Tuesday, January 29, 2013

PAS jangan biar DHPP dimonopoli

Kumpulan penyokong PAS bukan Muslim, yang kini menikmati kedudukan selesa sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS, DHPP, perlu dinilai semula kedudukannya supaya tidak mencetuskan masalah pada masa depan kepada PAS.

DHPP yang diketuai Hu Pang Chow itu melonjak naik dengan pantas, daripada sekadar kelab penyokong bukan Muslim kepada sebuah dewan dalam tempoh yang singkat.

Kewujudan DHPP sebagai satu sayap yang rasmi itu bermakna dewan ini secara rasmi menjadi suara bagi penyokong bukan Muslim PAS, dan diiktiraf sebagai wakil dan suara tunggal penyokong bukan Muslim.

Dewan itu, yang setakat ini kelihatan dikuasai hampir sepenuhnya oleh Hu yang telah lama rapat dengan PAS, menampakkan pengaruh yang agak besar, sehingga mampu mengkritik parti dengan lantang tanpa berdepan dengan risiko yang biasa dihadapi pengkritik parti dari dalam.

Malah, Hu juga pernah mencetuskan satu kejutan besar apabila mengkritik kerajaan negeri Kelantan berhubung isu pelaburan ke negeri yang telah dikuasai PAS selama lebih daripada 20 tahun itu.

Tindakan-tindakan Hu selama ini menunjukkan satu pengaruh besar yang dimilikinya melalui penglibatan lamanya bersama PAS dan kedudukan sebagai ketua DHPP yang sehingga kini kelihatan dikuasai sepenuhnya oleh beliau, tanpa sebarang saingan dari dalam.

Pengaruh dimiliki Hu dan DHPP ini kelihatan melebihi kadar kedudukan sayap itu dalam PAS, yang keahlian dan kekuatan sebenarnya masih belum dapat dinilai dengan tepat.

Sesetengah pihak dalam PAS melihat kedudukan Hu ini memberikan beliau bargaining chip yang cukup besar untuk membuat tuntutan, dan segala yang disuarakan beliau itu tidak dapat tidak akan dilihat sebagai mewakili penyokong bukan Muslim PAS.

Keadaan sekarang membolehkan Hu dan DHPP - yang dilihat masih tidak benar-benar mewakili keseluruhan penyokong bukan Muslim PAS -mengambil kesempatan daripada sentimen semasa dalam PAS dan keperluan pada masa ini untuk menarik undi bukan Muslim.

Dalam suasana Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir, pelbagai tuntutan boleh dikemukakan, dengan berbekalkan DHPP dan penyokong bukan Muslim sebagai satu bentuk jaminan.

Pada tahun 2011, Hu menuntut satu kerusi diberikan di setiap negeri kepada calon bukan Muslim, tuntutan yang menggambarkan keyakinan yang semakin kuat di pihak Hu dan DHPP.

PAS dilaporkan bakal meletakkan lebih ramai calon bukan Muslim dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, tindakan yang membuka ruang kepada pelbagai tuntutan lagi daripada DHPP pada masa akan datang.

Tanpa menafikan sumbangan yang telah dan mampu diberikan oleh DHPP, PAS perlu memastikan pengaruh dimiliki Hu dan juga DHPP dikenakan semak dan imbang yang sewajarnya, agar sayap ini tidak mengenakan pengaruh yang tidak sewajarnya kepada parti.

Krisis FAM, Annuar Musa sedia lawan raja?

Akhbar Umno, Mingguan Malaysia Ahad lalu menerbitkan satu muka wawancara dengan Tan Sri Annuar Musa, yang berkrisis dengan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Sultan Ahmad Shah ibni Abu Bakar.

Dalam wawancara panjang itu, Annuar menyentuh dengan tegas isu-isu berkaitan kepincangan FAM di bawah Sultan Ahmad Shah, kontroversi kehadiran pasukan bersenjata di stadium semasa perlawanan antara pasukan Johor dan Kelantan.

Pertembungan Annuar dengan Sultan Ahmad Shah yang memuncak tahun lalu ditingkatkan lagi dengan kenyataan-kenyataan tegas dalam wawancara ini, yang menunjukkan Annuar mendapat sokongan yang agak kuat, kerana sukar untuk beliau mendapat ruang wawancara yang besar itu pada hari Ahad sekiranya berada dalam kedudukan terpinggir.

Beliau turut memperlihatkan sikap kritikal terhadap tindakan menghadirkan pasukan tentera bersenjata di Kota Bharu dalam perlawanan 15 Januari lalu, tindakan yang dipertanggungjawabkan pada Tunku Ismail Sultan Ibrahim, presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor.

Perkembangan ini meletakkan Annuar bertembung dengan istana di dua negeri; Pahang dan Johor, dan Annuar kelihatan mempunyai sokongan yang agak kuat, dan bukan hanya daripada peminat bola sepak Kelantan.

Dominasi Sultan Ahmad Shah, dan kepincangan pengurusan FAM dilihat sebagai salah satu punca utama kedudukan bola sepak negara yang tidak berkembang, atau tidak mencapai tahap yang diharapkan walaupun pernah disegani di Asia.

Pandangan-pandangan yang dikemukakan Annuar memberi gambaran beliau mempunyai ide yang jelas tentang usaha memajukan sukan bola sepak negara, dan beliau mungkin dapat diberikan kredit hasil kejayaan pasukan Kelantan kebelakangan ini, tetapi juga memperlihatkan cita-cita besar beliau berkait kepimpinan FAM.

Walau bagaimanapun, Annuar mewakili golongan politik dan daripada parti Umno, yang juga dikaitkan dengan dominasi ke atas persatuan-persatuan bola sepak sehingga menjejaskan pembangunan sukan ini.

Tetapi Annuar kini berada di posisi kritikal berdepan dengan sultan Pahang, yang memungkinkan beliau terpinggir ekoran sensitiviti isu ini, tetapi berpotensi juga menarik sentimen populis menentang institusi monarki yang semakin dinilai dengan kritikal kebelakangan ini.

Ini berdasarkan populariti sukan bola sepak di negara ini, dan sentimen terhadap kelemahan pengurusan FAM yang meluas.

Berdasarkan perkembangan sejak setahun lalu, dan kesediaan beliau meneruskan dan meningkatkan serangan dalam krisis panjang ini, Annuar dijangka akan terus membina momentum, dan menerima sokongan ramai.

Isu ini juga tidak dapat dielakkan akan meningkatkan lagi sikap kritikal terhadap sultan Pahang yang menguasai pengurusan bola sepak di negara ini, menambahkan lagi senarai rungutan terhadap institusi raja.


Sunday, January 27, 2013

Dari Gaza ke Davos, Najib tewaskan PAS dan Anwar?

Selepas selesai melawat Gaza dan menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak boleh disimpulkan sebagai berjaya dalam kempen terbaharu dalam pembinaan imej positif beliau.

Melalui lawatan ke Gaza, Palestin, Najib telah mengaitkan nama beliau dengan perjuangan yang menjadi isu penting dunia Islam itu, yang selama ini dilihat lebih dekat dengan PAS.

Gaza dan Hamas mudah dikaitkan dengan PAS, dengan PAS melalui wacana popular berhubung isu ini memudahkannya dengan mewujudkan perumpamaan Hamas ialah PAS dan Fatah ialah Umno.

Lawatan ke Gaza itu bermakna Najib telah mengambil isu yang menjadi kekuatan PAS, yang melalui pelbagai program termasuk muktamar tahunan sentiasa menjadikan Palestin sebagai isu penting, dengan wakil Hamas menjadi tetamu tetap.

Ini dengan mudah menjelaskan reaksi daripada PAS yang meremehkan dan mencela lawatan Najib itu, rata-rata dengan laras dan bahasa rendah, termasuk daripada pemimpin-pemimpin tertinggi pemuda parti itu.

Serangan terhadap lawatan Najib itu - lawatan yang apa pun niat di sebaliknya memberi kesan meningkatkan imej beliau yang akan memberi kesan positif melibatkan kalangan pengundi Melayu Muslim - menjelaskan sendiri kesan lawatan ke Gaza itu, yang merupakan satu kejayaan perhubungan awam kepada Najib.

Menambahkan lagi kejayaan lawatan ke Gaza, Najib sejurus selepas itu turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin Mesir, Presiden Mohamed Morsi, tokoh yang dipandang tinggi oleh PAS, sebahagiannya ekoran hubungan sejarah PAS dengan gerakan Ikhwan al-Muslimin.

