Sunday, August 5, 2007

WPI DAN PULAU BATU PUTIH BAKAL TERGADAI?

Oleh Husam Musa
Kes Pulau Batu Putih akan diputuskan oleh ICJ November depan. Desas desus sudah bertiup, kita mungkin kecundang dan Pulau Batu Putih yang strategik akan menjadi milik Singapura selama-lamanya.

Jika itu berlaku, Singapura sentiasa mengasak kita dan mereka lebih bersedia dari segala sudut untuk menjadikan kita sentiasa terundur.Dalam keadaan Singapura sentiasa bersedia dengan pelbagai agenda 'Singapore Win', kita pula mudah lalai dan alpa.

Untuk membangunkan WPI, kita terpaksa menjemput Singapura duduk dalam Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dua negara berdaulat untuk memajukan wilayah kita. 2,217 sq km tanah Johor akan 'diurus' bersama dengan Singapura, melalui Jawatankuasa Bersama.

Hikayat Munshi Abdullah mencatitkan, format seakan Jawatankuasa Bersama ini pernah ditubuhkan oleh Raffles. Rakyat Melayu diurus oleh Temenggong Husin, rakyat bukan Melayu diurus oleh Orang Putih.Pelbagai konsekuen politik akan muncul kemudian. Pada waktu itu, kita sudah terlambat.

Sama seperti isu penguasaan Singapura ke atas bekalan air yang membelit kita sekarang.Mengapa tidak Pak Lah belajar dari Tun M yang telah melaksanakan program strategik Pelabuhan Tanjung Pelepas?Pelabuhan Tanjung Pelepas adalah ancaman kepada Singapura.

Ia bertujuan mengecilkan peranan Singapura dan negara kita mengambilalih sebahagian peranan dan kekuatan yang selama ini menjadi monopoli SIngapura selama beberapa abad.Ia berjaya. Tanpa kerjasama Singapura.

PTP telah menerima kapal pertama pada 10 Oktober 1999 untuk operasi percubaan selama tiga bulan, ia telah memecah rekod menjadi pelabuhan yang paling pantas berkembang. Ia menguruskan 1 juta TEUs (Twenty-Foot Equivalent Units) kontena selama 571 hari operasi.

Dari hanya 20,696 TEUs pada akhir 1999, telah berkembang kepada 2.05 juta TEUs pada 2001, 2.66 juta tahun 2002, 3.87 juta TEUs pada 2003 untuk mengatasi kedudukan Pelabuhan Kelang. Port Tanjung Pelepas dengan itu menjadi pelabuhan terbesar negara kita.

Pada tahun 2004, ia meningkat 15.2 % lagi, menjadikannya pelabuhan yang ke 16 tersibuk di dunia.

Pada 2006, ia menguruskan 4.7 juta TEUs.Ia meletakkan dirinya sebagai pilihan kepada Pelabuhan Singapura.Maersk Sealand, operator kapal kontena terbesar dunia, memindahkan semua operasi perkapalannya di Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas pada tahun 2000. Singapura menyaksikan kejatuhan 10% perniagaan pelabuhannya kerana tindakan itu.

Pada 2002, Evergreen Marine Corporation, pada waktu itu, syarikat perkapalan kedua besar dunia pula, memindahkan operasinya dari Singapura.

Sekilas fakta ini, membuktikan bahawa, pembangunan sehebat Tanjung Pelepas boleh dilakukan tanpa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dengan mana-mana negara asing yang memungkin pengaruh dan penentuan terma-terma yang boleh merugikan kita boleh berlaku.

Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dengan Singapura untuk WPI?

Apakah kita tidak mempunyai keupayaan merancang sendiri, seperti telah kita buktikan dalam kes Tanjung Pelepas?

Apa lagi jika bentuknya hanya untuk menjual tanah kepada Singapura?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...