Friday, August 10, 2007

Exco Kelantan pernah jadi mangsa nahas Nuri


Oleh M FAQIH


KOTA BHARU, 10 Ogos: Seorang anggota Exco pernah menjadi mangsa nahas pesawat Nuri.
Ia cukup mengejutkan. Namun inilah cerita benar yang pernah berlaku ke atas Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.

(Foto: Anizam menunjukkan gambar Nuri yang dinaiki yang terhempas pada tahun 1975 lalu)

“Saya hanya sempat mengucap berkali-kali selepas mendengar helicopter berbunyi kot..kot. tidak sampai seminit selepas itu terus menjunam ke bawah.

“Saya ingat sudah mati. Suasana cukup kelam kabut sekali selepas endengar ijin Nuri bunyi seperti rosak. Ketika itu, seorang rakan Lef Muda Razak sudah berada di tali untuk terjun ke bawah.

“Ketika itu saya ingat ada 10 atau 13 anggota yang mengikuti latihan terjun menggunakan tali daripada helikopter itu di hutan tidak jauh Kem Latihan Komando Sungai Udang, Melaka,” katanya masih panjang umur biar pun banyak kejadian nahas Nuri, mangsanya tidak selamat.

Menurutnya kejadian ngeri itu berlaku pada 10 Oktober 1975 ketika beliau yang berpangkat Lef Muda dan rakan-rakan dari pasukan 7 Melayu Diraja berpangkalan di Kuala Kubu Baru menjalani latihan terjunan menggunakan tali.

Ketika kejadian Nuri berada kira-kira 200 hingga 300 meter di udara. Nuri dipandu Kapten Lim dan Kapten Isnin dari Tentera Udara Diraja Malaysia. Bagaimanapun bagi Md Anizam peristiwa itu sebagai ‘mati hidup balik’ kerana Nuri yang terhempas ke dalam belukar tidak terbakar.

“Selepas jatuh ke tanah, kami bertindan-tindan di antara satu sama lain. Alhamudulillah Nuri tidak terbakar dan kami bangkit segera biar pun terasa agak sakit untuk menyelamatkan diri.

“Ada yang keluar melalui tingkat, ada melalui pintu kerana begitu takut Nuri akan terbakar kerana terhempas dari kedudukan tinggi,” katanya.

Bagaimanapun beliau bersyukur diselamatkan daripada kejadian malang tersebut dan tidak lama kemudian pasukan Bomba dan penyelamat lain tiba memberi bantuan segera.

Namun katanya, Lef Muda Razak putus kaki sebelah mungkin kerana dia terjun lebih awal kerana ketika itu dia sudah berada di tali untuk turun ke bawah.

Beliau dan rakan-rakan lain tidak mengalami apa-apa kecederaaan cuma terkejut dengan kejadian itu.

Md Anizam yang kini Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Alam Sekitar Negeri agak terkilan kerana peristiwa itu tidak dimasukkan ke dalam kronologi 18 tragedi kejadian Nuri terhempas sebelum ini.

“Saya tidak lihat dalam pada kronologi itu dicatat apa yang kami alami biar pun tiada kemalangan jiwa yang berlaku,” ujarnya.

Katanya juga sudah sampai masanya kerajaan menukar Nuri kepada pesawat baru memandangkan risikonya begitu tinggi biar pun mempunyai banyak jasa kepada
negara.

Pada kejadian terbaru pada 13 Julai lalu enam anggota tentera menjadi mangsa apabila Nuri terhempas di Genting Sempah.

Md Anizam yang masih menyimpan gambar bangkai Nuri yang terhempas sedia menyerahkan kepada Muzium Angkatan Tentera sekiranya pihak terbabit berminat mendapatkan gambar tersebut.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...