Friday, October 11, 2013

Debat ideologi PAS perlu elak label salah

Oleh HARIS ZALKAPLI 

Pelabelan atau pembahagian golongan biasa digunakan untuk menyifatkan aliran, fahaman atau ideologi politik, supaya dapat mengenal pasti sesuatu kumpulan.

Pembahagian ini penting untuk menjelaskan identiti, sikap dan dasar kumpulan-kumpulan yang terbabit, dan menjelaskan perbezaan-perbezaan.

Walau bagaimanapun, label dan kategori selalu digunakan secara salah, seperti label fundamentalis Islam yang banyak digunakan pada satu masa dahulu.

Dalam menyifatkan perbezaan aliran dalam PAS, pelabelan salah sering digunakan - sama ada secara sengaja atau tidak - untuk memberikan identifikasi aliran-aliran dalam parti.

Label seperti ulama dan profesional misalnya, sering digunakan untuk menyifatkan dua kumpulan yang dikenal pasti dalam PAS, terutama oleh pemerhati luar.

Kumpulan-kumpulan ini dipertentangkan dan dianggap menepati semua ciri yang dianggap pada kumpulan tersebut.

Pada masa sama, pembahagian dua aliran seperti ini digunakan sebagai satu pertentangan dan dibina garis yang terlalu simplistik.

Label ini ialah penamaan yang salah, terutama akibat implikasi yang sering dibawa melalui pembahagian ini.

Saya pernah mengulas isu ini dalam satu tulisan di SiasahDaily pada 2011: "Kedua-dua label 'profesional' dan 'ulama' tidak secara automatik menjadikan pemegangnya memenuhi tuntutan-tuntutan yang diperlukan, kerana profesionalisme tidak boleh diharapkan secara automatik daripada seseorang profesional, seperti juga penghayatan dan pelaksanaan agama tidak datang secara automatik daripada seseorang agamawan.

"Berkait dengan dualisme ini ialah label progresif yang sering digunakan untuk menyifatkan pemimpin-pemimpin berkelayakan 'profesional,' sedangkan sifat progresif juga dapat dimiliki oleh agamawan.

"Penggunaan istilah seperti di atas tidak adil kepada agamawan kerana secara automatik memaknakan golongan agamawan atau ulama sebagai tidak progresif.

"Sifat progresif perlu dibuktikan dan merupakan kualiti yang boleh turun dan naik, dan tidak sewajarnya dikait terus, misalnya, dengan bidang pendidikan seseorang."

Label ulama dan profesional tidak pernah dijelaskan ciri-cirinya, dan digunakan dengan mudah untuk memisahkan kumpulan yang cenderung kepada pandangan ulama dalam parti dengan kumpulan yang berkelayakan profesional, atau hanya kerana bukan sebahagian daripada golongan ulama atau berpendidikan agama.

Kelompok yang dilabel ulama sering terpalit sekali dengan label konservatif yang membawa implikasi jumud dan sukar berubah, manakala kelompok dilabel profesional juga dilabel juga sebagai moderat, reformis, dan progresif, yang secara terang membawa erti yang positif.

Menyifatkan konservatif dengan nilai-nilai negatif secara tidak adil meletakkan pegangan konservatif sebagai semestinya salah, sedangkan sebagai sebuah parti politik, PAS ialah sebuah parti yang terbina di atas asas-asas yang konservatif.

Tetapi, sifat konservatif itu tidak bermakna secara automatik menentang segala perubahan dan tidak berani untuk berubah menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.

Penetapan label seperti konservatif lawan reformis, seperti dikemukakan oleh Dr Mujahid Yusof (yang sebenarnya boleh juga disifatkan sebagai liberal, kerana pertentangannya dengan konservatif) sebahagiannya memanjangkan lagi pembahagian ulama dan profesional, kerana dari segi praktik, pemahaman umum telah menerima maksud yang dibawa melalui implikasi pelabelan itu.

Berkait hal yang sama, penetapan kelompok ulama sebagai satu ciri kelayakan menduduki jawatan-jawatan eksekutif dalam parti juga perlu diperincikan supaya tidak mencetuskan masalah pada masa depan, apabila berlaku perubahan yang tidak dijangka.

Dalam wacana di media liberal, terutama yang berbahasa Inggeris, pembahagian yang memecah-belah ini telah diterima dan dipanjangkan, termasuk segala implikasinya secara simplistik.

Kelompok ulama dan agamawan dilihat sebagai konservatif dengan makna yang sangat negatif, dan berseberangan dengan kelompok yang dinilai sebagai reformis, profesional, dan moderat.

Wacana popular di media amat mudah mengatasi apa sahaja penjelasan sebenar isu ini, terutama takrif sebenar ulama, profesional, reformis dan sebagainya, disebabkan kecenderungan wartawan dan pengulas untuk membuat pembahagian mudah.

