Thursday, August 16, 2007

Dakwat untuk pengundi: Bersih akan temui SPR lagi


KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Badan bagi mempastikan pilihanraya bersih dan adil (Bersih) akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mempastikan cadangan untuk menggunakan dakwat yang tidak boleh padam bagi pengundi dilaksanakan dengan baik.


"Bersih menyambut baik penerimaan SPR terhadap cadangan kami, tetapi kami akan jumpa SPR lagi bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar mencapai hasrat untuk mempastikan tidak berlaku pengundiaan berganda dalam pilihan raya umum akan datang."


Demikian kata anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih dari DAP, Ronnie Liu kepada Siasah.
Menurut Ronnie, Bersih akan memastikan dakwat yang digunakan nanti benar-benar tidak boleh padam sehingga beberapa hari.


"Ada orang kata, bila dakwat letak atas kuku, ia boleh dipadamkan dengan mengikisnya. Kita juga dengar, dakwat ini, jenis Mysore memang akan meresat dalam kuku dan tidak akan boleh padam. Jadi kita kena jumpa SPR dulu baru tahu macamana sebenarnya," kata Ronnie.


Walaupun menerima baik penerimaan SPR itu, Ronnie berkata, Bersih juga terus mendesak SPR melaksanakan cadangan agar sistem undi pos dimansuhkan atau dikaji balik pelaksanaannya.


"Sekarang ini sistem undi pos tidak telus dimana wakil-wakil parti politik yang bertanding tidak boleh melihat pelaksanaannya. Oleh itu, ia tidak telus dan terdedah kepada penyelewengan," kata Ronnie.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...