Thursday, August 16, 2007

Pahamin Rejab gagal sertai G7 Umno Pasir Puteh

Oleh RAMLI HUSSIN

PASIR PUTEH, 16 Ogos: Sebelum ini ramai mengenali bekas Presiden Persatuan Wartawan Melayu (PWM), Yazid Othman lebih rapat dengan PAS kerana ramai keluarganya pendokong perjuangan Islam.

Malah keluarga terdekatnya merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri. Namun, Yazid yang dikenali dahulu bukan lagi seperti kelihatan sekarang. Beliau juga cuba nasib dalam Umno.

Malah ura-uranya beliau dikatakan cuba mengintai kerusi di Dun Selising, sehingga menimbulkan rasa tidak senang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sekarang, Amran Mohd Noor.

Namun, pendakian pertama Yazid agak cemerlang apabila memenang sebagai tujuh perwakilan (G7) Umno Bahagian Pasir Puteh ke Perhimpunan Agung Umno tahun ini.

Beliau bersama enam lagi calon iaitu Datuk Che Min Che Ahmad, Amran Mohd Noor, Datuk Wan Najib Muhamad, Tuan Mustafa Tuan Hassan, Rujhan Salleh dan Zainal Abidin termasuk dalam senarai G-7.

Namun lebih malang apabila bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Pahamin Rejab yang juga mencuba nasib gagal mendapat tempat.

Tokoh veteran lain yang juga kecundang termasuk Jailani Jaafar, Zamri Awang (Zamri Bas), Mohd Agil Awang, Ismail Awang, Datuk Zukri dan Aziz Bukit Abal.

Menurut seorang perwakilan, ramai golongan veteran yang mencuba nasib semula gagal mendapat tempat kali ini kerana kurang popular dan jentera kempen tidak kuat.

“Biar pun Datuk Pahamin tokoh besar di Kuala Lumpur, namun di kampung sendiri dia kurang dikenali penduduk tempatan,” katanya.

Persidangan perwakilan itu diadakan pada 10 Ogos lalu, dirasmikan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Hishamuddin Hussien.

Mesyuarat tersebut juga dikejutkan apabila banyak cawangan Umno gagal menghantar perwakilan. Sedangkan mengikut senarai bahagian itu terdapat 210 cawangan.

Perwakilan yang hadir hanya seramai 525 orang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...