Pelabelan dan pengkategorian perlu dibuat berdasarkan ciri-ciri khusus yang menepati takrif yang sepatutnya, untuk mengelakkan pelbagai salah faham sehingga mencetuskan perpecahan dalam parti. - September 24, 2012

Thursday, October 10, 2013

China sebagai pengimport terbesar beras dunia: Implikasi serantau

Oleh J JACKSON EWING dan ZHANG HONGZHOU

Menjelang penghujung 2013, China bakal mengatasi Nigeria sebagai pengimport beras terbesar dunia. China sebelum ini ialah salah satu pengimport utama beras, dan kini mengambil posisi yang dibimbangi dan telah dijangka ramai pihak: pengimport besar dengan selera yang tidak terbatas.

Perubahan ini bakal memberi kesan kepada keselamatan makanan serantau dan kepada perkiraan keselamatan bagi dekad-dekad mendatang.

Peningkatan import beras China tidak dapat dijelaskan dengan mudah. Penggunaan beras per kapita menurun, manakala produksi berasnya telah berkembang selama sembilan tahun dan tahun 2013 dijangka menyaksikan produksi terbesar. Beberapa faktor menjadi sebab peningkatan import beras China.

Pertama, produksi beras domestik China mungkin dilaporkan lebih tinggi daripada jumlah sebenar. Ada pihak di dalam dan luar negara yang mencabar angka produksi beras rasmi China. Contohnya, mungkin pegawai tertentu memperbesarkan produksi kerana penilaian prestasi mereka berkait dengan jumlah itu.

Kedua, sektor pertanian China sedang menyaksikan kemerosotan daya saing. Seperti beberapa negara Asia lain, China telah melaksanakan strategi didanai kerajaan yang menggalakkan produksi dengan menjanjikan pembelian hasil pada harga minimum. Setelah hampir sedekad kerajaan melakukan beberapa kenaikan harga belian tersebut, nilainya kini telah melebihi tahap harga antarabangsa.

Ketiga, logistik mengangkut beras yang lemah menjejaskan kecekapan sektor makanan China. Proses pembandaran dan industrialisasi menyebabkan pusat pengeluaran beras China bergerak daripada selatan ke utara.

Kawasan jelapang padi China di timur laut terletak jauh dari kawasan pengguna beras utama, dan sistem pengangkutan beras China tidak dapat memenuhi keperluan sepenuhnya.

Kos pengangkutan beras dari timur laut ke ke pasaran utama kini ialah 30 peratus daripada harga beras, dan pada musim puncak, kapasiti pengangkutan sukar memenuhi permintaan. Ini mendorong syarikat-syarikat di di selatan membeli dari pengeksport seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Keempat, peningkatan kebimbangan terhadap tahap keselamatan beras domestik menjadikan beras import semakin menarik. Satu kajian pada 2011 mendakwa sehingga 10 peratus beras dijual di China tercemar dan tidak sesuai untuk dimakan.

Laporan lain menunjukkan akibat kebimbangan terhadap pencemaran cadmium, semakin banyak warga tanah besar China membeli beras import di Hong Kong.

Faktor-faktor ini bergabung meningkatkan import beras di China, dan sebagai pengguna beras terbesar dunia, import ini kemudian memberi kesan-kesan lain.

Kemunculan China sebagai pengimport beras utama berlaku seiring dengan harga beras antarabangsa yang terus meningkat. Selepas lebih tiga dekad penurunan, harga telah meningkat lebih dua kali ganda sejak tahun 2000.

Peningkatan ini sebahagiannya disebabkan dasar beberapa negara penting Asia. Skim sokongan Thailand, yakni pembelian beras oleh kerajaan pada harga lebih tinggi daripada pasaran, melemahkan daya saing eksport negara itu dan menyebabkan lambakan di dalam negara.

Thailand tidak bersendirian dalam hal ini. Sejak peningkatan mendadak pada 2007-2008, beberapa negara Asia juga telah meningkatkan sokongan kerajaan untuk sektor beras dan menyimpan jumlah beras yang besar, sekaligus mengurangkan bekalan ke pasaran.

Dasar-dasar ini menunjukkan hasrat melindungi pasaran beras domestik daripada kejutan, tetapi juga telah menyebabkan peningkatan harga.

Walau bagaimanapun, stok simpanan yang besar tidak menjejaskan produksi di rantau ini. Produksi mencatatkan rekod di seluruh Asia, sebahagian besarnya akibat kawasan penanaman yang semakin luas.

Filipina, selama ini antara pengimport beras utama, mendakwa menghampiri keupayaan memenuhi keperluan sendiri selepas setahun lagi peningkatan pengeluaran dicapai.

Malaysia juga sedang mengurangkan pergantungan eksport dengan meningkatkan penanaman padi dalam negara dan Indonesia, walaupun bergerak perlahan, juga mempunyai matlamat yang sama.

