Tuesday, May 15, 2012

Palestin, Malaysia dan isu global umat

Tarikh hari ini, 15 Mei, diingati dalam sejarah Palestin dan umat Muslim khasnya sebagai Hari Bencana, hari wilayah Palestin pada 1948 dirampas, dan negara Zionis Israel ditubuhkan.

Sehingga ke hari ini, isu Palestin masih membelenggu umat Muslim di seluruh dunia, yang berdepan realiti kompleksiti isu ini yang menjadi sebahagian politik rantau Asia Barat dan dunia Arab dan juga seluruh dunia Islam.

Pada masa Palestin semakin mendapat perhatian dunia dan semakin diiktiraf oleh negara-negara di Barat sendiri, dunia Islam masih tidak menunjukkan kesatuan dalam menangani isu sentral umat ini.

Palestin ada kalanya, seperti dalam kes melibatkan Syria pada masa ini, tersepit di antara percaturan kuasa-kuasa serantau, yang melibatkan jiran-jiran Arab, kuasa serantau Arab Saudi, Syria, Iran, Turki dan Qatar.

Kuasa-kuasa serantau, walaupun memberi banyak bantuan dan sumbangan dalam membela Palestin, walau bagaimanapun masih menjadikan Palestin sebagai sebahagian isu hubungan luar, yang ada turun naiknya.

Satu masa dulu, Saddam Hussein menggunakan isu Palestin untuk meningkatkan imejnya, dengan cara memberi bantuan kepada rakyat negara itu. Pada masa itu, Saddam ialah pemimpin yang tidak popular dalam kalangan pemimpin-pemimpin dunia Arab.

Walaupun kekejaman Saddam diketahui, sumbangan diktator Iraq itu tetap membantu rakyat Palestin menghadapi hari-hari yang sukar di bawah penjajahan Zionis.

Pada masa ini, Iran dan Syria menjadi pihak yang banyak membantu Palestin, terutama gerakan Islam dan kumpulan politik anti-Israel di Palestin dan Lubnan, tetapi talian hayat ini sedang cuba diputuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan yang antaranya termasuk kuasa-kuasa serantau Arab saudara seagama rakyat Palestin sendiri.

Turki dan kuasa sedang meningkat Qatar juga menunjukkan kesediaan memberi bantuan kepada Palestin, walaupun pemberian bantuan itu tidak dapat dipisahkan daripada agenda politik serantau yang sedang digerakkan oleh mereka pada masa ini.

Mesir, negara yang menguatkuasakan kepungan Gaza semasa di bawah Presiden Hosni Mubarak kini menyaksikan harapan kepada Palestin, walaupun keputusan akhirnya masih tertakluk kepada politik dalaman dan hubungan dengan kuasa besar.

Dalam kalangan negara Arab seperti Arab Saudi dan negara-negara Arab di Teluk Parsi, isu Palestin tidak mendapat perhatian sewajarnya, terutama melibatkan gerakan Islam seperti Hamas yang tidak disenangi rejim-rejim tersebut.

Suasana politik di dunia Arab telah menunjukkan perhatian yang sangat sedikit diberi pada Palestin, dan isu ini lebih menjadi retorik untuk menampakkan keprihatinan kepada warga dunia Islam.

Lebih malang lagi, usaha pembelaan Palestin oleh pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil dan beberapa kerajaan Barat dan Amerika Latin jauh mengatasi usaha oleh kebanyakan negara Arab.

Daripada senario ini, dapat dilihat bahawa sokongan untuk Palestin sangat berkait rapat dengan percaturan politik pemain-pemain utama politik rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Di Malaysia, hal yang sama juga berlaku, dengan kerajaan terpaksa menurut tekanan kuasa-kuasa besar - dan kuasa-kuasa serantau dunia Arab yang berhubungan baik dengan Kuala Lumpur - dalam membuat keputusan berhubung isu-isu besar dunia Islam.

Isu Palestin juga akhirnya lebih banyak menjadi permainan politik antara pihak pemerintah dengan pembangkang, dalam pertandingan mengejar populariti untuk pilihan raya.