Kejayaan ini mendorong Pakatan Rakyat meningkatkan serangan terhadap lawatan itu, dengan menimbulkan isu-isu lain yang diletakkan di bawah tajuk "hubungan Malaysia dengan Israel" dan mencari sudut-sudut tertentu untuk menimbulkan sisi negatif lawatan itu.

Kritikan pemimpin Pihak Berkuasa Palestin, Presiden Mahmoud Abbas turut diperbesarkan sesetengah pengkritik Najib untuk mengalih tumpuan dan menjejaskan kejayaan lawatan itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengulas lawatan Najib itu, dengan mengkritik tindakan hanya melawat Gaza tetapi tidak bertemu pihak Fatah yang menguasai kerajaan Palestin yang diiktiraf.

Selepas menewaskan PAS di Gaza, Najib melangkah pula ke Davos, menunjukkan penerimaan dunia Barat terhadap dirinya, sesuatu yang selama ini dikenali sebagai medan Anwar.

Kemudian, selepas melawat Gaza, Najib menyertai Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, dengan bergaya, membawa bersama wajah-wajah kosmopolitan "satu Malaysia" seperti Tony Fernandes, Datuk Seri Michelle Yeoh dan Datuk Mohd Redzuawan Ismail, yang lebih dikenali sebagai Chef Wan di Malaysia.

Di medan berprestij WEF itu juga, Najib diwawancara wartawan terkenal Amerika Syarikat, Fareed Zakaria, mengemukakan ide-ide yang kelihatan disesuaikan untuk audiens elit dunia dengan bercakap dalam bahasa liberal.

Anwar sebelum ini, pada 2010, juga pernah diwawancara oleh wartawan dan pengulas popular AS itu, dalam kemunculan di CNN yang menjadi salah satu acara penting lawatan Anwar ke AS. 

Najib dalam wawancara itu antara lain mengemukakan pandangan melakukan "engagement" dengan kumpulan-kumpulan Islam yang dilihat sebagai ekstrem, pandangan sama yang turut pernah dikemukakan oleh Anwar.

Langkah Najib dengan selesa mengemudi kempen di Davos itu boleh disifatkan satu kemenangan mengatasi Anwar, yang dikenali sebagai berkemampuan mengendalikan diri di pentas-pentas antarabangsa seperti itu.

Dalam persaingan menarik perhatian Barat, sebahagiannya dalam usaha membina sokongan politik, kejayaan di Davos ini menambahkan lagi imej positif berkaitan hubungan ini bagi Najib.

Seolah-olah membuktikan gagasan wasatiyyah beliau, Najib menunjukkan kebolehannya menguasai kedua-dua pentas Gaza yang dikenali sebagai satu simbol utama perjuangan Islam dan Davos, medan penting elit dunia dikuasai Barat.

Apa yang menarik untuk diperhatikan ialah liputan dan komentar negatif daripada lawatan ke Gaza - dan kemudian Davos - amat sedikit, termasuk daripada media liberal di Malaysia yang selama ini mudah mengaitkan Hamas dengan terorisme.

Selepas selesai dua acara besar di peringkat antarabangsa ini, Najib boleh menarik nafas lega meraikan kejayaan kempen besarnya yang memberi poin politik untuk kedua-dua audiens domestik dan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, kejayaan sebesar ini mencetuskan reaksi yang juga besar pada pihak lawan, dan pasti mendorong tindak balas yang tidak kurang dramatik dalam persaingan ini.

Friday, January 25, 2013

Krisis menjelang PRU 13, Umno Johor berpecah

Johor, kubu kuat Umno kembali menyaksikan pergeseran dalaman menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, akibat persaingan merebut jawatan menteri besar yang telah beberapa kali disebut-sebut akan berlaku peralihan.

Pergeseran yang hangat menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 dahulu kembali hangat ekoran peningkatan pertembungan melibatkan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan, terutama ekoran penutupan bilik gerakan Umno di Pasir Gudang, kawasan Parlimen Khaled.

Khaled dilihat menghadapi tekanan daripada Abdul Ghani dan Ahmad, dua pemimpin di Johor yang merupakan saingan kuat beliau, yang disebut-sebut akan menggantikan Ghani sebagai menteri besar sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-11 lagi.

Khaled meningkatkan usaha mencabar Ghani sejak lebih setahun lalu, ekoran merasakan disabotaj secara tidak langsung melalui tindakan-tindakan Ghani termasuk kelewatan meluluskan hak milik tanah di kawasan Khaled.

Terbaharu, orang kuat Khaled, Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad memberi amaran kepada Ghani dan Ahmad, mendakwa Ghani tidak menunaikan janji, dipercayai sebagai membalas amaran Ahmad sebelum ini berhubung tindakan boikot oleh ahli Umno di Pasir Gudang itu.

Kenyataan ini ialah kenyataan paling terbuka setakat ini melibatkan pertembungan antara kem Khaled dengan Ghani dan Ahmad yang semakin sengit pada masa ini.

Serangan terbuka ini dilihat sebagai sokongan semakin kuat diterima Khaled dalam berdepan Ghani, dan turut dikaitkan sesetengah pemerhati dengan perubahan melibatkan istana.

Perkembangan di negeri kubu kuat Umno ini meningkatkan lagi kebimbangan Umno terhadap sabotaj dalaman yang semakin dibimbangi terutama ekoran hasil Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Khaled mendapat sokongan banyak pihak untuk menggantikan Ghani sebagai menteri besar, tetapi projek-projek besar seperti Iskandar dan Nusajaya dilihat mengukuhkan kedudukan Ghani sebagai menteri besar.

Walau bagaimanapun, Khaled bukan satu-satunya yang dilihat berpotensi menggantikan Ghani, kerana beberapa nama lain turut disebut.

Johor menyaksikan peningkatan kekuatan parti-parti Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum yang lalu, dengan parti-parti Pakatan Rakyat terutama DAP dijangka menambah beberapa kerusi lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Negeri ini walau bagaimanapun masih kekal sebagai kubu kuat Umno, disebabkan jumlah ahli dan pengundi tetap yang ramai dan kawasan-kawasan Felda yang masih dikuasai Umno.

Perkembangan ini mendedahkan tekanan yang semakin meningkat dihadapi Umno, termasuk sehingga melibatkan negeri kubu kuatnya, yang bakal memberi kesan kepada keseluruhan Umno dan Barisan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 dan masa-masa akan datang.

Lawatan Gaza, Najib terus dapat kesan positif

Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak ke Gaza terus memberikan impak positif kepada beliau, yang sebahagiannya dicetuskan secara tidak langsung oleh pesaing politiknya sendiri.

Cemuhan, sindiran dan kutukan daripada musuh politik Najib dan Umno kelihatan telah mencetuskan, paling kurang, rasa tidak selesa sesetengah pihak terhadap pembangkang, terutama PAS.

Berdasarkan respons keras yang tercetus dari pihak lawan, jelas menunjukkan lawatan Najib itu mempunyai nilainya tersendiri.

Rata-rata cemuhan itu dilihat semata-mata berdasarkan rasa iri hati, dengan memperkecilkan tindakan Najib itu, menafikan sisi positifnya, memperbesarkan hal-hal negatif, dan akhirnya menyampaikan kesimpulan negatif lawatan itu, sambil melemparkan juga serangan peribadi.

Dari sudut strategi politik menjelang pilihan raya dan kaitan dengan politik serantau, lawatan itu tidak dapat dipisahkan daripada pertimbangan dan penilaian politik

Walau bagaimanapun, kecaman semata-mata terhadap lawatan itu mendedahkan satu sikap negatif, kecenderungan berlebihan kepada politik murahan, serta mendedahkan kepada serangan mudah parti lawan.

Pengkritik Najib juga kelihatan berusaha bersungguh-sungguh mencari dan mengemukakan segala data berkaitan - seperti perdagangan dengan syarikat Israel - untuk mengaitkan Najib dengan Israel, sebagai usaha menjejaskan lagi impak positif lawatan Najib itu.

Kecaman terhadap lawatan Najib itu turut mendedahkan kefahaman rendah sesetengah pengkritik beliau dalam hal ehwal politik antarabangsa, contohnya dengan menyifatkan Malaysia telah mengiktiraf Hamas, dan perlu membatalkan hubungan dengan Israel, Umno meninggalkan rakan lama (Fatah), dan mempersoalkan adakah Malaysia akan mendengar dari Israel dahulu sebelum mengiktiraf Hamas.

Dakwaan ini jelas sekali salah kerana lawatan itu menunjukkan solidariti tetapi tidak mengubah pendirian rasmi kerajaan Malaysia terhadap kerajaan Palestin yang diwakili Pihak Berkuasa Palestin.

