Wednesday, October 9, 2013

Umno dan kebangkitan liberal Malaysia


Oleh HARIS ZALKAPLI

Umno ialah sebuah parti yang bersifat konservatif dari segi sosial dan sebahagian besar hal ekonomi.

Sejarah parti ini menyebabkannya sentiasa mempunyai bahagian konservatif yang kuat, terutama daripada kalangan ahli akar umbi yang membentuk kekuatan parti.

Sebagai sebuah parti etnonasionalis, hal melibatkan bangsa Melayu dan agama Islam mendorong Umno menjadi sebuah parti yang konservatif melibatkan isu kaum dan agama.

Walau bagaimanapun, Umno juga tidak asing dengan pendekatan pragmatik, yang mengetepikan beberapa pegangan utama parti dalam mengemudi politik dan pentadbiran negara bersama parti-parti komponen Barisan Nasional.

Dalam sejarah persaingannya dengan PAS, Umno lebih cenderung kepada sikap yang relatif lebih liberal, sekular dan pragmatik, berbanding PAS yang lebih berpegang pada prinsip didasari agama Islam.

Tetapi perkembangan politik terkini yang menyaksikan gelombang liberal melanda telah menunjukkan potensi untuk Umno bergerak menjadi lebih liberal, sehingga mungkin menyaingi beberapa sisi parti-parti liberal dalam politik negara.

Di bawah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Umno terpaksa memperjuangkan gagasan 1 Malaysia, yang walaupun agak kabur dan cair, tetap mempunyai ciri liberal yang agak jelas.

Jenama politik Najib ini diberikan tafsiran yang lebih liberal oleh seteru-seteru - malah rakan-rakan - politik Umno, dan ditafsirkan sebagai satu janji atau garis panduan dasar-dasar dan pendekatan pentadbiran Najib.

Hal ini demikian sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam Umno sendiri, terutama ketika liberal meningkatkan serangan dan sisi lebih konservatif Umno kelihatan terpaksa dipendam demi memasarkan jenama baharu dibawa Perdana Menteri Najib.

Sekitar masa yang sama Umno berusaha menunjukkan wajah yang lebih liberal, muncul kumpulan sayap kanan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Perkasa, yang secara praktisnya menjadi sayap kanan Umno untuk menangani isu-isu yang dilihat tidak sehaluan dengan jenama liberal 1 Malaysia.

Perkembangan ini menandakan perpisahan Umno dengan pendekatan konservatif yang dibawa selama ini, menandakan politik baharu yang terpaksa ditempuhi oleh Umno dalam landskap terkini politik negara.

Umno yang menguasai BN sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 mula bergerak ke tengah dalam spektrum ideologi, dengan Najib memberanikan diri menangani sendiri hal-hal yang menjadi pengenalan sifat konservatif Umno.

Selain pemansuhan beberapa undang-undang berkaitan keselamatan, Najib semakin kuat berusaha menunjukkan wajah baharu Umno kepada masyarakat.

Walau bagaimanapun, dalam Umno sendiri, haluan baharu Najib ini tidak diterima sepenuhnya malah dilihat sesetengah pihak sebagai satu kelemahan besar Najib yang tunduk kepada tuntutan liberal dalam usaha menarik sokongan.

Terkini, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) semakin menerima kecaman hebat elemen lebih konservatif dalam Umno, yang dapat diperhatikan melalui serangan-serangan daripada blog-blog Umno.

Pengendali blog Umno merupakan elemen paling berhaluan kanan dalam Umno, dan memainkan peranan sebagai penyampai suara dan pendesak kumpulan lebih konservatif dalam parti itu.

Sejak mula berperanan aktif bermula 2008, kumpulan lebih konservatif ini telah beberapa kali menunjukkan kekecewaan terhadap beberapa tindakan Najib yang cenderung menyebelahi liberal.

Dalam hal ini juga, Najib semakin dilihat dengan kritikal oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang menaikkan Najib dan memberi sokongan (dan nasihat) kepadanya hingga ke hari ini, yang masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam Umno.

Mahathir berada di kem konservatif dalam Umno, yang hari demi hari semakin mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan Najib yang semakin liberal.

Pada masa sama, pemimpin muda Khairy Jamaluddin Abu Bakar semakin meningkat naik dalam Umno dan pentadbiran Najib, dan semakin dinilai sebagai salah seorang pemimpin utama masa depan Umno.

Khairy menampakkan dengan jelas kecenderungan liberal, yang agak jauh berbeza dengan pendirian yang diterima sebahagian besar pemimpin dan ahli Umno.

Sebelum ini, elemen sayap kanan dalam Umno pernah menunjukkan penentangan kuat terhadap rancangan pelantikannya ke dalam kabinet, yang didakwa dipertimbangkan dengan serius oleh Najib.

