. kita perlukan bimbingan ulama bukan melawan mereka.

Anonymous said...

Zombi Kg Pisang.

Siapa sebenar-benar "ulama" dalam konteks "kepimpinan ulama PAS"????

Dan Mat Sabu tidak termasuk sebagai "ulama" ke????

Atau Nasharudin dan Tuan Ibrahim termasuk sebagai "ulama" sebab ada gelaran ustaz???

Pemikiran dangkal lagi tumpul sebeginilah yang menyebabkan PAS kekal jumud lagi naif.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...