'Filem jubur Melayu'

Oleh MUHAMMAD LUTFI ISHAK


Perkembangan terkini dalam konteks dunia filem antarabangsa tentulah tentang anugerah Palme D‘Or 2010 yang dirangkul oleh Apichatpong Weerasethakul melalui filem arahannya Uncle Boonmee Who Can Recall His Past Lives. 

Dari beberapa sudut, khususnya dalam konteks dunia filem asia tenggara – sedikit sebanyak kita punya asas yang kuat untuk sama-sama bergembira. Anugerah Palme D’Or ialah anugerah berprestij, yang dalam beberapa sudut yang boleh dipertahankan, khususnya jika dilihat dari perjalanan sejarahnya – menjadi satu aras kepada kualiti filem dunia. 

Dan, untuk tahun 2010, yang menjadi tanda aras kepada pencapaian dan kualiti filem dunia itu, datangnya daripada Thailand.

Fakta yang terakhir ini, maksud saya filem itu datangnya daripada Thailand, dari beberapa sudut, ialah satu fakta yang pedih untuk kita. Satu soalan yang menarik di sini, jika benar para pengarah kita mahu memikirkannya, apakah istimewanya negara itu, khususnya dunia filem mereka, berbanding dengan dunia filem tempatan? 

Jawapannya, jika mahu disenaraikan, memang banyak. Salah satunya tentulah keseriusan para pengarah filem, yang menyuntik elemen-elemen serius, budaya dan "nilai hidup Thai" dalam visual mereka.

Kejayaan yang dirangkul oleh pengarah filem Thailand itu bolehlah diumpamakan seperti kejayaan Neil Amstrong memacakkan bendera Amerika Syarikat di bulan. Maksud saya, itu ialah saat bersejarah, yang mana, boleh menjadikan diri kita lebih besar di hadapan orang lain. 

Seperti mana bangsa Amerika saat Perang Dingin boleh menjadi bangga apabila berdiri di hadapan orang Rusia apabila Neil Amstrong memacakkan bendera Amerika di bulan, sekurang-kurangnya begitulah perasaan orang Thai apabila mereka bercakap tentang filem selepas ini.

Mungkin, ketika industri filem di Thailand belum lagi habis berseronok atas kejayaan tersebut, SM Zakir, dalam salah satu entri di dalam blognya menulis bahawa filem Malaysia telah "beranjak" ke satu tahap lagi, dengan penghasilan "filem jubur Melayu." 

Dalam entrinya itu, SM Zakir mencemuh fenomena filem Melayu yang terus-terusan memfilemkan hal-hal yang berkaitan dengan "jubur." Filem-filem Jubur ini hadir setelah beberapa lama filem-filem kita di layar putih secara kronologi di bingitkan oleh "enjin kereta dan motor," hilai "suara hantu" plastik dan kisah-kisah percintaan yang ketiadaan konteks dan kenihilan nilai. 

Seolah-olah, tidak ada subjek lain yang kelihatannya boleh diutarakan dalam konteks filem tempatan daripada hal-hal sebegitu. Seolah-olah, kita seperti digambarkan bahawa, aras pemikiran para pengarah kita terlalu rendah, serendah jalan raya, dan kalaupun cuba pergi lebih tinggi, hanya boleh naik setakat juburnya sahaja.

Saya bukanlah anti kebebasan berkreatif atau bersuara - namun, saya fikir, apapun hendaklah digunakan dengan baik. Selagi kita mengakui kita ini makhluk Allah, dalam pengertian seorang "khalifah" – maka, selagi itulah kita terpaksa tunduk dengan tanggungjawab atau taklif yang telah ditetapkan. 

Biarpun kita memiliki kebebasan berkreatif, namun, apakah kebebasan berkreatif itu memberikan kita lesen untuk menggunakannya semahu mungkin. Seperti kita memiliki sebilah pisau, begitulah jugalah seperti kita memiliki kebebasan berkreatif. 

Kita tidak boleh menggunakan sebilah pisau sesuka hati, atas alasan memiliki hak menggunakan pisau itu kerana pisau itu milik kita. Sebaliknya kita dituntut menggunakan pisau itu sebaik-baiknya agar tidak memberikan kemudaratan.