Selepas pilihan raya yang lepas, Khairy tidak dapat dikekang lagi dan diberikan satu kedudukan dalam kabinet, dan memulakan kembali pendakiannya ke kedudukan yang lebih tinggi.

Perkembangan ini berpotensi menampakkan lagi perbezaan antara kelompok lebih liberal dan yang lebih berkecenderungan konservatif dalam Umno.

Berdasarkan perkembangan terkini, elemen liberal kelihatan mempunyai masa depan yang semakin cerah dalam Umno. - September 10, 2013.

Thursday, August 15, 2013

Mengimbas kembali 'kerajaan perpaduan'

Isu kerajaan perpaduan kembali mendapat perhatian ekoran satu laporan Asia Sentinel, diikuti dengan tulisan memberi gambaran positif usaha itu di Malaysian Insider - dengan tajuk hampir sama dengan artikel di bawah. Perkembangan ini ialah yang terkini selepas episod rundingan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Pilihan Raya Umum ke-12. Di bawah ini ialah tulisan pada Jun 2010 menjelaskan isu kerajaan perpaduan yang disuarakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tulisan ini pernah disiarkan akhbar Siasah.

Oleh HARIS ZALKAPLI

Ketika bermula muktamar tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu, Kelantan minggu ini, pelbagai isu yang berkaitan dengan permainan politik dalaman parti ini sudah pun tersebar di pelbagai media termasuk blog.

Satu isu perenial yang ditimbulkan untuk mencapai tujuan politik kelompok ialah kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan oleh presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun lalu.

Dalam wacana popular kelompok tertentu, isu ini ditimbulkan secara mudah, tanpa penjelasan yang definitif yang boleh menyanggah kebolehlaksanaan ide tersebut.

Kerajaan perpaduan, yang disebut sebagai “UG” (singkatan kepada unity government) dijadikan simbol dalam kempen negatif terhadap Abdul hadi dan sesiapa sahaja yang dilabel “pro-UG.”

Hampir semua isu, daripada pertemuan di rumah terbuka hingga kepada pemberian credential media kepada penulis blog di muktamar diletakkan secara mudah di bawah tajuk besar “UG.”

Berdasarkan pemerhatian pada sejarah singkat wacana kerajaan perpaduan dalam PAS, kempen negatif yang dimainkan secara berterusan itu dapat dibuktikan sebagai satu tindakan politik kelompok yang tidak berdasarkan sebarang bukti.

Ide kerajaan perpaduan yang paling jelas oleh Abdul Hadi dicetuskan dalam satu wawancara yang disiarkan Siasah keluaran ke-138 (1 hingga 7 Mac, 2009). Muka depan Siasah keluaran itu memuatkan berita utama bertajuk Negara Tanpa Pembangkang, yang menyusuli siri tumpuan kepada “politik damai” yang dicadangkan oleh Siasah.

Dalam wawancara itu, Abdul Hadi menerangkan cadangan kerajaan perpaduan dengan mengambil contoh Indonesia di bawah bekas Presiden BJ Habibie. Jelas Abdul Hadi, kerajaan perpaduan ini akan melibatkan semua parti politik menjadi sebahagian kerajaan, dan bukan hanya melibatkan PAS dengan Umno.

Ketika itu, cadangan ini menerima reaksi positif daripada banyak pihak dalam PAS sekurang-kurangnya, dengan isu kerjasama PAS dengan Umno tidak ditimbulkan langsung.

Malah, dakwaan bahawa cadangan kerajaan perpaduan dibawa hanya oleh Abdul Hadi dan “PAS Terengganu” tidak didapati asasnya kerana ide ini turut dibawa oleh Dr Mujahid Yusuf, Ahli Parlimen Parit Buntar.

Dalam Siasah keluaran yang sama, Mujahid yang juga pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS dalam satu tulisan panjangnya menjelaskan perlunya satu pendekatan baharu dalam politik negara, dengan menimbulkan persoalan, “Mungkinkah ini era kerajaan perpaduan nasional ataukah ia kerajaan persekutuan nasional yang akan terbentuk..,” memberikan harapan kepada penubuhan sebuah kerajaan perpaduan nasional baharu.

Kemudian, ekoran pelbagai isu yang timbul dalam perdebatan isu kerajaan perpaduan dan kehadiran Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri baharu, gagasan kerajaan perpaduan yang hampir menjadi konsensus itu mula ditolak.

Pada penghujung April, Abdul Hadi menjelaskan bahawa cadangan kerajaan perpaduan tidak berbangkit lagi.

