Tuesday, August 23, 2011

Surat terbuka buat Dr Maza

Oleh HUDZAIFAH AL-YAMAN

Bismillahirrahmanirrahim. Dimulai surat ini dengan doa, mudah-mudahan Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) beroleh kasih sayang Allah SWT hendaknya, dan terus istiqamah melagang perjuangan Islam di muka bumi ini, tanpa secuit pun rasa takut kepada makhluk; atau secalit rasa curiga diserang pelbagai sudut. Firman Allah SWT: “Dan mereka tidak merasa takut selain kepada Allah.” (At-Taubah: 18)

Dr Maza, membaca dan meneliti pandang sisi tuan mutakhir ini, khususnya mengenai korelasi antara isu murtad dan isu agihan zakat, membuat saya semakin tertanya-tanya.

Persoalannya ialah, apakah rahsianya menyebabkan agihan zakat di negara ini tidak berkesan dalam menangani isu-isu kemiskinan dan sejauh manakah inisiatif yang telah dilakukan demi memperbaiki keadaan.

Dr Maza, tuan menyatakan di Malaysia ini ada 14 jabatan agama. Ya, itu bermakna Malaysia juga mempunyai 14 pusat zakat dan 14 orang mufti. Wang zakat terkumpul mencecah billion ringgit saban tahun.

Sayangnya, kenapakah masih ramai umat Islam yang tidak tersantuni dengan dana zakat. Ingin rasanya saya bertanya kepada seorang mufti demi seorang mufti, apakah yang berlaku di sebalik tirai zakat di setiap negeri.

Namun, sayugianya saya juga ingin menanyakan soalan yang sama terlebih dahulu kepada Dr Maza. Bukankah dahulu tuan adalah seorang mufti juga, yang menjabati kondisi mufti di Perlis Darus Sunnah?

Maka, kala Dr Maza sendiri menjawati jawatan mufti, apakah tindakan konstruktif anda dalam memperbetulkan segala ketempangan ini, khususnya dalam pengurusan zakat di Malaysia, atau paling minimal di Perlis Darus Sunnah, negeri Dr Maza paling “berkuasa?”

“Amat besar kemurkaan Allah, bagi sesiapa yang mengatakan apa yang tidak dikerjakannya.” (As-Saff: 3). Justeru, jujurnya saya berharap dan amat yakin, pastinya Dr Maza tidak sesekali termasuk ke dalam kategori di atas.

Lalu, dengan harapan dan keyakinan yang sama, pastinya Dr Maza juga boleh memberikan penjelasan saksama, secara ditil dan komprehensif, apakah gendalanya yang menyebabkan amalan zakat khususnya aspek agihan zakat masih di takuk lama, termasuklah di Perlis Darus Sunnah.

Kami, para golongan awam ternanti-nanti penjelasan Dr Maza dalam hal ini, sesungguhnya! “Maka, bertanyalah kamu sesuatu perkara kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahuinya.” (An-Nahl: 43).

Dr Maza, sebagai bersifat adil dan tidak bias, saya memaksa diri membuat sedikit kajian dan gelintaran. Lalu, saya dapati di Malaysia ini, keunikannya bukan sekadar dengan 14 orang mufti dan 14 jabatan agama segala; tetapi juga unik justeru semua urusan agama ditadbir berbeza-beza oleh negeri. Padanlah harga zakat fitrah pun berbeza juga, sedangkan kita ini semuanya dalam satu Malaysia.

Maka, saya tidak fikir Dr Maza, seorang cendekiawan yang amat cakna dengan keadaan; tidak menyedari senario ini. Pastinya Dr Maza punya kenalan di sektor undang-undang yang arif perihal perlembagaan negara, buat menjelaskan kepada Dr Maza apakah implikasinya kepada amalan zakat apabila wujudnya pengasingan kuasa agama mengikut negeri.

Secara umumnya, pastilah sukar bagi disatukan kendaliannya, kerana masing-masing punya wewenang tersendiri. Pastilah besar juga kesannya kepada isu-isu agihan zakat, bukan?

Ya, saya yakin pasti ada kesan. Antaranya, negeri masing-masing tertakluk kepada undang-undang zakat sendiri. Bila zakat dikutip, pasti setiap negeri mengutamakan negerinya sendiri.

Apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan juga, tidak semestinya menjadi ikutan negeri. Saya tidak fikir, Dr Maza terlepas pandang semua hal ini.

Apa yang saya risaukan, ketidak selarasan ini mengakibatkan ada negeri yang maju dalam pengurusan zakat dan ada yang mundur dan jauh ketinggalan.

Apabila Dr Maza menembak dengan peluru penabur, maka tembakan Dr Maza akan berterabur dan menyimbah merata-rata, kerana pastinya peluru penabur Dr Maza tidak bermata dan tidak ada deria rasa.

Bagi saya yang tidak sealim Dr Maza, pastilah situasi ini tidak bersifat adil bagi sesetengah negeri yang telah berusaha sebaik daya memperkasakan pengurusan zakat.

Ini kerana, jika dilihat kepada Pusat Zakat Pulau Pinang sendiri, tempat Dr Maza bermastautin dan mencari rezeki, pengurusan zakatnya adalah antara yang terbaik di Malaysia.