Berdasarkan apa yang telah berlaku, saya fikir, filem jubur dan bersifat seksual ini akan menjadi satu fenomena baru. Selepas ini kita akan melihat ramai sekali karyawan filem, dan tentunya dengan dibantu oleh produser yang hanya mencari keuntungan, akan dengan berani sekali mengarah dan menerbit filem seperti ini. 

Biarpun, alasan yang akan dikemukakan kelihatannya suci, termasuk alasan kebebasan berkreatif, dan akan dituturkan oleh "pemikir filem" yang bertaraf profesor (kangkung?) namun saya lihat, itu semua ialah satu retorik murahan bagi menutup tahap pemikiran sesetengah pengarah kita yang tin kosong. 

Sebagai mana bisingnya filem Malaysia dengan hilai hantu dan bingit enjin, begitulah bunyi tin kosong apabila diketuk. Dentingnya membingitkan, tetapi hakikat isinya kosong.

Satu perkara yang juga boleh dilihat dalam perkembangan filem-filem jubur ialah pemanifestasian isu perjuangan kebebasan seksual atau nafsu. Apakah kini filem di Malaysia, dalam konteks ini yang dilahirkan oleh pengarah Melayu – sedang mempromosikan kebebasan homoseksual dan mungkin selepas ini, lesbian. 

Hal ini (filem lesbian) tentulah tidak mustahil akan berlaku, seperti mana yang berlaku pada filem-filem jubur ini, lebih-lebih lagi apabila kita lihat fenomena tomboy yang berleluasa. Mungkin, sesetengah produser/pengarah yang sudah selesai mengarahkan filem jubur, mungkin berminat untuk  memfilemkan dan menerbitkan filem lesbian pula. 

Maka, ketika itu, terjadilah sekali lagi anjakan dalam konteks filem Melayu, dan frasa "jubur" yang digunakan sudah terpaksa ditukar kepada frasa yang kelihatannya lebih taboo.

Apakah sudah tidak ada kebebasan yang lebih penting dan mulia, selain memperkatakan tentang kebebasan di bawah? Apakah, ketika mereka terus-terusan memperjuangkan kebebasan di bawah, mereka terlupa untuk memperjuangkan kebebasan yang lebih penting dan perlu, yakni kebebasan di atas. 

Saya yakin, jika mereka menumpukan filem-filem yang menumpukan kebebasan di atas, maruah pemikiran mereka tidak akan jatuh dan menyembah jubur mereka sendiri. Tidak ada tamadun, yang mana dapat diangkat dengan filem-filem seperti ini. Malah, sering kali sejarah menyatakan yang sebaliknya.

Ketika dilema demi dilema yang berterusan dalam fenomena filem Malaysia, kita mula terfikirkan satu soalan yang lebih penting; Ke manakah hala filem kita? Atau mungkin, dalam soalan yang lebih berterus terang, apakah industri filem kita tidak mempunyai tujuan? Bolehkah industri filem kita diumpamakan seorang buta yang kehilangan tongkat?

Jawapan-jawapannya memang pedih, lebih-lebih lagi jika kita membandingkan perkembangan yang berlaku di belahan dunia filem yang lain. Jika dunia Amerika Latin terus tegar dengan konsep "Sinema Ketiga" – satu antithesis kepada filem-filem Hollywood dan Eropah, filem Iran yang tegar dengan identiti Islam dan Syiahnya – filem-filem Afrika yang mula memperlihatkan kelantangan visualnya, dan Hong Kong yang semakin jelas memperlihatkan nasionalisme Cinanya biarpun dalam ruang yang popular seperti dalam filem Ip Man misalnya – jadi, di manakah kita? 

Jawapannya, kita mulai tegar dengan filem-filem yang mensepelekan nilai Islami dan budaya Melayu, yang dalam konteks ini, perkembangannya sudah sampai pada tahap "penghasilan filem jubur Melayu."