Beliau dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily dalam satu laporan bertarikh 21 April bahawa ide kerajaan perpaduan ditarik balik kerana wujud ketidakfahaman dalam kalangan ahli PAS sendiri dan menimbulkan pelbagai kekeliruan, walaupun isu itu sudah dibincangkan di peringkat pemimpin tertinggi.

“Ramai yang tidak faham dengan konsep ini. Rakyat ada kebebasan. Ini ‘unity’ biar kita kena faham. Apa yang saya rasa lucu, ada orang Umno yang membangkang dan ada orang Umno yang bersetuju.

“Tetapi, orang PAS juga bangkang dia (PAS) tidak tahu. Ini menandakan, dia (orang PAS) tidak tahu apa ‘unity government.’ Barangkali kalau dia tahu bentuknya saya rasa orang boleh terima. Oleh kerana, ramai orang tidak faham, maka, saya tarik balik cadangan saya itu.”

Selepas itu, Harakahdaily melaporkan pada 18 Jun kenyataan Datuk Harun Taib, ketua Dewan Ulama yang menyebut kerajaan perpaduan tidak boleh berlaku jika hanya dengan Umno.

“Kerajaan perpaduan itu bukan hanya PAS dengan Umno sahaja, tidak timbul soal PAS-Umno. Semua parti-parti politik terlibat sama dengan Parti Keadilan Rakyat, DAP, MCA, MIC, Umno dan parti-parti di Sabah dan Sarawak baru jadi 'perpaduan.’”

Penutupan pintu kerajaan perpaduan dijelaskan lagi beberapa bulan selepas kenyataan Abdul Hadi itu. Pada Jun 2009 melalui satu kenyataan bersama pemimpin Pakatan Rakyat mengulangi pendirian kerajaan rakyat tidak lagi menjadi isu bagi gabungan itu.

Laporan Harakahdaily bertajuk Tidak Ada Lagi Bincang Kerajaan Perpaduan – Presiden PAS turut dimuatkan juga dalam blog Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang,” kata Anwar seperti dilapor Harakahdaily.

Dalam debat panjang yang tidak berkesudahan ini, dua perkara besar kelihatan sengaja diabaikan oleh pengkritik gagasan tersebut, iaitu definisi dan bentuk serta proses ke arah kerajaan perpaduan dan tindakan PAS menggugurkan agenda itu.

Kerajaan perpaduan terus didefinisikan sebagai “perpaduan PAS-Umno” yang hanya mempunyai satu bentuk, dengan kedua-dua parti bergabung dalam satu pakatan politik – mengabaikan realiti kedudukan Umno yang bekerjasama dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional – dan terus dikatakan menjadi agenda PAS walaupun kenyataan demi kenyataan menafikannya dibuat oleh pemimpin parti tersebut.

Pada masa sama, pertemuan pemimpin PAS tertentu dengan pemimpin Umno atau pegawai kerajaan tertentu juga ditafsirkan sebagai pertemuan untuk dalam tajuk “kerajaan perpaduan PAS-Umno.”

Selepas semua kenyataan menjelaskan tentang kerajaan perpaduan, isu ini terus dikemukakan sebagai gabungan PAS dengan Umno yang menjadi agenda rahsia kumpulan yang digelar “faksi Umno” dalam PAS.

Selain kenyataan, tidak ada juga sebarang perbincangan dan tindakan yang boleh dibaca sebagai meneruskan gagasan kerajaan perpaduan daripada mana-mana pihak dalam PAS, tetapi momokan “UG” yang berdasarkan tafsiran menyeleweng – yang seragam bentuknya dalam setiap komentar pengkritiknya – masih menjadi senjata kumpulan tertentu dalam PAS sendiri untuk menyimpulkan pelbagai isu, termasuk yang tidak berkaitan sama sekali dengan matlamat menjejaskan kredibiliti.

Kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi itu telah tidak ditangani dengan sewajarnya oleh banyak pihak – terutama oleh mereka yang memberi sokongan penuh kepada projek 16 September yang boleh dipertikaikan dari segi moral itu – dan menjadikannya senjata dalam kempen negatif terhadap satu kelompok dalam PAS. – 9 Jun, 2010    

Monday, August 5, 2013

Pasca-PRU 13, pengaruh LGBT meningkat?

Isu berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender telah mencetuskan pertembungan dalam politik negara sejak menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, menemukan pelbagai kumpulan dalam masyarakat dalam satu debat yang panjang dan tidak berkesudahan.

PAS, parti Islam dalam gabungan Pakatan Rakyat menjadi suara vokal dalam menentang kebangkitan kumpulan LGBT yang semakin terbuka sejak kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, parti-parti lain dalam PR mempunyai pendirian yang lebih mesra terhadap golongan itu, yang disifatkan sebagai terpinggir, tertindas dan didiskriminasi oleh masyarakat yang konservatif.