Saya tidak tahulah, jika Dr Maza tidak mempunyai hubungan yang baik dengan pusat zakat ini. Namun, berdasarkan apa yang saya baca dan saya amati, Pusat Zakat Pulau Pinang telah melaksanakan pelbagai pendekatan demi memastikan pengagihan zakat dibuat secara telus, berkesan dan sistematik.

Bahkan, di samping Pulau Pinang, Selangor juga dilihat antara negeri yang maju pengurusan zakatnya.

Berdasarkan paparan berita di laman sesawang Lembaga Zakat Selangor (saya fikir Dr Maza patut selalu singgah di portal mereka, klik sahaja di www.e-zakat.com.my), pelbagai mekanisme agihan mereka jalankan. Secara jujur dan sedar, saya fikir mereka juga layak dianggap negeri termaju pengurusan zakatnya – sama ada kutipan mahu pun agihan.

Apa yang menjadi masalah, adalah beberapa buah negeri yang tidak begitu terurus rapi organisasi zakatnya. Dan seperti yang saya nyatakan di atas, sebagai mantan mufti di Perlis Darus Sunnah selama beberapa tahun, apakah tindakan konstruktif Dr Maza untuk memperkasakan institusi zakat di sana?

Bukankah Dr Maza orang paling besar dalam membuat kata putus dalam urusan fatwa? Maka, apakah fatwa-fatwa berkaitan zakat yang boleh dianggap terbaik dalam menanggapi keperluan asnaf zakat di Perlis Darus Sunnah?

Harus kita ingat, Perlis adalah negeri kecil. Namun, dalam negeri sekecil Perlis pun masih ramai orang miskin. Apakah susah bagi Dr Maza mempengaruhi pihak pengurusan zakat di negeri yang beliau sendiri menjadi muftinya untuk membuat perubahan mendasar, yang mampu mendatangkan kebaikan secara holistik kepada umat Islam khususnya asnaf zakat dan paling utama, Dr Maza mampu meninggalkan satu legasi sebagai contoh nyata pengurusan terbaik di Malaysia kepada semua pihak.

Inilah namanya, medan menyatakan pandangan tidak sama dengan medan merealisasikan harapan. Sebagai seorang pemikir, ada moleknya Dr Maza berfikir dan memberikan saranan dan cadangan, agar pengurusan zakat di Malaysia dapat diselaraskan.

Bagi saya seorang awam, amat susah menerangkan bila seorang Cina bukan Muslim menanyakan soalan: “You orang Islam, apa pasal dalam you punya agama, ada banyak beza...satu negeri kata rokok haram, satu negeri kata halal, itu saham sini haram, sana negeri kata halal, sana negeri kata boleh, sini negeri kata no...”

Dr Maza, inilah secebis keluhan kami orang awam yang hanya berpandukan panduan para ulama dan umara dalam kehidupan. Hanya kepada Tuhan kami berserah, tempat kami menggantung harapan.

Ampun maaf andai ada kekhilafan. Salam Ramadan daripada saya dan semoga Dr Maza terus istiqamah menabur ilmu dan menyemai bakti di Malaysia, tanpa ada sebarang keraguan, tanpa segaris ketakutan dan tanpa sekelumit anasir berkepentingan. Wallahua’lam.

Monday, August 22, 2011

Kita antara kuasa ketiga dan pengacau Pakatan Rakyat

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, menjadi perhatian kembali menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang semakin hampir.

Kita bakal bertanding di beberapa negeri yang menjadi kubu kuat Pakatan Rakyat, memungkinkan pertembungan tiga penjuru dan tawar-menawar belakang tabir yang menarik.

Selain Kita, Tengku Razaleigh Hamzah dan kumpulan seperti Perkasa di sebelah kanan dan kumpulan liberal seperti Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia, MCLM juga bakal menyaksikan permainan politik yang rancak menjelang pilihan raya nanti.

Setakat ini, hanya parti Kita yang memperlihatkan kesediaan dan kesungguhan politik untuk terlibat dalam pilihan raya dengan, pada masa sama membuka peluang kerjasama dengan pelbagai kumpulan dan menampakkan juga potensi pertembungan, termasuk dengan PR yang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi seorang pemimpinnya.

Artikel di bawah ialah satu penilaian terhadap Kita, yang ditulis selepas pelancaran parti itu Januari lalu.

Kita sebagai kuasa ketiga atau pengacau Pakatan Rakyat
Oleh HARIS ZALKAPLI

Parti pimpinan Datuk Zaid Ibrahim, yang dikenali dengan nama popularnya Kita, dilancarkan dengan satu acara meriah pada 19 Januari lalu di ibu negara.

Pelancaran secara rasmi parti pimpinan Zaid itu segera menarik pelbagai penilaian daripada pemerhati, terutama melibatkan prospek hayatnya dalam politik Malaysia dan peluang dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Seperti biasa, sebagai parti kecil yang dinilai sebagai serpihan, sebahagian besar pemerhati masih skeptikal dengan kemampuan dan masa depan Kita.

Kita mempersembahkan dirinya sebagai kuasa politik yang berbeza daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, meletakkan dirinya di satu ruang ketiga, mewakili rakyat yang tidak melihat aspirasi mereka dibawa oleh kedua-dua gabungan besar tersebut.

Satu cabaran besar yang dihadapi Kita boleh dilihat sebagai menempatkan dirinya dalam medan politik yang kini dikuasai BN dan PR.

