Wednesday, July 17, 2013

Krisis Mesir dan 'kegagalan Islam politik'

Oleh HARIS ZALKAPLI

Rampasan kuasa di Mesir pada malam 3 Julai lalu telah mencetuskan satu debat baru yang panas berhubung demokrasi di dunia Islam, akibat jatuhnya sebuah pemerintahan didukung gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin di Mesir, lokasi kebangkitan rakyat yang boleh dihujahkan sebagai yang paling dramatik sejak bermula kebangkitan pada hujung Disember 2011 di Afrika Utara dan Asia Barat.

Rampasan kuasa di Mesir kali ini, yang menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokratik (walaupun dengan kelebihan undi yang kecil) walau bagaimanapun dinilai dengan berbeza-beza oleh pelbagai pihak, sama ada yang terlibat mahupun yang memerhati dari jauh.

Satu isu besar yang dibincangkan dalam debat berhubung rampasan kuasa ini ialah peranan gerakan Islam, atau kumpulan Islam terlibat dalam politik dan proses demokratik pilihan raya dan pentadbiran.

Di satu pihak, rampasan kuasa yang cuba dilunakkan sebagai kuasa rakyat menjatuhkan pemimpin dengan bantuan tentera ini diberikan pelbagai justifikasi oleh penyokongnya, untuk memberi hujah bahawa perubahan pemerintahan yang berlaku itu bukan rampasan kuasa, satu tindakan yang jelas tidak demokratik.

Dalam hal ini, pegangan bahawa Islam politik telah gagal bukan sahaja dipegang dengan kuat, malah kelihatan mahu dipastikan gagal dan tidak diberi peluang sewajarnya untuk terlibat dalam politik dan pentadbiran negara.

Sesetengah pihak, dalam analisis segera berhubung perkembangan terbaru di Mesir menyimpulkan atau menyarankan bahawa Islam politik telah gagal di Mesir dengan jatuhnya pemerintahan didukung Ikhwan.

Pandangan bahawa Islam politik telah gagal walau bagaimanapun dinilai sebagai agak terlalu awal untuk dibuat, dan ditolak akademik pemerhati rantau ini.

Seorang pemerhati menegaskan bahawa peristiwa terbaru yang berlaku di Mesir "tidak menunjukkan bahawa Islamisme, sebagai satu ideologi politik, kurang popular di Mesir pasca-Mubarak berbanding sebelum 2011."

Walaupun dengan pendirian dan pendekatan yang telah dilunakkan, gerakan Islam yang menguasai politik dan pentadbiran Mesir masih dilihat - dan diperbesar-besarkan - sebagai mampu menggugat demokrasi di negara itu, sehingga rampasan kuasa ke atas Presiden Mohamed Morsi dibenarkan dan dipertahankan.

Kelompok liberal Mesir, yang sejak bermula kebangkitan rakyat mungkin melihat peluang yang besar tersedia untuk mereka dalam politik negara ini, menjadi penyokong kuat tindakan menjatuhkan Morsi melalui cara tidak demokratik, pada masa sama menggunakan alasan demokrasi.

Selepas menjadi salah satu kuasa penting kebangkitan rakyat, liberal Mesir kemudian menjadi pendukung tindakan tidak demokratik, termasuk penangkapan aktivis Ikhwan al-Muslimin, penutupan rangkaian televisyen, yang menampakkan permusuhan yang sangat kuat terhadap kelompok Islamis.

Dalam hal ini, pertembungan liberal dengan Islamis di Mesir kelihatan dengan semakin jelas, di negara Arab yang menjadi medan pertemuan, percampuran dan persaingan pelbagai aliran politik yang menarik sejak puluhan tahun lalu.

Mesir ialah tempat lahir dan medan paling sengit bagi gerakan Islam Ikhwan, yang berdepan pelbagai tekanan pemerintah sejak penubuhannya.

Pada masa sama, gerakan liberal Mesir juga boleh disifatkan sebagai yang paling maju di seluruh dunia Arab, dan menunjukkan prestasi baik dalam pilihan raya-pilihan raya yang diadakan dalam tahun-tahun terakhir pemerintahan Hosni Mubarak.

Kebangkitan rakyat yang berlaku di seluruh dunia Arab telah membuka peluang kepada dua kumpulan ini; liberal yang semakin popular dan mendapat perhatian dan sokongan kuasa-kuasa Barat dan Islamis yang menguasai massa, yang dalam kes Mesir ialah gerakan Ikhwan al-Muslimin.