Pengeksport tahap pertengahan rantau ini - Myanmar dan Kemboja - juga meluaskan produksi untuk menyamai Thailand dan Vietnam sebagai negara sumber utama.

Di luar Asia, produksi meningkat di Afrika dan Amerika Selatan dan produksi beras global secara keseluruhan bagi tempoh 2013-2014 dijangka mencapai tahap tertinggi.

Dengan stok simpanan yang banyak dan pengeluaran mencatatkan rekod, adakah peningkatan import China sesuatu yang perlu dirisaukan?

Ada beberapa sebab untuk berfikir demikian. Skim sokongan sektor beras di Asia selama ini dalam bentuk jaminan harga oleh kerajaan, kawalan harga, subsidi, dan urusniaga kerajaan dengan kerajaan yang tidak telus. Skim seperti ini semakin dilihat sukar diuruskan.

Bantuan kerajaan terbabit menyebabkan beban kewangan yang meningkat dan bertentangan dengan peraturan perdagangan bebas. Tetapi, peningkatan import China bakal menyebabkan kerajaan lain meneruskan campur tangan, kerana mahu melindungi sektor domestik mereka disebabkan kebimbangan akses mereka kepada beras yang berpatutan akan terjejas.

Tambahan pula, peningkatan harga beras domestik dan antarabangsa juga didorong peningkatannya oleh faktor kos bahan api, baja, tanah dan buruh.

Isu alam sekitar, melibatkan penggunaan tanah yang luas untuk penanaman padi, juga menyumbang kepada menjadi faktor menghadkan pengeluaran.

Peningkatan industrialisasi dan standard buruh pula menyumbang kepada peningkatan kos buruh.
Walaupun demikian, peningkatan import beras China mungkin menggalakkan lebih produksi beras di tempat-tempat yang tidak sesuai dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Negara-negara yang sedar tentang kedudukan China yang meningkat dalam pasaran mungkin akan mengurangkan atau meninggalkan terus import dan meningkatkan penggunaan tanah untuk penanaman padi, termasuk tanah yang tidak sesuai untuk penanaman padi.

Walaupun langkah-langkah tersebut boleh dipertahankan sebagai usaha memenuhi keperluan sendiri, harga yang perlu dibayar agak tinggi. Harga padi tersebut mungkin lebih tinggi, lebih rendah kualiti dan mengambil tanah yang boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih produktif.

Perkembangan ini tidak bermakna semuanya negatif. Peningkatan import China dalam sesetengah kes boleh membawa kepada peningkatan kemasukan modal, pendapatan petani meningkat dan akses yang lebih terbuka kepada teknologi untuk negara-negara pengeksport.

Ini kemudian boleh menyumbang kepada strategi produksi yang lebih efisyen dan keberhasilan tinggi,yang akhirnya boleh membantu menangani beberapa cabaran serantau.

Walaupun hasil yang lebih banyak bukan jawapan kepada semua masalah, peningkatan hasil boleh membantu mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar dengan mengurangkan keperluan kepada tanah untuk penanaman, dan membantu mengurangkan pergerakan buruh, mengurangkan kos produksi dan mengurangkan harga kepada pengguna melalui peningkatan kecekapan.

Ini juga mampu membawa kepada hubungan dagang yang lebih stabil, apabila didapati beras serantau dengan harga berpatutan boleh didapati dengan mudah di pasaran.

China boleh menyumbang kepada senario seperti itu melalui penggalakan transaksi pasaran beras yang telus dan bukan bergantung pada urus niasa antara kerajaan yang tertutup.

Walaupun ketidakpastian masih wujud, jelas bahawa China tidak lagi mampu memenuhi semua keperluan berasnya. Ini akan memberi impak yang besar kepada masa depan makanan Asia.

J Jackson Ewing ialah felo penyelidik di Pusat Kajian Keselamatan Bukan Tradisional (NTS), dan Zhang Hongzhou ialah felo penyelidik bersekutu di Program China di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Tulisan asal, bertajuk China as the World's Largest Rice Importer: Regional Implications terbit di RSIS Commentaries.

Wednesday, October 9, 2013

Umno dan kebangkitan liberal Malaysia


Oleh HARIS ZALKAPLI

Umno ialah sebuah parti yang bersifat konservatif dari segi sosial dan sebahagian besar hal ekonomi.

Sejarah parti ini menyebabkannya sentiasa mempunyai bahagian konservatif yang kuat, terutama daripada kalangan ahli akar umbi yang membentuk kekuatan parti.

Sebagai sebuah parti etnonasionalis, hal melibatkan bangsa Melayu dan agama Islam mendorong Umno menjadi sebuah parti yang konservatif melibatkan isu kaum dan agama.

Walau bagaimanapun, Umno juga tidak asing dengan pendekatan pragmatik, yang mengetepikan beberapa pegangan utama parti dalam mengemudi politik dan pentadbiran negara bersama parti-parti komponen Barisan Nasional.