BN dan PR bukan sahaja menguasai politik negara melalui sokongan ramai dan jumlah kerusi yang dimiliki tetapi juga wacana yang dibentuk dan dipersembahkan.

BN mengemukakan hujah kestabilan dan mempertahankan kepentingan-kepentingan dasar negara serta mengekalkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum melalui formula yang telah dipersetujui.

PR pula membawa naratif besar menyelamatkan Malaysia daripada kezaliman dan salah urus serta korupsi BN yang didakwa mengekang kemajuan negara. Naratif besar ini dipersembahkan melalui buku tawaran yang dikeluarkan semasa konvensyen gabungan itu Disember lalu.

Parti pimpinan Zaid mendakwa senario ini tidak memberikan pilihan yang cukup bagi rakyat Malaysia, disebabkan keterbatasan kedua-dua kumpulan. Zaid menjelaskan tentang BN yang korup dan tidak menghormati demokrasi dan PR yang sangat populis.

Menurut Zaid, bagi rakyat Malaysia, “pilihan kita terbatas.” Jelasnya, “Selalunya, kita sukar memilih antara jauhari dengan manikam. Apakah kita mahu terus berada di bawah kerajaan yang mahu ‘mempertahankan Putrajaya tidak kira setinggi mana kosnya,’ atau tunduk di bawah pesona sebuah barisan pembangkang yang akan berjanji apa saja dan melakukan apa saja untuk memenangi pilihan raya?”

Kenyataan Zaid ini segera meletakkan Kita berbeza daripada kedua-dua BN dan PR dan mengemukakan partinya sebagai pilihan tersebut.

Parti Kita turut dipersembahkan oleh Zaid – yang sehingga kini masih menjadi satu-satunya wajah dan tokoh yang kelihatan dan dikenali dalam politik nasional bagi pihak Kita – sebagai sebuah parti yang memegang nilai-nilai “moderat, demokratik dan liberal.”

Kenyataan memperkenalkan diri pemimpin Kita ini merupakan satu kenyataan yang paling berterus-terang dan berani tanpa berselindung – sesuatu yang agak berbeza dalam politik negara kita.

Penegasan dukungan terhadap kesamarataan setiap warganegara dan perlembagaan tertinggi yang sekular menegaskan dengan jelas pendirian parti Kita.

Pada awal ucapannya, Zaid telah menegaskan keperluan mempunyai ideologi yang jelas, menjelaskan kepentingan kedudukan ideologi bagi Zaid.

Ciri-ciri liberal Kita telah serta-merta meletakkan parti itu dalam satu posisi yang jelas, menjanjikan politik yang berlandaskan prinsip-prinsip liberal.

Bagi pengundi yang menerima perjuangan liberal Kita, parti ini sememangnya memberikan janji yang jelas, dan disokong oleh haluan yang diambil oleh Zaid sendiri sepanjang dalam politik, seperti dalam tindakan undang-undangnya terhadap usaha pelaksanaan hudud oleh PAS di Kelantan.

Dalam bersaing dengan BN, Kita boleh menunjukkan perbezaan dengan mudah dengan gabungan parti-parti konservatif yang pragmatik itu.

Sejak meninggalkan Umno dan BN, Zaid telah menunjukkan dengan jelas pendirian beliau yang tidak sehaluan dengan Umno yang bersifat nasionalis etnik itu.

Zaid telah mengemukakan wacana balas terhadap tafsiran dan perjuangan Melayu oleh Umno dalam buku tulisannya, Saya Pun Melayu.

Pendirian liberal Zaid mudah untuk dilihat bertentangan dengan Umno dan BN yang masih menerima politik berasakan kaum dan memanfaatkannya melalui permainan politik setiap parti komponen.

Persaingan dengan PR pula lebih sukar disebabkan penguasaan kedudukan pembangkang oleh gabungan PR, yang sehingga kini masih jelas kelihatan sebagai pakatan yang paling berupaya mengambil alih pemerintahan pusat daripada BN.

PR pula hampir memonopoli wacana kepembangkangan mengemukakan dirinya sebagai satu-satunya pilihan untuk berhadapan BN, satu-satunya pembangkang yang boleh dipilih.

Hal ini paling jelas muncul lebih setahun lalu apabila PR mewacanakan “sistem dua parti” sebagai pilihan yang tidak dapat dielakkan.

PR juga menggabungkan parti-parti berbeza ideologi termasuk Islamis PAS, PKR melibatkan hampir semua ideologi tetapi dikuasai golongan pragmatis dan DAP yang berhaluan kiri tetapi lebih kelihatan sektarian.

Ini membolehkan PR menerima sokongan daripada segmen-segmen utama pengundi, mewakili sentimen jumlah yang besar dalam kalangan pengundi.

Sentimen sokongan ramai dan wacana dikuasai PR inilah yang mencetuskan tanggapan Kita sebagai pengacau kepada peluang PR untuk “menawan Putrajaya” dalam pilihan raya akan datang.

Kita dilihat sebagai pemecah undi kepada PR. Hal ini disebabkan PKR, parti yang disertai Zaid sebelum ini dilihat tidak mampu membawa dan memperjuangkan agenda liberal seperti yang diharapkan sesetengah pihak.

Agenda yang digariskan Zaid menunjukkan saingan utamanya dalam merebut kerusi dalam pilihan raya ialah PKR.

Malah, Kita juga terus dilihat sebagai mampu untuk menarik ahli-ahli PKR untuk menyertainya.

