Thursday, August 9, 2007

Tolak calon Hakim Besar Malaya: Krisis antara PM, Raja dan Hakim


KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Pakar Perlembagaan dan Institusi Raja-raja Melayu, Profesor Dr Aziz Bari berpendapat, langkah Majlis Raja-raja menolak nama calon Hakim Besar Malaya yang dikemukakan oleh Perdana Menteri membayangkan "ada masalah antara Perdana Menteri dan Majlis Raja-raja dan dalam Institusi Kehakiman sendiri'.


Beliau mengulas berita akhbar Straits Times Singapura yang melapurkan, Majlis Raja-raja Melayu yang bermesyuarat sebelum ini menolak nama calon Ketua Hakim Besar Malaya yang dikemukakan Perdana Menteri.


Abdul Aziz Bari, Penyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, dari segi undang-undang sebenarnya ia jelas di mana Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 122B(1) menyebut antara bahawa perlantikan itu "hendaklah (dibuat) oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja".


Maknanya jelas beliau, secara harfiah kuasa Majlis hanya hak dirundingi dan kata putus di tangan Perdana Menteri.


Bagaimanapun beliau menambah, ada keadaan tertentu di mana Perdana Menteri tidak dapat menekankan autoritinya.


"Secara teori kita boleh mengagak bahawa sekiranya calon yang dikemukakan oleh Perdana Menteri itu mempunyai masalah beliau logiknya tidak akan dapat memaksa.


"Atau sekiranya ada calon yang lebih layak yang dilangkahi atau diketepikan, Majlis Raja-Raja boleh membangkitkan hal-hal itu," jelas beliau.


Pensyarah undang-undang itu turut menyimpulkan bahawa perkembangan itu sebenarnya selari dengan apa yang dihasratkan oleh perlembagaan; yakni supaya Majlis Raja-Raja memainkan peranan semak dan imbang (checks and balances).


Katanya, peranan Majlis Raja-Raja itu diperkukuh oleh perlembagaan, melalui Perkara 38(2), yang menyatakan bahawa ia "boleh menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara....dan apa-apa perkara yang difikirkannya patut". Ini jelas cukup luas dan majlis bolehmembangkitkan apa sahaja.


Mengulas dari aspek politik, Dr Aziz barkata situasi itu akan menyebabkan Perdana Menteri diletakkan di dalam keadaan yang memaksanya memberi penjelasan.


Dalam masa yang sama kata beliau, Parlimen mempunyai hak untuk bertanya dan meminta penjelasan.


"Kita tahu bahawa kerajaan perlu bertanggung jawab kepada Parlimen di bawah prinsip kabinet," ujarnya.


Beliau menambah, ini secara implisit memberi hak kepada rakyat untuk tahu dan meminta penjelasan.


Beliau juga menegaskan situasi seperti itu tidak akan berlaku jika perlantikan dibuat mengikut senioriti dan amalan biasa.


"Masalah timbul bila berlaku cantas mencantas dan calon yang layak diketepikan kerana tidak disenangi atau tidak sebulu dengan kepemimpinan yang ada," katanya sambil mengakui apa yang berlaku itu sebenarnya memberi isyarat bahawa masalah imej di pihak badan kehakiman itu ada kebenarannya.


"Ini bukan masalah Perdana Menteri semata-mata; ia semacam ada kaitan dengan badan kehakiman itu sendiri," tambah beliau lagi.


Justeru kata Dr Aziz, rakyat berhak untuk tahu kerana badan kehakiman adalah cabang penting dalam doktrin pengasingan kuasa.


Kehakiman penting dalam mempastikan supaya eksekutif (kabinet dan kerajaan) dan badan perundangan (parlimen) tidak menyalahgunakan kuasa mereka.


"Rakyat mahukan sebuah badan kehakiman yang bebas kerana tanpa ini bagaimana keadilan boleh dijamin?," soalnya.


Sementara itu, Ketika ditemui pemberita, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim enggan mengulas mengenai perkembangan tersebut.


Katanya, semua pelantikan dalam badan kehakiman adalah sulit dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).


Beliau hanya berkata, kekosongan jawatan tersebut akan diisi sebelum hujung tahun ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...