Dalam sejarah persaingannya dengan PAS, Umno lebih cenderung kepada sikap yang relatif lebih liberal, sekular dan pragmatik, berbanding PAS yang lebih berpegang pada prinsip didasari agama Islam.

Tetapi perkembangan politik terkini yang menyaksikan gelombang liberal melanda telah menunjukkan potensi untuk Umno bergerak menjadi lebih liberal, sehingga mungkin menyaingi beberapa sisi parti-parti liberal dalam politik negara.

Di bawah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Umno terpaksa memperjuangkan gagasan 1 Malaysia, yang walaupun agak kabur dan cair, tetap mempunyai ciri liberal yang agak jelas.

Jenama politik Najib ini diberikan tafsiran yang lebih liberal oleh seteru-seteru - malah rakan-rakan - politik Umno, dan ditafsirkan sebagai satu janji atau garis panduan dasar-dasar dan pendekatan pentadbiran Najib.

Hal ini demikian sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam Umno sendiri, terutama ketika liberal meningkatkan serangan dan sisi lebih konservatif Umno kelihatan terpaksa dipendam demi memasarkan jenama baharu dibawa Perdana Menteri Najib.

Sekitar masa yang sama Umno berusaha menunjukkan wajah yang lebih liberal, muncul kumpulan sayap kanan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Perkasa, yang secara praktisnya menjadi sayap kanan Umno untuk menangani isu-isu yang dilihat tidak sehaluan dengan jenama liberal 1 Malaysia.

Perkembangan ini menandakan perpisahan Umno dengan pendekatan konservatif yang dibawa selama ini, menandakan politik baharu yang terpaksa ditempuhi oleh Umno dalam landskap terkini politik negara.

Umno yang menguasai BN sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 mula bergerak ke tengah dalam spektrum ideologi, dengan Najib memberanikan diri menangani sendiri hal-hal yang menjadi pengenalan sifat konservatif Umno.

Selain pemansuhan beberapa undang-undang berkaitan keselamatan, Najib semakin kuat berusaha menunjukkan wajah baharu Umno kepada masyarakat.

Walau bagaimanapun, dalam Umno sendiri, haluan baharu Najib ini tidak diterima sepenuhnya malah dilihat sesetengah pihak sebagai satu kelemahan besar Najib yang tunduk kepada tuntutan liberal dalam usaha menarik sokongan.

Terkini, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) semakin menerima kecaman hebat elemen lebih konservatif dalam Umno, yang dapat diperhatikan melalui serangan-serangan daripada blog-blog Umno.

Pengendali blog Umno merupakan elemen paling berhaluan kanan dalam Umno, dan memainkan peranan sebagai penyampai suara dan pendesak kumpulan lebih konservatif dalam parti itu.

Sejak mula berperanan aktif bermula 2008, kumpulan lebih konservatif ini telah beberapa kali menunjukkan kekecewaan terhadap beberapa tindakan Najib yang cenderung menyebelahi liberal.

Dalam hal ini juga, Najib semakin dilihat dengan kritikal oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang menaikkan Najib dan memberi sokongan (dan nasihat) kepadanya hingga ke hari ini, yang masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam Umno.

Mahathir berada di kem konservatif dalam Umno, yang hari demi hari semakin mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan Najib yang semakin liberal.

Pada masa sama, pemimpin muda Khairy Jamaluddin Abu Bakar semakin meningkat naik dalam Umno dan pentadbiran Najib, dan semakin dinilai sebagai salah seorang pemimpin utama masa depan Umno.

Khairy menampakkan dengan jelas kecenderungan liberal, yang agak jauh berbeza dengan pendirian yang diterima sebahagian besar pemimpin dan ahli Umno.

Sebelum ini, elemen sayap kanan dalam Umno pernah menunjukkan penentangan kuat terhadap rancangan pelantikannya ke dalam kabinet, yang didakwa dipertimbangkan dengan serius oleh Najib.

Selepas pilihan raya yang lepas, Khairy tidak dapat dikekang lagi dan diberikan satu kedudukan dalam kabinet, dan memulakan kembali pendakiannya ke kedudukan yang lebih tinggi.

Perkembangan ini berpotensi menampakkan lagi perbezaan antara kelompok lebih liberal dan yang lebih berkecenderungan konservatif dalam Umno.

Berdasarkan perkembangan terkini, elemen liberal kelihatan mempunyai masa depan yang semakin cerah dalam Umno. - September 10, 2013.

