Sunday, January 27, 2013

Dari Gaza ke Davos, Najib tewaskan PAS dan Anwar?

Selepas selesai melawat Gaza dan menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak boleh disimpulkan sebagai berjaya dalam kempen terbaharu dalam pembinaan imej positif beliau.

Melalui lawatan ke Gaza, Palestin, Najib telah mengaitkan nama beliau dengan perjuangan yang menjadi isu penting dunia Islam itu, yang selama ini dilihat lebih dekat dengan PAS.

Gaza dan Hamas mudah dikaitkan dengan PAS, dengan PAS melalui wacana popular berhubung isu ini memudahkannya dengan mewujudkan perumpamaan Hamas ialah PAS dan Fatah ialah Umno.

Lawatan ke Gaza itu bermakna Najib telah mengambil isu yang menjadi kekuatan PAS, yang melalui pelbagai program termasuk muktamar tahunan sentiasa menjadikan Palestin sebagai isu penting, dengan wakil Hamas menjadi tetamu tetap.

Ini dengan mudah menjelaskan reaksi daripada PAS yang meremehkan dan mencela lawatan Najib itu, rata-rata dengan laras dan bahasa rendah, termasuk daripada pemimpin-pemimpin tertinggi pemuda parti itu.

Serangan terhadap lawatan Najib itu - lawatan yang apa pun niat di sebaliknya memberi kesan meningkatkan imej beliau yang akan memberi kesan positif melibatkan kalangan pengundi Melayu Muslim - menjelaskan sendiri kesan lawatan ke Gaza itu, yang merupakan satu kejayaan perhubungan awam kepada Najib.

Menambahkan lagi kejayaan lawatan ke Gaza, Najib sejurus selepas itu turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin Mesir, Presiden Mohamed Morsi, tokoh yang dipandang tinggi oleh PAS, sebahagiannya ekoran hubungan sejarah PAS dengan gerakan Ikhwan al-Muslimin.

Kejayaan ini mendorong Pakatan Rakyat meningkatkan serangan terhadap lawatan itu, dengan menimbulkan isu-isu lain yang diletakkan di bawah tajuk "hubungan Malaysia dengan Israel" dan mencari sudut-sudut tertentu untuk menimbulkan sisi negatif lawatan itu.

Kritikan pemimpin Pihak Berkuasa Palestin, Presiden Mahmoud Abbas turut diperbesarkan sesetengah pengkritik Najib untuk mengalih tumpuan dan menjejaskan kejayaan lawatan itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengulas lawatan Najib itu, dengan mengkritik tindakan hanya melawat Gaza tetapi tidak bertemu pihak Fatah yang menguasai kerajaan Palestin yang diiktiraf.

Selepas menewaskan PAS di Gaza, Najib melangkah pula ke Davos, menunjukkan penerimaan dunia Barat terhadap dirinya, sesuatu yang selama ini dikenali sebagai medan Anwar.

Kemudian, selepas melawat Gaza, Najib menyertai Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, dengan bergaya, membawa bersama wajah-wajah kosmopolitan "satu Malaysia" seperti Tony Fernandes, Datuk Seri Michelle Yeoh dan Datuk Mohd Redzuawan Ismail, yang lebih dikenali sebagai Chef Wan di Malaysia.

Di medan berprestij WEF itu juga, Najib diwawancara wartawan terkenal Amerika Syarikat, Fareed Zakaria, mengemukakan ide-ide yang kelihatan disesuaikan untuk audiens elit dunia dengan bercakap dalam bahasa liberal.

Anwar sebelum ini, pada 2010, juga pernah diwawancara oleh wartawan dan pengulas popular AS itu, dalam kemunculan di CNN yang menjadi salah satu acara penting lawatan Anwar ke AS. 

Najib dalam wawancara itu antara lain mengemukakan pandangan melakukan "engagement" dengan kumpulan-kumpulan Islam yang dilihat sebagai ekstrem, pandangan sama yang turut pernah dikemukakan oleh Anwar.

Langkah Najib dengan selesa mengemudi kempen di Davos itu boleh disifatkan satu kemenangan mengatasi Anwar, yang dikenali sebagai berkemampuan mengendalikan diri di pentas-pentas antarabangsa seperti itu.

Dalam persaingan menarik perhatian Barat, sebahagiannya dalam usaha membina sokongan politik, kejayaan di Davos ini menambahkan lagi imej positif berkaitan hubungan ini bagi Najib.

Seolah-olah membuktikan gagasan wasatiyyah beliau, Najib menunjukkan kebolehannya menguasai kedua-dua pentas Gaza yang dikenali sebagai satu simbol utama perjuangan Islam dan Davos, medan penting elit dunia dikuasai Barat.

Apa yang menarik untuk diperhatikan ialah liputan dan komentar negatif daripada lawatan ke Gaza - dan kemudian Davos - amat sedikit, termasuk daripada media liberal di Malaysia yang selama ini mudah mengaitkan Hamas dengan terorisme.

Selepas selesai dua acara besar di peringkat antarabangsa ini, Najib boleh menarik nafas lega meraikan kejayaan kempen besarnya yang memberi poin politik untuk kedua-dua audiens domestik dan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, kejayaan sebesar ini mencetuskan reaksi yang juga besar pada pihak lawan, dan pasti mendorong tindak balas yang tidak kurang dramatik dalam persaingan ini.

1 comment:

maie1958 said...

najib ialah hipokrit,cakap aja action kosong..retorik?????

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...