Oleh RAZALI ENDUN
JOHOR BHARU, 16 Ogos: Simposium Budaya Darul Ta’zim 2007 di Johor Bahru pada minggu lepas meluluskan resolusi supaya Gapena mengambil inisiatif mengumpulkan kesemua ahli-ahli kerabat Gapena termasuk NGO-NGO Melayu dan Islam dalam satu perhimpunan raksaksa dan berarak beramai-ramai ke Parlimen untuk menyatakan keresahan dan kebimbangan bangsa Melayu terhadap nasib bahasa, budaya dan sastera Melayu yang semakin terpinggir sekarang ini.
Keseluruhan wakil kerabat Gapena yang menghadiri simposium ini telah melahirkan rasa kesal mereka kerana Gapena hanya berani bercakap di dalam bilik-bilik seminar dan simposium seperti ini. Di luar bilik ini, mereka tidak ada keberanian, apa lagi mengambil tindakan yang agak agresif.
Dr. Noriah Mohamad telah mencetuskan idea ini apabila mengsyorkan supaya Gapena mengambil tindakan lebih agresif lagi untuk menarik perhatian kerajaan. Katanya,
“Gapena sudah mengambil pelbagai pendekatan yang lunak sebelum ini, namun kerajaan semacam tidak mengambil endah desakan dan rintihan kita. Sudah sampai masanya kita mengambil tindakan yang agresif untuk menyatakan gelodak rasa serta kebimbangan kita terhadap masa depan bahasa Melayu.”
Datuk Borhan Md. Yaman, veteran Umno dan pejuang bahasa bersetuju dengan cadangan Dr. Noriah itu.
Katanya, beliau yang menjadi ahli Umno dan taasub dengan parti itu, tidak faham dengan tindakan pemimpin-pemimpin Umno sekarang yang sedikit pun tidak ada perasaan kebangsaan di dalam hati dan sanubari mereka.
Beliau mempertahankan bahawa Umno tidak boleh disalahkan dalam perkara ini, yang tidak betul ialah segelinter pemimpin Umno yang sudah hilang jiwa kebangsaan dan jati diri mereka.
Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ) sdra. Amiruddin Ali dengan lantang mencabar kepimpinan Gapena supaya melaksanakan hasrat kerabat-kerabatnya.
“Kita mahu Gapena mengambil inisiatif. Kita juga mahu Tan Sri Ismail Hussein mengepalai demonstrasi ini. Jangan berani dalam dewan ini sahaja, tapi di luar, untuk mempertahankan hak kita, kita jadi penakut.
“Apa yang kita lakukan ialah menegak dan mempertahankan perlembagaan. Bukan hasrat kita mahu melanggar perlembagaan. Salahkah kita mempertahankan perlembagaan kita?” katanya penuh emosi dan disahut dengan tepukan gemuruh.
Wakil Kemudi dari Selangor, Ismas Saring bersetuju supaya Gapena sebagai badan induk dan berstatus nasional mengambil inisiatif ini.
Kami hanya persatuan-persatuan yang bersifat kedaerahan dan kenegerian, maka yang wajar mengepalai demonstrasi ini ialah Gapena.
Wakil Pena, Dr. Ibrahim Ghaffar, di samping menyokong ucapan YAB Menteri Besar Johor, Datuk Abd. Ghani Othman malam sebelumnya, menyatakan Pena menyokong apa juga keputusan dan resolusi yang diambil dalam simposium ini.
Paul Naggang, dari Miri Sarawak mewakili Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putra) juga berasa kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan pusat.
Katanya, beliau sebagai pribumi Sarawak dan tidak 100 peratus Melayu, akan tetapi jiwa dan sanubarinya tetap Melayu.
“Saya sayangkan bahasa Melayu kerana saya telah dididik sejak kecil lagi di sekolah Melayu.” ujar beliau Wakil Badan Peminat Bahasa dan Sastera Muar, cikgu Aziz Mohamad, mencadangkan sekiranya Umno tidak ambil peduli dan tidak mahu terlibat dalam perarakan itu, Gapena akan mengajak parti-parti pembangkang seperti Pas dan Keadilan untuk turut sama dalam perarakan ini.
Sementara itu wakil dari Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Tengku Alaudin mempersoalkan relevansi Umno kepada perjuangan orang Melayu.
Katanya, “Umno sudah tidak relevan lagi kepada orang Melayu sekarang. Umno tidak lagi memperjuangkan kepentingan dan maruah orang Melayu.
"Kita tidak boleh bergantung harap lagi kepada parti ini. Umno tidak relevan lagi untuk orang Melayu,” tegasnya.
Simposium yang bertemakan, ‘Bahasa dan Tamadun Melayu Dalam Konteks Cita-Cita Kebangsaan,’ diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Gapena dan PPJ.
Ianya diadakan sempena Anugerah Sastera Negeri Johor 2007 dan menyambut kemerdekaan negara yang ke-50.
Dalam pada itu, ramai yang bersungut bahawa simposium setengah hari itu sangat terhad masanya kerana tidak cukup masa untuk kerabat Gapena membincangkan perkara sepenting itu.
Ianya macam melepas batuk di tangga. Ada juga yang berbisik, ‘hangat di sini sahaja, Gapena tidak akan berani melaksanakan desakan dan resolusi kerabatnya.’ Dan ini terbukti dalam ucapan pengulungannya, Tan Sri Ismail Hussein masih mempertahankan pendekatan berhemah dan berlembut yang diambil oleh Gapena.
Katanya Gapena cuba mengelak sebarang tindakan agresif dan tidak akan berkonfrantasi dengan kerajaan. Dan terdengar keluhan dari beberapa wakil kerabat, “Itulah Gapena, pi mai pi mai tang tu jugak!”
No comments:
Post a Comment