Thursday, August 15, 2013

Mengimbas kembali 'kerajaan perpaduan'

Isu kerajaan perpaduan kembali mendapat perhatian ekoran satu laporan Asia Sentinel, diikuti dengan tulisan memberi gambaran positif usaha itu di Malaysian Insider - dengan tajuk hampir sama dengan artikel di bawah. Perkembangan ini ialah yang terkini selepas episod rundingan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Pilihan Raya Umum ke-12. Di bawah ini ialah tulisan pada Jun 2010 menjelaskan isu kerajaan perpaduan yang disuarakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tulisan ini pernah disiarkan akhbar Siasah.

Oleh HARIS ZALKAPLI

Ketika bermula muktamar tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu, Kelantan minggu ini, pelbagai isu yang berkaitan dengan permainan politik dalaman parti ini sudah pun tersebar di pelbagai media termasuk blog.

Satu isu perenial yang ditimbulkan untuk mencapai tujuan politik kelompok ialah kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan oleh presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun lalu.

Dalam wacana popular kelompok tertentu, isu ini ditimbulkan secara mudah, tanpa penjelasan yang definitif yang boleh menyanggah kebolehlaksanaan ide tersebut.

Kerajaan perpaduan, yang disebut sebagai “UG” (singkatan kepada unity government) dijadikan simbol dalam kempen negatif terhadap Abdul hadi dan sesiapa sahaja yang dilabel “pro-UG.”

Hampir semua isu, daripada pertemuan di rumah terbuka hingga kepada pemberian credential media kepada penulis blog di muktamar diletakkan secara mudah di bawah tajuk besar “UG.”

Berdasarkan pemerhatian pada sejarah singkat wacana kerajaan perpaduan dalam PAS, kempen negatif yang dimainkan secara berterusan itu dapat dibuktikan sebagai satu tindakan politik kelompok yang tidak berdasarkan sebarang bukti.

Ide kerajaan perpaduan yang paling jelas oleh Abdul Hadi dicetuskan dalam satu wawancara yang disiarkan Siasah keluaran ke-138 (1 hingga 7 Mac, 2009). Muka depan Siasah keluaran itu memuatkan berita utama bertajuk Negara Tanpa Pembangkang, yang menyusuli siri tumpuan kepada “politik damai” yang dicadangkan oleh Siasah.

Dalam wawancara itu, Abdul Hadi menerangkan cadangan kerajaan perpaduan dengan mengambil contoh Indonesia di bawah bekas Presiden BJ Habibie. Jelas Abdul Hadi, kerajaan perpaduan ini akan melibatkan semua parti politik menjadi sebahagian kerajaan, dan bukan hanya melibatkan PAS dengan Umno.

Ketika itu, cadangan ini menerima reaksi positif daripada banyak pihak dalam PAS sekurang-kurangnya, dengan isu kerjasama PAS dengan Umno tidak ditimbulkan langsung.

Malah, dakwaan bahawa cadangan kerajaan perpaduan dibawa hanya oleh Abdul Hadi dan “PAS Terengganu” tidak didapati asasnya kerana ide ini turut dibawa oleh Dr Mujahid Yusuf, Ahli Parlimen Parit Buntar.

Dalam Siasah keluaran yang sama, Mujahid yang juga pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS dalam satu tulisan panjangnya menjelaskan perlunya satu pendekatan baharu dalam politik negara, dengan menimbulkan persoalan, “Mungkinkah ini era kerajaan perpaduan nasional ataukah ia kerajaan persekutuan nasional yang akan terbentuk..,” memberikan harapan kepada penubuhan sebuah kerajaan perpaduan nasional baharu.

Kemudian, ekoran pelbagai isu yang timbul dalam perdebatan isu kerajaan perpaduan dan kehadiran Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri baharu, gagasan kerajaan perpaduan yang hampir menjadi konsensus itu mula ditolak.

Pada penghujung April, Abdul Hadi menjelaskan bahawa cadangan kerajaan perpaduan tidak berbangkit lagi.

Beliau dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily dalam satu laporan bertarikh 21 April bahawa ide kerajaan perpaduan ditarik balik kerana wujud ketidakfahaman dalam kalangan ahli PAS sendiri dan menimbulkan pelbagai kekeliruan, walaupun isu itu sudah dibincangkan di peringkat pemimpin tertinggi.

“Ramai yang tidak faham dengan konsep ini. Rakyat ada kebebasan. Ini ‘unity’ biar kita kena faham. Apa yang saya rasa lucu, ada orang Umno yang membangkang dan ada orang Umno yang bersetuju.

“Tetapi, orang PAS juga bangkang dia (PAS) tidak tahu. Ini menandakan, dia (orang PAS) tidak tahu apa ‘unity government.’ Barangkali kalau dia tahu bentuknya saya rasa orang boleh terima. Oleh kerana, ramai orang tidak faham, maka, saya tarik balik cadangan saya itu.”

Selepas itu, Harakahdaily melaporkan pada 18 Jun kenyataan Datuk Harun Taib, ketua Dewan Ulama yang menyebut kerajaan perpaduan tidak boleh berlaku jika hanya dengan Umno.

