Saturday, May 19, 2012

Piala FA dan politik Annuar Musa

Perlawanan bola sepak melibatkan pasukan Kelantan sering membawa bersama persaingan politik parti melibatkan PAS dengan Umno.

Penguasaan PAS dalam kerajaan negeri dan Umno melalui persatuan bola sepak negeri menjadikan persaingan ini lebih sengit, dengan masing-masing berusaha dengan pelbagai cara untuk menunjukkan kaitan dan mengambil manfaat.

Kedua-dua kerajaan negeri dan persatuan bola sepak negeri sebelum ini berusaha menarik perhatian sebagai pihak yang mempunyai kaitan dalam kemenangan pasukan Kelantan, melalui pelbagai tindakan termasuk pemberian hadiah.

Kali ini, Umno, atau lebih spesifik lagi Tan Sri Annuar Musa mempunyai kepentingan terbesar dalam kemenangan pasukan bola sepak Kelantan dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby malam ini.

Walaupun PAS yang menguasai kerajaan negeri masih boleh meraih kredit, Annuar mempunyai satu kepentingan peribadi yang lebih besar dalam perlawanan malam ini, ekoran hukuman gantung daripada jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia, FAM.

Annuar menerima sokongan kuat penyokong dalam pertembungan ini, ekoran peranannya yang dianggap telah berjaya membantu meningkatkan prestasi pasukan Kelantan sejak beberapa tahun lepas.

Malah, akhbar Umno, Utusan Malaysia turut memuatkan kenyataan sokongan kepada Annuar oleh pemain Kelantan di muka depan hari ini, memetik Mohd Badhri Mohd Radzi sebagai berkata, "Saya mahu pastikan Piala FA ke Kota Bharu dan hadiahkannya kepada Tan Sri Annuar Musa."

Kenyataan yang mengaitkan terus perlawanan malam ini dengan Annuar ini memberi gambaran sokongan meluas untuk Annuar, termasuk dari kalangan Umno sendiri.

Annuar menunjukkan sikap melawan dalam menghadapi krisis dengan FAM ini, dengan sengaja melibatkan diri dalam aktiviti Persatuan Bola Sepak Kelantan, KAFA, sehingga diberi amaran keras oleh badan tertinggi bola sepak Malaysia itu.

Perlawanan malam ini, pada masa pasukan Kelantan mahu mencipta sejarah memenangi piala itu selepas dua kali tewas di perlawanan akhir sebelum ini, mendapat dimensi politik tambahan dengan adanya perjuangan peribadi presiden persatuan bola sepak negeri itu.



2 comments:

Anonymous said...

apa kau mengarut ni haris..siap bawak masuk pas sekali dalam cerita ni..

kau reti main bola tak..huhu

Haris Zalkapli said...

Boleh spesifik sikit bab mana yang mengarut tu.

Kau reti tulis panjang lebih daripada satu ayat tak. Hehe.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...