Dalam hal hubungan dengan Israel, Malaysia sememangnya tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Kecaman terhadap lawatan Najib itu, yang menemukan beliau dengan Hamas, gerakan yang dilabel teroris oleh Barat, menerima banyak respons negatif daripada pihak Muslim, tetapi pada masa sama media liberal berbahasa Inggeris tidak menimbulkan isu kedudukan Hamas itu, dan memberi liputan agak positif terhadap lawatan itu. 

Walau bagaimanapun, pihak yang menyokong parti pemerintah pula menunjukkan kenaifan apabila menerima bulat-bulat dakwaan positif berkaitan lawatan Najib itu, seperti berani menembusi kepungan Israel dan "menunjukkan perubahan positif kepada dasar luar Malaysia yang lebih merdeka dan bebas dari pengaruh Yahudi dan juga sekutunya Amerika."

Penerimaan arus perdana politik Asia Barat terhadap Hamas berkait dengan perubahan sikap gerakan itu sejak tercetus kebangkitan Arab, perkembangan yang membenarkan pemulihan hubungan beberapa negara dengan Hamas, yang akhirnya membenarkan lawatan Najib itu.

Kedudukan Hamas seperti sebelum ini, dengan label teroris dan peminggiran sepenuhnya tidak akan membenarkan banyak perkara yang telah berlaku sejak dua tahun lalu.

Kedudukan itu juga tidak akan mendorong Najib membuat lawatan bertemu pemimpin Hamas, sejurus sebelum menyertai Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Tidak dapat dibayangkan Najib mengambil risiko besar melawat Hamas sejurus sebelum satu pertemuan besar melibatkan kuasa-kuasa besar dunia (seperti WEF), ketika Hamas masih dipinggirkan sepenuhnya, misalnya, lima tahun dahulu.

Setakat ini, kesan daripada lawatan ke Gaza itu telah memberi kesan positif kepada Najib, sebahagiannya hasil tindakan gopoh didasari sentimen oleh pesaing politiknya.


Wednesday, January 23, 2013

Makna dan implikasi lawatan Najib ke Gaza

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah mencatat sejarah dengan melawat Gaza, wilayah Palestin yang dikuasai Hamas, gerakan Islam yang semakin meningkat naik pada masa ini.

Selepas lawatan emir Qatar ke wilayah ini bulan Oktober tahun lalu, Najib kini mencatatkan namanya seiring dengan pemimpin berprofil tinggi di dunia Arab itu.

Seorang lagi pemimpin serantau berpengaruh, Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan telah merancang melawat Gaza - lawatan yang berimplikasi politik luas - tetapi rancangan itu masih belum terlaksana.

Palestin mempunyai kepentingan yang besar dalam politik dunia Islam, dan merupakan satu perkiraan penting dalam persaingan kuasa-kuasa serantau dunia Islam.

Dari sudut kedudukan Hamas, lawatan Najib dilihat sebagai meningkatkan lagi kedudukan gerakan yang menguasai Gaza itu, hal yang sama disifatkan ekoran lawatan pemimpin Qatar ke Gaza hujung tahun lalu.

Hamas yang dilabel teroris oleh Barat dan dipinggirkan menyaksikan peningkatan kedudukan sejak tercetus kebangkitan di dunia Arab lebih dua tahun lalu, sebahagiannya disebabkan tindakan pragmatik gerakan itu merapatkan diri dengan Qatar dan sekutu.

Qatar sedang berperanan sebagai perantara mendamaikan dan menyatukan Hamas dengan Fatah, sebagai satu usaha dasar luar negara monarki itu untuk menyusun Asia Barat baharu dan pada masa sama meningkatkan pengaruh serantaunya.

Hamas kini semakin diterima dalam arus perdana politik Asia Barat, termasuk oleh kuasa-kuasa Barat ekoran perubahan pragmatiknya, perkembangan yang pada masa sama menyaksikan Fatah berdepan pengaruh yang yang semakin terhakis pada masa ini.

Lawatan pemimpin Islam secara eksklusif ke Gaza dan bertemu Hamas sukar untuk dibayangkan sebelum peralihan dalam Hamas ini berlaku.

Dari sudut politik dalaman, lawatan itu menambahkan poin politik untuk Najib, dalam persaingan panjang melibatkan sentimen Palestin dalam politik Malaysia.

Kehadiran Nasharudin Mat Isa, bekas timbalan presiden PAS yang kini memimpin sebuah pertubuhan bantuan Palestin dalam lawatan ini memperlihatkan kedudukan penting beliau dalam kalangan penasihat dalaman Najib, terutama berhubung isu-isu dunia Islam.

Lawatan ini tidak dapat dielakkan daripada meningkatkan imej Najib berhubung dunia Islam, walaupun tidak hadir ke sidang kemuncak negara-negara berkecuali, NAM di Tehran, Iran tahun lalu, dipercayai atas pertimbangan politik melibatkan kuasa besar.

Malaysia secara rasmi mengiktiraf kerajaan Pihak Berkuasa Palestin sebagai kerajaan Palestin, dan lawatan Najib ini hanya disifatkan sebagai lawatan kemanusiaan, dan tidak diperbesarkan seperti biasa.

Berdasarkan pakaiannya - tanpa tali leher dan gaya yang lebih tidak formal - Najib juga memberi mesej tentang kedudukan lawatannya ke Gaza selama sehari itu.

Entri di laman Facebook beliau menyusuli pertemuan dengan Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas di Gaza juga hanya sekadar menyebut "urusan di Gaza berjalan dengan selamat dan jayanya," tanpa penerangan lebih panjang.

Dalam persaingan dalaman politik Malaysia, lawatan Najib ini merupakan satu tamparan kepada pesaingnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menunjukkan sikap lebih mesra dengan Israel melalui satu kenyataan dan hubungan dengan individu tertentu di peringkat antarabangsa.

Najib dikecam hebat oleh Anwar dan partinya, PKR berhubung isu Palestin, dan disifatkan sebagai hipokrit kerana mengikut telunjuk Amerika Syarikat dan Israel ekoran kritikan terhadap kenyataan Anwar tentang keselamatan Israel.

Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib dikecam ekoran hubungan dengan perunding Apco Worldwide yang dikaitkan dengan Israel oleh pembangkang, terutama PKR tidak lama selepas beliau menjawat jawatan perdana menteri.

Walaupun dikaitkan dengan Israel melalui kempen berkaitan Apco itu, pemerintah mempunyai rekod bercampur-campur dalam hal Palestin.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini terlibat dalam pergerakan bantuan Palestin, dan menunjukkan sikap agak konsisten dalam hal Israel-Palestin.

Najib kelihatan lebih berhati-hati dalam menangani hal berkaitan Palestin, dan lawatan ke Gaza ini ialah tindakan simboliknya yang paling jelas dalam menunjukkan sokongan kepada isu Palestin.

Perkembangan terbaharu ini - yang setakat ini kelihatan sukar untuk diatasi pemimpin-pemimpin lain dalam politik Malaysia - mampu memberi kesan positif kepada Najib dan parti pemerintah dalam pilihan raya umum nanti, melibatkan pengundi Melayu Muslim. 


Friday, January 18, 2013

Wacana buku Detik Utopia oleh Ahmad Lutfi Othman

Buku terbaharu Ahmad Lutfi Othman, wartawan aktivis yang kini ketua editor Harakah akan diadakan di Shah Alam, Selangor pada Selasa 22 Januari.

Diskusi disertai panelis Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, aktivis Adam Adli dan wartawan Lim Hong Siang itu akan diadakan di tingkat 3, Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 12, Shah Alam.

Program dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Persatuan Seniman Paksi Rakyat.

Buku Detik Utopia: Komentar Kritis Isu Pakatan Rakyat dan Politik Malaysia menghimpun tulisan-tulisan terbaik Ahmad Lutfi berkenaan kerjasama dan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat, isu-isu kritikal berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kebebasan media dan juga mengemukakan komentar jujur beliau berhubung pelbagai isu yang merancakkan medan politik negara ini.

Monday, January 14, 2013

Kalimah Allah: Kenyataan syura PAS disambut baik

Walaupun disifatkan sesetengah pihak sebagai terlambat, kenyataan rasmi Majlis Syura Ulama PAS menegaskan kalimah Allah tidak boleh dijadikan kata ganti kepada tuhan dalam kitab agama lain seperti yang menjadi polemik sejak lebih dua tahun lalu.
 
"Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah."

"Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah," tegas kenyataan itu, yang ditandatangani Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Dr Haron Din.

Kenyataan diterbitkan semalam itu boleh disifatkan kenyataan akhir daripada PAS, daripada badan pembuat keputusan tertinggi, berhubung isu kalimah Allah yang mencetuskan debat yang telah menjejaskan PAS dari sudut politik dan kredibilitinya sebagai pemimpin umat.

