Saturday, April 28, 2012

Selepas 3 petang, ketenangan Bersih 3.0 berakhir

Pengerusi Bersih 3.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dilaporkan tadi mengatakan perhimpunan kali ini berjaya dan menggesa peserta bersurai, selepas perhimpunan yang bertebaran di sekitar Masjid Jamek, Pasar Seni, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kawasan berdekatan berlangsung tanpa tindakan keras polis.

Walau bagaimanapun, keadaan tanpa kekecohan itu berakhir sekitar jam 3 petang apabila polis mula melepaskan tembakan gas pemedih mata pada sekumpulan peserta di Dataran Merdeka, dan di Jalan Raja Laut.

Perhimpunan yang dijadual hanya selama dua jam kini bakal berlangsung lebih lama, dan menyaksikan tangkapan dan pelbagai insiden lain.

Tindakan ini bakal meningkatkan perhatian dan tekanan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang dilihat berusaha menangani Bersih ketiga ini tanpa insiden yang boleh memalukan pemerintah.

Sesetengah pihak menjangka polis tidak akan melakukan tindakan keras untuk memelihara imej baik pemerintah dalam perhimpunan yang mendapat perhatian dunia ini, di samping untuk melemahkan momentum yang mahu dibina pihak Pakatan Rakyat.

Media antarabangsa telah mula melaporkan tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis, memulakan kitaran laporan negatif berhubung pemerintah Barisan Nasional yang bakal memberi manfaat kepada Pakatan Rakyat.

Perhimpunan kali ini, seperti dijangka turut menerima liputan media asing termasuk New York Times, perhatian yang dikehendaki dan diperlukan pembangkang untuk membina imej dan sokongan di peringkat antarabangsa.

Tembakan gas pemedih mata di Dataran Merdeka dilaporkan dilakukan oleh pihak polis selepas sekumpulan peserta berkeras mahu memasuki dataran tersebut untuk menunjukkan penentangan terhadap larangan polis, sesuatu yang berpotensi meningkatkan lagi ketegangan.

Ketegangan dan kekecohan akibat tembakan gas pemedih mata itu bakal melanjutkan lagi perhimpunan kali ini, yang kelihatan menyamai dan mungkin melebihi perhimpunan sebelum ini.

Perhimpunan kali ini dilihat berlaku tanpa kawalan berpusat, dengan setiap kumpulan berbeza terpisah daripada kumpulan lain, terutama kumpulan utama sekitar Masjid Jamek.

Dilaporkan ahli jawatankuasa hadir ke Sogo - salah satu lokasi peserta berhimpun - menggesa peserta untuk bersurai, lebih sejam selepas ucapan Ambiga sekitar Masjid Jamek.

Perhimpunan kali ini bermula lebih awal iaitu pada malam menjelang 28 hari bulan selepas peserta yang menjangka sekatan akan dibuat untuk menghalang kemasukan ke pusat bandar mula berkumpul di sekitar Dataran Merdeka dan hotel sekitar ibu kota.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...