Walau bagaimanapun, gerakan yang lebih meluas dan sokongan massa yang lebih kuat - dan juga sokongan kuasa serantau Qatar yang berpengaruh - melonjakkan Ikhwan al-Muslimin dan tokoh yang disokongnya.

Rampasan kuasa ini telah menghentikan dengan tiba-tiba dan dengan keras kebangkitan gerakan Islam di Mesir, yang berbeza dengan parti-parti Islam di Tunisia dan Turki berpegang pada aliran gerakan Islam yang masih dinilai sebagai tradisional, yang disebut sebagai "Islamism."

Parti yang muncul daripada serpihan Ikhwan, Parti Wasat ialah parti yang menepati ciri gerakan Islam pasca-Islamis, yang lebih terbuka dan pragmatik berbanding Ikhwan.

Sejak awal kejatuhan Mubarak, haluan parti politik berimej Islam seperti yang dilihat di Turki sering diangkat sebagai haluan yang wajar menjadi pilihan gerakan Islam yang bakal menguasai politik Mesir.

Parti politik yang berperanan penting di Tunisia selepas kejatuhan rejim lama, al-Nahda dilihat sebagai telah mengambil haluan yang selari dengan Parti Keadilan dan Pembangunan di Turki, yang dinilai sebagai sebuah parti pasca-Islamis.

Mesir yang dikuasai Ikhwan kelihatan tidak segera mengikut model Turki yang sering dilihat sebagai pilihan yang terbaik untuk Mesir bergerak ke hadapan.

Selepas kebangkitan rakyat yang disebut sesetengah pihak sebagai satu "revolusi pasca-Islamis," Mesir menampakkan satu kecenderungan untuk tidak turut sama menyertai program politik baru dunia Arab yang lebih terbuka.

Kebangkitan di dunia Arab ditegaskan pendukung pasca-Islamisme sebagai melahirkan suasana baharu yang membuka peluang kepada gagasan ini diterima ramai.

Satu yang boleh dilihat kini ialah campur tangan pihak tentera untuk menamatkan pemerintahan Islamis; Presiden Morsi dan pentadbirannya yang didukung Ikhwan, yang mempunyai persamaan dengan tindakan tentera campur tangan terhadap pemerintahan Islamis Necmettin Erbakan.

Selepas satu proses panjang, Turki muncul dengan parti yang bersifat pasca-Islamis, dan dinilai sebagai model utama pasca-Islamisme dan contoh untuk diikuti oleh dunia Arab pascarevolusi.

Banyak kemungkinan boleh berlaku di Mesir, dan masih terlalu awal untuk menilai dengan tepat dan tegas ke mana Mesir selepas ini. Tetapi apa yang jelas ialah halangan untuk gerakan Islam di Mesir sememangnya besar, dalam politik baru ekoran "revolusi pasca-Islamisme" di dunia Arab. - Julai 17, 2013

Thursday, July 4, 2013

Krisis Mesir: Satu pemerhatian ringkas

Oleh HARIS ZALKAPLI

Pada awal 2011, sejurus Presiden Hosni Mubarak dijatuhkan melalui kebangkitan massa, peringatan bahawa perjuangan sebenar baru bermula mungkin tidak benar-benar difahami ramai, sama ada yang terlibat mahu pun yang memerhati dari jauh.

Sentimen prodemokrasi yang berleluasa dan popular kelihatan telah membina pemahaman yang mengaitkan dengan terus perubahan yang dramatik dengan pendemokrasian, atau kejatuhan seorang pemimpin (atau rejim) dengan bermulanya era yang lebih demokratik.

Kuasa sebenar di Mesir, penguasa tentera, menunjukkan dengan tegas cabaran dihadapi dalam proses pendemokrasian, apabila melakukan tindakan yang menjatuhkan Presiden Mohamed Morsi dari kedudukan sebagai presiden, pada malam 3 Julai.

Tentera yang kelihatan agak kurang ke depan sejak Morsi memenangi jawatan presiden kini kembali menegaskan kuasanya, dengan kerjasama kelompok sekular dan juga liberal, dan menggunakan sentimen ketakutan terhadap "kecenderungan Islam" kelompok parti Islam dan gerakan Ikhwan al-Muslimin yang menjadi pemain penting politik Mesir masa kini.