Artikel ini pernah disiarkan dalam akhbar Siasah, 6-12 Jun, 2010. Telah menghasilkan banya karya sastera dan rencana di pelbagai penerbitan. Koleksi cerpen Cerita Malam Pertama ialah buku terbaharunya, terbitan Ameen Books. Beliau menulis di blog Dunia Tanpa Fiksyen.

Friday, May 11, 2012

Bimbang terancam, program Irshad Manji di KL batal

Program aktivis liberal Irshad Manji di Malaysia hujung minggu ini ditangguhkan ke tarikh lain akibat bimbang kemungkinan buruk yang dijangka tercetus ekoran penentangan hebat terhadap aktivis homoseksual itu.

SiasahDaily difahamkan program Manji ditangguhkan ekoran serangan terhadap programnya di Jogjakarta, Indonesia baru-barun ini.

Manji dikatakan dinasihat tidak meneruskan programnya di Kuala Lumpur yang dijadual bermula esok ekoran kebimbangan terhadap protes terhadapnya di Malaysia.

Menurut penganjurnya, Manji juga kini terpaksa menguruskan beberapa hal berhubung keselamatan dan perundangan di Indonesia.

Beberapa kumpulan, termasuk Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam dan Pemuda PAS telah menyatakan bantahan terhadap kehadiran aktivis "lesbian Muslim" dari Kanada ini yang dijadual mengadakan program diskusi buku di kedai buku Borders di Petaling Jaya esok.

Sebelum ini, programnya yang dijadual diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak dibatalkan selepas menerima bantahan banyak pihak.

UIA dilihat bimbang dengan reaksi negatif daripada program yang dijadualkan itu, selepas dikritik hebat beberapa akademik dan kumpulan intelektual Muslim kerana menjadi tuan rumah satu program membincangkan homoseksualiti pertengahan April lalu yang didakwa tidak seimbang.

Program itu disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya memberi ruang kepada aktivis LGBT (lesbian, gay, biseksual dan trangender) berforum secara terbuka dan menyaksikan penyertaan ramai aktivis LGBT.

Wednesday, May 9, 2012

Bersih mampu tumbangkan rejim BN

Oleh HARIS ZALKAPLI

Debat tentang Bersih antara kumpulan pembangkang dengan pemerintah kini tertumpu pada dakwaan agenda protes berwarna tema kuning ini untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dilaporkan mendakwa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu bertujuan menjatuhkan kerajaan, dakwaan sama yang juga dibuat oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Gabungan pembangkang Pakatan Rakyat menafikan dakwaan ini, dengan alasan protes Bersih diadakan secara aman dan tanpa senjata, dirancang untuk berlangsung hanya selama dua jam di Dataran Merdeka.

Walau bagaimanapun, menurut satu kajian terhadap kebangkitan rakyat yang aman - seperti yang berpotensi untuk dilakukan oleh Bersih - mempunyai potensi yang besar untuk berjaya menggulingkan kerajaan, berbanding penentangan bersenjata.

Kajian yang dikemukakan dalam buku Why Civil Resistance Works: The Strategic Logic of Nonviolent Conflict, membandingkan hasil kebangkitan sivil secara aman dengan penentangan bersenjata dalam sejarah dunia, dan mendapati kebangkitan aman menunjukkan rekod kejayaan lebih besar mengatasi kebangkitan bersenjata.

Antara kebangkitan aman yang disenaraikan sebagai berjaya ialah revolusi di Iran pada 1979, protes rakyat Filipina menjatuhkan Ferdinand Marcos pada 1986 dan revolusi warna di republik bekas Soviet Georgia, Ukraine dan Kyrgyzstan pada 2003 hingga 2005.

Dalam tinjauan 25 kebangkitan besar-besaran antara 1900 hingga 2006, didapati 20 daripada kempen itu bersifat aman, dan lima bersenjata. Daripada 20 itu, 14 mencapai kejayaan, manakala hanya dua daripada lima kempen bersenjata berjaya.

Walaupun kaitan dengan Bersih boleh dibuat, terdapat beberapa perbezaan seperti rejim-rejim yang dikaji jauh lebih buruk berbanding pemerintah Malaysia, dan penyertaan dalam kebangkitan yang dikaji itu melibatkan jumlah yang dalam kes paling kecil, melibatkan angka 300,000 orang.