“Kerajaan perpaduan itu bukan hanya PAS dengan Umno sahaja, tidak timbul soal PAS-Umno. Semua parti-parti politik terlibat sama dengan Parti Keadilan Rakyat, DAP, MCA, MIC, Umno dan parti-parti di Sabah dan Sarawak baru jadi 'perpaduan.’”

Penutupan pintu kerajaan perpaduan dijelaskan lagi beberapa bulan selepas kenyataan Abdul Hadi itu. Pada Jun 2009 melalui satu kenyataan bersama pemimpin Pakatan Rakyat mengulangi pendirian kerajaan rakyat tidak lagi menjadi isu bagi gabungan itu.

Laporan Harakahdaily bertajuk Tidak Ada Lagi Bincang Kerajaan Perpaduan – Presiden PAS turut dimuatkan juga dalam blog Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang,” kata Anwar seperti dilapor Harakahdaily.

Dalam debat panjang yang tidak berkesudahan ini, dua perkara besar kelihatan sengaja diabaikan oleh pengkritik gagasan tersebut, iaitu definisi dan bentuk serta proses ke arah kerajaan perpaduan dan tindakan PAS menggugurkan agenda itu.

Kerajaan perpaduan terus didefinisikan sebagai “perpaduan PAS-Umno” yang hanya mempunyai satu bentuk, dengan kedua-dua parti bergabung dalam satu pakatan politik – mengabaikan realiti kedudukan Umno yang bekerjasama dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional – dan terus dikatakan menjadi agenda PAS walaupun kenyataan demi kenyataan menafikannya dibuat oleh pemimpin parti tersebut.

Pada masa sama, pertemuan pemimpin PAS tertentu dengan pemimpin Umno atau pegawai kerajaan tertentu juga ditafsirkan sebagai pertemuan untuk dalam tajuk “kerajaan perpaduan PAS-Umno.”

Selepas semua kenyataan menjelaskan tentang kerajaan perpaduan, isu ini terus dikemukakan sebagai gabungan PAS dengan Umno yang menjadi agenda rahsia kumpulan yang digelar “faksi Umno” dalam PAS.

Selain kenyataan, tidak ada juga sebarang perbincangan dan tindakan yang boleh dibaca sebagai meneruskan gagasan kerajaan perpaduan daripada mana-mana pihak dalam PAS, tetapi momokan “UG” yang berdasarkan tafsiran menyeleweng – yang seragam bentuknya dalam setiap komentar pengkritiknya – masih menjadi senjata kumpulan tertentu dalam PAS sendiri untuk menyimpulkan pelbagai isu, termasuk yang tidak berkaitan sama sekali dengan matlamat menjejaskan kredibiliti.

Kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi itu telah tidak ditangani dengan sewajarnya oleh banyak pihak – terutama oleh mereka yang memberi sokongan penuh kepada projek 16 September yang boleh dipertikaikan dari segi moral itu – dan menjadikannya senjata dalam kempen negatif terhadap satu kelompok dalam PAS. – 9 Jun, 2010    

Monday, August 5, 2013

Pasca-PRU 13, pengaruh LGBT meningkat?

Isu berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender telah mencetuskan pertembungan dalam politik negara sejak menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, menemukan pelbagai kumpulan dalam masyarakat dalam satu debat yang panjang dan tidak berkesudahan.

PAS, parti Islam dalam gabungan Pakatan Rakyat menjadi suara vokal dalam menentang kebangkitan kumpulan LGBT yang semakin terbuka sejak kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, parti-parti lain dalam PR mempunyai pendirian yang lebih mesra terhadap golongan itu, yang disifatkan sebagai terpinggir, tertindas dan didiskriminasi oleh masyarakat yang konservatif.

Dalam satu perkembangan yang dilihat sebagai satu kejayaan aktivisme LGBT, seorang aktivis transgender dilantik sebagai setiausaha politik dalam kerajaan negeri Pulau Pinang, negeri dikuasai DAP.

Aktivis LGBT semakin agresif memperjuangkan agenda mereka dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, dengan meletakkan harapan pada gabungan PR yang lebih liberal, walaupun gabungan ini turut disertai parti konservatif PAS.

Komuniti LGBT kelihatan bersatu dalam menyatakan sokongan politik dan berhasrat memberikan undi secara blok sebagai satu komuniti, untuk memperlihatkan kuasa undi LGBT.

Aktiviti dan kempen yang semakin terbuka oleh kelompok LGBT berpotensi meningkatkan lagi pengaruh mereka dalam ruang politik negara, ditambah lagi dengan sokongan pemimpin-pemimpin politik yang sehaluan, walaupun setakat ini belum ada pemimpin yang menunjukkan sokongan secara terbuka - selain pelantikan aktivis LGBT di Pulau Pinang.