Sifat Islamis dan implikasi negatif yang dikaitkan dengan Morsi dan kumpulan penyokongnya telah digambarkan dengan jelas sejak awal, dan sentiasa disebut-sebut sebagai satu kelemahan di pihak beliau.

Sentimen inilah - yang ada kalanya kelihatan diperbesarkan - yang mendorong kumpulan liberal memberi penentangan kuat kepada Morsi, malah turut sama menyokong tindakan tidak demokratik pihak tentera.

Kelompok liberal dalam hal ini kelihatan berlebihan dalam bermain politik dan menggunakan apa sahaja untuk mengkritik dan menjejaskan kredibiliti Morsi dan kelompok penyokongnya.

Satu pengajaran penting dalam kes Mesir ini ialah bagaimana suara rakyat yang menjatuhkan pemimpin tidak demokratik Mubarak, kemudian digunakan untuk menjatuhkan pemimpin yang dilantik melalui proses demokrasi.

Perkembangan terkini telah menunjukkan makna rakyat dan demokrasi berubah-ubah dan dipergunakan untuk tujuan politik tertentu, dan terbuka kepada mana-mana pihak yang berkemampuan mengambil manfaat.

Di pihak penyokong Morsi yang jumlahnya tetap besar, walaupun penentang pemerintah menampakkan jumlah yang sangat besar, kes ini meningkatkan krisis kepercayaan terhadap proses demokrasi.

Hal ini sangat jelas dan tidak dapat dinafikan merupakan sentimen yang berleluasa dalam kalangan penyokong pemerintah, menegaskan kepentingan kuasa besar yang bersedia mengorbankan demokrasi apabila bertentangan dengan kepentingannya.

Sejarah yang masih baru dilalui menampakkan pendirian Amerika Syarikat, sekutu rapat dan pendokong Mesir yang berhati-hati dalam menangani pergolakan yang berlaku di Mesir, mengimbangi keperluan menyokong demokrasi dan memelihara kepentingan.

Mesir ialah sekutu AS dan - bersama Israel - menjadi dalam kalangan empat penerima bantuan ketenteraan terbesar Washington. Perubahan yang berlaku ini dinilai seorang pemerhati sebagai yang dapat diterima oleh Washington.

Sudut lain, termasuk peranan Ikhwan al-Muslimin yang mempunyai hubungan sangat baik dengan Qatar, sebuah negara yang mempunyai agenda besar di dunia Arab juga perlu diberi pemerhatian sewajarnya, dalam melihat prestasi dan haluan pemerintahan Morsi dan pengaruh gerakan Ikhwan di Mesir dan dunia Arab pada masa kini.

Qatar mempunyai hubungan baik dengan Ikhwan dan memberi sokongan kepada gerakan ini, dalam usahanya membina dan mengukuhkan pengaruh di seluruh dunia Arab, sehingga mencetuskan rasa kurang senang negara Arab lain terutama monarki Teluk, yang merasa terancam oleh kebangkitan Ikhwan.

Negara kecil di Teluk Parsi itu mempunyai pengaruh kuat di Mesir ekoran penguasaan Ikhwan, dan menimbulkan banyak persoalan berhubung motif dan haluan yang bakal diambil oleh Kaherah dalam banyak hal.

Dari sudut implikasi serantau, Qatar dilihat berdepan satu cabaran dalam usahanya membina pengaruh serantau ekoran kejatuhan Morsi dan ketidaktentuan politik yang dijangka berterusan untuk beberapa bulan lagi sekurang-kurangnya.

Perkembangan terbaru di Mesir ini memerlukan penilaian yang lebih cermat dan mendalam untuk melihat permainan politiknya, di dalam negara dan antara kuasa-kuasa serantau dan global, dan tidak semudah memberi sokongan kepada mana-mana pihak.

Politik Mesir pasca-Mubarak kini menampakkan kompleksiti dan cabaran besar yang harus dihadapi rakyat Mesir, dan pada masa sama menyediakan peluang kepada pihak lain mengambil pelajaran daripadanya.

Friday, May 17, 2013

Kabinet balas jasa dan kukuhkan sokongan

Kabinet yang baru disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menampakkan pilihan yang semakin sukar dihadapi Umno yang memimpin Barisan Nasional.

