Sunday, August 7, 2011

Kontroversi gereja: PAS berdepan ujian terbaharu

PAS berdepan ujian terbaharu berhubung isu hubungan antara agama melibatkan Kristian ekoran kontroversi tercetus selepas siasatan Jabatan Agama Islam Selangor, Jais ke atas sebuah gereja Metodis di Damansara, Selangor minggu lalu.

Di peringkat dalaman, PAS Selangor menyaksikan pertembungan antara bekas pesuruhjaya, Datuk Dr Hasan Ali dengan timbalan pesuruhjaya yang dilantik semula selepas muktamar, Khalid Abdul Samad.

Di peringkat nasional, PAS berdepan kempen negatif terbaharu pesaing politiknya, terutama Umno sekiranya parti Islam itu menunjukkan pendirian rasmi yang boleh dilihat sebagai apologetik atau tunduk kepada tuntutan politik pilihan raya.

PAS telahpun berada dalam kedudukan defensif ekoran laporan-laporan media propembangkang yang memberi tafsiran sangat negatif terhadap tindakan ke atas majlis di gereja itu, perkembangan yang sangat menguji pragmatisme parti berasas agama itu.

PAS sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 dikritik Umno sebagai tunduk kepada kepentingan politik pilihan raya untuk memenangi undi bukan Melayu dan kepada PKR dan DAP, dua lagi parti anggota Pakatan Rakyat.

Isu berkaitan Kristian semakin menjadi perhatian dalam politik negara kebelakangan ini, dan menjadi satu isu kritikal dalam pilihan raya Sarawak bulan April lalu.

Selain isu melibatkan Kristian, PAS juga dikritik secara berterusan oleh Umno berhubung isu penjualan arak, pusat hiburan, rumah urut dan pelbagai aktiviti maksiat di negeri-negeri ditadbir parti PR.

Terbaharu, PAS didakwa Umno sebagai tunduk kepada tekanan DAP di Kedah, berhubung sekatan operasi pusat hiburan pada bulan Ramadan.

Umno - yang menguasai kerajaan pusat tanpa sokongan kuat komponen bukan Melayu - walau bagaimanapun tidak memperlihatkan sikap yang jelas dalam isu-isu tersebut.

Parti utama gabungan Barisan Nasional itu turut bersikap pragmatik dengan pemimpin-pemimpin tertinggi mengelak daripada menyatakan pendirian jelas dalam isu terbabit.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri mohd Najib Abdul Razak mengadakan lawatan bertemu pemimpin agama Katolik dunia tidak lama dulu, sebagai satu usaha menarik sokongan Kristian dan minoriti agama menjelang pilihan raya umum.

Umno memperolehi peluang lebih luas untuk mengkritik PAS dalam isu berhubung kedudukan Islam selepas pilihan raya pada Mac 2008 apabila PAS dilihat sebagai berkompromi dalam hal-hal melibatkan hubungan antara agama dan kedudukan agama Islam.

Isu-isu melibatkan Kristian, seperti lawatan wakil rakyat PAS ke gereja, penggunaan kalimah Allah oleh Katolik dan pelbagai isu lain membuka peluang kepada Umno untuk meningkatkan kempen negatif terhadap PAS.

PAS memberi persetujuan bersyarat terhadap penggunaan kalimah Allah oleh Kristian, pendirian yang dilihat sebagai berkompromi oleh sesetengah pihak, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Muslim dan sekumpulan ilmuan agama Islam berpengaruh.

Kontroversi terbaharu melibatkan Jais, yang didakwa melibatkan usaha memurtadkan orang Muslim menjadi bahan terbaharu untuk Umno menyerang PAS dan menjejaskan kredibiliti parti itu yang bersaing dengan Umno untuk undi Melayu-Muslim.

PAS juga dilihat berdepan cabaran untuk mengekalkan imej lebih liberal atau "progresif" dalam menangani pelbagai isu sensitif, terutama ketika kepimpinan tertinggi parti dikuasai golongan yang dinilai sebagai progresif selepas pemilihan muktamar lalu.

Perkembangan melibatkan kontroversi gereja di Selangor itu menjadi cabaran terbaharu terhadap PAS menjelang pilihan raya umum akan datang. Cabaran ini, yang menyentuh politik dalaman dan nasional PAS, menambahkan lagi isu kritikal yang akan perlu ditangani dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

2 comments:

amri5205 said...

Hari ini adalah detik penentuan..adakah Datuk Dr Hasan Ali Exco Selangor dari PAS akan tunduk kepada desakan pemerintah berhubung isu periksa gereja utk bendung kes murtad ataupun meletakjawatan Exco Selangor dan PAS sebagaimana tindakan bekas Mufti Selangor Dato' Ishak Baharom yang meletak jawatan Mufti semasa era Dato' Seri Abu Hassan Omar dari UMNO berhubung isu 3 orang gadis melayu menyertai pertandingan ratu cantik pada 13 Jun 1997. Disepanjang zaman akan ada seorang pejuang yang mempertahankan kesucian agama Islam.

tungkaran hati.blogspot said...

Ramai yang masih mengharapkan perjuangan PAS seperti dahulu, perjuangan yang jelas untuk diperjuangkan...tetapi kini dasar perjuangan PAS telah tersasar jauh....!
Berdirilah PAS dengan bermaruah tanpa PKR dan DAP yang anti-Islam terutamanya, janganlah diperbodohkan oleh mereka...!
kembalilah pada perjuangan asal semoga kita rakyat Malaysia dapat keberkatan daripada perjuangan PAS.
Jika UMNO itu jahil mentadbir negara maka sekarang inilah waktunya PAS membuktikan ianya lebih baik dari UMNO...bukannya sekadar ceramah dan tazkirah semata-mata.
Cuba lihat PAS di Selangor , PPinang dan Kedah adakah dihormati!!!
Kembalilah kepada perjuangan asal....sebuah Negara Islam yang berdaulat bukannya negara kebajikan seperti yang dikehendaki oleh DAP dan sekutunya!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...