Potensi ini dapat diperhatikan daripada pertembungan Zaid dan penyokongnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam PKR.

Visi Zaid untuk PKR menerima sokongan sejumlah ahli berpengaruh yang berkongsi pandangan denganya, walaupun sokongan itu tidak mampu membantu Zaid merebut jawatan tinggi dalam parti.

Satu lagi medan persaingan sokongan Kita dengan PR, terutama PKR, ialah Sabah, negeri yang Zaid sebagai figur PKR menerima sokongan kuat.

Zaid kini terus mengukuhkan kedudukan di Sabah melalui penglibatan dalam banyak aktiviti, dan hubungan dengan bekas pemimpin-pemimpin PKR negeri itu yang masih berpengaruh dalam politik negeri.

Persaingan Kita dengan PKR di Sabah ini menjadikan negeri itu faktor penting untuk mengukuhkan kedua-dua parti dan juga PR yang PKR menganggotainya.

Sabah telah menjadi tumpuan sejak pelan merampas Putrajaya oleh Anwar dan PR dinamakan 16 September, tarikh yang mempunyai signifikan besar kepada Sabah dan Sarawak di Borneo.

Kita juga mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan isu-isu Sabah dan Borneo. Ini berpotensi menjadi salah satu kekuatan Kita dalam persaingannya dengan PR untuk memenangi sokongan dari Sabah terutamanya.

Diperhatikan daripada permukaan, kedua-dua PR dan Kita memberi tumpuan kepada Borneo daripada simbol-simbol yang dipersembahkan kepada umum.

PR dalam konvensyen keduanya di Kepala Batas Disember lalu meletakkan slogan-slogan “selamatkan Malaysia” dalam bahasa suku kaum dari Borneo di latar besar di atas pentas.

Kita pula menyertakan peta Borneo dalam imej tangan bersatu dengan Semenanjung dalam imej yang sama sebagai simbol parti itu.

Isu-isu Borneo juga menjadi satu topik yang secara konsisten mendapat perhatian laman berita pro-Zaid, Free Malaysia Today, lebih daripada semua media lain berpangkalan di Semenanjung.

Persaingan kedua-dua pihak ini meningkatkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam arus perdana politik yang selama ini lebih tertumpu kepada Semenanjung.

Walau bagaimanapun, masa akan menentukan sejauh mana perhatian ini berasaskan sikap dan prinsip yang konkrit, berbanding keperluan pragmatik untuk memenangi sokongan untuk kuasa.

Sentimen Borneo juga turut berpotensi untuk mencetuskan isu-isu yang mampu mencetuskan rasa tidak senang berhubung penyatuan rakyat negara ini, disebabkan potensi sentimen tersebut muncul atau dibaca sebagai berbentuk pemisahan.

Parti Kita turut menjadikan warna jingga sebagai warna parti, yang diselaraskan dengan warna tali leher yang dipakai Zaid semasa majlis pelancaran yang dramatik itu.

Warna jingga telah hampir menjadi warna rasmi PR apabila konvensyen pertama dan kedua gabungan ini menjadikan jingga sebagai warna utama.

Dalam konvensyen kedua, PR turut melahirkan “buku jingga” menggariskan rancangan-rancangan yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia, merapatkan lagi imej jingga dengan PR.

Dalam politik dunia, warna mempunyai peranan penting dalam membawa identiti sesebuah parti atau gerakan, dengan warna jingga dikaitkan dengan liberalisme di beberapa negara.

Warna jingga telah menjadi warna gerakan yang menjatuhkan rejim lama di Ukraine pada hujung 2004, dalam kebangkitan satu kumpulan rakyat yang digelar “Revolusi Jingga.”

Walaupun perjalanan kisah di Ukraine itu telah menunjukkan hasil yang tidak seperti diharapkan pada 2004, warna tersebut muncul sebagai pengenalan kepada kebangkitan rakyat di negara itu.

Di Inggeris, juga pada 2004, sebuah buku mengandungi tulisan-tulisan tokoh liberal negara itu – termasuk Nick Clegg – diterbitkan, bertajuk The Orange Book: Reclaiming Liberalism.

Buku yang juga berwarna jingga itu mengemukakan rancangan-rancangan parti Demokrat Liberal, hampir sama dengan buku jingga dikemukakan oleh PR.

Selain konstituensi dan kerusi, dari satu sudut, Kita dan PR juga kini kelihatan bersaing untuk menjadikan warna jingga sebagai identiti utama, dan pada tahap tertentu, bersaing untuk mewakili agenda-agenda liberal dalam politik Malaysia.

Hal ini meletakkan Kita berseberangan dengan parti dan kumpulan yang mahukan kedudukan Islam yang dominan dalam budaya dan perundangan negara.

Penegasan terhadap isu Melayu oleh Zaid menjadikannya tidak menarik kepada sejumlah besar orang Melayu, tetapi seperti yang dapat diperhatikan sejak awal, konstituensi itu bukan menjadi perhatian utamanya, sekurang-kurangnya pada masa ini, atau Kita menyesuaikan retorik untuk konstituensi tersebut nanti.

Kedua-dua BN dan PR pasti melihat Kita dengan sinikal, disebabkan sejarah melibatkan Zaid dengan kedua-dua gabungan politik terbesar itu.