Selepas pilihan raya umum yang secara praktikalnya telah menamatkan retorik 1 Malaysia, kepimpinan negara kini tertumpu pada Umno dan parti utama dari Malaysia Timur yang masih kekal kubu kuat BN.

Najib berdepan pilihan yang semakin sukar dan terhad, dan memilih apa yang ada dan diperlukan untuk mengukuhkan sokongan sedia ada dan yang masih ada selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Umno menguasai kabinet kali ini, termasuk perumahan dan kerajaan tempatan, dan pada masa sama memangku Kementerian Pengangkutan yang kedua-duanya sebelum ini dipegang oleh MCA.

Najib juga membalas jasa dengan meletakkan beberapa pemimpin dalam kabinet kali ini, termasuk pemimpin Hindraf, Waytha Moorthy Ponnusamy di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Seri Idris Jusoh di Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi.

Pelantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar - pemimpin pemuda Umno yang sebelum ini dinafikan tempatnya - ke Kementerian Belia dan Sukan juga satu tindakan membalas jasa, selain merapatkan barisan dan mengelak tindakan tawar-menawar Khairy yang boleh menjejaskan Najib.

Perkembangan ini menunjukkan Umno dan parti Melayu di Sarawak terus mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan tanpa komponen utama parti Cina, tetapi menunjukkan juga sokongan yang semakin kurang dan menyukarkan kerajaan BN mengendalikan pentadbiran negara.

Kabinet kali ini masih besar, dan beberapa pilihan kelihatan sangat mudah dipersoalkan seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Kementerian Pertahanan dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Memasukkan muka-muka baharu mungkin lebih mudah bagi Najib, berbanding meletakkan muka lama di tempat yang sewajarnya, tempat yang termasuk juga bukan di dalam kabinet.

Kabinet Najib ini dibina dengan tujuan penting membalas jasa dan mengukuhkan sokongan dalaman, dan menyediakan pemimpin-pemimpin tertentu - seperti Hishammuddin - menghadapi pemilihan parti akan datang, tetapi belum pasti dapat membina sokongan tambahan yang diperlukan, dalam menghadapi penggal ini dan mengukuhkan BN menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Monday, May 13, 2013

Peristiwa 13 Mei: Patut dilupakan atau dikaji?


Oleh RUSTAM A SANI

Dr Kua Kia Soong sebagai penulis buku May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots 1969 (Suaram: Kuala Lumpur, 2007) sungguh beruntung. Beberapa hari sebelum diterbitkan, dan beberapa hari setelah diterbitkan, bukunya masih meluas diperkatakan – dari posting di laman-laman blog hinggalah kepada kenyataan oleh timbalan perdana menteri.

Para pegawai dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sudah mulai bertindak merampas beberapa naskah buku itu dari sebuah toko buku yang ternama di Kuala Lumpur. Meskipun ada kata-kata yang bermaksud mengancam daripada timbalan menteri tentang kemungkinan buku itu diharamkan, namun sehingga waktu rencana ini ditulis pengharaman itu tampaknya masih belum terjadi.

Bahawa rakyat Malaysia begitu berminat terhadap kandungan buku ini tidaklah terlalu menghairankan saya. Peristiwa rusuhan kaum yang telah tercetus di beberapa kawasan Kuala Lumpur-Petaling Jaya dan beberapa bandar besar di Semenanjung Malaysia 38 tahun lalu itu memanglah merupakan peristiwa hitam yang penting dalam sejarah semasa negara ini.

Namun peristiwa itu tetap merupakan peristiwa yang penuh rahsia dan sukar ditafsirkan secara saksama implikasi dan pengertiannya terhadap realiti sosial dan politik negara itu.

Sehingga kini pun masih terlalu banyak yang tidak kita ketahui tentang peristiwa itu – sebahagiannya kerana banyak fakta yang sengaja dirahsiakan daripada kita untuk memberikan kredibiliti kepada penceritaan "rasmi" tentangnya, dan sebahagiannya kerana pentafsirannya yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.

Buku terbaru Kua ini menarik minat umum kerana penceritaan dan analisisnya didasarkan pada dokumen-dokumen yang sudah tidak dilindungi dan dirahsiakan lagi di Pejabat Rekod Awam di London.

Sejak dua tiga hari sebelum buku itu dilancarkan, Malaysiakini telah menyiarkan banyak bahan promosi tentang buku ini (termasuk wawancara dengan Kua). Pada 13 Mei lalu (sempena "perayaan" peristiwa itu dan Hari Ibu) pelancaran buku tersebut telah berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur.