Sejak kekecohan Seksualiti Merdeka pada 2011, komuniti LGBT semakin berani dan terbuka dalam menyatakan pendirian, menjadi satu daripada isu utama yang dibawa oleh gelombang liberal yang kuat melanda negara sejak kebelakangan ini.

Isu kebebasan LGBT, yang dibawa sebagai sebahagian perjuangan hak asasi manusia kini tidak asing lagi kepada aktivis hak asasi di negara ini, termasuk dalam kalangan aktivis yang terlibat dengan parti politik.

Isu LGBT juga kini menjadi satu isu global yang besar, terutama ekoran sokongan daripada kerajaan Amerika Syarikat di bawah Presiden Barack Obama.

Pengiktirafan terhadap gaya hidup LGBT dan perkahwinan sama jantina semakin mendapat pengiktirafan di seluruh dunia, menjadikannya bukan lagi sesuatu yang tabu di banyak negara.

April lalu, New Zealand muncul sebagai negara pertama di Asia Pasifik membenarkan perkahwinan gay, apabila parlimen negara itu meluluskan pindaan akta perkahwinan dengan majoriti besar.

Pengiktirafan perkahwinan gay di seluruh dunia ini bakal meningkatkan tekanan kepada masyarakat antarabangsa, termasuk negara-negara Islam untuk menerima norma baharu ini yang mengiktiraf kebebasan untuk golongan LGBT.

Friday, August 2, 2013

Kes hina Islam dedah peningkatan politik sektarian

Ramadan tahun ini menyaksikan satu perkembangan baharu yang menjejaskan hubungan masyarakat berbilang kaum dan agama Malaysia, ekoran berlaku kes-kes penghinaan terhadap Islam.

Kes menghina Islam oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee, dakwaan pelajar bukan Muslim dipaksa makan di tandas, dan video oleh seorang pelatih anjing beragama Islam mendedahkan politik sektarian yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Wacana politik yang rendah dan terlalu dikuasai politik identiti menjadikan isu berkaitan dengan Islam dan umat Muslim mudah diketengahkan dan diletakkan dalam kedudukan defensif.

Kedudukan Islam dan Melayu yang semakin dipersoalkan menjadi satu faktor meningkatkan kes-kes seperti ini, yang biasanya dengan segera akan mendapat respons bukan Muslim dan kelompok liberal, yang dengan segera juga mengambil pendirian menyalahkan pihak Muslim.

Contohnya dalam kes pelajar makan di bilik persalinan yang dijadikan ruang makan sementara. Peristiwa itu segera dibingkaikan sebagai satu penindasan oleh majoriti Muslim terhadap minoriti bukan Muslim, lalu respons orang ramai sebahagian besarnya segera melihatnya sebagai satu penindasan, dan melihatnya sebagai sepenuhnya satu isu pencabulan dan melanggar sensitiviti.

Hal ini demikian kerana sentimen sangat kritikal terhadap Muslim telah lama dibina, sama ada secara sengaja atau tidak, sebagai sebahagian naratif penting pihak yang menentang kedudukan agama Islam dan Melayu dalam politik negara ini.

Pada masa sama, wacana rendah hal-hal sosial dan politik negara menyumbang kepada reaksi terburu-buru yang berleluasa di laman-laman sosial, yang kemudian menyumbang kembali kepada kerendahan wacana yang telah sedia parah.

Reaksi, atau kekurangan reaksi daripada bukan Muslim dan kelompok liberal mendedahkan pembahagian jelas berdasarkan sentimen kaum, seperti yang jelas dilihat dalam kes menghina ibadat puasa dan agama Islam oleh pasangan Alvin dan Vivian.

Tidak ada reaksi keras daripada kumpulan-kumpulan Cina, bukan Muslim dan liberal berdasarkan standard yang selalu diutarakan oleh mereka berhubung sensitiviti kaum dan agama, malah ada yang merendahkan kes itu sebagai hanya tindakan bodoh, seperti tidak memahami Islam atau kerana kerendahan cita rasa (in bad taste).

Peruntukan perundangan wujud untuk menangani kes-kes seperti ini, yang bukan asing dalam dunia perundangan di seluruh dunia, tetapi sudut perundangan ini sering diperkecil dan dinafikan oleh sesetengah pihak. 

Sikap selektif mereka jelas dalam hal ini; iaitu memperbesarkan sebarang dakwaan pelanggaran sensitiviti atau penindasan oleh orang Melayu, dan menganggap pelanggaran yang sama oleh masyarakat minoriti sebagai tindakan berdasarkan kelemahan yang perlu dimaafkan.

Dalam kes Alvin dan Vivian, hakikat bahawa mereka menggunakan imej makanan yang dikenali sebagai haram kepada Muslim di negara ini beserta logo halal membuktikan pemahaman mereka yang jelas, dan sukar untuk dinilai sebagai dilakukan tanpa niat jahat.