Rata-rata intelektual Muslim yang selama ini tidak bersetuju dengan sikap politik PAS yang kelihatan samar-samar dalam hal ini menyambut baik kenyataan terbaharu PAS ini.

Pendirian ini dilihat sebagai satu konsensus ilmuan Islam tempatan, dan penegasan pendirian PAS ini diterima baik sebagai penetapan pendirian PAS yang sewajarnya.

Pendirian ini juga dilihat sebagai pendirian yang sepatutnya diambil oleh PAS sejak awal, dengan tidak membiarkan kenyataan longgar yang boleh ditafsir secara luas menjadi kenyataan yang dikeluarkan oleh parti.

Kenyataan ini boleh menyelesaikan debat dalaman dan di peringkat nasional berhubung pendirian PAS dalam hal ini, yang sebelum ini dikatakan bersetuju membenarkan kalimah Allah digunakan sebagai ganti nama tuhan dalam Injil berbahasa Melayu.

Berdasarkan pendirian ini, yang "memperjelaskan maksud" kepimpinan PAS, PAS sebenarnya menegaskan bahawa ia tidak bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah dalam kitab agama lain, tetapi menegaskan kalimah itu tidak boleh disalah guna.

Kenyataan asal PAS itu telah ditafsirkan sebagai membenarkan penganut agama lain menggunakan kalimah Allah seperti yang dituntut mereka, kekeliruan dan manipulasi yang sepatutnya boleh dielakkan sejak awal sekiranya PAS menyatakan pendirian dengan lebih jelas dan tegas.

Kenyataan "boleh tetapi jangan disalah guna" terlalu longgar dan agak lari daripada tajuk sebenar, dan lebih bersifat politik dengan menyediakan ruang yang luas untuk penafsiran.

PAS masih berdepan kempen negatif pesaing politik bertujuan menunjukkan ia berdolak-dalik atau mengubah pendirian, tetapi bagi PAS, kenyataan dari majlis syura ini telah membantu menjernihkan keadaan dan memulihkan imej parti dalam kalangan umat Muslim yang beranggapan negatif terhadap PAS ekoran pelbagai dakwaan salah terhadapnya.


Himpunan 12 Januari: Beberapa pemerhatian penting

Perhimpunan 12 Januari pada Sabtu lalu, yang dinamakan Himpunan Kebangkitan Rakyat oleh Pakatan Rakyat dan juga dikenali sebagai himpunan sejuta rakyat - tetapi tidak sama sekali Himpunan Shamsidar - telah berlangsung dengan aman, tanpa mana-mana pihak bertindak dengan tidak wajar.

Berikut beberapa poin penting berhubung perhimpunan yang baru berlalu ini.

1. Himpunan aman

Hakikat bahawa perhimpunan boleh berlangsung dengan aman tidak boleh diabaikan, dan menunjukkan satu perkembangan baharu yang sihat dalam politik negara, walaupun pada masa sama dilihat sebagai perubahan strategi oleh pihak berkuasa.

Tidak seperti menjelang perhimpunan Bersih ketiga, pemerintah dan pihak polis tidak mengambil pendekatan memberi amaran dan mencetuskan suasana tegang menjelang perhimpunan, satu faktor penting yang menyebabkan perhimpunan boleh berlangsung dengan aman.

Kedua-dua pihak PR dan pemerintah mengambil kredit daripada perjalanan perhimpunan yang aman itu, walaupun daripada pihak pembangkang dan sekutu, sebab tiada provokasi daripada pihak polis dan pemerintah dijadikan satu sebab utamanya.

Tetapi perlu diakui juga ketiadaan provokasi daripada pihak penyokong PR atau penentang pemerintah juga menyumbang kepada suasana aman ini, kerana segelintir daripada peserta protes seperti ini sering menjadikan tindakan melakukan provokasi sebagai amalan semasa menyertai protes, seperti menjerit dan mengutuk pihak polis.

Tetapi perlu diakui juga bukan semua peserta di bawah kawalan pihak PR, kerana elemen anarkis dan yang lebih radikal yang semakin banyak menyertai perhimpunan seperti ini. Salah satu sepanduk yang menarik perhatian dalam perhimpunan ini bertulis, "We want real change and real democracy, not just a choice between Coke and Pepsi," dengan gambar wajah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim diletakkan di posisi bertentangan.

2. Tujuan perhimpunan

Perhimpunan ini masih merupakan kesinambungan dan sebahagian daripada mobilisasi Bersih, dilihat daripada warna utama dipakai pemimpin-pemimpin PR dan kepimpinan perhimpunan ini. Matlamat yang digariskan termasuk pilihan raya bersih dan adil dan tuntutan-tuntutan lain yang dikemukakan menunjukkan mobilisasi ini jelas merupakan kempen anti Barisan Nasional, dengan matlamat akhirnya menjatuhkan pemerintahan BN.

Naratif utama masih kegagalan-kegagalan pemerintah BN dan ucapan pemimpin-pemimpin politik juga masih berlegar sekitar isu kegagalan dan kelemahan pemerintah BN.

Stadium Merdeka dijadikan simbol usaha "memerdekakan" rakyat daripada pemerintahan BN yang disifatkan sebagai menindas, terutama dengan adanya kempen menyelamatkan Felda dan tuntutan royalti petroleum daripada negeri Kelantan dan Terengganu, yang ditahan bayarannya ekoran kemenangan PAS.

Fokus dan sentimen perhimpunan jelas sekali dalam kerangka mencetuskan sentimen dan membina momentum protes dan sokongan, sambil menunjukkan jumlah sokongan yang besar. Turut disertakan dalam tuntutan ialah pendidikan percuma, yang masih belum selesai diperdebatkan.

Tetapi perhimpunan kali ini memperlihatkan tanda-tanda keletihan, atau protest fatigue, selepas banyak kali protes besar-besaran diadakan sejak beberapa tahun lalu. Ramai peserta dilihat tidak menyertai perhimpunan di stadium, pulang awal dan seolah-olah kehilangan punca kerana ketiadaan elemen protes yang jelas (termasuk pertembungan dengan pihak berkuasa bagi sesetengah pihak) dalam himpunan ini.

3. Liputan media

Pihak media pemerintah telah memalukan diri sendiri apabila menamakan perhimpunan ini "Himpunan Shamsidar," berdasarkan maklumat yang tidak jelas asasnya. Liputan media pemerintah dalam isu ini mencapai tahap rendah terbaharu dan mencetuskan rasa meluat yang berleluasa dalam kalangan peserta dan pemerhati.

Pihak media propemerintah dan blog-blog upahan juga terpaksa mencari isu dan sudut lain untuk memainkan kempen negatif terhadap perhimpunan ini.

Walau bagaimanapun, kempen pro-PR di media sosial dan blog turut memperlihatkan elemen murahan dan sensasi, termasuk meletakkan gambar kesesakan jalan raya di luar negara yang didakwa kereta dari luar Kuala Lumpur menuju ibu kota untuk menyertai perhimpunan dan pelbagai gambar lain.

Perbezaan anggaran peserta juga mencetuskan debat, walaupun hanya pada tahap yang sederhana dan tidak sehingga menjadi perdebatan membuang masa tidak matang seperti yang sering berlaku sebelum ini.

Anggaran yang munasabah ialah sekitar 50,000 hingga 80,000, jauh melebihi anggaran pihak berkuasa tetapi juga tidak mencapai jumlah melebihi 100,000 yang dibawa sesetengah pihak dalam kalangan penyokong PR.

4. Apa selepas ini?

PR telah berkali-kali membuktikan sokongan besar yang diperolehi, selepas beberapa perhimpunan dan protes diadakan sejak penghujung 2007, meliputi isu pilihan raya bersih dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA.

PR telah membina identiti yang mudah dikaitkan dengan protes, yang walaupun dapat memenuhi beberapa agenda tetapi juga mengesahkan lagi sifatnya sebagai pihak yang bukan memerintah.

Selepas banyak isu menyumbang kepada mobilisasi besar-besaran dan menerima kehadiran yang besar, PR kini perlu juga memberi tumpuan pada hal-hal lain seperti urus tadbir, dan usaha-usaha prorakyat melibatkan kos sara hidup dan sebagainya, dan tidak lagi meletakkan segalanya di atas bahu BN, kerana PR juga telah menjadi sebahagian pemerintahan negara dan semakin sukar untuk disifatkan semata-mata sebagai pembangkang.