Turut terlibat dalam forum pelancaran dan pembicaraan buku itu ialah beberapa penulis dan ahli akademik seperti Dr Syed Husin Ali, Dr S Nagarajan dan Beth Yaph – selain pembicaraan oleh Kua sendiri.
Saya sendiri sejak semula telah membuat telahan bahawa buku tersebut akan merupakan buku yang penting lagi menarik – dan akan menimbulkan perbincangan yang mendalam dan meluas di kalangan masyarakat.  Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu merupakan peristiwa yang penting, meskipun getir, untuk difahami kerana implikasinya yang mendalam terhadap ciri-ciri suasana sosial dan politik di negara kita hingga kini.

Secara kebetulan, tahun lalu (9 September 2007) saya telah memasang sebuah "posting" di laman blog saya dalam bahasa Inggeris yang berjudul: Are We Heading Towards Another May 13? Rencana itu mulanya ditawarkan kepada Malaysiakini yang enggan menyiarkannya – tetapi kemudiannya disiarkan oleh Aliran Monthly (September 2007).

Kegusaran yang telah mendorong saya menulis rencana itu ialah tanggapan saya bahawa ciri-ciri serta keriuhan wacana dan percaturan yang seringkali terjadi sekitar waktu itu amat kuat mengingatkan saya akan persamaannya yang mengerikan dengan suasana sekitar waktu tercetusnya peristiwa rusuhan kaum pada Mei 1969.

Percaturan politik yang saya maksudkan itu ialah peristiwa saling kecam mengecam – dan saling menuntut permohonan maaf – antara para pemimpin pemuda Umno (seperti Khairy Jamaluddin dan Hishamuddin Hussein yang menghunus keris) dan para pemimpin parti-parti Cina seperti MCA dan Gerakan, isu-isu yang bersifat keagamaan, isu peratusan habuan untuk pelbagai kaum sebagai kesan DEB, dan sebagainya.

Oleh itu saya berasa khuatir bahawa percaturan politik yang demikian itu akan membawa kepada kesan politik dan sosial yang sama seperti yang telah terjadi pada tahun 1969 itu.

Setelah membeli, dan membaca buku Kua itu secara sambil lalu, pada majlis pelancaran itu, memang saya akui bahawa buku tersebut merupakan suatu sumbangan penting terhadap kefahaman kita tentang sejarah sosial dan politik terkini negara ini. Namun demikian, saya tidaklah begitu yakin bahawa penerapan bahan-bahan "declassified" itu dengan sendirinya akan menaikkkan taraf maupun nilai analisis buku tersebut.

Seperti yang dinyatakan oleh Syed Husin dalam forum pelancaran buku itu, laporan para diplomat Inggeris dan para diplomat Komanwel (Australia dan New Zealand, misalnya) maupun laporan para wartawan Barat tidak semestinya lebih tepat, lebih peka malah lebih telus daripada pemerhatian orang tempatan atau penganalisis tempatan.

Bagi saya, kesimpulan paling menarik yang dikemukakan Kua dalam buku yang memanfaatkan bahan-bahan tersebut ialah bahawa peristiwa 13 Mei itu merupakan hasil daripada sebuah coup d'etat yang berhasil yang telah dilancarkan oleh beberapa pemimpin Umno lainnya dan sekumpulan para kapitalis tunjangan negara (state capitalists) terhadap Tunku Abdul Rahman yang mereka anggap terlalu berlembut dengan kaum Cina.

Selain itu, kelompok itu juga menjadi gempar oleh kedudukan mereka yang terasa goyah oleh keputusan pilihan raya umum tahun 1969 yang baru sahaja berakhir, dengan keputusan yang begitu menggalakkan bagi pihak pembangkang.

Oleh kerana golongan ini turut menguasai jentera negara, maka beberapa alat negara seperti polis dan tentera tidaklah dapat dianggap sebagai unsur-unsur yang berkecuali dalam peristiwa itu. Para "hoodlums" (samseng) Melayu dari luar juga telah diangkut ke Kuala Lumpur untuk terlibat dalam peristiwa itu.