Kes-kes seumpama ini, yang satu ketika dulu dilakukan oleh pencetus kontroversi Namewee, semuanya sebahagian daripada satu gelombang peningkatan sentimen sektarian dan keberanian melakukan provokasi dan memperlekehkan Islam dan orang Melayu.

Pemerhatian terhadap bentuk dan kecondongan laporan-laporan di media liberal, kenyataan-kenyataan tokoh bukan Muslim dan pelbagai bentuk ekspresi lain menunjukkan bukti ke arah ini.

Seiring dengan itu, respons masyarakat Muslim, termasuk daripada pemimpin-pemimpin politik sering dinilai sebagai berlebihan dan selektif.

Pada masa sama, wujud kecenderungan defensif sesetengah kumpulan dalam masyarakat Muslim, dengan cuba membawa pelbagai pembelaan untuk pelaku tindakan menghina itu.

Kecenderungan melakukan penghinaan dan provokasi terhadap Islam dan Melayu seperti ditunjukkan kes-kes diatas kini semakin jelas dan berleluasa, dan diburukkan oleh agenda kelompok-kelompok yang menyokong tindakan itu, dan respons yang tidak membantu menangani kes-kes tersebut secara yang sewajarnya.

Thursday, August 1, 2013

Di Malaysian Insider, kempen pemilihan PAS bermula

Kempen panas pemilihan kepimpinan PAS yang bakal berlangsung November nanti mula kelihatan dengan jelas di portal berita Malaysian Insider, dengan tulisan-tulisan yang negatif terhadap pemimpin-pemimpin mewakili kem ulama PAS.

Beberapa tulisan disiarkan portal itu meningkatkan dengan dramatik perhatian terhadap kem ulama dalam PAS, yang berdepan kempen negatif yang hebat sejak Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. 

Tulisan wartawan Amin Iskandar, tentang apa yang disifatkan sebagai pengaruh menantu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Zaharuddin Muhammad memulakan kempen yang tidak berselindung lagi untuk meletakkan kelompok ulama dalam keadaan defensif.

Tulisan itu, yang membandingkan hubungan Zaharuddin-Abdul Hadi dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar-Tun Abdullah Ahmad Badawi membawa satu isu yang dibawa penentang kem ulama kepada umum dengan jelas, isu yang bakal memanaskan suasana muktamar PAS nanti.

Zaharuddin membalas dakwaan wartawan tersebut, yang kemudian dilapor secara negatif oleh akhbar itu sebagai "beliau menggangap dirinya penyelamat PAS."

Tulisan Amin itu turut diiringi dengan dua surat terbuka untuk Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menggunakan nama Mohamad Abdullah yang membuat dakwaan-dakwaan serius terhadap pemimpin-pemimpin Pemuda PAS, yang sering dikaitkan dengan kecenderungan mesra Umno oleh penentangnya.

Antara dakwaan yang dibuat dalam surat pertama itu termasuk menerima dana daripada pihak yang terlibat dengan Lynas dan "membeli tanah secara tunai." 

Surat tersebut mencetuskan respons keras pihak yang disasarkan ekoran dakwaan-dakwaan serius yang sengaja diutarakan tanpa menyebut sebarang bukti, malah melibatkan ayat yang kabur seperti, "Mujur Umno tidak terbau isu pembelian hartanah secara tunai oleh beliau tempohari, sekiranya benar."

Penulis surat terbuka itu menyambung dakwaan-dakwaannya terhadap pemimpin Pemuda PAS dalam surat kedua, yang termasuk anak kepada Nik Abdul Aziz, Nik Abduh sebagai menjalani kehidupan mewah.

Bagi sesetengah pihak dalam PAS, Malaysian Insider dan portal media liberal lain dianggap mewakili kelompok penentang ulama, dengan memberi ruang dan liputan positif terhadap pemimpin-pemimpin terbabit.

Dalam kalangan Pemuda PAS, yang menjadi sasaran tulisan-tulisan tersebut, wujud spekulasi mengaitkan kempen ini dengan sumber dalaman PAS, malah menganggap sumber tersebut mendorong penerbitan artikel mengenai Zaharuddin yang selama ini hanya bahan gosip di blog dan laman sosial.

Sumber tersebut juga - yang dilihat sebagai pemain aktif dalam kempen menentang kem ulama di media - turut didakwa menulis sendiri surat terbuka tersebut menggunakan nama samaran Mohamad Abdullah.

Turut dikaitkan ialah Mohamad Sabu, timbalan presiden PAS yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Amin ekoran persamaan aliran dalam politik.

Mohamad menjadi sasaran kempen anti-Syiah yang mula berlangsung dengan agresif (yang turut mendapat respons Amin melalui tulisan terbaharunya), kempen yang dilihat berpotensi menjejaskan kedudukan beliau dalam pemilihan akan datang.

Dikemaskini pada 2 Ogos, 2013.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...