Dengan penubuhan Kita dan penyertaan Zaid bersama satu agenda liberal dalam politik negara kini, persaingan politik Malaysia boleh dijangka menjadi lebih sengit.

Pilihan Raya Umum ke-13, dan pilihan raya Sarawak akan menjadi perhatian untuk penilaian pertama Kita dalam realpolitik pilihan raya.

Perkembangan dilalui Kita akan menunjukkan sejauh mana sokongan terhadap agenda liberal yang dibawanya, dan sejauh mana ia dilihat sebagai pilihan lain selain BN dan PR.

Zaid, yang sehingga ini masih menjadi tumpuan utama dalam menilai Kita, tidak dapat menulis semula sejarah politik yang telah dilaluinya atau mengelak daripada kisah itu dijadikan satu ukuran menilai diri dan partinya.

Tetapi, sejarah yang mula dicatatkan kini – dan ekoran pertikaian terbukanya dengan Anwar ketika dalam PKR sebelum ini – akan menentukan sama ada Kita mampu memainkan peranan seperti yang menjadi agendanya dan menjadi salah satu kuasa yang perlu diambil kira dalam persaingan politik Malaysia.

Thursday, August 18, 2011

Kuasa ketiga dan cabarannya terhadap perjuangan Islam

Oleh HAYKAL HASHIM

Kemunculan kumpulan politik yang memakai label kuasa ketiga selepas Pilihan Raya Umum ke-12, dengan calon-calon seperti Malik Imtiaz Sarwar dan diterajui Raja Petra Kamaruddin menunjukkan satu perkembangan yang semakin merancakkan politik Malaysia.

Dua kelompok besar gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat kini mempunyai pencabar selain musuh tradisi masing-masing.

Pada masa yang sama, Datuk Zaid Ibrahim juga sekarang memimpin sebuah parti yang akan dibawa ke arah perjuangan liberal seperti yang diyakini beliau.

Tokoh-tokoh ini seperti yang diketahui ramai berpendirian liberal dan semestinya tidak selari dengan perjuangan gerakan Islam di negara kita yang diterajui PAS.

Perkembangan kedatangan kuasa ketiga ini dalam pentas politik negara membimbangkan sekiranya difikirkan dengan mendalam kesannya untuk jangka panjang.

Biarlah sekiranya ada kerjasama dengan parti dan kumpulan terbabit, kerjasama dihadkan dan dijelaskan pada hal yang dipersetujui sejak awal lagi.

Parti dan kumpulan terbabit mungkin tidak akan bertembung dengan PAS dalam pilihan raya akan datang, dan mungkin terus pada pilihan raya seterusnya.

Ini disebabkan sasaran pengundi yang berbeza antara parti liberal itu dengan parti Islam, PAS.

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), dan Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) mensasarkan konstituensi bandar dan masyarakat majmuk yang lebih mudah menerima agenda-agenda mereka.

Masyarakat yang menjadi sasarannya ialah yang menerima kebebasan tafsiran liberal yang mengutamakan kebebasan individu.

Kemunculan Parti Kita dan MCLM meramaikan lagi tokoh-tokoh liberal bergiat dalam medan politik Malaysia dan bertanding dalam pilihan raya, selepas ramai terlibat dalam PKR.

Bertanding dalam pilihan raya membuka jalan untuk mereka menjadi wakil rakyat dalam Parlimen dan terlibat dalam pembuatan undang-undang.

Mereka juga, dengan menjadi wakil rakyat berkemampuan mengetengahkan suara-suara yang sebelum ini berada di pinggir.

Kegiatan mereka sebagai pemimpin juga membolehkan suara mereka sampai kepada masyarakat dengan lebih meluas dan berkesan kerana liputan media yang mereka terima.

Apa yang mereka sampaikan tentulah idea-idea liberal yang tidak selari atau bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh gerakan Islam di negara kita.

Zaid, ketua Parti Kita baru-baru ini mengulas isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan sebuah gereja Metodis di Selangor dengan mengatakan tindakan Jais itu bertentangan dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Selepas PKR dan DAP, golongan liberal dapat lebih ramai wakil dalam Kita dan MCLM, yang akan merebut kerusi dalam Parlimen Malaysia.

Malaysia sudahpun melihat aktiviti liberal yang banyak dan pelbagai di negara kita. Aktiviti mereka dan apa yang mereka tuntut adalah berdasarkan tafsiran Barat dalam hak asasi manusia.

Kebebasan ini termasuk bebas memilih melaksanakan agama atau tidak, yakni menolak kuasa pihak berkuasa agama dalam peraturan melibatkan meminum arak, berzina (termasuk sama jantina), dan sebagainya.

Bagi mereka, semua ini hak asasi manusia yang mesti mengatasi apa sahaja peraturan. Mereka menganggap tindakan pihak berkuasa agama itu sebagai “moral policing” yakni melakukan tugas polis moral.

Termasuk dalam hal ini ialah kebebasan beragama yang Malik Imtiaz bergiat aktif dalam mempertahankan.

Kumpulan ini bergerak selari dan seiring dengan kumpulan seperti Sisters in Islam yang menuntut persamaan hak wanita dengan lelaki menurut tafsiran yang bukan bersumberkan Islam.

Ini bukan bermaksud mereka bekerjasama dalam setiap hal, tetapi matlamat akhir mereka tidak jauh berbeza antara satu sama lain.