Dalam satu perkembangan yang dilihat sebagai satu kejayaan aktivisme LGBT, seorang aktivis transgender dilantik sebagai setiausaha politik dalam kerajaan negeri Pulau Pinang, negeri dikuasai DAP.

Aktivis LGBT semakin agresif memperjuangkan agenda mereka dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, dengan meletakkan harapan pada gabungan PR yang lebih liberal, walaupun gabungan ini turut disertai parti konservatif PAS.

Komuniti LGBT kelihatan bersatu dalam menyatakan sokongan politik dan berhasrat memberikan undi secara blok sebagai satu komuniti, untuk memperlihatkan kuasa undi LGBT.

Aktiviti dan kempen yang semakin terbuka oleh kelompok LGBT berpotensi meningkatkan lagi pengaruh mereka dalam ruang politik negara, ditambah lagi dengan sokongan pemimpin-pemimpin politik yang sehaluan, walaupun setakat ini belum ada pemimpin yang menunjukkan sokongan secara terbuka - selain pelantikan aktivis LGBT di Pulau Pinang.

Sejak kekecohan Seksualiti Merdeka pada 2011, komuniti LGBT semakin berani dan terbuka dalam menyatakan pendirian, menjadi satu daripada isu utama yang dibawa oleh gelombang liberal yang kuat melanda negara sejak kebelakangan ini.

Isu kebebasan LGBT, yang dibawa sebagai sebahagian perjuangan hak asasi manusia kini tidak asing lagi kepada aktivis hak asasi di negara ini, termasuk dalam kalangan aktivis yang terlibat dengan parti politik.

Isu LGBT juga kini menjadi satu isu global yang besar, terutama ekoran sokongan daripada kerajaan Amerika Syarikat di bawah Presiden Barack Obama.

Pengiktirafan terhadap gaya hidup LGBT dan perkahwinan sama jantina semakin mendapat pengiktirafan di seluruh dunia, menjadikannya bukan lagi sesuatu yang tabu di banyak negara.

April lalu, New Zealand muncul sebagai negara pertama di Asia Pasifik membenarkan perkahwinan gay, apabila parlimen negara itu meluluskan pindaan akta perkahwinan dengan majoriti besar.

Pengiktirafan perkahwinan gay di seluruh dunia ini bakal meningkatkan tekanan kepada masyarakat antarabangsa, termasuk negara-negara Islam untuk menerima norma baharu ini yang mengiktiraf kebebasan untuk golongan LGBT.

Friday, August 2, 2013

Kes hina Islam dedah peningkatan politik sektarian

Ramadan tahun ini menyaksikan satu perkembangan baharu yang menjejaskan hubungan masyarakat berbilang kaum dan agama Malaysia, ekoran berlaku kes-kes penghinaan terhadap Islam.

Kes menghina Islam oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee, dakwaan pelajar bukan Muslim dipaksa makan di tandas, dan video oleh seorang pelatih anjing beragama Islam mendedahkan politik sektarian yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Wacana politik yang rendah dan terlalu dikuasai politik identiti menjadikan isu berkaitan dengan Islam dan umat Muslim mudah diketengahkan dan diletakkan dalam kedudukan defensif.

Kedudukan Islam dan Melayu yang semakin dipersoalkan menjadi satu faktor meningkatkan kes-kes seperti ini, yang biasanya dengan segera akan mendapat respons bukan Muslim dan kelompok liberal, yang dengan segera juga mengambil pendirian menyalahkan pihak Muslim.

Contohnya dalam kes pelajar makan di bilik persalinan yang dijadikan ruang makan sementara. Peristiwa itu segera dibingkaikan sebagai satu penindasan oleh majoriti Muslim terhadap minoriti bukan Muslim, lalu respons orang ramai sebahagian besarnya segera melihatnya sebagai satu penindasan, dan melihatnya sebagai sepenuhnya satu isu pencabulan dan melanggar sensitiviti.

Hal ini demikian kerana sentimen sangat kritikal terhadap Muslim telah lama dibina, sama ada secara sengaja atau tidak, sebagai sebahagian naratif penting pihak yang menentang kedudukan agama Islam dan Melayu dalam politik negara ini.

Pada masa sama, wacana rendah hal-hal sosial dan politik negara menyumbang kepada reaksi terburu-buru yang berleluasa di laman-laman sosial, yang kemudian menyumbang kembali kepada kerendahan wacana yang telah sedia parah.

Reaksi, atau kekurangan reaksi daripada bukan Muslim dan kelompok liberal mendedahkan pembahagian jelas berdasarkan sentimen kaum, seperti yang jelas dilihat dalam kes menghina ibadat puasa dan agama Islam oleh pasangan Alvin dan Vivian.

