KOTA BHARU, 8 April: Exco Penerangan Kelantan mencadangkan agar pertemuan segera diadakan di kalangan Exco Penerangan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kelantan, Dr Mohd Fadzli Hassan berkata, kerjasama erat dalam bidang penerangan, sains dan teknologi akan diadakan di lima negeri bawah Pakatan.
Beliau berharap kewujudan negeri Pakatan memberi ruang lebih luas maklumat semasa yang berlaku di lima negeri diketengahkan kepada rakyat.
Selain itu, kerjasama erat dalam bidang penerangan, sains dan teknologi dapat dipertingkat bagi membolehkan maklumat semasa disampaikan segera kepada orang ramai di seluruh negara.
"Kelantan akan cuba merintis usaha ke arah itu dengan mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor dalam bidang tersebut.
"Kami bercadang mengadakan pertemuan dengan Exco Penerangan, Sains dan Teknologi di negeri-negeri terbabit dalam masa terdekat ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Sebelum ini maklumat mengenai parti-parti pembangkang banyak terhalang kerana disekat dengan pelbagai akta di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Akhbar alternatif termasuk Harakah, Siasah dan Suara Keadilan banyak terhalang dan tidak sampai ke bawah kerana sekatan-sekatan yang sengaja diwujudkan.
Di Kelantan sejak PAS mentadbir negeri ini pada akhir 1990 diwujudkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri bagi menerbitkan buletin, risalah, buku, VCD dan dokumen lain untuk disebarkan kepada rakyat.
Dr Fadzli berkata, pengalaman selama lebih 18 tahun PAS mentadbir Kelantan akan dikongsi bersama dengan rakan-rakan di negeri PR.
Katanya juga, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri akan mempertingkat jenteranya bagi memastikan bahan-bahan penerbitan dan multimedia dikeluarkan sampai ke sasaran di seluruh negeri.
"Buletin yang ada sekarang juga akan diperkemaskan dari segi isi kandung dan persembahannya. Selain itu penerbitan VCD juga akan dipertingkatkan lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment