Thursday, February 20, 2014

Krisis air dan krisis politik Selangor

Cuaca panas yang berpanjangan di negara ini mula menampakkan kesan politiknya apabila kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mula dilihat dijadikan sasaran untuk dipersalahkan.

Media elektronik dan media cetak yang pro-Barisan Nasional telah bersama mengangkat kemungkinan krisis air berlaku sekiranya cuaca panas berterusan dan bekalan air merosot.

Antaranya, laporan akhbar Umno, Berita Harian pada 14 Februari mengaitkan kemungkinan krisis air di Lembah Klang dengan apa yang dianggap sebagai kegagalan kerajaan negeri Selangor menyelesaikan isu pembinaan loji air baharu.

Akhbar Berita Harian di muka depannya memaparkan gambar air yang surut di sebuah ampangan dengan tajuk Akibat Degil: Lembah Klang Tidak Akan Berdepan Risik Catuan Air Jika Kerajaan Selangor Pimpinan PKR Benarkan Pembinaan Loji Langat 2.

Tindakan media Umno memainkan isu ini sejak awal lagi, sama ada krisis yang dijangka itu benar-benar akan berlaku atau tidak, memperlihatkan satu kempen terbaharu BN dalam usaha menjejaskan imej dan kredibiliti kerajaan negeri Selangor.

BN dan sekutu dilihat kecewa dengan pendirian kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak sehaluan dengan pengurusan bekalan air negeri ini oleh syarikat konsesi.

Empat syarikat konsesi menguruskan bekalan air beroperasi di Selangor; Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd, dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

Hujung tahun 2013, kerajaan Selangor memutuskan untuk mengambil alih pengurusan empat syarikat tersebut, dengan membuat tawaran RM9.65 bilion bagi tujuan itu melalui cabang pelaburannya Kumpulan Darul Ehsan Berhad. Rancangan pengambilalihan itu walau bagaimanapun tidak berjaya dilaksanakan.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan Selangor mahu mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor kerana syarikat terbabit gagal memberikan perkhidmatan yang baik dan tarif yang berpatutan walaupun telah memperolehi keuntungan besar.

Walau bagaimanapun, Januari lalu, Abdul Khalid mengumumkan yang projek Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan semula selepas siri rundingan dengan Putrajaya, dan kerajaan Selangor bersetuju bekerjasama dengan kerajaan persekutuan mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor, menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.

Keputusan Abdul Khalid itu walau bagaimanapun tidak dipersetujui sepenuhnya dalam kalangan wakil-wakil rakyat PKR, dan dipercayai menjadi satu isu yang membawa kepada krisis politik dalaman Selangor masa kini.

Isu air Selangor menjadi isu yang banyak dipolitikkan di Selangor, dan dilihat berpotensi menggugat kedudukan pemerintahan PR menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Media BN memperlihatkan kerajaan PR Selangor sebagai tidak cekap menguruskan air hingga menyebabkan gangguan bekalan sering terjadi, tanpa memberi perhatian pada syarikat konsesi yang mempunyai hubungan baik dengan BN.

Sepanjang 2012, Selangor menyaksikan banyak gangguan bekalan air berlaku, dan perkembangan ini segera mencetuskan pertengkaran terbuka antara kerajaan negeri dengan syarikat konsesi Syabas.

Pada awal 2013, krisis air sekali lagi melanda Lembah Klang, yang dikatakan akibat kerosakan stesen pam. Krisis ini segera mendapat liputan meluas media pro-BN dan menjadi bahan kempen terbaharu terhadap Pakatan di Selangor.

Akhbar-akhbar meletakkan liputan isu krisis air itu di muka hadapan, dengan pertanggungjawaban dihalakan kepada kerajaan negeri Selangor.

Pada masa sama, Umno menggunakan krisis itu untuk kempen politik, termasuk melibatkan isteri perdana menteri, Datin Sri Rosmah Mansor memberikan bantuan bekalan air dalam botol kepada penduduk Lembah Klang.

Umno kelihatan cuba menyebarkan persepsi yang kerajaan negeri Selangor menangani isu air tersebut berdasarkan kepentingan politik, sedangkan Umno turun kepada rakyat dan memberikan bantuan.

Pilihan Raya Umum ke-13 yang dirasakan semakin hampir pada masa itu memanaskan lagi krisis air yang menjejaskan ribuan warga Selangor dan Kuala Lumpur itu.

Kali ini, BN telah memulakan tindakan preemtif dengan menghalakan perhatian kepada kerajaan PR Selangor, mengambil kesempatan daripada suasana cuaca panas yang melanda negara.

Sekiranya krisis air benar-benar terjadi, krisis tersebut boleh dijangka akan sekali lagi dimanipulasi untuk kepentingan politik BN, yang telah mula dapat diperhatikan dalam media tertentu.

Krisis terbaharu itu nanti bakal menjadi sangat sengit dan memberikan implikasi yang luas, memandangkan pada masa sama, Selangor juga sedang menyaksikan krisis politik dalaman. - Februari 14, 2014

Wednesday, February 19, 2014

Sarawak selepas Taib Mahmud

Pengunduran Tan Sri Taib Mahmud daripada kedudukan sebagai ketua menteri Sarawak yang dipegangnya selama 33 tahun telah mencetuskan isu politik dalaman negeri ini, berhubung penggantinya dan pengaruh Taib selepas ini.

Kedudukan Taib yang sangat lama sebagai ketua menteri telah mengukuhkan kedudukan beliau dan sekutu politik dan ekonominya, pada satu tahap yang hanya dapat diperhatikan di Sarawak.

Pemimpin selepas Taib dijangka tidak akan dapat mengatasi malah menyaingi pengaruhnya sebagai ketua menteri, dan kemungkinan akan terus dibayangi Taib dalam politik dan pentadbiran negeri Sarawak.

Malah, mungkin ada yang melihat kepentingan Taib masih kuat dalam usaha memastikan kestabilan di Sarawak, dan untuk mengelakkan persaingan kuasa yang boleh menjejaskan partinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB dan Barisan Nasional.

Pengaruh yang telah lama dibina bermakna penguasaan Taib dan sekutu yang kukuh dalam pelbagai ruang, dalam tempoh yang suasana politiknya jauh berbeza dengan sekarang dari sudut penguasaan parti pemerintah dominan.

Hari ini, selain pengganti yang tidak dapat menyamai kepimpinan Taib, suasana politik yang baharu menyaksikan parti-parti pembangkang termasuk daripada Pakatan Rakyat semakin mengukuhkan kedudukan di negeri ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri ke-10 pada April 2011, BN memenangi 55 kerusi Dewan Undangan Negeri, daripada 71 kerusi, merosot daripada 62 kerusi dalam pilihan raya negeri sebelum itu.

Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mac tahun lalu pula menyaksikan BN menang 25 kerusi Parlimen daripada 31 kerusi, berbanding 31 dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Ini bermakna landskap politik Sarawak telah banyak berubah, malah Parti Keadilan Rakyat pada 2011 berkempen dengan menjanjikan pelantikan pemimpin parti itu, Baru Bian sebagai ketua menteri jika PR menguasai Sarawak.

Pada tahun-tahun akhir Taib sebagai ketua menteri, kempen untuk menjatuhkan beliau juga berjalan dengan rancak dari dalam dan luar negara, meningkatkan lagi tekanan ke atas Taib dan negeri kubu kuat BN itu.

Tetapi selepas dua pilihan raya itu, Sarawak kekal sebagai kubu kuat BN walaupun dengan kekuatan yang merosot, dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB, yang bersifat Bumiputera Muslim kekal dominan dalam BN di Sarawak, dan bersama dengan Umno menjadikan BN hanya dikuasai parti Melayu.