Album: Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari


Gambar oleh WAN ZAHARI WAN SALLEH

Friday, January 11, 2013

Krisis air, BN cetus persepsi kerajaan PR lemah

Seluruh jentera Barisan Nasional kelihatan bersedia menghadapi politik isu air yang melibatkan Syarikat bekalan Air Selangor dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Umno telah memulakan gerakan di kawasan-kawasan terjejas dengan menyampaikan bantuan bekas air, yang walaupun kecil membantu penduduk yang terbabit.

Persepsi yang diwujudkan daripada tindakan ini - dan banyak usaha lain yang dijangka dilakukan - ialah kelemahan kerajaan PR Selangor dalam membantu mengatasi masalah ini atau meringankan beban mereka yang terbabit.

Secara mudahnya, mesej yang disampaikan oleh BN kepada rakyat ialah kerajaan PR sibuk mempolitikkan isu krisis air ini sedangkan Umno turun ke bawah membantu rakyat.

Perincian kes ini, seperti urusan konsesi, bentuk hubungan antara kerajaan negeri dengan Syabas mungkin tidak diambil kira oleh sebilangan besar rakyat yang terjejas, kerana apa yang penting kepada mereka ialah masalah mereka ditangani segera.

Pihak kerajaan Selangor mungkin mempunyai pendirian yang sah dan benar melibatkan banyak perkara dalam isu ini, dan dapat menghasilkan kenyataan yang tegas mempertanggungjawabkan Syabas, tetapi persepsi kelemahan kerajaan PR tidak dapat dielakkan sekiranya mereka dilihat tidak bersungguh membantu meringankan beban rakyat.

Kerajaan PR ialah pihak berkuasa yang paling dekat dan mudah diperhatikan oleh rakyat yang terjejas, disebabkan kedudukannya sebagai kerajaan negeri Selangor.

Hal melibatkan hubungan rakyat dengan penguasa ini ialah satu asas yang tidak dapat dielakkan, seperti juga kerajaan BN tidak dapat mengelak daripada bertanggungjawab apabila berlaku keganasan melibatkan pihak berkuasa terhadap rakyat semasa perhimpunan protes.

Setakat ini, Umno dan BN menunjukkan tindakan yang bersepadu dan terancang dalam menghadapi kesan daripada krisis air yang melanda, dilaporkan melibatkan setengah juta penduduk Lembah Kelang.

Kerajaan PR Selangor nampaknya perlu memikirkan tindakan yang lebih kemas untuk menghadapi apa yang boleh disifatkan sebagai kempen politik BN untuk merampas kembali Selangor ini.

Thursday, January 10, 2013

Fenomena amanat dan takfir

Oleh ABDUL HADI AWANG

Saya tidak menduga petikan ucapan saya pada awal 1980-an telah dimartabatkan oleh seorang peniaga agama dalam PAS yang telah melompat masuk Umno selepasnya, telah dijadikan satu polemik.

Petikan ucapan saya ini pula secara terancang telah dijadikan hujah untuk merendahkan PAS, dan saya dijadikan sasarannya. Saya percaya bahawa isu lama ini diberi nyawa semula oleh Umno, mungkin kerana menutup isu yang dikira menghantui mereka, seperti kegusaran generasi peneroka Felda dan penyelewengan yang berlaku kepada Felda, riuh-rendah pembongkaran Deepak Jaikishan, penganiayaan mereka terhadap orang Melayu, dan lain-lain kelemahan kerajaan Umno-BN yang begitu menekan mereka di hujung penggal pemerintahan ini.

Alhamdulillah, saya baru sahaja selangkah ke hadapan untuk menyahut cabaran, manakala mereka pula berundur sepuluh langkah ke belakang.

Isu “takfir” (kafir mengkafir) dicetuskan oleh golongan sekular dalam Umno, di seluruh dunia Islam, termasuklah di negara Arab, bagi menyanggah kebangkitan Islam pada zaman selepas mencapai kemerdekaan seawal tahun 1960-an.

Kebanyakan kalangan umat Islam menjadi mangsa serangan pemikiran Barat sehingga berjuang menganut ideologi yang dibawa oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam. Kalangan umat yang masih menganut Islam, tetapi kerana jahilnya telah menghina hukum-hukum Islam yang dinaskan dalam al-Quran dan hadith sahih lagi mutawatir, seperti halal dan haram, hukum-hukum yang berkait dengan negara dan masyarakat, politik, ekonomi dan sebagainya.

Ada yang menghalalkan riba, arak dan judi, menghina hukuman qisas dan hudud, mempersenda hukum menutup aurat dan sebagainya, kerana kejahilan. Pada waktu itulah kita mendengar istilah "hantu kum-kum" dilabelkan kepada kalangan muslimat yang menutup aurat dan memakai hijab. 

Ada pula yang berdiri diatas pentas komunis yang menolak adanya Tuhan dan menolak agama, dalam keadaan masih bersembahyang. Sebahagian umat Islam pula tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mempertahankannya, tetapi mempelajari kitab turath (kitab-kitab lama) yang menegaskan hukum murtad berdasarkan kepada kefahaman masyarakat pada zaman kitab itu dikarang, sebelum umat Islam dijajah sepenuhnya. Akhirnya berlakulah gejala murtad secara jahil di satu pihak dan penentangan terhadapnya disatu pihak yang lain, sehingga meledakkan isu kafir mengkafir dalam masyarakat Islam.

Isu ini berlaku di seluruh dunia Islam. Malangnya golongan yang berkuasa memerintah mengambil kesempatan perpecahan masyarakat Islam bagi mengekalkan kedudukan mereka di atas landasan yang salah dan menjadikan parti Islam dan para ulamanya sebagai kambing hitam yang dikorbankan dengan hukuman bunuh, penjara dan sebagainya. Terpenting bagi mereka yang berkuasa adalah untuk menang bagi terus memerintah selama-lamanya dengan cara yang salah, tanpa ambil peduli kerosakan akidah yang berlaku.

Ramai dalam kalangan ulama PAS dan pemimpinnya merengkuk dalam penjara sejak awal 1960-an, malangnya ramai pula kalangan agamawan yang menjadi syaitan bisu, tidak berani menegur atau menasihati pemimpin yang menghina Islam. Maka meledaklah pada waktu itu kenyataan seperti: “Kalau laksanakan hukum Islam berlakulah huru-hara, tak  cukup batu nak bina jalan dan bangunan, boleh  makan sup tangan bila banyak tangan dipotong kerana mencuri,” dan sebagainya.

Di peringkat kampung ada yang menjadi imam masjid membuat ucapan yang sama kerana jahil hukum Islam sepenuhnya, hanya tahu hukum sembahyang dan ibadat yang lain sahaja. Terlalu jauh untuk mengetahui sistem politik, ekonomi Islam dan segala sistemnya sehingga ke peringkat antarabangsa dan angkasa lepas.

PAS dan parti Islam di negara lain menghadapi cabaran getir bagi membetulkan masyarakat yang songsang pemikirannya ini. Ketika itulah kita berdepan dengan umat yang jahil, para ulama yang lemah dan kerajaan yang zalim. Di negara Arab, mursyid aAm Ikhwan al-Muslimin Sheikh Hasan Hudaibi menulis buku Kita Pendakwah Bukan Hakim.

PAS berada dalam kerajaan campuran 1970 -1978 memberi kesempatan kepada bahagian agama Jabatan Perdana Menteri, menerbitkan buku Mustika Hadith Jilid 1 menampilkan perkara yang merosakkan iman (membatalkan iman), bagi menyedarkan penganut Islam adanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, bukan sahaja membatalkan sembahyang. Malangnya ramai kalangan pengikut Umno tidak mempelajarinya di waktu itu.

Apabila PAS ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada tahun 1979 isu kafir mengkafir dihidupkan semula. Pimpinan PAS di bawah pimpinan Datuk Asri Muda, telah menugaskan saya menulis buku kecil dengan tajuknya Batas-Batas Iman dan Kufur dengan huraian yang lebih terperinci daripada kitab Mustika Hadith yang terlalu ringkas penerangannya. Saya panjangkan lagi dalam buku yang saya namakan Muqaddimah Aqidah Muslimin.

Apabila kalangan Umno yang masih bebal memainkan isu tersebut, mereka sengaja mencari mana-mana ucapan saya yang difikirkan menjadi hujah bagi mereka, sehingga ke satu ucapan saya diselidik oleh pasukan yang ditugaskan secara khusus, maka terpilih sedutannya yang difikirkan munasabah.