Persamaan yang jelas setakat ini ialah melibatkan penggunaan warna, kerjasama parti politik pembangkang dengan pertubuhan bukan kerajaan dan kempen yang sistematik dan menerima perhatian masyarakat antarabangsa, serta menerima beberapa bentuk bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan asing.

Penulisnya menyimpulkan lima sebab utama yang mendorong kejayaan kebangkitan aman besar-besaran:

1. Penyertaan massa yang ramai dan pelbagai mengakibatkan gangguan (civic disruptions) besar-besaran yang boleh mendorong penyokong rejim, termasuk pasukan keselamatan menilai semula kepentingan mereka dan menjadi lebih cenderung untuk mengalihkan sokongan daripada pemerintah kepada gerakan kebangkitan. Kebanyakan akan mahu menyelamatkan diri dan bersama pihak yang menang, dan ini mendorong perubahan sokongan.

2. Tekanan terhadap kempen aman yang besar lebih berkemungkinan mencetuskan kesan buruk ke atas pemerintah, termasuk penyertaan lebih ramai dalam kebangkitan, elit pemerintah berpaling tadah dan hukuman (sanctions) ke atas rejim terbabit.

3.Kempen yang menunjukkan penyertaan jumlah besar orang awam lebih mudah mendapat sokongan masyarakat antarabangsa dan menyebabkan rejim kehilangan sokongan daripada kuasa serantau dan antarabangsa.

4. Kempen aman yang besar lebih mampu mengelak dan menggagahi tekanan rejim, berbanding kempen kumpulan yang kecil.

5. Kempen aman besar-besaran cenderung untuk lebih mampu melakukan inovasi melibatkan taktik berbanding protes kecil, menjadikan mereka lebih mampu menyusun gerakan dan menyesuaikan diri dalam menghadapi tekanan rejim.

Suasana politik dunia terutama ketika kebangkitan di dunia Arab masih dirasai kesannya oleh pemerintah di seluruh dunia, menjadikan kuasa rakyat mula dilihat mampu membawa perubahan politik.

Dalam iklim politik masa kini, seperti ditegaskan pemikir geopolitik Amerika Syarikat Zbigniew Brzezinski, "buat pertama kali dalam sejarah, hampir seluruh warga dunia aktif dan sedar politik, dan menjadi semakin interaktif."

Seperti yang dilihat dalam protes massa dari Asia Tenggara ke Asia Tengah hingga ke Afrika Utara, kebangkitan rakyat mentakrifkan dunia politik pada masa ini, menjadi satu trend global yang merebak ke seluruh dunia tanpa sekatan, digalakkan lagi oleh populasi muda yang besar dan faktor-faktor ekonomi seperti harga keperluan asas dan peluang pekerjaan.

Di Malaysia, kuasa orang muda kelihatan semakin vokal dan berani, seperti disaksikan dalam kempen-kempen melibatkan mahasiswa yang mula aktif sejak kebelakangan ini. 

Suasana ini dirasakan oleh semua kerajaan di dunia, terutama negara-negara berpemerintah autoritarian yang merupakan majoriti di Asia Barat dan Asia Tengah. Malah, negara kuasa besar Rusia turut berdepan dengan kebangkitan besar-besaran yang mampu menggugat rejim masa kini.

Dalam mempertahankan diri, pemerintah yang berdepan cabaran kebangkitan rakyat ini mengemukakan hujah sokongan kuasa Barat kepada kumpulan-kumpulan sivil dan parti pembangkang yang bersatu tenaga dalam menjatuhkan pemerintah sedia ada, dakwaan yang juga pernah dikemukakan oleh Mahathir.

Tetapi dalam banyak kes, perhatian kepada bantuan Barat ini kelihatan digunakan oleh pihak rejim untuk menutup kesalahan masing-masing dan mengalihkan beban kepada penentang.