Tidak ada reaksi keras daripada kumpulan-kumpulan Cina, bukan Muslim dan liberal berdasarkan standard yang selalu diutarakan oleh mereka berhubung sensitiviti kaum dan agama, malah ada yang merendahkan kes itu sebagai hanya tindakan bodoh, seperti tidak memahami Islam atau kerana kerendahan cita rasa (in bad taste).

Peruntukan perundangan wujud untuk menangani kes-kes seperti ini, yang bukan asing dalam dunia perundangan di seluruh dunia, tetapi sudut perundangan ini sering diperkecil dan dinafikan oleh sesetengah pihak. 

Sikap selektif mereka jelas dalam hal ini; iaitu memperbesarkan sebarang dakwaan pelanggaran sensitiviti atau penindasan oleh orang Melayu, dan menganggap pelanggaran yang sama oleh masyarakat minoriti sebagai tindakan berdasarkan kelemahan yang perlu dimaafkan.

Dalam kes Alvin dan Vivian, hakikat bahawa mereka menggunakan imej makanan yang dikenali sebagai haram kepada Muslim di negara ini beserta logo halal membuktikan pemahaman mereka yang jelas, dan sukar untuk dinilai sebagai dilakukan tanpa niat jahat.

Kes-kes seumpama ini, yang satu ketika dulu dilakukan oleh pencetus kontroversi Namewee, semuanya sebahagian daripada satu gelombang peningkatan sentimen sektarian dan keberanian melakukan provokasi dan memperlekehkan Islam dan orang Melayu.

Pemerhatian terhadap bentuk dan kecondongan laporan-laporan di media liberal, kenyataan-kenyataan tokoh bukan Muslim dan pelbagai bentuk ekspresi lain menunjukkan bukti ke arah ini.

Seiring dengan itu, respons masyarakat Muslim, termasuk daripada pemimpin-pemimpin politik sering dinilai sebagai berlebihan dan selektif.

Pada masa sama, wujud kecenderungan defensif sesetengah kumpulan dalam masyarakat Muslim, dengan cuba membawa pelbagai pembelaan untuk pelaku tindakan menghina itu.

Kecenderungan melakukan penghinaan dan provokasi terhadap Islam dan Melayu seperti ditunjukkan kes-kes diatas kini semakin jelas dan berleluasa, dan diburukkan oleh agenda kelompok-kelompok yang menyokong tindakan itu, dan respons yang tidak membantu menangani kes-kes tersebut secara yang sewajarnya.

Thursday, August 1, 2013

Di Malaysian Insider, kempen pemilihan PAS bermula

Kempen panas pemilihan kepimpinan PAS yang bakal berlangsung November nanti mula kelihatan dengan jelas di portal berita Malaysian Insider, dengan tulisan-tulisan yang negatif terhadap pemimpin-pemimpin mewakili kem ulama PAS.

Beberapa tulisan disiarkan portal itu meningkatkan dengan dramatik perhatian terhadap kem ulama dalam PAS, yang berdepan kempen negatif yang hebat sejak Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. 

Tulisan wartawan Amin Iskandar, tentang apa yang disifatkan sebagai pengaruh menantu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Zaharuddin Muhammad memulakan kempen yang tidak berselindung lagi untuk meletakkan kelompok ulama dalam keadaan defensif.

Tulisan itu, yang membandingkan hubungan Zaharuddin-Abdul Hadi dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar-Tun Abdullah Ahmad Badawi membawa satu isu yang dibawa penentang kem ulama kepada umum dengan jelas, isu yang bakal memanaskan suasana muktamar PAS nanti.

Zaharuddin membalas dakwaan wartawan tersebut, yang kemudian dilapor secara negatif oleh akhbar itu sebagai "beliau menggangap dirinya penyelamat PAS."

Tulisan Amin itu turut diiringi dengan dua surat terbuka untuk Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menggunakan nama Mohamad Abdullah yang membuat dakwaan-dakwaan serius terhadap pemimpin-pemimpin Pemuda PAS, yang sering dikaitkan dengan kecenderungan mesra Umno oleh penentangnya.

Antara dakwaan yang dibuat dalam surat pertama itu termasuk menerima dana daripada pihak yang terlibat dengan Lynas dan "membeli tanah secara tunai." 

Surat tersebut mencetuskan respons keras pihak yang disasarkan ekoran dakwaan-dakwaan serius yang sengaja diutarakan tanpa menyebut sebarang bukti, malah melibatkan ayat yang kabur seperti, "Mujur Umno tidak terbau isu pembelian hartanah secara tunai oleh beliau tempohari, sekiranya benar."

