Wednesday, June 1, 2011

Erbakan, Erdogan atau Syeikh Ahmad Yassin?

Oleh ABU IMAD AL-MAHSHARI

PAS sekali lagi menjejakkan kaki ke pemilihan kepimpinan pusat.

Pemilihan ini dikatakan antara yang paling sengit dalam wacana politik PAS mutakhir ini, bukan sahaja kerana ramainya calon naib presiden yang bertanding namun pelbagai spekulasi dan bacaan dari langsuir politik terus berwacana di setiap tingkat.

Pemilihan kali ini dikatakan percaturan terakhir antara Erbakan dan Erdogan atau profesional dan ulama, sehingga menjadi bual bicara utama tokoh perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari dan pemimpin sebuah tangki pikir; IDEAS, Wan Saiful Wan Jan yang juga bekas pimpinan mahasiswa PAS di United Kingdom/Eire suatu ketika dulu.

Pemilihan ini juga kata sebilangan adalah percaturan politik yang luar biasa, dalam mengetengahkan tokoh kepimpinan solo Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Abang Mat dengan ideologinya yang tersendiri diwarnai dengan pelbagai warna-warni revolusi Iran mahupun sosialis Islam yang sepertinya diberi laluan oleh kumpulan Erbakan bagi menjatuhkan tokoh "kerajaan perpaduan," Nasharudin Mat Isa dan lebih menumpulkan peluang beliau dengan mengetengahkan seorang tokoh ulama lain, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sekaligus menjadi pemecah undi kepada penyokong ulama PAS.

Bacaan awal pakar-pakar penganalisis, Abang Mat akan memecah kebuntuannya untuk sampai pada tingkat tertinggi dakian seorang bukan ulama dalam PAS untuk berada menjadi timbalan kepada seorang tok guru.

Begitu ghairahnya pelbagai bacaan dan materi-materi politik yang bersimpang siur dalam pelbagai wacana dari kedai kopi, ke mesyuarat PAS negeri mahupun alam siber.

Namun, kita tetap gagal mencari analisis tuntas tentang beberapa persoalan utama mahupun persoalan kecil yang mampu memberi impak kepada hala tuju PAS masa hadapan selain dari bual bicara tentang kuasa kepimpinan dalam PAS:

1. Apakah masa depan politik PAS yang makin kehilangan undi Melayu dalam beberapa pilhan raya mutakhir ini?

2. Apakah impak kepada polisi dan prinsip-prinsip perjuangan PAS yang ketika ini sangat bergantung kepada undi bukan Muslim?

3. Apakah penilaian luhur PAS berkenaan pencapaian PAS terhadap slogan negara berkebajikan yang dilaungkan bermula 2008 yang lalu?

4. Apakah prestasi PAS di Kedah dan adakah Kedah akan menjadi sebuah lagi penolakan rakyat terhadap kerajaan PAS Terengganu?

5. Apakah cukup PAS untuk terus bergantung pada kredibiliti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang semakin berusia untuk kemenangan PAS di Kelantan pada pilihan raya akan datang dan apakah strategi PAS untuk Kelantan pasca-Nik Abdul Aziz?

6. Bagaimanakah penilaian PAS sebagai penumpang dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang? Setakat mana benar-benar PAS mampu mewarnai polisi dan pentadbiran kerajaan negeri atau hanya sebagai penumpang dalam keretapi kuasa tinggi ?

7. Apakah pendirian PAS dalam isu-isu baharu di Malaysia selain isu sitara politik yang berkisar tentang liwat, "Altantuya" dan video seks? Apakah PAS mempunyai kefahaman dan mempunyai pendirian terhadap :

a. Isu pelan ekonomi Model Baharu Ekonomi, dan pelan transformasi ekonomi ETP dan GTP negara?

b. Perjanjian TTP dan perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Eropah yang bakal membuka lembaran baharu liberalisasi ekonomi secara total seawal 2017?

c. Pendirian politik PAS berhubung pelbagai masalah alam sekitar yang menjadi kerisauan rakyat seperti masalah nuklear mahupun masalah Lynas di Gebeng?