Saya telah dicabar dalam sidang Dewan Undangan Negeri 1982. Saya terus menjawab: "Ya! Sebenarnya itu ucapan saya." Maka hamba Allah yang mencari peluang terus mengangkat martabatnya kepada nama amanat yang disebarkan kepada umum. Namun petikan secebis daripada ucapan yang panjang itu tidak merosakkan sedikit pun mesej untuk menyelamatkan umat daripada gejala murtad secara jahil dan tidak sengaja.

PAS berulang kali mengajak kalangan ilmuwan agama dalam Umno secara langsung dan melalui pihak ketiga kalangan pertubuhan bukan kerajaan Islam, dengan ruang terbuka dengan Umno boleh mendapat khidmat daripada mana-mana mufti yang sanggup menjadi khadamnya, kalau malu secara tertutup atau tidak mahu secara terbuka. Umno tidak menjawab.

Tiba-tiba presiden Umno pada masa itu memberi isyarat kepada kalangan agama dalam Umno supaya berdebat, dengan tajuk secara unilateral pihak Umno yang menentukannya tanpa berunding dengan pihak PAS, pihak Umno melantik pengerusi dan penentuan masa.

PAS menerima dengan terbuka. Akhirnya PAS dipujuk membatalkan debat dengan Umno, padahal Umnolah yang membuka pintunya. Akhirnya Umno terpaksa diselamatkan oleh perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mengisytiharkan pembatalannya seperti perisytiharan tarikh puasa dan hari raya.

Saya bentangkan senario tersebut semata-mata untuk pengetahuan generasi muda yang belum lahir atau belum baligh pada masa itu , kerana ada kalangan yang tidak ada pengetahuan hujung pangkalnya lalu membuat kenyataan tanpa pengetahuan yang sebenarnya.

Apa yang penting bagi kita semua ialah tidak kedengaran lagi suara daripada kalangan orang Melayu yang bercakap bahawa politik tidak ada kaitan dengan agama ataupun yang berani menghina hukum Islam seperti yang berlaku dalam tahun 1980-an dahulu.

Di sini kita mendahului Arab Spring yang masih mencetuskan kalangan nasionalis Arab yang menghina Islam. Maka saya nasihatkan kepada ahli PAS tidak melatah dengan permainan kalangan Umno yang masih jahil atau hanya mencari kesempatan tanpa batas halal dan haram atau tanpa perhitungan dosa dan pahala.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat sejahtera dari perkara yang tidak diingini." (Surah al-Furqaan: 63)

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ialah presiden PAS.

Wednesday, January 9, 2013

Politik global 2012: Isu, idea dan tokoh (Bhg 2)

Politik global: 5 isu utama

Daripada protes hingga ke obsesi dunia kiamat, 2012 berlalu sebagai tahun yang dramatik, dan boleh dihujahkan sebagai menyamai atau melebihi perkembangan tahun 2011, tahun kemuncak kebangkitan di dunia Asia Barat dan Afrika Utara. Berikut senarai lima isu besar politik seluruh dunia sepanjang tahun lalu.

5. Krisis Greece dan Kesatuan Eropah

Akibat perbelanjaan yang melebihi kemampuan, Greece akhirnya berdepan kegagalan membayar hutang yang dibuat untuk memenuhi keperluan negara. Greece kemudian terpaksa membuat pinjaman besar-besaran, bermula dengan AS$140 bilion pada 2010. Masalah yang lebih besar dihadapi ialah syarat reformasi yang perlu dilaksanakan untuk pinjaman dan penghapusan hutang. Greece kini mendedahkan jurang besar hal urus tadbir dan kemakmuran di Eropah, dan menjadi satu kisah kegagalan Kesatuan Eropah.

4. Konflik di Republik Demokratik Congo

Congo ialah sebuah negara besar di Afrika tengah, dan kaya dengan pelbagai sumber galian termasuk coltan, yang penting untuk alat popular zaman ini; telefon mobil dan juga alat elektronik lain, tetapi tanpa kerajaan yang efektif dan infrastruktur yang mencukupi. Lebih memburukkan keadaan, Congo juga menerima kesan daripada pembunuhan etnik melibatkan Hutu dan Tutsi di Rwanda yang bermula pada 2004. Negara kaya sumber tanpa kerajaan yang stabil ini kini mempertemukan kapitalis perompak, militia, dan pertembungan etnik.

3. Protes anti-Putin di Rusia

Tahun 2012 menyaksikan protes besar-besaran digerakkan di Rusia, dalam usaha bersepadu pembangkang menggugat pemerintahan Presiden Vladimir Putin, yang kembali menjadi presiden dan menjalankan dasar luar yang lebih tegas dalam berhadapan dengan AS dan Barat. Pemerintah Rusia melaksanakan beberapa peraturan baharu pada 2012, dalam menghadapi peningkatan tekanan daripada pembangkang. Tahun ini juga, Kremlin menghalau pertubuhan Agensi Bantuan Antarabangsa Amerika Syarikat, USAID, yang dikaitkan dengan bantuan kepada penentang rejim-rejim yang tidak sehaluan dengan nilai demokrasi dan pasaran bebas Barat.

2. AS dan China di Asia-Pasifik

AS menggerakkan kekuatan ketenteraannya ke Asia-Pasifik, menempatkan kapal-kapal pengangkut pesawat di perairan berdekatan perairan Jepun dan China dan memulakan penempatan tentera marin di Darwin, Australia. Semua ini berlatarbelakangkan peningkatan kuasa tentera China, termasuk permulaan operasi kapal pengangkut pesawat dan pertikaian di Laut China Selatan dan Laut China Timur yang semakin panas. Beijing malah menggunakan pengaruhnya terhadap Asean sehingga memperlihatkan ketidaksepakatan pertubuhan itu dengan lebih jelas, dan pada masa sama meningkatkan retorik dan mobilisasi aset ketenteraan dalam menghadapi pertikaian dengan Jepun.

1. Percaturan berhubung konflik Syria

Konflik di Syria mempertemukan kuasa besar AS, Rusia, dan kuasa-kuasa serantau pertengahan Perancis, Turki, Arab Saudi, Qatar, dan Iran. Konflik di Syria berkait dengan pelbagai perkembangan lain, seperti usaha rejim-rejim Arab memecahkan aliansi diketuai Iran di Asia Barat, keselamatan Israel, dan falsafah orde dunia dipegang Washington dan sekutu Barat menghadapi idea Moskow dan kuasa-kuasa baharu muncul. Syria menjadi medan persaingan yang lebih daripada sekadar politik, tetapi juga berkait idea tentang perkongsian kuasa dalam era baharu yang menyaksikan pengaruh AS sedang merosot secara relatif.

Monday, January 7, 2013

Politik global 2012: Isu, idea dan tokoh

Politik dunia Islam: 10 isu utama
(Bahagian 1 daripada 2)

10. Dasar luar Qatar

Lanjutan daripada perkembangan 2011, Qatar menggiatkan lagi usaha yang bermatlamat meningkatkan pengaruhnya di rantau Asia Barat dan global. Lawatan berprofil tinggi emir negara itu ke Gaza yang menjadi tumpuan dunia Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan citi-cita besar negara ini.

9. Iraq dan Nouri al-Maliki

Perdana Menteri Iraq Nouri al-Maliki berdepan kritikan hebat dan memasuki penggal keduanya mula menampakkan kelemahan dalam pentadbiran dan dipertanggungjawabkan atas keganasan sektarian di negara ini. Kesannya turut menarik penglibatan Turki, yang kini didakwa terlibat dalam usaha menjatuhkan beliau.

8. Protes Mesir

Mohamed Morsi memenangi pemilihan presiden Mesir dan menjadi presiden pertama selepas era Mubarak, dengan diletakkan harapan yang besar. Persaingan kuasa beliau dengan kepimpinan tentera, pembangkang, hakim-hakim berpengaruh dan rakyat menjadikan 2012 tahun yang penuh drama bagi Mesir dan kepimpinan beliau.

7.  Konflik Kurdi

Masyarakat Kurdi, kaum terbesar tanpa negara di dunia menghadapi 2012 yang sukar, tetapi juga kelihatan menjanjikan sesuatu. Kurdi Turki, terus berperang dengan dengan Turki berterusan tanpa tanda akan selesai, dan Kurdi Syria pada masa sama dimusuhi tentera Syria dan pemberontak Syria. Walau bagaimanapun, perkembangan ini menyimpan manfaat kerana penyatuan Kurdi dan penubuhan negara Kurdi Di Iraq dilihat semakin hampir dapat direalisasikan.

6. Iran

Tahun 2012 meningkatkan lagi tekanan terhadap Iran, dengan tekanan Amerika Syarikat terhadap institusi-institusi kewangan memberi kesan negatif kepada perdagangan minyak Iran. Pakatan tidak formal anti-Iran yang ditingkatkan lagi sepanjang tahun juga mengukuhkan kuasa-kuasa pesaing serantau, dan konflik Syria melemahkan cengkaman Iran di wilayah Syam.