Penulis surat terbuka itu menyambung dakwaan-dakwaannya terhadap pemimpin Pemuda PAS dalam surat kedua, yang termasuk anak kepada Nik Abdul Aziz, Nik Abduh sebagai menjalani kehidupan mewah.

Bagi sesetengah pihak dalam PAS, Malaysian Insider dan portal media liberal lain dianggap mewakili kelompok penentang ulama, dengan memberi ruang dan liputan positif terhadap pemimpin-pemimpin terbabit.

Dalam kalangan Pemuda PAS, yang menjadi sasaran tulisan-tulisan tersebut, wujud spekulasi mengaitkan kempen ini dengan sumber dalaman PAS, malah menganggap sumber tersebut mendorong penerbitan artikel mengenai Zaharuddin yang selama ini hanya bahan gosip di blog dan laman sosial.

Sumber tersebut juga - yang dilihat sebagai pemain aktif dalam kempen menentang kem ulama di media - turut didakwa menulis sendiri surat terbuka tersebut menggunakan nama samaran Mohamad Abdullah.

Turut dikaitkan ialah Mohamad Sabu, timbalan presiden PAS yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Amin ekoran persamaan aliran dalam politik.

Mohamad menjadi sasaran kempen anti-Syiah yang mula berlangsung dengan agresif (yang turut mendapat respons Amin melalui tulisan terbaharunya), kempen yang dilihat berpotensi menjejaskan kedudukan beliau dalam pemilihan akan datang.

Dikemaskini pada 2 Ogos, 2013.

Wednesday, July 17, 2013

Krisis Mesir dan 'kegagalan Islam politik'

Oleh HARIS ZALKAPLI

Rampasan kuasa di Mesir pada malam 3 Julai lalu telah mencetuskan satu debat baru yang panas berhubung demokrasi di dunia Islam, akibat jatuhnya sebuah pemerintahan didukung gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin di Mesir, lokasi kebangkitan rakyat yang boleh dihujahkan sebagai yang paling dramatik sejak bermula kebangkitan pada hujung Disember 2011 di Afrika Utara dan Asia Barat.

Rampasan kuasa di Mesir kali ini, yang menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokratik (walaupun dengan kelebihan undi yang kecil) walau bagaimanapun dinilai dengan berbeza-beza oleh pelbagai pihak, sama ada yang terlibat mahupun yang memerhati dari jauh.

Satu isu besar yang dibincangkan dalam debat berhubung rampasan kuasa ini ialah peranan gerakan Islam, atau kumpulan Islam terlibat dalam politik dan proses demokratik pilihan raya dan pentadbiran.

Di satu pihak, rampasan kuasa yang cuba dilunakkan sebagai kuasa rakyat menjatuhkan pemimpin dengan bantuan tentera ini diberikan pelbagai justifikasi oleh penyokongnya, untuk memberi hujah bahawa perubahan pemerintahan yang berlaku itu bukan rampasan kuasa, satu tindakan yang jelas tidak demokratik.

Dalam hal ini, pegangan bahawa Islam politik telah gagal bukan sahaja dipegang dengan kuat, malah kelihatan mahu dipastikan gagal dan tidak diberi peluang sewajarnya untuk terlibat dalam politik dan pentadbiran negara.

Sesetengah pihak, dalam analisis segera berhubung perkembangan terbaru di Mesir menyimpulkan atau menyarankan bahawa Islam politik telah gagal di Mesir dengan jatuhnya pemerintahan didukung Ikhwan.

Pandangan bahawa Islam politik telah gagal walau bagaimanapun dinilai sebagai agak terlalu awal untuk dibuat, dan ditolak akademik pemerhati rantau ini.

Seorang pemerhati menegaskan bahawa peristiwa terbaru yang berlaku di Mesir "tidak menunjukkan bahawa Islamisme, sebagai satu ideologi politik, kurang popular di Mesir pasca-Mubarak berbanding sebelum 2011."

Walaupun dengan pendirian dan pendekatan yang telah dilunakkan, gerakan Islam yang menguasai politik dan pentadbiran Mesir masih dilihat - dan diperbesar-besarkan - sebagai mampu menggugat demokrasi di negara itu, sehingga rampasan kuasa ke atas Presiden Mohamed Morsi dibenarkan dan dipertahankan.

Kelompok liberal Mesir, yang sejak bermula kebangkitan rakyat mungkin melihat peluang yang besar tersedia untuk mereka dalam politik negara ini, menjadi penyokong kuat tindakan menjatuhkan Morsi melalui cara tidak demokratik, pada masa sama menggunakan alasan demokrasi.

Selepas menjadi salah satu kuasa penting kebangkitan rakyat, liberal Mesir kemudian menjadi pendukung tindakan tidak demokratik, termasuk penangkapan aktivis Ikhwan al-Muslimin, penutupan rangkaian televisyen, yang menampakkan permusuhan yang sangat kuat terhadap kelompok Islamis.