Piliha raya 2011 telah mencatat rekod terbaharu Taib berjaya mempertahankan penguasaan BN di Sarawak, pada masa banyak pihak bercakap tentang keperluan peralihan kepimpinan negeri Sarawak.

Perkembangan itu menunjukkan satu perubahan besar yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini; peningkatan kepentingan Sarawak dalam politik nasional, terutama kepada parti-parti politik dominan yang asas kuasanya terletak di Semenanjung.

Menyedari kekuatan undi di Sarawak, PR menjadikan negeri ini sebagai sasaran perubahan besar-besaran untuk mengubah imbangan kuasa BN-PR, terutamanya memandangkan Sarawak memegang 31 kerusi Parlimen.

Sarawak dan juga Sabah mula menjadi perhatian khusus parti-parti pembangkang, terutama PR dan parti Kita untuk merebut bahagian lebih besar hasil pilihan raya, dengan tawar-menawar yang semakin seimbang.

Selama ini, Sarawak dan Sabah kelihatan sekadar dipergunakan untuk kepentingan agenda-agenda yang sering tidak sehaluan dan tidak meletakkan kepentingan rakyat dua negeri itu sebagai matlamat utama.

Tetapi, berbeza dengan Sabah, Sarawak terus dikuasai PBB sedangkan Sabah telah menjadi salah satu medan utama Umno dan mempunyai kedudukan istimewa dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Sarawak mahu mengekalkan kepentingannya, dan bukan sekadar menjadi sumber undi mudah kepada BN tanpa pulangan yang sewajarnya.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh PBB yang semakin kritikal kepada BN, yang masih mampu mempertahankan negeri bank undi gabungan parti pemerintah.

Hal ini menjadikan PBB menyedari kekuatannya dan dapat dijangka tidak akan dengan mudah mahu mengorbankan kedudukan dominan ini, kedudukan yang semakin jelas pada masa BN semakin tercabar oleh PR. - Februari 11, 2014

Saturday, February 1, 2014

Ke mana haluan konsensus nasional?

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Pakatan Rakyat terutama PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan kempen protes terhadap Barisan Nasional, menampakkan perbezaan yang tidak dapat didamaikan.

Tetapi kebelakangan ini cakap-cakap tentang satu konsensus nasional semakin tersebar luas, dan mendapat sokongan kuat Anwar dan PR.

Cadangan ini turut diterima baik oleh BN, apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan minat terhadap dialog konsensus nasional ini.

Malah projek konsensus nasional ini turut disokong oleh Dr Mujahid Yusof, seorang ahli jawatankuasa pusat PAS dalam satu tulisannya, bertajuk Jalan ke Depan Bersama Konsensus Nasional yang disiarkan dalam portal Malaysian Insider, yang menunjukkan kecenderungan positif terhadap dialog ini, dan juga tindakan Anwar di Kajang.

Dialog ini disebut sebagai bertujuan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda rakyat pada masa ini, melibatkan pelbagai isu daripada hubungan antara kaum hingga ke harga barangan dan perkhidmatan.

Tetapi perkembangan ini tidak dapat mengelakkan daripada menampakkan sisi politik pragmatik kedua-dua pihak yang terlibat dalam rancangan ini.

Perbezaan yang kelihatan sebelum dan sejurus selepas PRU 13 menunjukkan yang tidak ada jalan lain bagi PR selain melawan habis-habisan pemerintah BN yang telah melakukan penipuan dalam pilihan raya, tetapi kebelakangan ini dapat diperhatikan kesungguhan untuk segera berdialog dan mencapai konsensus.

Perkembangan ini malah turut dikaitkan dengan projek gerakan Kajang, meletakkan Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang dan menjadi menteri besar Selangor.

Kaitan antara kesungguhan untuk mengadakan dialog bagi mencapai konsensus nasional dengan gerakan Kajang dilihat sesetengah pihak, tetapi masih banyak mencetuskan spekulasi, terutama melibatkan rundingan antara Anwar dengan Najib.

Beberapa rundingan melibatkan dua pemimpin ini telah dilakukan sejak sebelum PRU 13 untuk mencapai penyelesaian politik.

Perkembangan terkini di Selangor tercetus ekoran percaturan PKR berhubung kedudukan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sering tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi parti.


 

Pilihan raya kecil Kajang dan masa depan Pakatan Rakyat

Perletakan jawatan wakil rakyat Kajang dan persetujuan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu menjadi berita paling mengejutkan dalam politik negara pada masa ini.

Perkembangan ini meletakkan PKR dan Pakatan Rakyat dalam keadaan defensif, kerana tindakan yang tidak dapat diberi justifikasi dan memberi gambaran kepentingan agenda peribadi dan kumpulan mengatasi kepentingan rakyat.

Banyak persoalan sukar timbul ekoran keputusan perletakan jawatan dan hasrat Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, yang bakal membuka ruang kepadanya menjadi sebahagian kerajaan Selangor.

Sekurang-kurangnya tiga isu utama menjadikan episod terbaharu drama politik di Selangor ini menunjukkan kelemahan serius PKR terutamanya, dan juga PR dalam menangani persaingan kuasa di negeri ini.

Perletakan jawatan Lee Chin Cheh tanpa sebarang sebab yang dapat diterima ialah masalah pertama yang timbul, walaupun isu ini terus tenggelam disebabkan perkembangan selepas itu yang lebih menarik minat ramai.

Kedua ialah keperluan menukar menteri besar sedia ada kepada pemimpin lain, tanpa ada kesalahan atau isu-isu yang membolehkan tindakan ini diambil, dengan persetujuan parti-parti PR yang bersama membentuk kerajaan negeri.

Ketiga pemilihan Anwar, yang dilakukan dengan segera, untuk bertanding di kerusi Dun Kajang. Ini menimbulkan persoalan berhubung keperluan beliau bertanding dan berperanan dalam politik dan pentadbiran Selangor, pada masa sama beliau berperanan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Tiga isu ini, tidak dapat tidak menunjukkan ke arah politik peribadi dan kumpulan semata-mata, dengan mengabaikan kepentingan rakyat dan kerjasama politik parti-parti Pakatan.

Perkembangan ini kini menjadi ujian terbesar kepada PR, melibatkan integritinya sebagai sebuah gabungan yang selama ini mendakwa meletakkan kepentingan rakyat sebagai satu agenda utama perjuangan.

Perletakan jawatan seorang wakil rakyat yang telah dipilih tidak sepatutnya berlaku dengan begitu mudah, dengan matlamat membuka jalan kepada pemimpin lain untuk memposisikan diri dan mendapatkan kuasa.

Menteri besar, bukan sahaja di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran dan kontroversi. Ada yang lebih melibatkan permainan politik dalaman dan antara parti, dan ada yang melibatkan hal pentadbiran.

Menteri besar sedia ada tidak menampakkan sebarang kelemahan yang serius hingga memerlukan beliau diganti, apatah lagi dengan segala drama permainan politik yang bertaraf rendah dan menjejaskan imej dan nama baik PR secara keseluruhan.

Ruang yang dibuka kepada Anwar pula menunjukkan dominasi seorang pemimpin yang berlebihan dan mencetuskan pelbagai konflik lain, kepada kerajaan negeri, partinya dan PR.

Apa pun kedudukan Anwar sekiranya menang nanti, beliau bakal membawa pengaruh yang besar disebabkan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi PKR. Ini akan memberi kesan yang tidak sepatutnya sekiranya beliau dapat menjadi menteri besar, dan lebih buruk lagi sekiranya tidak.

Kerosakan telah berlaku akibat percaturan politik ini, yang terus dikecam bukan sahaja oleh pesaing politik tetapi juga rakan dan penyokong. Parti-parti komponen dalam PR, terutama PAS, perlu mengambil tindakan yang rasional dalam menangani kemelut ini.

Kekecohan yang dirasai pada masa ini, walaupun menggemparkan, mungkin hanyalah permulaan kepada satu kerumitan yang lebih panjang dan kompleks.

Kepentingan kerjasama politik dan menjaga hubungan sememangnya penting demi memastikan kelangsungan pakatan politik ini, tetapi tidaklah jauh lebih mengatasi kepentingan rakyat. - Januari 28, 2014

Saturday, January 25, 2014

Harun Taib, ilmuan yang tegas pertahan prinsip

Oleh MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI


Sabda Nabi sallallahualaihi wasallam: "Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan tarikan sekaligus daripada manusia, akan tetapi ditarik ilmu dengan kematian ulama sehingga apabila tidak ada ulama, manusia akan mengambil daripada ketua-ketua yang jahil, orang bertanya dan mereka memberikan fatwa tanpa asas ilmu lalu mereka sesat dan menyesatkan orang lain" (Hadis sahih riwayat Imam Muslim.)

Umat Islam di Malaysia pada hari ini menyaksikan pulangnya ke Rahmatullah seorang lagi tokoh ulama dan murabbi, Allahyarham Tuan Guru Datuk Harun Taib akibat keuzuran dari penyakit yang beliau hidapi.

Al-marhum tuan guru adalah ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan ahli Majlis Syura Ulama PAS.
Nama al-marhum tuan guru begitu sinonim dengan tarbiyah dan perkaderan.

Boleh dikatakan majoriti pimpinan yang mengisi saf kepimpinan jamaah pada waktu ini pernah merasa didikan tarbiyah secara langsung daripada beliau. Buah fikiran al-marhum, antaranya yang berkaitan siasah, qiadah dan wala serta taadud jamaah melatari silibus usrah PAS.

Komitmen al-marhum terhadap ilmu amat jelas. Seorang penulis karya dakwah yang prolifik, al-marhum merupakan antara segelintir kecil anak Melayu ketika zamannya yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Universiti al-Azhar yang memang diketahui umum sebagai sangat-sangat sukar.

Keilmuan yang ada pada al-marhum menjadikan beliau antara pakar rujuk utama penggubalan enakmen hudud negeri Kelantan dan Terengganu.

Al-marhum juga terkenal dengan sikap tegas di dalam menjelaskan pendirian jamaah sehinggakan dalam banyak isu, beliau dianggap sebagai menongkah arus.

Ini dapat disaksikan dalam komentar beliau mengenai isu kerajaan perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum ke-12, penggunaan kalimah Allah dan peningkatan fahaman liberal dan pluralisme agama dalam masyarakat.

Pada waktu ramainya ahli-ahli politik masa kini yang mengambil pendirian populis, al-marhum tidak apologetik dan berani di dalam keyakinannya melahirkan pandangan yang boleh menjelaskan jati diri Islam dan PAS.

Sesungguhnya pemergian murabbi agung ini adalah satu lagi tanda Allah SWT sedang menjemput pulang mereka yang fakih akan agamaNya dan semakin dekat pula hari penentuan.

Al-Marhum Tuan Guru Datuk Harun Taib meninggalkan seorang balu Datin Fatimah Ibrahim dan lima orang anak. Anak al-marhum, Ustaz Hilmi Harun kini menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Manir yang pernah di sandang oleh al-marhum.

Semoga ruh beliau dilimpahkan dengan kebaikan dan ditempatkan di kalangan para syuhada dan salihin. Al-Fatihah.

Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS.

Sunday, January 19, 2014

Apa makna kangkung Najib?

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak baru-baru ini mencetuskan trending di laman-laman sosial apabila ucapannya yang menyebut contoh harga sayur kangkung yang turun menjadi bahan lucuan orang ramai.

Najib dalam ucapannya semasa majlis memberi bantuan menyebut sayur kangkung yang turun harga sebagai contoh barangan yang tidak naik harga, dalam usahanya meredakan keresahan ramai disebabkan harga barangan yang terus naik.

Sejurus memberi ucapan itu, kangkung dijadikan satu topik lucu dan sinis di laman-laman sosial, mencetuskan pelbagai hashtag dengan topik kangkung.

Pelbagai status, kenyataan dan komen secara sinis mengangkat topik kangkung, termasuk melibatkan pemimpin politik.

Dari sudut yang lebih serius, ucapan Najib itu dinilai sebagai tidak menjawab persoalan lebih besar kenaikan kos hidup yang meliputi bahan makanan, keperluan asas seperti elektrik, pengangkutan dan bakal ditambah dengan cukai barangan dan perkhidmatan yang akan mula diperkenalkan tahun depan.

Melalui kenyataan ini, Najib mengambil satu sudut yang sukar dan memberikan penjelasan yang tidak menjawab keresahan orang ramai berhubung kenaikan kos yang menyeluruh.

Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang kangkung hanyalah satu contoh ada benarnya, tetapi hakikat bahawa kangkung dipilih untuk dijadikan contoh menunjukkan yang sangat sedikit (atau mungkin hanya satu) barang yang turun harga, sedangkan kos-kos lain terus meningkat.

Kenyataan lucu ini menambahkan lagi senarai kenyataan beliau yang pelik, lucu atau sangat tidak kena tempat sepanjang menjadi perdana menteri, menimbulkan persoalan tentang keprihatinannya dalam membuat ucapan dan pera-nan penasihat-penasihat yang sepatutnya membantu dalam hal ini, dalam usaha memelihara imej dan kredibiliti Najib sebagai perdana menteri.

Najib sebelum ini telah beberapa kali membuat kenyataan yang mengundang reaksi negatif orang ramai, akibat sifatnya yang kelihatan tidak perlu, tidak difikirkan dengan mendalam dan tidak cermat.

Disember 2013 yang lalu, dalam satu usaha mempertahankan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Najib menceritakan dua jasa isterinya itu dalam satu ucapan semasa Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.

“Ada dua jasa isteri saya yang belum saya terangkan, yang tak pernah saya maklumkan sebelum ini,” Najib dipetik sebagai berkata.

Jelasnya, dua jasa Rosmah itu ialah membantu membebaskan seorang pelajar Malaysia yang disalah anggap sebagai pengintip di Mesir dan membantu pelajar Malaysia transit di Jeddah dan kemudian ke Kuala Lumpur tanpa visa, dalam operasi menghantar pulang pelajar Malaysia dari Mesir ketika kebangkitan menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak.

Mac tahun lalu, dalam kempen di Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, Najib mengajak rakyat menolak PAS dan Pakatan Rakyat kerana didakwa telah melakukan “tujuh dosa besar” yang termasuk mengadakan kerjasama politik dengan DAP.

Najib dalam majlis di Tanah Merah itu menyenaraikan tuduhan beliau berhubung dosa PAS sebagai membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim, gagal mengurus Kelantan dan membenarkan pemimpin DAP membotakkan kawasan di Tanah Tinggi Lojing.

Pada Mei 2012, ketika mengecam pembangkang berhubung isu kontroversi penyenaraian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad di Bursa Malaysia, Najib yang marah menyebut “haram jadah.”

Najib mempersoalkan peneroka yang menerima wang “durian runtuh” tetapi pada masa sama menentang penyenaraian FGVH.

Pada Mei 2011, mengulas laporan kematian Osama bin Laden, Najib mengemukakan pandangan bahawa kematian pemimpin militan itu boleh menyumbang kepada dunia menjadi lebih “aman, selamat dan adil.”

Pandangan satu hala dan simplistik itu dikritik ramai, termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkannya sebagai tidak cermat dan cuba menampakkan diri sebagai penyokong Amerika Syarikat.

Sebelum itu, pada Februari tahun yang sama, Najib dalam satu wawancara bersama media Turki dilaporkan mengaitkan gerakan Ikhwanul Muslimin dengan keganasan.

Kenyataan Najib itu dilihat menuduh Ikhwan sebagai terlibat dengan keganasan dan perlu menolak keganasan sekiranya mahu terlibat dalam pilihan raya.