Kita pasti masih ingat episod imam wanita Amina Wadud yang menggemparkan suatu ketika dulu. Ini disokong oleh Sisters in Islam yang yakin dengan tafsiran yang membenarkan tindakan itu.

Mungkin ramai yang tidak melihat kaitan antara setiap satu kes tersebut tetapi semua itu bergerak dalam satu kerangka, satu tafsiran idea Barat yang bertentangan dengan penerimaan masyarakat kita, dan apa yang diperjuangkan gerakan Islam seperti PAS.

Gerakan Islam PAS perlu bersedia menghadapi cabaran-cabaran ini, yang semakin sukar dan menuntut kekuatan yang tinggi sebagai individu dan secara jamaah sebagai gerakan Islam.

Haykal Hashim ialah nama samaran seorang pembaca SiasahDaily.

Tuesday, August 16, 2011

PAS ganti Umno atau PAS bersama Umno?

Dua tulisan terkini oleh dua pemerhati politik tempatan berhubung kedudukan politik PAS dan Umno, amat menarik untuk dinilai.

Apapun kecenderungan politik parti yang boleh dikaitkan dengan dua penulis tersebut, beberapa persoalan realistik yang dikemukakan - isu yang agak diabaikan oleh pembangkang yang berbilang kaum itu - wajar diberi perhatian.

A Kadir Jasin, dalam tulisannya membincangkan tentang kemampuan PAS memimpin sebuah kerajaan masa depan mengupas realiti kedudukan PAS dan potensi serta cabaran yang dihadapi dalam politik pakatan.

Kadir menegaskan keperluan PAS bekerjasama dalam sebuah pakatan, dan memimpin pakatan itu, sama ada Pakatan Rakyat atau "mana-mana pakatan lain."

"Tetapi sebelum ia boleh berharap (memimpin sebuah pakatan), ia perlu terlebih dahulu mengambil alih peranan Umno sebagai parti utama orang Melayu," tegas Kadir.

"PAS perlu memenangi sebanyak mungkin kerusi dan memiliki kemampuan kewangan, organisasi dan intelektual menyamai Umno."

Wartawan berpengalaman itu juga menimbulkan beberapa persoalan tentang perbezaan ideologi antara dengan parti-parti PR lain, sehingga berpotensi menjejaskannya.

Menurutnya, tindakan PAS yang dilihat berkompromi boleh menjejaskan sokongan tetapnya, yang berada di luar bandar. PAS didakwa berpotensi menjadi pihak yang menangung kos politik terbesar.

"Lama kelamaan, penyokong sebenarnya di luar bandar yang percaya pada ideal Islam parti ini, boleh hilang kepercayaan terhadapnya. Mereka mungkin memutuskan bahawa agenda Islam parti hanya dijadikan bidak catur oleh pemimpin mereka."

Amaran paling dramatik Kadir ialah "PAS berdepan risiko kehilangan Kedah dan malah kubu kuatnya, Kelantan."

Isu utama yang perlu diberi perhatian ialah ideologi dan politik berasas kaum tetap akan menjadi faktor dalam politik negara.

Apapun, Kadir menyimpulkan mana-mana parti yang mendapat sokongan majoriti boleh memimpin negara. PAS, sebagai sebuah parti yang kuat, turut berpotensi memenuhi tuntutan ini.

Tulisan penganalisis politik Norizan Sharif, tentang permuafakatan dan kerjasama politik Melayu Muslim mengulangi pandangannya tentang politik bipartisan yang dilihat sebagai satu pilihan yang wajar untuk menangani pelbagai isu, seperti yang sering diamalkan di Kongres Amerika Syarikat.

Beliau menilai kerjasama politik dipandang dengan negatif sekali di negara kita, dan menimbulkan beberapa isu yang telah memanaskan politik negara sejak beberapa tahun lalu, sejak pilihan raya umum 2008.

"Malangnya, di Malaysia politik muafakat dilihat sebagai sesuatu yang asing. Penyokong parti-parti politik disemai dengan kepercayaan bahawa bermuafakat itu tidak baik, terutama sekali bermuafakat dengan parti politik lawan."

Menurutnya lagi, kerana inilah, dakwaan pertemuan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz dengan Tengku Razaleigh Hamzah, peranan Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa dengan pemimpin-pemimpin Umno dinilai dengan negatif sekali.

Norisan memberi cadangan supaya pemimpin-pemimpin politik Melayu diseru "beralih dari politik pertentangan kepada politik muafakat. Politik muafakat bukan bermaksud harus bersatu dalam wadah yang sama."

Jelasnya lagi, persaingan melibatkan kumpulan berbeza perlu diteruskan, tetapi "itu tidak bermaksud mereka tidak boleh membentuk muafakat, terutama sekali dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu."

Isu seperti ini mudah dibaca oleh sesetengah pihak dalam pembangkang sebagai agenda Umno untuk menimbulkan semula isu kerjasama politik Umno dengan PAS, yang digelar sebagai UG (unity government) atau kerajaan perpaduan.

Masa saranan seperti ini ditimbulkan oleh Norizan, dan respons yang mungkin tercetus boleh mengundang debat panas dalam kalangan pembangkang yang kelihatan sangat bimbang dengan sebarang kerjasama politik yang tidak melibatkan PR, sekurang-kurangnya sejak Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menjadi perdana menteri.