Saya memang senantiasa menyokong seruan agar Peristiwa 13 Mei itu dikaji dengan mendalam dan terperinci – dengan mengutip sebarang bahan bukti yang mungkin dan sebarang bahan dokumen yang mungkin. Namun, kajian yang demikian itu mestilah mantap dari segi pemikiran analitisnya dan mantap perspektif intelektualnya – bukan sekadar untuk menuduh sesuatu pihak sebagai bertanggungjawab.

Bagi saya, sekarang pun – sewaktu buku Kua ini sedang mendapat perhatian dan perbincangan yang mendalam – terlalu banyak nada perbincangan yang tidak sihat yang dapat saya kesan. Dan nada perbincangan seperti itu – yang berlangsung dalam suasana dan iklim politik Malaysia yang amat perkauman (racist) sifatnya ini – tidaklah akan membawa kita kepada kefahaman yang bermanfaat.

Malah saya khuatir perbincangan yang bernada demikian itu – seperti yang telah saya nyatakan dalam posting di laman blog saya tahun lalu itu – lebih banyak kemungkinannya mencetuskan lagi peristiwa getir yang sama juga seperti Peristiwa 13 Mei itu.

Pada asasnya saya dapat melihat dua perspektif yang terbit daripada perbincangan yang telah dicetuskan oleh buku Kua ini.

Di satu pihak terdapat golongan racist Melayu. Mereka ini tetap melihat Peristiwa 13 Mei itu sebagai sesuatu yang wajar dicetuskan oleh orang Melayu – demi mempertahankan kedudukan dan hak mereka sebagai kaum peribumi.

Jika ada para ahli politik Melayu yang sebenarnya mengambil kesempatan daripada suasana keruh tahun 1969 itu, maka mereka itu harus dianggap sebagai wira dan penyelamat Melayu. Oleh itu, perbuatan jahat mereka itu tidak harus diungkit-ungkit dan diperkatakan lagi – malah harus disanjung atau sekurang-kurangnya dilupakan begitu sahaja.

Di hujung yang lain pula terdapat pandangan golongan racist bukan Melayu yang menganggap Peristiwa 13 Mei itu sesungguhnya sebagai suatu pertanda jelas tentang sifat perkauman dan sikap menindas di kalangan orang Melayu (atau satu kelompok pemimpin mereka yang bersifat fascist).

Bagi sudut pandangan ini, Peristiwa 13 Mei itu harus terus menerus dikaji dan diperkatakan – sehingga hakikat sebenarnya (yakni sikap perkauman orang Melayu itu) disedari dan dikecam – dan sikap "tidak perkauman" orang bukan Melayu, serta keperluan mereka membela diri dan menyelamatkan budaya mereka, diberikan pengikhtirafan yang sewajarnya.

Pandangan saya sendiri cenderung untuk menolak kedua-dua perspektif ini. Bagi saya sikap perkauman dalam politik Malaysia bukanlah monopoli orang Melayu atau parti pemerintah sahaja. Sikap itu, hingga ke hari ini, merupakan ciri asasi kehidupan sosial dan politik yang dominan di kalangan semua pihak dan kelompok di negara ini.

Penerusan sikap ini, bagi saya, merupakan bukti kegagalan kolektif kita semua untuk melakukan penyimpangan daripada struktur sosial yang telah diwariskan oleh situasi kolonial dalam proses pembinaan bangsa kita selepas kemerdekaan. Penerusan sikap perkauman yang masih wujud hingga kini merupakan pertanda tentang kegagalan cendekia kita semua.

Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu sekadar merupakan satu bukti tentang kegagalan tersebut. Yang bersikap racist sekitar peristiwa tersebut, sehingga mencetuskan rusuhan, bukanah sekadar Melayu dan bukan juga sekadar bukan Melayu – tetapi semuanya.

Jerit pekik para hoodlum Melayu di depan kediaman Harun Idris di Princess Road memanglah bersikap perkauman, tetapi demikianlah juga perarakan kelompok bukan Melayu di Chow Kit Road dan di Imbi Road. Di kedua-dua pihak memang terdapat para "pemimpin" jahat yang senantiasa menunggu peluang untuk memanfaatkan situasi yang genting seperti itu.

Sehingga kini realiti sosial dan politik kita masih terus berkeadaan demikian, masih belum berubah – semata-mata kerana kedangkalan cendekia kita semua. Sehingga kini juga para pemimpin yang demikian memang terdapat di semua pihak, bersiap sedia untuk memanfaatkan sebarang suasana genting yang bakal dicetuskan oleh kecetekan cedekia kita bersama itu.