Hal ini disebabkan peranan dimainkan oleh pertubuhan seperti Endowmen Nasional untuk Demokrasi (NED) dan dua cabang utamanya mewakili dua parti utama AS, Institut Republikan Antarabangsa (IRI) dan Institut Demokratik Nasional (NDI), yang tidak bebas daripada kritikan dari dalam AS sendiri ekoran penglibatan dalam proses politik di negara asing.

Isu sokongan Barat terutama AS ini menjadi satu topik yang hangat dalam perbincangan melibatkan peranan AS dalam usaha yang disebut "menyebarkan demokrasi" ke seluruh dunia, yang didasarkan pada doktrin Wilsonisme, satu asas penting dalam wacana dasar luar AS.

Walau bagaimanapun, perubahan dalam politik Malaysia, sekurang-kurangnya berdasarkan ucapan umum pemimpin-pemimpin politik pembangkang setakat ini masih dituntut untuk dilakukan melalui pilihan raya dan bukan aksi massa.

Perhimpunan Bersih sebelum ini memperlihatkan hasilnya dalam pilihan raya umum selepas itu, yang dilihat dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang diadakan kurang enam bulan selepas perhimpunan Bersih pertama.

Tetapi protes massa yang besar berpotensi diadakan, seperti yang dijalankan di negara-negara bekas Soviet, sekiranya keputusan pilihan raya berjaya diperlihatkan sebagai telah dipalsukan, atau proses pilihan raya masih tidak bersih sehingga menghasilkan keputusan yang tidak seperti diharapkan.

Pembinaan momentum sejak Bersih 2.0 pada Julai tahun lalu, diikuti oleh Bersih 3.0 hujung April lalu memungkinkan kebangkitan melibatkan jumlah yang besar dapat digerakkan oleh PR dan NGO yang terlibat.

Kebangkitan ini, yang dijangka akan terus didepani oleh gerakan Bersih, boleh membuka pelbagai kemungkinan termasuk menjatuhkan kerajaan BN, yang menjadi matlamat utama pembangkang.

Tetapi, satu pengajaran daripada kebangkitan massa yang perlu diperhatikan ialah potensi kemunculan faktor-faktor lain seperti elemen sektarian dan elemen negatif lain yang boleh tercetus daripada suasana yang tegang.

Kejatuhan kerajaan BN memang satu hasil yang berpotensi dicapai, tetapi pelbagai faktor boleh mengubah haluan dan sifat kebangkitan massa yang dicetuskan itu. 



Monday, May 7, 2012

BN dan PR terus bersaing rebut faedah Bersih 3.0

Selepas lebih seminggu protes Bersih 3.0 diadakan, kedua-dua pihak masih bersaing sengit merebut manfaat dan mencari sisi yang boleh memberi kelebihan politik dalam kempen masing-masing.

SiasahDaily dalam komentar 29 April lalu menegaskan bahawa "perang maklumat antara kedua-dua pihak belum menunjukkan mana-mana pihak mempunyai kelebihan yang jelas."

Terbaharu, komentar di majalah berpengaruh The Economist - yang sebelum ini memalukan pemerintah ekoran satu kes sensor - bersifat negatif kepada gerakan dikuasai Pakatan Rakyat itu memberi kelebihan pula kepada pemerintah Barisan Nasional.

Akhbar Umno, Utusan Malaysia malah menterjemahkan artikel itu dan dimuatkan dalam ruangan rencana.

Sejak berakhir perhimpunan 28 April itu, semakin jelas bahawa pihak pembangkang tidak mendapat manfaat sepenuhnya seperti dua perhimpunan sebelum ini, pada 2007 dan 2011.

Dua perhimpunan pertama menyaksikan pemerintah mengambil jalan menggunakan kekerasan terhadap demonstran, dengan kali kedua pada 2011 memperlihatkan ketidaksepakatan dalam kalangan pentadbiran Najib.

Kali pertama, imej Najib terjejas teruk ekoran liputan media antarabangsa, terutama al-Jazeera yang wartawannya memberi laporan dari tengah-tengah kekecohan ekoran disembur pemedih mata oleh polis, dengan kata-kata "Inilah demokrasi, cara Malaysia."

