Thursday, August 16, 2007

Sertakan laungan kemerdekaan dengan ingati kebesaran Allah – Nik Aziz


KOTA BHARU, 16 Ogos: Kemeriahan dan kegembiraan melaungkan perkataan merdeka hendaklah disertakan dengan mengingati kebesaran Allah kata Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


(Foto: Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakub melekatkan Jalur Gemilang di kenderaan salah seorang ketua jajahan di Kelantan.)


Beliau berkata, Islam tidak menghalang merayakan sambutan kemerdekaan negara, sebaliknya jangan lalai terhadap seruan agama.


“Malah dalam sejarah awal kebangkitan Islam, bendera menjadi elemen yang cukup penting. Ketika tentera Islam berdepan dengan tentera Rom, sahabat yang diberi tanggungjawab menjaga bendera memegang erat sehingga akhirnya dia mati dibunuh.


“Ini menjelaskan Islam tidak menghalang acara kibar bendera seperti yang diadakan sekarang, sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan negara,” katanya pada pelancaran perayaan Bulan Kemerdekaan ke-50 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Padang Merdeka, 16 Ogos lalu.


Teks ucapannya dibaca Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob. Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, anggota-anggota Exco dan pegawai kerajaan negeri serta Pusat.


Pelbagai acara menarik diadakan termasuk penyerahan Jalur Gemilang kepada anggota pasukan tentera, ketua-ketua jabatan dan badan bukan kerajaan. Timbalan Menteri Besar juga melekatkan Jalur Gemilang di kenderaan rasmi ketua-ketua jajahan dan jabatan kerajaan negeri serta Pusat.


Selain itu diadakan perarakan motosikal klasik dan vespa yang didahului kereta berkuda. Persembahan kebudayaan dan pancaragam pasukan anggota tentera turut diadakan.


Nik Abdul Aziz berkata, kemerdekaan sebenar dalam konteks Islam iaitu merdeka dari sudut fizikal dan rohani.


“Islam juga tidak benarkan menjajah orang lain. Islam lebih mementingkan keluhuran, berdisiplin, tepati masa, pemurah dan mengharamkan perbuatan keji serta buruk.


“Kemerdekaan yang ditakrifkan di sini iaitu merdeka daripada kekangan sesama manusia. Sebab itu Islam berbeza berbanding dengan ideologi-ideologi lain,” ujarnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...