5. Serangan dron

Serangan dron Amerika Syarikat di Pakistan merosot berbanding tahun lalu dan 2011, tetapi terus dilaksanakan sehingga memungkinkan pelbagai reaksi balas kepada AS. Tahun 2012, 43 serangan dijalankan, berbanding 72 pada 2011 dan 122 pada 2010. Pada masa sama, Yaman turut menyaksikan peningkatan serangan dron pada 2012.

4. Konflik utara Mali

Konflik di Mali, yang bermula dengan pemberontakan Tuareg akhirnya menyaksikan penguasaan militan yang dikaitkan dengan al-Qaeda, yang kini menguasai wilayah utara Mali. Konflik ini tenggelam daripada perhatian umat Muslim yang tertumpu pada isu Syria, malah turut kurang mendapat perhatian Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC. Satu kesan besar yang juga kurang mendapat perhatian umat ialah pemusnahan dan ancaman terhadap warisan sejarah di Timbuktu, pusat aktiviti perdagangan dan keilmuan Islam pada abad ke-12.

3. Pembunuhan massa Rohingya

Sejurus selepas Burma membuka ekonomi, mereformasi politik dan cuba memulihkan hubungan dengan dunia luar terutama Amerika Syarikat, masyarakat Rohingya menghadapi gelombang baharu keganasan yang disokong kerajaan dan pemimpin agama Buddha. Sensitiviti berhubung kegiatan perdagangan dan hubungan serantau turut menyukarkan sebarang tindakan daripada pertubuhan serantau Asean.

2. Gaza dan Hamas

Perang Gaza, melibatkan kumpulan-kumpulan di kawasan kecil Palestin itu dengan tentera Israel berlaku lagi pada 2012, tetapi untuk tempoh yang lebih singkat dan jauh lebih mudah diselesaikan. Berbeza dengan perang Gaza sebelumnya, konflik kali ini melibatkan peranan lebih besar kumpulan lain seperti Jihad Islami dan Jawatankuasa Penentangan Popular, kumpulan-kumpulan yang mempunyai hubungan baik dengan Syria dan Iran.

1. Konflik Syria

Konflik di Syria mempertemukan persaingan kuasa-kuasa serantau dan global, melibatkan pertembungan sektarian antara mazhab yang pergelutan dan kesannya berlangsung di seluruh dunia Islam termasuk Malaysia. Tumpuan yang jauh melebihi isu lain di dunia Islam diberikan oleh umat Muslim kepada konflik ini, disebabkan sisi politiknya yang lebih menarik minat dan sentimen.


Drama kesilapan kira undi DAP

Kekecohan melibatkan kesilapan pengiraan undi pemilihan jawatankuasa tertinggi DAP telah menarik respons yang dijangkakan daripada Umno dan penyokong.

Seperti dijangkakan juga, tuduhan hipokrit atau cakap tak serupa bikin menghujani parti DAP yang mendakwa mewakili masyarakat berbilang kaum itu.

Apapun jawapan yang diberikan oleh DAP, kes ini sukar untuk ditutup begitu sahaja, memandangkan kekuatan persepsi dalam permainan politik.

Episod ini mencetuskan persoalan besar ekoran plotnya yang seperti sebuah drama.

Kesilapan yang kemudian membawa Zairil Khir Johari ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP selepas pembetulan jelas sekali satu contrived coincidence yang sukar untuk diterima.

Kedudukan Zairil sebagai orang kuat Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan ketua pegawai eksekutif badan pemikir kerajaan negeri tidak boleh diabaikan.

Kesilapan yang didakwa DAP itu telah membantu dalam mencapai dua perkara yang dilihat penting; kemasukan orang kuat setiausaha agung ke jawatankuasa tertinggi dan meletakkan seorang Melayu ke kedudukan itu, walaupun kelihatan sebagai satu token minority.

Kerosakan yang dihadapi DAP akibat kesilapan pengiraan undi ini juga lebih kecil berbanding faedah yang dapat diberikan kepada pihak yang berkepentingan, dan pengakuan kesilapan itu juga boleh menenggelamkan isu yang mungkin menjadi isu sebenar, sekiranya tidak dilihat dengan lebih mendalam.

Selepas kekalahan calon-calon Melayu dalam pemilihan DAP yang lalu, kes ini menambahkan lagi kerosakan kepada DAP ekoran perkembangan yang dilihat sebagai sangat tidak realistik ini.

Hal ini mendedahkan lagi sifat DAP sebagai sebuah parti yang paling dinastik dan tertutup, tuduhan-tuduhan yang sering dilemparkan kepada parti pemerintah terutama Umno.

Friday, January 4, 2013

Detik Utopia, karya terbaharu Ahmad Lutfi Othman


Ahmad Lutfi Othman, pengamat politik yang kini ketua pengarang Harakah baru saja menghasilkan buku terbaharu, Detik Utopia: Komentar Kritis Isu Pakatan Rakyat dan Politik Malaysia, mengumpulkan tulisan-tulisan terbaik penulis prolifik ini.

Ulasan dan analisis beliau yang dimuatkan dalam buku ini meliputi isu-isu penting berkaitan Pakatan Rakyat dan usaha membawa perubahan ke arah yang lebih baik di Malaysia.

Lutfi mengulas dengan mendalam dan kadang-kala dari sudut yang sedikit berbeza isu Akta Keselamatan Dalam Negeri, kebebasan media, kebertanggungjawaban dan urus tadbir baik, dan berkaitan gabungan Pakatan Rakyat yang kini bercita-cita untuk menawan pemerintahan persekutuan di Putrajaya.

Buah fikiran Lutfi ini menyentuh isu berkaitan kekuatan dan kelemahan PR, harapan dan kebimbangan yang tercetus sejak kemenangan besar pada 8 Mac 2008, dan saranan-saranan penting untuk gabungan yang dijangka bakal membentuk kerajaan pusat satu hari nanti.

Komentar dan saranannya berdasarkan pengalamannya sebagai aktivis media sejak mula berkhidmat sebagai wartawan dan editor di Harakah, sebagai pengusaha penerbitan-penerbitan berkala dan tidak berkala dan akhirnya kembali bergiat bersama Harakah.
 
Karya terbitan Buku Harakah ini telah berada di pasaran dan dijual dengan harga RM25.00 di Semenanjung Malaysia dan RM28.00 di Sarawak dan Sabah.

Isu Amanat Haji Hadi untuk jejas kredibiliti agama PAS

Umno kelihatan kembali ke era 1980-an apabila memainkan kembali isu Amanat Haji Hadi sebagai sebahagian kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-13 yang menjelang.

Petikan ucapan dalam ceramah pada 1981 yang diperbesarkan oleh ahli parti itu telah lama mencetuskan perbahasan panas, dan dikaitkan sebagai satu punca perpecahan dan pelbagai kekeliruan dalam masyarakat Melayu Muslim terutama di Terengganu.

Tindakan pemerintah menimbulkan kembali isu ini, dan tanpa tindakan serius untuk membenarkan penjelasan dan pendengaran pandangan selain yang menjadi konsensus parti pemerintah menimbulkan persoalan besar.

Keengganan menyahut cabaran Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi penjelasan secara langsung di stesen televisyen utama - yang matlamatnya dipercayai mengelakkan suntingan dan manipulasi selain mendapatkan audiens yang besar - telah mendedahkan kebimbangan pemerintah terhadap sebarang gugatan terhadap naratif yang dikemukakan pemerintah itu.

Masa yang lama untuk mencapai satu sikap terhadap ucapan Abdul Hadi itu, lama selepas April 1981 juga mendedahkan pemerintah dan birokrasi berkaitan kepada kelemahan yang besar.

Sikap itu menjelaskan bahawa isu ini dibawa kembali ke perhatian awam sebagai kempen pilihan raya dan tidak lebih daripada itu.

Debat isu ini setakat ini hanya dilakukan di media dikuasai pemerintah, dengan hanya satu pihak mengemukakan pandangan dan dakwaan-dakwaan yang sering meragukan.

Tidak seperti isu-isu berkaitan agama sebelum ini seperti penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim dan pluralisme agama, isu Amanat Haji Hadi ini tidak mendapat reaksi daripada aktivis dan intelektual Muslim seperti yang disaksikan dalam kes kalimah Allah dan isu pluralisme agama yang dikaitkan dengan PKR dan Pakatan Rakyat.