8. Isu liberalisasi dan pluralisme agama yang sepatutnya menjadi tonggak perjuangan PAS dewasa ini?

9. Dan tidak salah saya katakan banyak lagi isu, berhubung polisi dan hala tuju negara.

Saya berasa begitu yakin, ketika perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dan Abu Bakar dalam perjalanan bersejarah Hijrah, sebegitu yakin saya, Rasul S.A.W. yang telah dipanggil oleh masyarakat Madinah untuk memimpin mereka, tidak berbicara dengan Abu Bakar tentang satu untuk engkau, dan satu untuk aku, timbalan perdana menteri untuk engkau, dan perdana menteri untuk aku.

Nabi S.A.W. berpesan “Pemimpin suatu umat itu, adalah khadam kepada umat tersebut.” Kelihatannya bual bicara kita dalam muktamar agung makin rakus tentang siapa yang menjadi pemimpin parti, siapa bakal memimpin Putrajaya? Negeri mana dan siapa menteri besar untuk pilihan raya akan datang?

Saya meyakini, perbualan Nabi S.A.W. bersama Abu Bakar al-Siddiq dalam perjalanan keramat hijrah mereka bukan tentang kuasa, tetapi adalah tentang keesaan Allah dan tentang nasib umat yang terus beliau ratapi sehingga ke penghujung hayat beliau.

Saya mengimpikan muktamar agung sebuah parti Islam akan mampu menyelam dalam tentang praktisnya sebuah kepimpinan Islam dapat diimplementasi dalam pentadbiran sebuah negeri?

Apakah inovasi dan model-model Islam yang dapat ditonjolkan dalam konteks ekonomi tanpa riba, pertanian mesra alam, pembangunan lestari, sains dan teknologi yang humanis bukan komersialis dan alternatif-alternatif kepada neoliberalisme ekonomi yang dikatakan sebagai anti-Islam?

Malangnya usai muktamar agung dan usai pelbagai pilihan raya – yang kita lebih dengar bagaimana perwakilan kita dalam pihak berkuasa tempatan yang tidur dalam mesyuarat majlis kerana tidak tahu menahu tentang urusan pentadbiran kerajaan tempatan?

Atau Yang Berhormat pemimpin negeri kita yang tahu menemani menteri besar dan ketua menteri ke majlis berbuka puasa walaupun beliau bukan beragama Islam dan tidur ketika perbahasan FDI mahupun Rancangan Struktur Negeri dibahas di Mesyuarat Exco Negeri.

Menang sorak, kampung tergadai.

Ya, tajuk di atas tidak ada apa-apa makna melainkan untuk mengajak mereka yang hanya berminat tentang percaturan kuasa untuk berfikir dan merenung tentang percaturan agenda dan ideologi.

Abu Imad al-Mahshari ialah aktivis masyarakat dan alam sekitar di Pulau Pinang di Institut Abu Dzar.

------------------------------------------------------------------------------------------------

IKLAN TEKS

Kem Bimbingan Remaja al-Quran 2011 (KEBAL)
7 hingga 11 Jun, 2011,
Untuk remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun.
Pengisian: Tahfiz 5 ayat lazim, solat jamaah, tadarus,/qiraah al-Quran dan surah Yasin, al-Rahman dan al-Mulk, zikir Asma al-Husna, al-ma'thurat, qiamullail, dhuha, rawatib, sesi muhasabah, pengajian aqidah dan fiqh, munajat khitamah. Sesi akhir bersama ibu bapa.
Anjuran: Raudhatul Huda, Maahad Tahfiz Ibbdurrashad, no 16 Lorong Lampam, 13700 Seberang Jaya, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Pendaftaran hubungi Puan Sue 019-4716165/019-4748165

2 comments:

Anonymous said...

Zombi Kg Pisang

Kupasan yang menarik & wajar diberi perhatian.

Cuma usah meLangsuirkan orang lain, nanti terLangsuir diri sendiri.

Abu Imad said...

haha zombi marah panggil orang langsuir...

hahaha mujur tak ku zombi kan semua orang. ehhh betul jugak no, PAS ni dah jadi macam Zombi daaaa ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...