KOTA BHARU 3 Ogos: Pejabat kepunyaan pemimpin PAS terus menjadi mangsa apabila kegiatan menceroboh semakin menjadi-jadi.
(Foto:Seorang pegawai Kriss memerhati pemegang mangga yang terbuka akibat dikumpil penceroboh)
Selang seminggu lepas pejabat anggota Exco, Dato’ Takiyuddin Hassan diceroboh, malam 31 Julai lalu pejabat Pusat Kajian Strategik dan Penyelidikan Kelantan (Kriss) pula digeledah orang.
Apa dah nak jadi sekarang. Mungkin modus operandinya dilakukan pihak yang sama memandangkan pengeledahan dilakukan seperti bagi mencari sesuatu maklumat.
Sebelum itu, pada malam 21 Julai lalu pejabat Adun Bunut Payong di Jalan Kuala Krai juga milik Takiyuddin diceroboh dan empat komputer serta barangan berharga lain didapati hilang.
Pada 19 Mei lalu, lima pejabat Exco di Kota Darulnaim juga diceroboh masuk sehingga menyebabkan kehilangan beberapa dokumen penting dan wang.
Pengurus Media dan Komunikasi Kriss, Ibrahim Mamat berkata, kejadian ceroboh masuk pejabatnya disedari kira-kira jam 9 pagi tadi, apabila seorang kakitangan mendapati mangga pintu besar dikerat.Katanya, dokumen, fail dan barangan lain didapati berselerak di atas lantai.
“Berdasar kepada penelitian awal setakat ini hanya didapati modem internet yang didapati hilang. Pada pandangan kasar mungkin penceroboh mencari maklumat atau sesuatu data.
“Tetapi komputer tidak hilang. Ini tambah meragukan mengapa pula modem yang diambil,” katanya di sini.
Menurutnya Pegawai Unit IT Kriss, Ahmad Riduwan Husein telah membuat laporan polis mengenai pencerobohan itu kira-kira jam 10 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.Pejabat Kriss terletak di Jalan Raja Dewa Hilir tidak jauh dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat.
Ibrahim berkata, berdasar kepada modus operandi di mana pejabat milik pemimpin PAS sahaja yang menjadi sasaran, kemungkinan ia ada kaitan dengan unsur politik.Kemungkinan besar ada lagi pejabat milik pemimpin PAS lain digeledah lagi selepas ini kerana kes serupa berulang beberapa kali.
No comments:
Post a Comment