Dalam hal ini, pertembungan liberal dengan Islamis di Mesir kelihatan dengan semakin jelas, di negara Arab yang menjadi medan pertemuan, percampuran dan persaingan pelbagai aliran politik yang menarik sejak puluhan tahun lalu.

Mesir ialah tempat lahir dan medan paling sengit bagi gerakan Islam Ikhwan, yang berdepan pelbagai tekanan pemerintah sejak penubuhannya.

Pada masa sama, gerakan liberal Mesir juga boleh disifatkan sebagai yang paling maju di seluruh dunia Arab, dan menunjukkan prestasi baik dalam pilihan raya-pilihan raya yang diadakan dalam tahun-tahun terakhir pemerintahan Hosni Mubarak.

Kebangkitan rakyat yang berlaku di seluruh dunia Arab telah membuka peluang kepada dua kumpulan ini; liberal yang semakin popular dan mendapat perhatian dan sokongan kuasa-kuasa Barat dan Islamis yang menguasai massa, yang dalam kes Mesir ialah gerakan Ikhwan al-Muslimin.

Walau bagaimanapun, gerakan yang lebih meluas dan sokongan massa yang lebih kuat - dan juga sokongan kuasa serantau Qatar yang berpengaruh - melonjakkan Ikhwan al-Muslimin dan tokoh yang disokongnya.

Rampasan kuasa ini telah menghentikan dengan tiba-tiba dan dengan keras kebangkitan gerakan Islam di Mesir, yang berbeza dengan parti-parti Islam di Tunisia dan Turki berpegang pada aliran gerakan Islam yang masih dinilai sebagai tradisional, yang disebut sebagai "Islamism."

Parti yang muncul daripada serpihan Ikhwan, Parti Wasat ialah parti yang menepati ciri gerakan Islam pasca-Islamis, yang lebih terbuka dan pragmatik berbanding Ikhwan.

Sejak awal kejatuhan Mubarak, haluan parti politik berimej Islam seperti yang dilihat di Turki sering diangkat sebagai haluan yang wajar menjadi pilihan gerakan Islam yang bakal menguasai politik Mesir.

Parti politik yang berperanan penting di Tunisia selepas kejatuhan rejim lama, al-Nahda dilihat sebagai telah mengambil haluan yang selari dengan Parti Keadilan dan Pembangunan di Turki, yang dinilai sebagai sebuah parti pasca-Islamis.

Mesir yang dikuasai Ikhwan kelihatan tidak segera mengikut model Turki yang sering dilihat sebagai pilihan yang terbaik untuk Mesir bergerak ke hadapan.

Selepas kebangkitan rakyat yang disebut sesetengah pihak sebagai satu "revolusi pasca-Islamis," Mesir menampakkan satu kecenderungan untuk tidak turut sama menyertai program politik baru dunia Arab yang lebih terbuka.

Kebangkitan di dunia Arab ditegaskan pendukung pasca-Islamisme sebagai melahirkan suasana baharu yang membuka peluang kepada gagasan ini diterima ramai.

Satu yang boleh dilihat kini ialah campur tangan pihak tentera untuk menamatkan pemerintahan Islamis; Presiden Morsi dan pentadbirannya yang didukung Ikhwan, yang mempunyai persamaan dengan tindakan tentera campur tangan terhadap pemerintahan Islamis Necmettin Erbakan.

Selepas satu proses panjang, Turki muncul dengan parti yang bersifat pasca-Islamis, dan dinilai sebagai model utama pasca-Islamisme dan contoh untuk diikuti oleh dunia Arab pascarevolusi.

Banyak kemungkinan boleh berlaku di Mesir, dan masih terlalu awal untuk menilai dengan tepat dan tegas ke mana Mesir selepas ini. Tetapi apa yang jelas ialah halangan untuk gerakan Islam di Mesir sememangnya besar, dalam politik baru ekoran "revolusi pasca-Islamisme" di dunia Arab. - Julai 17, 2013

Thursday, July 4, 2013

Krisis Mesir: Satu pemerhatian ringkas

Oleh HARIS ZALKAPLI

Pada awal 2011, sejurus Presiden Hosni Mubarak dijatuhkan melalui kebangkitan massa, peringatan bahawa perjuangan sebenar baru bermula mungkin tidak benar-benar difahami ramai, sama ada yang terlibat mahu pun yang memerhati dari jauh.

Sentimen prodemokrasi yang berleluasa dan popular kelihatan telah membina pemahaman yang mengaitkan dengan terus perubahan yang dramatik dengan pendemokrasian, atau kejatuhan seorang pemimpin (atau rejim) dengan bermulanya era yang lebih demokratik.

