Oleh Annual Bakhri Harun
“Keputusan kerajaan mengubah penggunaan istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia pada awal Jun lalu merupakan pengorbanan terbesar kaum Melayu untuk perpaduan di negara ini.” (Utusan Melayu, Isnin 30 Julai 2007).
Premis:
Sejak alam purba - 1970 : Bahasa Melayulah
1970 - 1986 : Bahasa Malaysia pula
1986 – Jun 2007 : Bahasa Melayu balik
1 Julai 2007 - (?) : Bahasa Malaysia pulaklah.
Pertanyaan Berbangkit:
(1) Tidakkah Tanah ini adalah Tanah Melayu?
(2) Bukankah Raja-Raja di sini adalah turun temurun terdiri dari Raja-Raja Melayu?
(3) Tidakkah bahasa pertuturan di Tanah Melayu adalah Bahasa Melayu?
(4) Melayu adalah sebuah bangsa berketuanan, berdarjat, berjatidiri, berbahasa dan berakar budaya?
(5) Perjuangan ini adalah sebuah perjuangan warisan zaman berzaman? Perjuangan apa ye?
(6) Tidak perlu berpolemik dengan penukaran Bahasa Melayu ke Bahasa Malaysia. Ia adalah lambang keikhlasan, kesediaan, kesetiaan dan keterbukaan sebuah bangsa yang sesuci-sucinya? Bangsa mana ya?
(7) Sebuah kesediaan pengorbanan Bangsa Melayu yang cemerlang, terbilang dan gilang gemilang?
(8) Ia lambang kejayaan dan kesungguhan “pejuang bahasa bukan Melayu” untuk mem“Bahasa Malaysia”kan Bahasa Melayu agar semakin segar, relevan, berdaulat dan bermartabat?
(9) Bukan isu “menang kalah” sesiapa tetapi, satu lagi mercu tanda kesediaan orang Melayu untuk menghadiahkan bahasanya yang mungkin satu-satunya lagi aset budaya yang masih tinggal (dan lantaran itu wajiblah dikorbankan) demi perkongsian kuasa, perpaduan dan kelangsungan proses integrasi nasional?
(10) Dengan penukaran nama, indentiti, wajah dan jatidiri bahasa asal ini, akan timbulkah secara automatik “rasa kepunyaan dan kebersamaan” terhadap Bahasa kebangsaan yang maha mendalam?
(11) Maka, tidak semena-mena pula akan melonjakkah semangat nasionalisme Malaysia yang berapi-rapi dan berakar umbi diatas korban sebuah bahasa beridentiti turun temurun yang menjadi paksi kepada pengenalan penuturnya yakni bangsa Melayu dengan segala prinsip ketuanannya?
(12) Dengan langkah ini, tidak berkhianatkah seluruh bangsa di Malaysia dengan ikrar Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 di Dewan Bahasa Dan Pustaka yang telah disepakati oleh bangsa Melayu, Cina dan India?
(13) Tidakkah dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, ada termaktub bahawa Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Melayu (The national language shall be the Malay Language)?
(14) Dulu, bahasa Melayu selaku bahasa dari rumpun Austronesia adalah bahasa komunkatif nusantara sewaktu-sewaktu, dipertuturkan oleh pedagang-pedagang asing dalam pelbagai urusan perniagaan, administratif, pendidikan, sastera, pengucapan seni dan perundangan. Jadi?
(15) Bahasa inilah menjadi jatidiri bangsa penutur tetapi pada hari ini, mereka terpaksa akur kepada keputusan yang telah dibuat. Terpaksa? Siapakah yang membuat keputusan?
(16) Masih adakah individu yang akan menganggap diri mereka sebagai pahlawan bahasa ketika berbangga dengan keputusan ini?
(17) Jika enggan bersetuju, wajarkah kita dituduh petualang bangsa?
(18) Bangsa Arab, Bahasa Arab. Bangsa Inggeris Bahasa Inggeris. Bangsa Peranchis Bahasa Peranchis. Bangsa Jepun Bahasa Jepun. Bangsa Thai Bahasa Thai. Bangsa Melayu Bahasa .. ?
(19) Mungkinkah ini satu hadiah sejati kemerdekaan kali Ke 50 negara yang paling berharga? Dari siapa, untuk apa dan untuk siapa?
