Friday, August 10, 2007

Umno labur RM1 juta sebar propanda melalui akhbar lokal?


KOTA BHARU, 10 Ogos: Umno membayar RM1 juta kepada sebuah akhbar harian! Ini sesuatu yang mengejutkan. Ia difahamkan sebagai upah bagi membolehkan rencana iklan tajaan Umno disiarkan akhbar itu setiap hari.


Biar pun baru beroperasi sejak setahun lalu, kini akhbar harian bersifat lokal terbabit menyediakan gelanggang khas kepada Umno, seakan-akan menjadi buletin kepada parti itu.
Kalau sebelum ini dua halaman disediakan dan sejak seminggu lalu telah meningkat kepada empat halaman. Di bahagian atas halaman tersebut ditulis perkataan advertorial (rencana iklan).


Muka surat tajaan Umno itu disediakan di halaman K11, K12, K17 dan K18. Di halaman K11 dimuatkan rencana pengarangnya yang diberi tajuk Serambi Mekah.


Empat halaman tersebut diisi sepenuhnya kegiatan wakil-wakil rakyat Umno dan analisis yang memperlekehkan PAS serta kerajaan negeri.


Pasukan editorial khas itu difahamkan diketuai seorang perunding media yang pernah berkhidmat di Berita Harian dan RTM, juga anak tempatan.


Difahamkan pasukan editorial tersebut kini mempengaruhi sepenuhnya akhbar lokal berkenaan sehingga pernah menerbitkan berita yang kontroversi sehingga Menteri Besar,
Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi membenarkan akhbar berkenaan dibawa masuk ke pejabatnya.


Menurut sumber, Umno dikatakan membayar sebanyak RM1 juta kepada pihak pengurusan akhbar berkenaan kerana membantu memprojekkan parti itu.


Akhbar lokal ini kini secara tidak langsung telah mengambil alih peranan Buletin Perhubungan Umno Kelantan, Al Haq yang dikatakan tidak dapat diedar secara meluas kerana kurang sambutan.


Bagi anggota Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, Umno Kelantan benar-benar terdesak sehingga terpaksa menggunakan sebuah akhbar lokal bagi menjaja propagandanya kepada rakyat.


“Kita percaya menjelang pilihan raya nanti lebih banyak lagi halaman disediakan kepada Umno oleh akhbar berkenaan yang secara tidak langsung bagi membantu misi parti itu.


“Sikap yang diambil akhbar terbabit biar pun baru beroperasi telah menampakkan tujuan sebenarnya. Ia dilihat tidak lagi mendokong motonya cakna dan dinamik yang diuar uarkan sebelum ini,” katanya.


Adun Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman berkata, akhbar itu sudah memperlihatkan dirinya seperti menjadi ‘tali barut’ kepada Umno yang tidak sesuai lagi disokong rakyat Kelantan.


Katanya, tujuan asal akhbar itu sudah jauh menyimpang kerana hari ini mereka bukan lagi sekadar menyalur maklumat kepada rakyat sebaliknya menjadi alat proganda parti politik tertentu.


“Sudah sampai masanya orang ramai menilai kembali akhbar seperti itu. Sekarang ia tidak sesuai lagi menjadi wadah rakyat kepada kerana ada mesej besar yang diselit bagi kepentingan politik jangka pendek,” katanya.


Bekas penceramah agama terkenal Umno, Abdul Hamid Derani akhbar tersebut begitu cepat memperlihatkan diri yang sebenar biar pun baru setahun jagung berada di pasaran.”


Oleh itu beliau mencadangkan wakil-wakil rakyat PAS dan kerajaan negeri tidak lagi melibatkan media terbabit dalam program rasmi kerana sudah memadai peranan dimainkan akhbar lain yang lebih berwibawa.


“Saya juga cadangkan tindakan dilakukan Menteri Besar memboikot akhbar terbabit diikuti semua pihak bagi memastikan agenda Umno tidak kesampaian,” ujarnya.


Seorang pegawai kerajaan, Roslan Mohd Noor berpendapat akhbar seperti itu tidak mampu bertahan lama kerana motif asalnya bagi menyebarkan maklumat kepada rakyat sudah bertukar kepada menjadi alaf propaganda parti politik.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...