Thursday, January 16, 2014

Politik global 2013: 5 buku pilihan

Tahun 2013 telah menjelaskan lagi dengan lebih terperinci perkembangan sejak 2011 dan 2012, seperti kemerosotan kuasa dan pengaruh Amerika Syarikat secara relatif, atau boleh disifatkan sebagai kemunculan sebuah dunia pasca-Amerika, persaingan dan pertikaian di rantau Asia-Pasifik melibatkan China dan negara sekitar, penyebaran demokrasi oleh AS, perkembangan politik yang disifatkan sebagai kebangkitan Syiah di Asia Barat dan persaingan kuasa-kuasa besar meluaskan pengaruh di negara-negara bekas Soviet.

Berikut lima buku yang dipilih sebagai yang paling menjelaskan perkembangan penting politik dunia tersebut, yang merupakan antara isu kritikal politik global dalam era masa kini. Buku-buku ini dipilih berdasarkan nilai kajian dan isu besar politik global semasa yang dikemukakan.

1. Shiism and Politics in the Middle East oleh Laurence Louer, Columbia University Press, 2012.

Kajian yang menjelaskan Syiah dan hubungannya - dan juga pemisahannya - dengan politik di Asia Barat. Mengemukakan penjelasan lain isu penguasaan Iran dalam dunia Syiah yang selalu menjadi konsensus dalam perbincangan mengenai isu ini. Menjelaskan sejauh mana - dengan lebih mendalam berbanding The Shia Revival: How Conflicts within Islam Will Shape the Future karya Vali Nasr - Syiah dan Iran dilihat sebagai satu dalam kalangan komuniti Syiah di negara-negara Asia Barat lain dari Lubnan ke Bahrain, termasuk perkembangan terkini berhubung pandangan terhadap ulama rujukan (marja), dan sejauh mana Bahrain yang dikuasai politiknya oleh komuniti Syiah akan menjadi sekutu kuat atau agen kepada Iran.

Kajian ini relevan disebabkan isu Syiah yang semakin menjadi topik sentral dalam perkembangan di Asia Barat dan seluruh dunia Islam, isu yang mencetuskan keganasan dan kempen propaganda sektarian, menyentuh peristiwa politik utama yang melanda dunia hari ini, iaitu konflik Syria.

2. Samudra Manthan: Sino-Indian Rivalry in the Indo-Pacific oleh C Raja Mohan, Carnegie Endowment for International Peace, 2012.

Buku yang menambahkan karya tentang kebangkitan kuasa ketenteraan China di lautan, daripada Lautan Hindi ke Pasifik, dari perspektif India, kuasa pesaing China. Meneruskan bentuk penilaian seperti dilakukan oleh Robert Kaplan melalui Monsoon: The Indian Ocean and the Future of American Power, dan menggunakan tarikan istilah popular masa kini, Indo-Pasifik - yang dipopularkan kembali oleh kertas putih pertahanan Australia di bawah Perdana Menteri Tony Abbott - yang sebenarnya agak terlalu luas. Buku yang memberi penekanan pada kebangkitan dan potensi ancaman China di rantau Asia-Pasifik. Turut menegaskan peranan penting yang perlu dimainkan oleh AS dalam menangani kebangkitan China dan persaingan India dengan China.

Buku yang menyentuh isu politik yang panas pada masa ini, melibatkan kebangkitan ketenteraan China di rantau Asia-Pasifik, dan persaingan kedua-dua kuasa China dan India meningkatkan keupayaan ketenteraan laut lepas.

3. US Foreign Policy and Democracy Promotion: From Theodore Roosevelt to Barack Obama disunting oleh Michael Cox, Timothy J Lynch dan Nicolas Bouchet, Routledge, 2013.

