Wednesday, October 19, 2011

Tolak Himpun, PAS ambil jalan selamat

PAS telah mengambil keputusan rasmi tidak terlibat dalam Perhimpunan Sejuta Umat atau Himpun yang dijadual 22 Oktober ini di Stadium Shah Alam.

Sebelum itu, PAS Selangor telah menunjukkan rasa tidak bersetuju dengan perhimpunan itu, yang kesannya boleh menjejaskan kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu yang dikuasai PKR dan DAP.

Ekoran keputusan pusat itu, PAS Selangor pimpinan Dr Rani Osman mengeluarkan arahan kepada ahlinya supaya tidak menghadiri perhimpunan itu.

Himpun menggabungkan kumpulan-kumpulan Islam pelbagai aliran dan dipengerusikan secara bersama oleh aktivis sosial Azmi Abdul Hamid dan Dr Yusri Mohamad dari Pertubuhan Pembela Islam, Pembela, yang aktif dalam menangani isu berkaitan Islam yang kurang mendapat perhatian parti-parti politik sejak kebelakangan ini.

Himpun telah mendapat sokongan banyak kumpulan Islam, pertubuhan pelajar dan parti politik, termasuk Dewan Pemuda PAS dan pemuda dan wanita Umno, dua parti utama Melayu yang bertentangan dalam politik.

Salah sebuah penganjur bersama Himpun, Forkad atau Front Bertindak Anti Murtad digerakkan oleh aktivis PAS, termasuk setiausahanya Kamaruzaman Mohamad yang juga seorang pemimpin Pemuda PAS peringkat pusat.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam kenyataan 17 Oktober lalu menyatakan sokongan kepada Himpun yang sama dengan pendiriannya terhadap perhimpunan Bersih kedua Julai lalu.

"Dewan Pemuda PAS mengambil pendekatan serupa sewaktu menyokong gabungan lebih 6 buah NGO Bersih 2.0 yang berjuang menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihan raya negara kita," menurut Nasrudin.

"Insya Allah, saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS mengambil sikap yang sama terhadap Himpunan Sejuta Umat pada 22 Oktober kelak. Semoga himpunan tersebut berjaya mencapai matlamat dan menepati objektif yang digariskan bersama berkat dan rahmat Allah SWT."

Pendirian PAS ini dilihat sebagai satu jalan selamat untuk tidak bersama satu aksi massa yang boleh memberi kesan negatif terhadap kerajaan negeri Selangor, negeri tempat berlaku kontroversi paling panas berhubung isu menyentuh sensitiviti umat Muslim terutama murtad dan penjualan arak.

Himpun secara efektif boleh menjadi satu program yang menjejaskan kerajaan negeri Selangor dan PAS di negeri itu yang mengambil pendirian selamat berhubung isu penggunaan nama Allah oleh Kristian Katolik dan siasatan pihak berkuasa agama terhadap sebuah gereja beberapa bulan lalu.

PAS dan PR kelihatan mengesyaki peranan Umno dalam perhimpunan itu, yang mempunyai rancangan merampas kembali negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Walau bagaimanapun, pendirian PAS ini menambahkan lagi kritikan bahawa parti itu tunduk kepada DAP dan PKR yang sekular dan liberal.

Perkembangan ini juga menyaksikan sikap pragmatik PAS yang banyak diperlihatkan sejak pilihan raya umum yang lalu, terutama di negeri Selangor. PAS mengambil pendirian berseberangan dengan Umno dalam banyak kes, sehingga kelihatan seolah-olah kedua-dua parti tersebut telah mengubah posisi.

PAS satu masa dahulu pernah mendesak penutupan kilang-kilang arak di Selangor, dalam kritikan konsistennya terhadap Umno yang menguasai Selangor.

Walau bagaimanapun, selepas menjadi sebahgian kerajaan negeri, parti itu dikritik kerana tidak berupaya menghalang penjualan arak di kedai 24 jam di kawasan majoriti Muslim di negeri Selangor, langkah yang jauh lebih kecil berbanding menutup kilang arak.

PAS juga sebelum ini mengkritik hebat kerajaan Umno Selangor dalam beberapa isu besar berkaitan Islam, termasuk melibatkan pemecatan mufti negeri satu masa dulu, Allahyarham Datuk Ishak Baharom ekoran kes penangkapan peserta ratu cantik beragama Islam.

Pendirian PAS itu juga memperlihatkan perbezaan dalaman berhubung isu sensitif tersebut. Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menunjukkan sokongan kepada perhimpunan itu, dan menyatakan pendirian tegas dalam waancara dengan Mingguan Malaysia Ahad lalu.

Hasan, yang sering bertentangan pendapat dengan Khalid Samad yang kini timbalan pesuruhjaya di Selangor, sebelum ini dikritik hebat ekoran sokongannya terhadap siasatan terhadap sebuah gereja Metodis yang didakwa menjalankan usaha memurtadkan orang Muslim.

Sikap terhadap Himpun juga dipercayai turut disebabkan oleh penggerak-penggeraknya yang turut melibatkan Yusri, bekas presiden Abim yang kini bertentangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekas pemimpin pertubuhan itu yang masih menguasai haluannya.

Himpun disifatkan sesetengah pihak sebagai anti-Kristian dan dibimbangi dieksploit oleh pihak tertentu yang berkepentingan, dan dikritik sebagai mengambil pendekatan salah dalam menangani isu akidah umat Muslim.

Yusri, pengerusi bersama Himpun walau bagaimanapun dilapor berkata pertubuhan itu tidak dikuasai mana-mana parti politik dan tidak dilaksanakan untuk menjadikan bukan Muslim sebagai musuh.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...