Realiti inilah yang sepatunya merisaukan kita, mencemaskan kita, bukan sekadar bercakap kosong berulang-kali tentang Peristiwa 13 Mei yang sama – meskipun dengan menggunakan bukti-bukti baru dari sumber-sumber baru tetapi dengan terus menggunakan pemikiran dan kefahaman kita yang terus menerus cetek dan dangkal.

 Artikel di atas ditulis oleh Allahyarham Rustam A Sani, dan diterbitkan pertama kali dalam akhbar Siasah bilangan 48 pada 2007.

Friday, May 10, 2013

PRU 13: Ini Kalilah!, Ubah, bina sokongan Pakatan Rakyat

Slogan kempen Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu; "Ini Kalilah!" dan "Ubah" muncul sebagai slogan kempen menarik dan popular, dan mungkin telah membantu pembinaan sokongan rakyat kepada gabungan parti itu.

Dengan hanya dua slogan yang seragam dan mudah disebut ramai, PR kelihatan telah menggerakkan kempen yang berjaya, walaupun masih gagal menewaskan Barisan Nasional di peringkat persekutuan.

Slogan PR itu juga menjadi slogan yang diingati, dan pada masa sama BN tidak muncul dengan slogan yang menarik, selain "Janji Ditepati," tetapi menimbulkan pelbagai isu untuk dikemukakan di media.

Walau bagaimanapun, penyokong BN telah membalas slogan "Ini Kalilah" dengan "Lain Kalilah" yang tidak kurang menarik dan sinis.

Dibandingkan antara slogan PR dan BN kali ini, slogan PR lebih mudah dan menarik, pada masa sama slogan "Janji Ditepati" BN kelihatan seperti kerajaan yang menuntut balasan kerana telah melaksanakan tugas.

Perbandingan yang hampir sama dapat dilihat dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12, apabila Parti Keadilan Rakyat diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan slogan "Harapan Baru untuk Malaysia," dan BN dengan "Selamat, Aman, Makmur."

Dari sudut kempen dan slogan, PR jelas telah berjaya mengatasi BN, ketika kedua-dua gabungan bersaing mengemukakan janji-janji populis kepada rakyat.

Slogan yang mudah dan ringkas, yang menunjukkan kesatuan matlamat dan mudah difahami membantu menjayakan kempen, dan bakal lebih diingati dalam sejarah.

Satu contoh ialah slogan kempen calon Republikan, Dwight Eisenhower dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat pada 1952.

Berpuluh tahun sebelum kemunculan internet dan laman sosial Facebook, Eisenhower menggunakan slogan "I Like Ike" dalam kempennya, dan berganding dengan popularitinya pada masa itu, beliau akhirnya menang dalam pemilihan presiden pada pemilihan presiden 1952.

Pada zaman ini, Barack Obama muncul dengan slogan menarik "Change We Can Believe In" dan "Yes We Can," disertai imej popular Obama dengan perkataan "Hope," yang juga menarik orang ramai dan membantunya memenangi pilihan raya presiden 2008.

Slogan-slogan berjaya tersebut dapat menangkap semangat semasa, yang dirasakan oleh sejumlah besar rakyat, dan gabungan slogan menarik itu dan sokongan kuat rakyat telah menyumbang kepada pencapaian yang cemerlang dalam pilihan raya umum lalu.

Tuesday, May 7, 2013

PRU 13: Mampukah Anwar gerak protes besar-besaran?

Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkatkan usaha menggerakkan protes besar-besaran menolak keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang didakwa tidak bersih.

Satu perhimpunan besar akan diadakan di Kelana Jaya malam esok dalam usaha memulakan mobilisasi memprotes pilihan raya yang didakwa penuh dengan penipuan itu.

Kehadiran di perhimpunan itu akan menjadi satu pengukur sejauh mana protes yang mahu digerakkan oleh Anwar itu dapat dijalankan dengan berkesan.

Anwar sejak awal melalui akaun Twitter telah membina sentimen penyokong Pakatan Rakyat dengan menegaskan bahawa gabungan PR telah menang dan menggesa Umno dan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak merampas keputusan tersebut.

Rafizi Ramli, strategis PKR kini menjadi penggerak penting kempen ini apabila ditugaskan mengetuai siasatan penipuan yang didakwa itu.