Topik penyebaran demokrasi terus menjadi satu isu yang divisif dalam kalangan pemerhati dasar luar AS, dan sering dinilai sebagai helah mengukuhkan penguasaan AS dalam orde dunia. Mengemukakan diskusi meliputi asas falsafah penyebaran demokrasi AS - dan sama ada wujudkah apa yang disebut sebagai "penyebaran demokrasi" itu - dan penilaian rekod presiden yang terlibat dalam meluaskan demokrasi melalui dasar luar mereka, hingga ke presiden terakhir Barack Obama, yang dikait dengan kesedaran di Mesir hingga mendorong protes yang menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak. Buku ini membawa diskusi penting topik kritikal dalam era yang mencabar kepada Washington pada masa ini, ketika demokrasi dinilai dengan lebih kritikal berhubung manfaat yang dapat diberikan.

Buku yang sangat relevan pada masa ini, pada era penyebaran demokrasi berlaku di seluruh pelusuk dunia dari Afrika Utara hingga ke Asia Tengah dan Asia Tenggara, dengan peranan yang bukan kecil daripada AS dan badan-badan bukan kerajaan AS.

4. No One's World: The West, The Rising Rest, and the Coming Global Turn oleh Charles A Kupchan, Oxford University Press, 2012.

Selepas The Post-American World oleh Fareed Zakaria, No One's World, walaupun jauh kurang popular, mengemukakan kajian yang lebih mendalam dan memberikan gambaran lebih jelas berhubung kemunculan dunia pasca-Amerika. Mengemukakan pandangan bahawa dunia pasca-Amerika bukan dunia konsensus Beijing atau konsensus lain yang sering diperkatakan, atau kemunculan hegemon lain sebagai pengganti tetapi satu disensus global, tanpa satu kuasa yang dominan seperti AS masa kini. Seiringan dengan itu, demokrasi liberal yang dilihat sebagai sistem yang sepatutnya menjadi pilihan turut berdepan saingan sistem lain yang dibawa kuasa-kuasa selain AS seperti China dan Brazil.

Buku yang memberikan penilaian terhadap masa depan orde liberal antarabangsa, melibatkan aturan kuasa dan sistem urus tadbir ekonomi global (termasuk kedudukan tertinggi dolar AS), yang kini mula kelihatan tercabar oleh kebangkitan kuasa-kuasa lain. Buku ini juga dapat menjelaskan diskusi popular di media mengenai kebangkitan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) dan terkini, MINT (Mexico, Indonesia, Nigeria dan Turki).

5. Great Games, Local Rules: The New Great Power Contest in Central Asia oleh Alexander Cooley, Oxford University Press, 2012.

Tidak seperti banyak kajian lain, Cooley menegaskan peranan tersendiri negara-negara Asia Tengah dalam menghadapi percaturan dan tekanan kuasa-kuasa besar AS, Rusia, dan China. Hal ini antaranya diperhatikan melalui tindakan kerajaan Kyrgyzstan dan Uzbekistan yang menjadi lokasi pangkalan tentera dan direbut oleh kuasa-kuasa AS dan Rusia, pangkalan dan akses yang menjelaskan pengaruh kuasa-kuasa terbabit. Kyrgyzstan mendapat perhatian akibat tindakan berprofil tingginya menuntut sewa lebih tinggi daripada AS untuk kekal di pangkalan udara Manas, dan pada masa sama menerima bantuan Rusia dan berjanji menamatkan kehadiran tentera AS di pangkalan itu. Turut memberi perhatian khusus kepada protes besar-besaran Revolusi Warna, yang bukan sahaja menunjukkan pengaruh luas AS, Barat dan Rusia, tetapi juga kesediaan rejim-rejim Asia Tengah terbabit menyesuaikan strategi menghadapi cabaran pendemokrasian ini.

Memperincikan lagi persaingan geopolitik rantau ini, dan turut mengemukakan satu gambaran masa depan pasca-Amerika, melibatkan kredibiliti AS yang berkait dengan tindakan dalam negara. Kajian yang penting untuk mendalami rantau penting yang agak kurang mendapat perhatian ini. - Januari 13, 2014

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...