Kali ini, kedua-dua pihak bersaing mengemukakan versi terpilih masing-masing, dengan penilaian daripada dalam dan luar negara yang berbeza dan bercampur-campur, dan masih belum kelihatan akan berakhir segera.

Susulan perhimpunan kali ketiga ini pertama kali menyaksikan kritikan daripada kalangan penyokong pembangkang sendiri terhadap pemimpin-pemimpin politik.

Friday, May 4, 2012

Buku Faisal Tehrani dan Abdul Shukur Harun di Pesta Buku

Dua buku terbaharu terbitan Unit Buku Harakah boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, di gerai M20-M21, bilik Mawar.

Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan ialah karya terbaharu penulis dan pengkaji seni budaya Faisal Tehrani (Dr Mohd Faizal Musa), memuatkan ide-ide asas gagasan yang dinamakan "Sinema Spiritual" dan kritikan filem-filem terpilih dari seluruh dunia.

“Sesungguhnya kita tidak boleh lagi bergantung dengan produk filem seperti Lion of the Desert, atau
The Message dan dua tiga lagi filem yang sudah lapuk. Musuh Islam telah meninggalkan kita jauh, amat jauh. Maka atas semangat dan kesedaran itulah saya teringin menerjuni dalam lubuk dunia ini.

"Kerana kita sudah banyak membina masjid, kita sudah melahirkan beratus ribu graduan al-Azhar, Madinah dan Jordan tetapi ulama masih gagal menyelesaikan persoalan masyarakat malah asyik bergaduh dan terikut-ikut mengejar populariti seperti artis.

"Rasa-rasanya di sini kita tiada filem Islam (saya sedari sesetengah orang begitu alahan dengan label ini), jadi kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dan tidak ada yang paling anggun sekali dengan memulakan produk pertama kali dalam bidang perfileman dengan menghasilkan sebuah filem mengenai peranan manusia sebagai khalifah Allah,” tulis Faisal dalam sebuah artikel awalnya.

Dengan kata pengantar oleh Sasterawan Negara dan pengerusi bersama Bersih 3.0, A Samad Said, penulis veteran Abdul Shukur Harun melahirkan karya terbaharu Gelombang di Pesisir Waktu: Kumpulan Rencana Politik, Gerakan Islam, Kesusasteraan dan Kehidupan.

Buku ini mengumpulkan tulisan-tulisan terbaik Abdul Shukur yang lebih dikenali sebagai Pak Shukur oleh teman-teman wartawan yang rapat, mengenai politik negara terutama yang berkaitan dengan PAS, isu-isu sastera dan seni budaya negara.

Pak Shukur, bekas pengarang akhbar Harakah juga banyak menulis untuk akhbar Siasah semasa masih di bawah kendalian kumpulan Harakah memerhatikan perkembangan PAS dalam politik negara, melalui era kebangkitan dan paling menarik perhatiannya, selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Gelombang di Pesisir Waktu mengemukakan pandangan dan analisis dari perspektif seorang wartawan yang telah memerhatikan dunia politik dan seni budaya tempatan sejak puluhan tahun lalu.

Juga boleh didapati di gerai yang sama ialah Kebangkitan Gerakan Islam dalam Fenomena Arab Spring oleh Haris Zalkapli, buku kedua menyusuli Revolusi Global yang menganalisis perkembangan di dunia Arab dan implikasi kepada gerakan Islam.

Kebangkitan Gerakan Islam dalam Fenomena Arab Spring memberi fokus pada isu-isu berkaitan gerakan Islam dalam menangani tuntutan rakyat dan sistem politik demokrasi, persaingan kuasa-kuasa serantau di Asia Barat dan isu terbaharu yang kritikal kepada gerakan Islam Hamas, Hizbullah dan Jihad Islami, iaitu isu Syria.

Buku ini diterbitkan oleh Jundi Resources, dan dengan kata pengantar oleh Riduan Mohamad Nor.

Tuesday, May 1, 2012

Bersih antara NGO dan alat politik pembangkang

Isu identiti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, yang lebih diperkenalkan sebagai Bersih jarang dipersoalkan oleh pihak yang menyokongnya.