Perpaduan atau kerjasama politik ini, yang turut boleh membawa kepada kerajaan perpaduan jarang sekali, sekiranya ada, dibincang dengan rasional dalam kalangan pembangkang, kecuali dalam satu tempoh singkat semasa TunAbdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Tetapi, perubahan-perubahan yang akan terus melanda senario politik mampu mencetuskan pelbagai perkembangan yang tidak dijangka, seperti yang telah disaksikan sejak 1998 hingga kini.

Monday, August 15, 2011

Strategi PRU 13: Pakatan Rakyat sasar hubungan Najib-Muhyiddin

Gabungan pembangkang Pakatan Rakyat kini mensasarkan untuk meretakkan hubungan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Strategi terbaharu PR ini mengeksploit spekulasi sikap dingin Muhyiddin terhadap gagasan 1 Malaysia yang berbau liberal dan pendirian lebih tegas timbalan perdana menteri itu terhadap kepentingan Melayu.

Isu Melayu dan hubungan antara kaum menjadi isu paling sukar dihadapi Najib sejak menjadi perdana menteri, sehingga mendorongnya membawa gagasan 1 Malaysia yang bertema inklusif dan liberal.

Muhyiddin dinilai sebagai lebih mengutamakan kepentingan Melayu dan sering cuba dikemukakan pembangkang sebagai bertentangan dengan gagasan Najib.

Bacaan yang melihat Muhyiddin mencabar Najib bermula sejak awal tempoh kepimpinan kedua-dua pemimpin itu mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat.

Muhyiddin dilihat boleh mencabar Najib berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13, sekiranya majoriti dua pertiga tidak dapat diperolehi oleh Barisan Nasional, sebab sama yang membawa kepada pengunduran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri.

Alasan itu walau bagaimanapun dilihat tidak cukup kuat untuk mendorong perubahan kepimpinan tertinggi pemerintah, ekoran realiti politik terkini yang semakin mencabar.

Kedudukan Muhyiddin sebagai nombor dua juga dilihat dipilih berdasarkan antaranya kedudukan pengaruh dan usia supaya tidak mempunyai kekuatan cukup untuk mencabar Najib.

Muhyiddin tidak datang daripada keluarga berpengaruh dan lebih berusia berbanding Najib, kualiti yang menyukarkan sebarang usaha untuk mencabar kedudukan orang nombor satu.

Dalam sejarah Umno, Muhyiddin juga tidak mempunyai sokongan kuat seperti dua pencabar utama sebelum ini; Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua tokoh yang boleh dijadikan rujukan untuk mengukur kekuatan dalam parti.

Kedua-dua Razaleigh dan Anwar tewas dalam usaha mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi presiden Umno dan perdana menteri.

Muhyiddin dilihat mendapat sokongan Mahathir untuk mempercepatkan pengunduran Abdullah selepas Pilihan Raya Umum ke-12, untuk membuka ruang kepada Najib menjadi perdana menteri.

Terkini, Muhyiddin disebut-sebut untuk mencabar Najib ekoran masalah dihadapi perdana menteri termasuk peranan isterinya, Datin Sri Rosmah Mansor, yang didakwa berperanan besar dalam banyak hal melibatkan pentadbiran kerajaan pusat hingga hal keluarga yang mempunyai implikasi politik, iaitu perkahwinan anaknya dengan anak elit Kazakhstan.

Mahathir dalam tulisan di blognya menafikan keretakan Najib dengan Muhyiddin dan mendakwanya sebagai permainan pembangkang untuk melemahkan Umno menjelang pilihan raya umum.

Najib didakwa pembangkang sebagai liabiliti kepada pemerintah ekoran pelbagai isu tersebut. Walau bagaimanapun, Najib tetap merupakan individu yang paling mendapat perhatian dalam kerajaan BN - termasuk melalui media popular - dan mempunyai kedudukan elit yang membantu mengukuhkan kedudukan kuasanya.

Umno kebelakangan ini berdepan pelbagai isu melibatkan kepentingan Melayu, terbaharu pertukaran saham Penerbangan Malaysia dengan pemilik Air Asia yang dikritik ramai penyokong kerajaan sebagai merugikan dan menghakis pegangan Melayu.

Pelbagai isu seperti itu menghangatkan lagi perdebatan dan perbezaan pendapat melibatkan Najib dan penyokong kuat kepentingan Melayu yang dilihat menjadikan Muhyiddin sebagai pemimpin.

Thursday, August 11, 2011

Pertukaran saham MAS-Air Asia semakin cetus reaksi negatif

Pertukaran saham syarikat penerbangan negara dengan Air Asia mula mencetuskan pelbagai reaksi negatif yang meletakkan pentadbiran Najib dalam posisi defensif.

Isu pemilikan kerajaan dan Bumiputera menjadi satu isu yang mendapat perhatian sesetengah pihak, selain kemampuan sebenar Air Asia dari segi modal.

Urus niaga itu juga kelihatan dilakukan secara rahsia dan hanya diberi publisiti setelah persetujuan dicapai, tindakan yang dilihat sebagai bertujuan mengelak daripada debat dan maklum balas terhadap kewajaran urusniaga itu.

Penglibatan individu tertentu, termasuk yang didakwa berpengaruh semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri juga menjadi persoalan besar.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia,DPMM, melahirkan kebimbangan amalan itu menjadi trend sehingga pemilikan kerajaan bagi pihak orang ramai akan terhakis dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, atau GLC.

