Wednesday, June 29, 2011

1 Malaysia pun komunis?

Dalam keghairahan mencegah dan mengekang demonstrasi Bersih kedua, kerajaan telah membangkitkan tentang ancaman komunisme, ekoran penangkapan sekumpulan aktivis Parti Sosialis Malaysia.

Tanpa membezakan sosialisme dengan komunisme, anasir komunisme yang pernah menjadi satu ancaman kepada negara satu masa dulu kembali dimunculkan.

Secara mudah, sosialisme lebih kepada satu bentuk fahaman berkaitan dengan pengurusan dan kawalan ekonomi oleh pemerintah, untuk memastikan kebajikan rakyat dipelihara.

Dalam banyak negara yang ditunjangi kapitalisme, unsur-unsur sosialisme wujud dengan kukuh untuk kepentingan rakyatnya seperti dilihat di negara-negara kebajikan di Eropah.

Sosialisme masih boleh berjalan di negara yang dikuasai kapitalisme. Sosialisme di negara-negara Eropah misalnya berperanan dalam memastikan hak pekerja mendapat pembelaan, dan rakyat mendapat khidmat perubatan murah atau percuma.

Sekiranya sosialisme dengan mudah dikaitkan dengan komunisme, unsur-unsur sosialisme yang dilaksanakan pemerintah juga boleh diletakkan sekali dalam satu kategori.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah memperlihatkan unsur-unsur yang boleh dikait dengan sosialisme melalui kedai 1 Malaysia dan klinik 1 Malaysia yang dilancar lebih awal.

Dari segi kegunaannya, kedai dan klinik tersebut mempunyai tujuan membantu rakyat daripada kesan-kesan buruk kapitalisme, iaitu pasaran yang membenarkan harga barang keperluan dan perkhidmatan meningkat sehingga membebankan.

Apapun yang menjadi motifnya, dari segi amalan, bantuan untuk rakyat seperti itu amat rapat dengan sosialisme. Dalam hal ini, pemerintah tentu mahu membezakan sosialisme dengan komunisme.

Peranan utama negara dalam penubuhan kedai dan klinik 1 Malaysia ini juga menyamai amalan negara-negara yang melaksanakan amalan-amalan sosialisme dalam ekonomi.

Politik sosialis dan komunis memang mempunyai persamaan, tetapi kedua-duanya bukan tidak mempunyai sebarang perbezaan sehingga boleh dengan mudah disamakan dan dikait dengan ancaman terhadap negara satu masa dulu.

3 comments:

Unknown said...

mana ada komunis? mungkin orang ingaqt lagi kisah KGV dulu. setahu aku rumah pak menteri tu setentang dengan kedutaan russia di jalan ampang hilir. sekarang barulah kita faham mengapa ada kisah KGV dulu. bila kisah komunis timbul lagi dalam tahun 2011, ia hanya nak uji sahaja. tengok apa response orang ramai, yang sibuk umno sahaja, Pas, DAP dan PKR dah masak dengan kisah komunis ini terutama menjelang bersih nak berhimpun. jadi itu cerita basilah.

Anonymous said...

Menuduh 1Malaysia adalah komunis adalah tuduhan dari orang yang dungu, fikir guna nafsu serakah, memang beginilah jadinya, dungu dan jahil.

1Malaysia adalah untuk memberikan kemudahan kepada rakyat, memberikan gagasan kepada rakyat supaya bersatu padu. Perlu diingat sistem demokrasi ada dua, satu demokrasi kapitalis, dan satu lagi demokrasi campuran di mana pasaran bebas dibenarkan dengan pemantauan oleh kerajaan supaya tidak berlaku penindasan yang keterlaluan kepada golongan pengguna dan disamping itu juga, bantuan juga diberikan kepada golongan kapitalis bagi mengurangkan harga. Itu kena faham betul-betul, kalau faham macam gerombolan Pakatan Rakyat, semua mereka kata salah kalau tak memihak mereka, kalau memihak mereka, buat jahat pun boleh, maki hamun pun boleh, maksiat pun dibela, itulah Pakatan Rakyat, beraja di mata, bersultan di hati, bodoh sombong, bodoh tak boleh diajar.

Anonymous said...

Satu tak hairan sangatlah kalau Pakatan Rakyat bising sangat pasal isu 6 orang yang disyaki melakukan kegiatan subversif dengan mengedarkan baju t berlambang tokoh komunis. Kalau nak buat kerja amal atau nak kumpul dana, tak bolehkah buat baju berlambangkan bunga, alam sekitar, dan lain-lain lukisan, mengapa ketua-ketua komunis pula dijadikan lambang baju? Ini semua adalah cara halus untuk menyemai pemikiran komunis dalam masyarakat, mula-mula baju komunis, kemudian risalah komunis, lepas itu ada perjumpaan komunis, akhir sekali menentang kerajaan sebagaimana Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara menentang Kerajaan Malaysia dari 1948 hingga 1989 dahulu. Lebih-lebih lagi golongan muda kini jenis biasa hidup senang dan suka beretorik, mana peduli susah payah generasi terdahulu membentuk negara ini mencapai kemajuan dan pembangunan seperti sekarang ini, generasi sekarang ini celik mata saja segala kemudahan, kemewahan, kesenangan di depan mata, gunakan saja, generasi dahulu, berhempas pulas, bermati-matian, bertungkus lumus, berusaha gigih sampai merah biji mata untuk membolehkan generasi kini selesa, berapa ramai anggota keselamatan yang terkorban kerana menentang kekejaman komunis yang mahu menindas rakyat negara ini. Sedarlah sama, jangan sibuk nak beretorik, orang yang celik mata sudah senang seperti generasi Y dan Z perlu selusuri sejarah negara ini dengan penuh penghayatan, baru boleh menghargai perjuangan dan susah payah generasi terdahulu yang berusaha gigih hingga generasi Y dan Z kini boleh hidup senang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...