Tuesday, March 22, 2011

Najib sokong tindakan Saudi, kait pembangkang Bahrain pengganas

Selepas mengaitkan Ikhwan al-Muslimin di Mesir dengan terorisme, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mencetuskan kejutan terbaharu dengan menyokong tindakan Arab Saudi dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) melibatkan Bahrain, negara jiran Saudi.

Najib dilapor Bernama menegaskan sokongan penuh kepada keputusan Saudi dan GCC di Bahrain.

Saudi dan GCC menghantar pasukan tentera seramai kira-kira 2,000 orang bersama kereta kebal dan peralatan senjata lain ke Bahrain ekoran peningkatan protes pembangkang di negara kecil Teluk Parsi itu 14 Mac lalu.

Keganasan terhadap peserta protes tercetus dua hari selepas itu, apabila pihak berkuasa bertindak keras terhadap rakyat menyertai protes di Bulatan Mutiara.

"Kami menyokong penuh semua keputusan yang diambil oleh GCC yang bertujuan menjaga kestabilan dan keselamatan di rantau itu bagi memastikan keamanan dan keharmonian rakyat mereka.


"Malaysia mengutuk sebarang kumpulan berkaitan pengganas yang merosakkan kestabilan dan keselamatan negara,” Najib dilapor berkata.


Najib walau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih terperinci kumpulan mana yang boleh dikaitkan dengan pengganas itu, tetapi pemerintah Bahrain mendakwa pembangkang Syiah sebagai alat kuasa asing Iran yang mempunyai rancangan yang bertentangan dengan kepentingan negara Bahrain.


Kenyataan ini merupakan kali kedua Najib membuat kenyataan jelas menyokong kerajaan Arab Saudi dalam hal melibatkan konflik serantau.


Pada 2009, dalam satu kenyataan yang jarang dibuat oleh perdana menteri, Najib menyatakan sokongan penuh kepada Arab Saudi yang terlibat menyerang kumpulan Houthi di utara Yaman yang berkonflik dengan kerajaan negara itu.


"Kami mengecam dengan tegas pelakuan keganasan oleh pemberontak Houthi di sepanjang sempadan Arab Saudi. Tindakan ganas ini, yang menyebabkan kecederaan dan kematian orang awam, tidak boleh diwajarkan.


"Malaysia mengiktiraf hak sah Arab Saudi untuk mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya dan melindungi keselamatan serantau Majlis Kerjasama Teluk," tegas Najib.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...