DPMM turut menyarakan langkah yang lebih wajar ialah perubahan dalam pengurusan Penerbangan Malaysia dan bukan pertukana saham untuk menyelamatkan syarikat yang semakin rugi itu.

Walaupun isu pemilikan Bumiputera menjadi perhatian utama beberapa pihak, soal asas lain seperti monopoli dalam industri penerbangan awam juga ditimbulkan.

Pemuda PAS turut mempersoalkan langkah pertukaran saham, sambil menimbulkan kebimbangan monopoli dan terhakisnya pemilikan kerajaan dalam syarikat berkaitan kerajaan.

"MAS sepatutnya mengkaji dan memperbaiki prestasi akibat kerugian yang dihadapinya sebanyak RM 243.3 juta pada suku pertama tahun ini berbanding keuntungan sebanyak RM 310.60 juta untuk tahun 2010," menurut Pemuda PAS.

"Dengan penjualan saham MAS kepada Air Asia akan mewujudkan monopoli dalam sistem penerbangan negara di samping merugikan rakyat.

"Sifat persaingan antara syarikat penerbangan ini mungkin tidak akan wujud lagi kerana masing-masing perlu menjaga kepentingan sesama mereka.

"Selain itu, apa yang sangat dibimbangkan daripada wujudnya monopoli dalam penerbangan ini adalah akan menyebabkan harga tiket melambung tinggi mengikut selera pemilik syarikat berkenaan."

Beberapa blog mula mempertikaikan urus niaga itu yang didakwa sangat berat sebelah menyebelahi Air Asia dan merugikan bagi syarikat berkaitan kerajaan itu.

Wartawan A Kadir Jasin dalam tulisan di blognya dengan sinis menimbulkan soal kedudukan Bumiputera dalam GLC.

"Yang menarik ialah majoriti eksekutif kanan Tune Air/Air Asia adalah Melayu. Jelas syarikat-syarikat milik usahawan India Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia cenderung memberi jawatan bermakna kepada eksekutif Melayu yang berkemampuan, tidak seperti syarikat milik kaum-kaum bukan Bumiputera lain yang ambil Melayu jadi pengarah hiasan, kerani, pemandu, penghantar surat, pengawal keselamatan dan pengawal peribadi. GRO Melayu pun ramai mereka ambil," tuls Kadir.

"Salah seorang ahli lembaga pengarah baru MAS adalah ketua pegawai eksekutif Astro Malaysia Holdings, Rohana Rozhan. Astro adalah sebahagian daripada empayar korporat Ananda Krishnan.

"Kalau ikut Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Khazanah akan jual banyak lagi saham GLC. Khazanah akan kurangkan pegangan saham dalam lebih 30 GLC atau menjualnya terus. Harap-harap janganlah hanyut pengurus dan eksekutif Bumiputera dalam GLC."

Tangani segera kemelut Pasti an-Nur Puchong

Oleh IBNU AHMAD

Saya menulis luahan ini setelah tidak dapat menahan lagi rasa marah dan meluat menyaksikan kemelut Pasti an-Nur, sebuah Pasti di Puchong, Selangor.

Pasti itu sekarang seolah-olah menjadi tebusan dalam krisis melibatkan pengurus Pasti tersebut dengan Dewan Pemuda PAS Puchong.

Saya tidak mahu tulisan ini dilihat menyebelahi sesiapa, tetapi saya minta penyelesaian segera kemelut Pasti tersebut.

Eloklah saya tidak ceritakan butirnya, tetapi cukuplah saya katakan hubungan buruk kedua-dua pihak kini menjadi ancaman yang boleh merosakkan institusi pendidikan yang kita sebagai ahli PAS banggakan ini.

Masalah ini sudah berlarutan lama dan nampaknya seperti tidak ada usaha serius pihak yang lebih atas untuk menangani misalnya dengan mengambil alih pengurusan buat sementara.

Saya sedih melihat kemelut berpanjangan ini boleh berlaku dalan sebuah jamaah yang memperjuangkan Islam dan ketika kemenangan besar yang dijanjikan sudah hampir di depan mata.

Sekiranya ujian yang dihadapi sekecil ini tidak mampu kita hadapi, bayangkanlah sekiranya ditimpa ujian yang lebih besar kelak.

Apa yang paling menyedihkan saya ialah kanak-kanak kecil tidak berdosa di Pasti itu sedang menjadi mangsa politik dalaman parti, yang masih gagal diselesaikan secara baik dan berhemah.

Saya mohon dan merayu kepada pemimpin yang lebih tinggi, di peringkat negeri dan pusat yang membaca tulisan saya ini agar segera bertindak untuk membantu memperbaiki keadaan.

Kemelut Pasti ini bukan juga yang paling besar, tetapi sebahagian daripada kemelut lebih besar yang melanda PAS Puchong sejak sekian lama.

Kalau dulu kita berbangga dengan perjuangan kita yang berlandaskan Islam dan lantang mengecam segala tindakan Umno yang buruk, tetapi hari ini kita sendiri malu melihat apa yang berlaku pada kita.

Banyak isu melibatkan sikap ego yang akhirnya mencetuskan gejala berpuak-puak dan saling syak dengan satu sama lain perlu ditangani segera, dan diselesaikan dengan semangat Ramadhan yang mulia ini.

Ibnu Ahmad ialah pembaca SiasahDaily.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...