Kuasa sebenar di Mesir, penguasa tentera, menunjukkan dengan tegas cabaran dihadapi dalam proses pendemokrasian, apabila melakukan tindakan yang menjatuhkan Presiden Mohamed Morsi dari kedudukan sebagai presiden, pada malam 3 Julai.

Tentera yang kelihatan agak kurang ke depan sejak Morsi memenangi jawatan presiden kini kembali menegaskan kuasanya, dengan kerjasama kelompok sekular dan juga liberal, dan menggunakan sentimen ketakutan terhadap "kecenderungan Islam" kelompok parti Islam dan gerakan Ikhwan al-Muslimin yang menjadi pemain penting politik Mesir masa kini.

Sifat Islamis dan implikasi negatif yang dikaitkan dengan Morsi dan kumpulan penyokongnya telah digambarkan dengan jelas sejak awal, dan sentiasa disebut-sebut sebagai satu kelemahan di pihak beliau.

Sentimen inilah - yang ada kalanya kelihatan diperbesarkan - yang mendorong kumpulan liberal memberi penentangan kuat kepada Morsi, malah turut sama menyokong tindakan tidak demokratik pihak tentera.

Kelompok liberal dalam hal ini kelihatan berlebihan dalam bermain politik dan menggunakan apa sahaja untuk mengkritik dan menjejaskan kredibiliti Morsi dan kelompok penyokongnya.

Satu pengajaran penting dalam kes Mesir ini ialah bagaimana suara rakyat yang menjatuhkan pemimpin tidak demokratik Mubarak, kemudian digunakan untuk menjatuhkan pemimpin yang dilantik melalui proses demokrasi.

Perkembangan terkini telah menunjukkan makna rakyat dan demokrasi berubah-ubah dan dipergunakan untuk tujuan politik tertentu, dan terbuka kepada mana-mana pihak yang berkemampuan mengambil manfaat.

Di pihak penyokong Morsi yang jumlahnya tetap besar, walaupun penentang pemerintah menampakkan jumlah yang sangat besar, kes ini meningkatkan krisis kepercayaan terhadap proses demokrasi.

Hal ini sangat jelas dan tidak dapat dinafikan merupakan sentimen yang berleluasa dalam kalangan penyokong pemerintah, menegaskan kepentingan kuasa besar yang bersedia mengorbankan demokrasi apabila bertentangan dengan kepentingannya.

Sejarah yang masih baru dilalui menampakkan pendirian Amerika Syarikat, sekutu rapat dan pendokong Mesir yang berhati-hati dalam menangani pergolakan yang berlaku di Mesir, mengimbangi keperluan menyokong demokrasi dan memelihara kepentingan.

Mesir ialah sekutu AS dan - bersama Israel - menjadi dalam kalangan empat penerima bantuan ketenteraan terbesar Washington. Perubahan yang berlaku ini dinilai seorang pemerhati sebagai yang dapat diterima oleh Washington.

Sudut lain, termasuk peranan Ikhwan al-Muslimin yang mempunyai hubungan sangat baik dengan Qatar, sebuah negara yang mempunyai agenda besar di dunia Arab juga perlu diberi pemerhatian sewajarnya, dalam melihat prestasi dan haluan pemerintahan Morsi dan pengaruh gerakan Ikhwan di Mesir dan dunia Arab pada masa kini.

Qatar mempunyai hubungan baik dengan Ikhwan dan memberi sokongan kepada gerakan ini, dalam usahanya membina dan mengukuhkan pengaruh di seluruh dunia Arab, sehingga mencetuskan rasa kurang senang negara Arab lain terutama monarki Teluk, yang merasa terancam oleh kebangkitan Ikhwan.

Negara kecil di Teluk Parsi itu mempunyai pengaruh kuat di Mesir ekoran penguasaan Ikhwan, dan menimbulkan banyak persoalan berhubung motif dan haluan yang bakal diambil oleh Kaherah dalam banyak hal.

Dari sudut implikasi serantau, Qatar dilihat berdepan satu cabaran dalam usahanya membina pengaruh serantau ekoran kejatuhan Morsi dan ketidaktentuan politik yang dijangka berterusan untuk beberapa bulan lagi sekurang-kurangnya.

Perkembangan terbaru di Mesir ini memerlukan penilaian yang lebih cermat dan mendalam untuk melihat permainan politiknya, di dalam negara dan antara kuasa-kuasa serantau dan global, dan tidak semudah memberi sokongan kepada mana-mana pihak.

Politik Mesir pasca-Mubarak kini menampakkan kompleksiti dan cabaran besar yang harus dihadapi rakyat Mesir, dan pada masa sama menyediakan peluang kepada pihak lain mengambil pelajaran daripadanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...