(20) Adakah disforia (disphoria) bahasa ini sekadar sindrom lesu bahasaku yang sementara?
(21) akan dituduh “chauvinistik Melayu”kah aku jika meragui kewarasan sebuah keputusan pihak yang lebih berkuasa?
(22) Adakah nantinya keris Melayu juga akan ditukar menjadi Keris Malaysia?
3 comments:
sejak penggunaan kembali bahasa malaysia ke bahasa melayu di era mahathir dan anwar, pejuang2 bahasa ibunda cina dan india bertungkus lumus mendaulatkan bahasa kaum masing2 lebih dari mendaulatkan bahasa melayu.
hujah paling byk mereka guna adalah disebabkan bahasa melayu itu ada kalimah 'melayu' maka hanya melayu saja yg patut berusaha mendaulatkannya. mereka memberi alasan jika adat melayu itu bangsa melayu saja patut daulatkan, dan mereka masing2 ada adat dan budaya sendiri. mereka membawa fahaman untuk bersatu maka setiap kaum berbeza mesti berjuang daulatkan integriti bangsa masing2. jika org cina daulatkan budaya cina boleh diterima melayu yg berbudaya melayu, maka mereka anggap mengapa tidak org melayu yg berbahasa melayu patut bising jika org cina daulatkan bahasa cina, dan org india daulatkan bahasa india.
kini, hujah yg selalu dimain oleh dap dan puak chauvanis telah tertutup apabila bahasa melayu kembali dipanggil bahasa malaysia.
jika tinjauan dibuat, betapa ramai rakyat malaysia belum mahir berbahasa malaysia, ini akan buat puak chauvanis menjadi puak yg paling aib sekali.
adalah menghairankan, telah 50 tahun merdeka, hampir 3 generasi kaum cina dan india dilahirkan di malaysia, mereka masih buta dan ambik ringan dalam bab bahasa kebangsaan negara sendiri. kini mereka tak lagi boleh sebut hak mendaulat bahasa melayu hanya pd org melayu, tp bila dipanggil bahasa malaysia adalah logik hak mendaulatkan bahasa malaysia adalah hak semua rakyat malaysia!
maka terpalitlah org2 melayu 'moden' yg kononnya anggap bahasa melayu tak ada nilai komersial, lalu sanggup mengangkat bahasa inggeris dan mandarin lebih mulia dari bahasa bangsa mereka sendiri. kini org melayu moden yg anggap stupid jika cakap melayu, perlu fikir 2 kali kerana bahasa melayu kini dah dipanggil bahasa malaysia. adakah stupid jika anda cakap bahasa malaysia? lalu anda rakyat negara mana?
Saya sokong penggunaan semula Bahasa Melayu kepad Bahasa Malaysia, kerana ia secara langsung mengangkat Bahasa Melayu kepada Bahasa yang menjadi bahasa rasmi Negara. Jika namanya Bahasa Melayu, maka tidak hairanlah kaum lain hanya membiarkan hanya kaum Melayu yang memperjuangkannya. Tetapi penggunaan semula perkataan Bahasa Malaysia haruslah dilakukan dengan pelaksanaan menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kegunaan rasmi dalam pelbagai aktiviti dan bidang. Jika tidak ia hanyalah sekadar pertukaran pada nama dan bukannya membina pertukaran pada sikap masyarakat agar bangga dan cintakan bahasa ibunda.
Bahasa hanya sebangai alat perantaraan,biar pun Bahasa Kebangasaan kami ditukar daripada Bahasa Malaysia kepada Bahasa Melayu, penggunaan Bahasa Melayu di tanah ini tidak pun berkurangan.
Sebagai contoh, Bangsa India akan menggunakan Bahasa Melayu bertutur dengan Bangsa Cina dan bukannya Bahasa India, begitu juga dengan Bangsa Cina dan Bangsa Melayu.
Bahasa Melayu diistiharkan sebagai Bahasa Kebangsaan kami dengan tujuan PERPADUAN wujub antara Rakyat Malaysia.
Tiada satu bangsa yang boleh melupakan bahasa atau dielak bangsa sendiri, kedualatan Bahasa Melayu tidak akan hilang jika menerima Bahasa-Bahasa Bangsa lain di tanah ini.
Bahasa Ingress boleh diterima dan digunakan di tanah ini, kenapa pula bahasa bangsa lain di tanah ini tidak boleh diterima?
Post a Comment