Saturday, May 21, 2011

Isu rundingan PAS-Umno timbul lagi

Isu rundingan dengan Umno yang mencetuskan debat panas dan pergeseran dalam PAS muncul lagi apabila Ahli Jawatankuasa Pusat Dr Dzulkifly Ahmad membuat kenyataan bersedia bertemu dengan Umno.

Pertemuan dengan Umno selama ini dikait terus dengan usaha bergabung dengan Umno atau disebut "kerajaan perpaduan," cadangan presiden PAS pada 2009 yang merujuk penubuhan kerajaan semua parti berdasarkan peratus kerusi Parlimen dimenangi.

Kenyataan Ahli Parlimen Hulu Selangor itu mencetuskan persoalan dalam kalangan ahli-ahli PAS, yang membuat pelbagai spekulasi termasuk melibatkan urusan dengan Umno di Selangor yang dijangka menawan negeri terkaya itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Ada juga yang melihat kenyataan itu untuk mengundang respons pihak lain dalam PAS, terutama golongan ulama yang didakwa mahu bersama dengan Umno.

Walau bagaimanapun, perkembangan melibatkan kemungkinan pengharaman Parti Keadilan Rakyat, sebuah komponen dalam Pakatan Rakyat turut menyumbang dalam memperkuatkan spekulasi kesediaan PAS bekerjasama dengan Umno.

Di laman popular dalam kalangan ahli PAS, Tranungkite, timbul beberapa reaksi sinikal oleh pembaca.

"AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad yang bercakap tentang pertemuan dengan pemimpin Umno tak apa, asalkan jangan Tuan Guru Haji (Abdul) Hadi Awang, Dr Hassan Ali, Ust Nasharudin Mat Isa, Datuk Mustafa Ali dan Tuan Guru Haron Din. Kalau 5 orang ni yang bercakap, memang teruk difitnah kononnya mahu membawa PAS masuk Umno oleh mereka yang didalam hatinya ada penyakit hati," komen seorang pembaca.

Isu kerjasama PAS dengan Umno telah timbul sejak beberapa minggu lalu, menjelang muktamar yang sekali lagi akan menyaksikan persaingan sengit antara kumpulan yang dilabel ulama dengan Erdogan.

Spekulasi penggabungan PAS dengan Umno pada mulanya ditimbulkan sebagai mengulas haluan PAS di bawah Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang terus mengekalkan kedudukan sebagai presiden untuk penggal akan datang, yang akan melalui pilihan raya umum sekali lagi.

Isu hubungan PAS dengan Umno ditimbul pada masa-masa tertentu sebahagian besarnya untuk meletakkan Abdul Hadi dan pemimpin-pemimpin sealirannya dalam kedudukan defensif.

Sejak 2009, kerjasama atau gabungan dengan Umno disifatkan sebagai kerajaan perpaduan oleh pemimpin tertentu dalam PAS, penulis blog dan media terutama portal berita internet seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider.

Kedua-dua portal ini dikait dengan kem Erdogan dan memperlihatkan kecondongan terhadap calon kem itu dalam pemilihan-pemilihan PAS sebelum ini.

Tahun 2009 ialah kemuncak persaingan dan pertembungan kem ulama dengan Erdogan, dengan suasana panas dirasakan di muktamar di Shah Alam, Selangor.

Isu rundingan atau kerjasama dengan pemerintah menyaksikan sikap berubah-ubah daripada pihak yang kuat menentangnya.

Pada 2009, Dr Mujahid Yusuf menulis dalam Siasah - akhbar politik yang menjadi sasaran kempen negatif ekoran didakwa menyokong gabungan PAS dengan Umno - memuji dan menyokong gagasan kerajaan perpaduan.

“Mungkinkah ini era kerajaan perpaduan nasional ataukah ia kerajaan persekutuan nasional yang akan terbentuk..,” tulis beliau pada masa itu.

Kemudian ide itu dikecam hebat dan pelbagai kritikan dilemparkan terhadap Abdul Hadi, sehingga beliau kemudian menarik balik cadangan itu.

Abdul Hadi walau bagaimanapun kemudian membina kempen "PAS ganti Umno" sebagai usaha parti Islam itu menggantikan Umno menjadi wakil dan suara utama orang Melayu-Muslim, yang tidak selari dengan cadangan kerjasama aau gabungan PAS dengan Umno.

Pada awal 2010, berlaku satu lagi pertemuan melibatkan pemimpin utama PAS dengan pemerintah yang turut disertai Yang Dipertuan Agong, tetapi ditolak dengan keras oleh penentang kerjasama dengan Umno.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam satu kenyataan berkata kerjasama dengan Umno tidak akan berlaku walaupun dipelawa oleh Agong.

Kenyataan terbaharu oleh Dzulkifly menimbulkan kembali debat panjang isu kerjasama dengan Umno, yang dijangka bakal menjadi satu isu yang memberi kesan kepada muktamar dan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

3 comments:

Anonymous said...

silalah masuk ke mulut buaya ...

Anonymous said...

Zombi Kg Pisang

Mamat/Minah yg jaga kandang boya kat Air Keruh hari-hari buat show masuk kepala dalam mulut boya .., OK je

Anonymous said...

Zombi Kg Pisang

Perpaduan sesama Islam tuntutannya wajib. Noktah.

Perpaduan, terutama dari aspek politik dengan bukan Islam, tuntutannya mengikut prinsip. Aspek tahlus-siasi sebahagian daripadanya.

Hakikatnya cuma wujud 2 parti politik bertunjangkan bangsa/agama yakni Melayu/Islam di Malaysia - PAS & UMNO.

Yang lain serpihan.

Terutama PKR, malah PKR merupakan penganut pluralisme tegar supaya dibezakan dengan UMNO (lubuk asal-usul PKR).

Sejak bersama PR - PAS menjadi terlalu apologistik. Semua benda PAS nak buat WAJIB ambil kira sudut DAP & PKR tapi pada waktu yang sama DAP & PKR tidak begitu sikap mereka dengan apa saja yang mahu mereka buat.

Contohnya berlambak.

Sedihnya, sikap apologistik PAS ini dipertahankan oleh majoriti pimpinan PAS, terutama puak Erdogans malah oleh Mat Sabu sendiri atas alasan PAS butuh undi Cina/India bukan Islam.

Puak ustaz/ulama PAS pula menyorok belakang tiang. Langsung tak berani tampil beri hujah rasional lagi Islami betapa perpaduan sesama Islam merupakan suatu kekuatan yang besar SEHINGGAKAN Presiden PAS sendiri terkial-kial menarik balik unjuran bersifat negarawan berbunyi "Duduk Dalam Pakatan; Berdiri Dalam Barisan" kerana ahli PAS seluruhnya TAK FAHAM. Kerana diserang bertubi-tubi oleh mamat-mamat blog macam Tulang Besi dan sewaktu dengannya. Kerana diasak puak Erdogans yang bertuankan seorang penghuni Segambut Heights.

Dan yang paling teramat pelik - PAS dek terikut pemikiran politik DAP & PKR menganggap serta amat menyakini bahawa UMNO/BN bukan sekadar mampus - malah terkubur dalam konkrit.

PAS malah terikut tuntutan DAP & PKR atas alasan meritokrasi untuk menolak bulat-bulat unjuran membela serta melindungi hak atas nama bangsa Melayu dan Islam.

PAS lupa mereka bukan malaikat.

PAS hanya totok percaya UMNO itu setan.

Nanti yang menanggung akibat ialah orang beragama Islam berbangsa Melayu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...