Sejak digerakkan pada 2007, perhimpunan Bersih dimobilisasikan atas usaha parti-parti pembangkang utama terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Walau bagaimanapun, kekecohan akibat daripada apa yang dilihat sebagai dicetuskan oleh pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali telah memulakan debat yang hangat dalam kalangan pembangkang dan masyarakat sivil berhubung kaitan rapat Bersih sebagai pertubuhan bukan kerajaan dengan Pakatan Rakyat.

Kepimpinan Bersih menegaskan autoriti mereka terhadap gabungan pertubuhan itu tetapi pada masa sama mengaku tidak dapat mengawal tindakan pemimpin-pemimpin politik.

Pemimpin-pemimpin pembangkang memang telah menunjukkan dominasi ke atas Bersih, yang salah satu kes yang dapat diperhatikan sebelum kes terbaharu ini ialah berkaitan pembatalan demonstrasi Bersih kedua oleh Anwar

Terbaharu, tindakan Anwar yang dilihat sebagai mahu mencetuskan konfrontasi yang berpotensi menjadi ganas telah sekali lagi membawa dakwaan penguasaan parti politik ke atas Bersih.

Tindakan itu yang dirakam melalui video rata-rata dilihat sebagai arahan Anwar untuk memasuki Dataran Merdeka, tindakan yang tidak menjadi sebahagian rancangan Bersih 3.0.

Apa yang berlaku itu menimbulkan dakwaan bahawa Anwar mahu insiden yang boleh digunakan untuk menjejaskan pentadbiran Najib berlaku, selepas perhimpunan berlangsung dengan agak aman sejak malam sebelumnya.

Sikap defensif Anwar dan Azmin dalam sidang media menjawab dakwaan bertanggungjawab mencetuskan insiden pada 28 April itu, dan amalan biasanya mengaitkan semua soalan yang kritikal dengan Umno  juga mencetuskan lagi persoalan dan pandangan bahawa pemimpin PKR tersebut mahu mengelak daripada bertanggungjawab.

Perkembangan selepas perhimpunan Bersih 3.0 menyaksikan kali pertama pemimpin politik terutama Anwar dikecam dan disifatkan sebagai liabiliti kepada pakatan pembangkang.

Hakikatnya, program tuntutan pilihan raya adil paling utama memberi manfaat kepada parti-parti pembangkang, antaranya kerana persaingan dalam pilihan raya umum ialah antara parti pemerintah dan pembangkang.

Pihak yang paling berkepentingan untuk menggerakkan massa bagi mencapai persepsi menerima sokongan ramai dan memberi kesan negatif kepada pemerintah ialah parti-parti pembangkang.

Boleh dijangka bahawa perhimpunan Bersih tidak akan dapat mengumpulkan puluhan atau ratusan ribu orang tanpa sentimen kepartian yang menjadi faktor penting.

Parti-parti pembangkang walau bagaimanapun tidak dapat menggerakkan kempen pilihan raya bersih dengan sendiri kerana akan memperlihatkannya sebagai satu agenda politik kepartian semata-mata, dan inilah yang menyebabkan identiti NGO diperlukan.

Program ini, yang menjadikan penyertaan massa sebagai sumber legitimasi, dilaksanakan oleh parti-parti pembangkang dengan kerjasama NGO - yang sering tidak dapat dibezakan dengan pembangkang - di seluruh dunia, yang dapat diperhatikan dalam "revolusi warna" di negara-negara bekas Soviet.

Dalam trend politik global terkini, demonstrasi massa melibatkan tuntutan pilihan raya adil ialah yang paling dapat menarik sokongan dalam dan luar negara, menjadi pilihan untuk melaksanakan perubahan rejim.

Perkembangan terbaharu mengaitkan Anwar dengan provokasi semasa Bersih 3.0 mungkin menjejaskan imej Anwar sebagai pemimpin pembangkang dan gerakan Bersih yang menjadi senjata paling berkesan pembangkang dalam menghadapi parti pemerintah.

Walau bagaimanapun Anwar dan pemimpin parti-parti pembangkang tidak dapat dielakkan daripada menguasai atau terus menjadi faktor penting dalam pergerakan Bersih.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...