Bersih, kumpulan pemerhati pilihan raya pro-PR dalam satu kenyataan menegaskan belum bersedia mengiktiraf kerajaan baharu Barisan Nasional yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, menggambarkan pendirian yang selari dengan Anwar dalam hal ini.

Bersih yang bekerjasama dengan PR mempunyai kemampuan untuk menggerakkan protes pascapilihan raya yang boleh menggugat pemerintah, mengikut model yang pernah dilakukan di beberapa negara.

Aktivis pro-PR telah menggerakkan kempen memprotes keputusan pilihan raya umum yang baharu lepas di laman sosial, termasuk dengan meletakkan gambar bertema gelap sebagai gambar profil.

Suruhanjaya Pilihan Raya didakwa bekerjasama dengan pemerintah BN melakukan pemalsuan pilihan raya sehingga membolehkan BN mengekalkan kuasa.

Antara dakwaan yang dibuat termasuk menyeludup masuk 40,000 orang "pengundi ragu" dari Sabah dan Sarawak sejak 25 April lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang walau bagaimanapun telah menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13.

Dalam mesej di akaun Facebook beliau, Abdul Hadi menulis: "Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi PAS dan Pakatan Rakyat. Terimalah keputusan ini dengan penuh kesyukuran dan kesabaran. Yakinlah sesungguhnya janji Allah pasti akan tiba."

Sebahagian besar pemimpin PR walau bagaimanapun telah mengangkat sumpah jawatan masing-masing, termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai ketua menteri Pulau Pinang.


PRU 13: Utusan Malaysia cetus api perkauman

Utusan Malaysia, akhbar dikuasai Umno meneruskan kempen bersifat perkauman melalui tajuk Apa Lagi Cina Mahu? yang mencetuskan reaksi marah banyak pihak, kurang seminggu sebelum tarikh 13 Mei yang masih mampu membangkitkan sentimen.

Tajuk muka depan dan pendirian editorial Utusan itu ditulis oleh Zulkiflee Bakar, yang artikelnya dimuatkan di muka surat 6.

Mesej disampaikan Utusan ini bertentangan dengan mesej Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dalam ucapan kemenangannya semalam, yang mengajak kepada perdamaian dan penyatuan.

Najib walau bagaimanapun dalam mengajak perdamaian nasional dilaporkan telah mempertahankan mesej Utusan itu.

Semalam, Utusan turut menyiarkan tulisan bertajuk Bukti Pengundi Cina Tak Tahu Balas Budi? di halaman 2, juga oleh Zulkiflee.

Penulis artikel ini menyifatkan pengundi Cina tidak tahu membalas budi kerana menyokong pakatan pembangkang, yang didakwa hanya mahu "memperalatkan undi mereka."

Tindakan akhbar ini juga membenarkan dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno yang bakal mencetuskan sentimen yang boleh menjuruskan kepada ketegangan ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan Utusan ini telah mengundang respons keras daripada Pakatan Rakyat dan banyak pihak lain yang mesra Umno dan BN.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Najib bertanggungjawab atas tindakan Utusan itu, yang didakwa mengikut mesej yang disampaikan Najib.

Di media sosial, pendirian tidak bersetuju dengan Utusan ini telah ditunjukkan, termasuk oleh bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Asyraf Wajdi Dusuki, ahli Umno dan juga Perkasa, turut melahirkan rasa tidak bersetuju dengan Utusan dalam tulisan di laman Facebook: "Baru lihat paparan muka depan akhbar Utusan Malaysia yang menulis Apa Lagi Cina Mahu, yang tidak sewajarnya diungkapkan oleh akhbar tersebut. 

"Walaupun jelas pola-pemilihan kali ini menunjukkan pengundi Cina menyokong pembangkang tapi usahlah meniup api kebencian yg hanya memporak-porandakan kesejahteraan negara. Seharusnya dilakukan muhasabah diri kenapa pengundi tidak menyokong daripada menyalahkan orang lain."

Malah, wartawan Utusan turut dilihat menyampaikan mesej yang dipercayai menolak permainan perkauman akhbar itu. Helmi Mohd Foad, ketua biro Selangor akhbar Utusan menulis mesej ringkas di Facebook beliau: "Tolak perkauman dan sektarian."

Utusan Malaysia dijangka berhadapan tentangan dan kecaman hebat ekoran tindakannya ini, yang secara jelas melakukan provokasi bersifat perkauman selepas kecewa dengan sokongan merosot kepada BN.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...