Isu Amanat Haji Hadi ini, yang antara pencetus awalnya pada kali ini ialah akhbar Utusan Malaysia dan TV3, menjadi hampir sepenuhnya permainan politik Umno.

Malah, isu ini juga bersaing dengan isu berhubung kenyataan pemimpin DAP, Lim Guan Eng supaya penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Isu amanat ini kelihatan menjadi satu isu yang digunakan untuk menambahkan lagi isu yang boleh menjejaskan kredibiliti agama yang dimiliki PAS, selepas isu kalimah Allah dan kontroversi gereja di Selangor.

Pemerintah dijangka akan turut menerima kesan negatif daripada isu amanat ini, termasuk disebabkan reaksi kepada kempen murahan dan desakan membenarkan penjelasan yang terus dielakkan.




Krisis air, kenapa berlaku sekarang?

Penduduk di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur memasuki tahun 2013 dengan berdepan masalah bekalan air, dilaporkan akibat kerosakan stesen pam.

Krisis ini masih baru tercetus, dan mungkin boleh sahaja selesai tanpa berlaku sebarang implikasi politik.

Tetapi masa krisis ini terjadi menjadikannya menarik untuk diperhatikan, lebih-lebih lagi isu ini sentiasa tidak terlepas daripada kaitan politik.

Beberapa akhbar harian hari ini telah menjadikan isu ini tajuk muka depan, memberi gambaran seriusnya masalah ini.

Kerajaan negeri Selangor telah dipersalahkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor, Syabas, melanjutkan lagi pertembungan antara kedua-dua pihak terbabit yang bermula beberapa bulan lalu.

Isu bekalan air Selangor ini juga telah mencetuskan pertembungan antara kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan Putrajaya dan menampakkan tanda akan berpanjangan.

Pilihan Raya Umum ke-13 kini semakin hampir, disebabkan tempoh mandat daripada pilihan raya umum yang lalu hampir tamat, bermakna  pilihan raya umum tidak dapat ditangguh lagi.

Krisis yang sedang berlaku ini baru bermula dan belum menunjukkan gambaran jelas sama ada hanya sementara atau akan berlanjutan lagi.

Dari segi politik kepada kerajaan PR Selangor, krisis air yang berpanjangan dan melibatkan lebih ramai penduduk boleh memberi kesan negatif sekiranya dimainkan dengan berkesan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Umno telah menjadikan isu-isu melibatkan air termasuk kekurangan bekalan dan bekalan air percuma dijanjikan kerajaan negeri yang tidak terlaksana sepenuhnya sebagai bahan politik, menyebabkan kerajaan PR Selangor kelihatan agak defensif.

Sebagai negeri yang menjadi sasaran utama Umno dan BN, peluang ini tidak akan dilepaskan, memandangkan krisis ini melibatkan jumlah penduduk yang besar.

Sekiranya BN mahu benar-benar mempolitikkan isu ini - jika krisis berlanjutan - masa kelihatan berpihak kepada mereka, tetapi kesan negatifnya tetap boleh kembali kepada BN, sekiranya persepsi ramai melihatnya sebagai sengaja diadakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13atau kesalahan lebih diletakkan di bahu Syabas.


Thursday, January 3, 2013

2012: Politik artis dan suasana menunggu pilihan raya

Sejak awal tahun 2012, spekulasi tarikh pilihan raya menjadi tajuk besar dalam perbincangan politik negara.

Semua pihak ternanti-nanti bila parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya umum ditentukan.

Akibatnya, sepanjang tahun, aktiviti berpolitik pada tahap maksima berlangsung, dengan kedua-dua kumpulan utama bersaing dalam semua hal.

Dalam pentadbiran sebuah negara, politik kepartian dan kempen pilihan raya ialah satu bahagian yang besar, tetapi sepatutnya bukan yang paling besar. Selepas kempen dan berpolitik, urus tadbir dan pembinaan negara ialah hal yang sepatutnya diberi perhatian oleh pemain-pemain politik, terutama semua yang terlibat dalam kerajaan termasuk ahli parlimen pembangkang.

Malangnya, dalam keghairahan menuju pilihan raya dan Putrajaya, hampir seluruh tenaga dan masa dihabiskan dengan berpolitik, dengan segala mainan di media dan di segala ruang yang ada.

Suasana panas yang berterusan sejak 2008, terutama menjelang 16 September, diteruskan lagi pada tahun 2012.

Tahun ini, 2013, bakal menyaksikan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan, selepas sekurang-kurangnya dua tahun ramai tertunggu-tunggu untuk merasai dan terlibat dalam proses politik yang dianggap sebagai penentu penting haluan politik negara.

Satu hal yang menarik untuk diberi perhatian ialah Bersih dan protes besar-besaran yang menjadi identiti badan gabungan pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik Pakatan Rakyat ini.

Pada 2012, protes Bersih yang ketiga diadakan, yang antara tujuannya ialah sebagai persediaan meningkatkan momentum untuk menghadapi sebarang kemungkinan menyusul Pilihan Raya Umum ke-13.

Sejak Oktober 2007 hingga hari ini, Bersih telah berjaya membentuk kesatuan dan keberkesanan sebagai satu instrumen dan kuasa penyatu untuk menghadapi Barisan Nasional.

Bersih kini telah menjadi kuasa yang mampu digerakkan untuk menjejaskan pemerintah BN, terutama sekiranya segala elemennya mencukupi dan digerakkan dengan berkesan.

Momentum ke arah protes besar-besaran selepas pilihan raya umum telah kelihatan, termasuk melalui satu kenyataan A Samad Said, ahli jawatankuasa Bersih 2.0.

Usaha pemantauan oleh Bersih juga telah disusun, yang boleh meningkatkan lagi kredibiliti suara protes Bersih terhadap proses pilihan raya umum akan datang, sekiranya didapati tidak memenuhi tuntutan yang disuarakan selama ini.

Sekiranya protes besar-besaran diadakan, semua yang terlibat sukar untuk berundur lagi, dan terpaksa terus menggempur dan mara ke hadapan, lebih-lebih lagi memandangkan pertaruhan besar bagi semua pihak terlibat.

Ini bermakna apa yang digerakkan sejak 2007 dan ditingkatkan dengan mendadak pada 2012 bakal dilaksanakan pada 2013, membawa persaingan politik Malaysia ke satu tahap yang baharu dan lebih sengit.

Satu lagi isu yang mengambil bahagian yang besar dalam perbincangan politik negara ialah peningkatan peranan selebriti dalam kempen politik.

Sehingga kini, satu-satunya peranan besar yang dimainkan oleh penggiat budaya popular dalam pentas politik ialah kempen perhubungan awam untuk parti politik, terutama PAS.

Perkembangan sejak 2011 diteruskan pada 2012 dengan artis menjadi tumpuan utama dan menjadi penceramah popular program-program PAS, sehingga mencetuskan kritikan termasuk dari dalam parti.

Abby Abadi, yang pernah popular melalui drama Gerak Khas, muncul sebagai selebriti paling popular dalam politik tahun 2012 melalui aktivitinya bersama PAS.

Abby ialah salah seorang daripada satu gelombang "artis insaf" yang aktif dalam aktiviti keagamaan, yang sebahagiannya hampir secara eksklusif di atas platform parti politik.

Dari segi menarik perhatian massa, PAS telah berjaya dalam membina pengikut yang ramai melalui penglibatan selebriti.

Ini dikuatkan lagi oleh peranan penceramah popular Ustaz Azhar Idrus, yang pernah mendapat anugerah daripada Pemuda PAS dan mempunyai kaitan rapat dengan parti ini.

Peranan dan kedudukan penceramah ini dalam aktiviti seperti ini telah meningkatkan elemen budaya popular aktiviti keagamaan yang digerakkan parti politik ini, mencetus satu fenomena agak baharu yang menggabungkan budaya popular dengan aktiviti keagamaan.

Selain PAS, PKR juga telah mendapat bahagiannya melalui kemenangan penulis lirik lagi Awan Nano, Hasmi Hashim, yang sebelum ini aktif bersama PKR dan kembali aktif dalam beberapa program ekoran peningkatan popularitinya.

Episod ini juga tidak kurang elemen politiknya apabila pemuda PKR segera mengambil kredit daripada kemenangan Hasmi itu, dan mencetuskan reaksi negatif yang keras daripada blog-blog Umno.

Unsur Islam pop ini telah diperhatikan berleluasa, dan memainkan peranannya yang tersendiri dalam menarik massa mendekatkan diri kepada aktiviti keagamaan seperti ceramah.

Hasil jangka pendeknya dalam menterjemahkan hasil politik kepada PAS akan dilihat pada tahun ini, pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...