Friday, July 13, 2007

Pendokong Idris Jusoh biadab - Pak Habib

KUALA LUMPUR: Penulis buku politik veteran Syed Hussein Alattas (Pak Habib) merasa kesal dan terhina dengan sikap ditunjukkan dipercayai salah seorang anggota rombongan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang bertindak kasar menarik bajunya ketika beliau sedang mengemukakan beberapa soalan kepada Menteri Besar berkenaan.

Menurut Pak Habib kejadian itu pertama kali berlaku dalam sejarah hidupnya sebagai penulis politik yang bebas yang disifatkan sungguh kurang ajar, biadab dan tidak profesional.

Kejadian yang turut disaksikan Idris Jusoh dan beberapa tetamu kenamaan itu berlaku ketika sidang akhbar yang diadakan oleh Idris sebaik selesai merasmikan mesyuarat agung Umno Bahagian Cheras, Ahad lalu.

Menurut Pak Habib pada mulanya beliau terfikir kejadian itu sebagai gurauan saja tetapi selepas beliau ditarik dan dihentap ia bagi beliau disengajakan dan suatu perbuatan biadab dan beranggapan ia bertujuan untuk menghalangnya mengemukakan soalan kepada Menteri Besar berkenaan.

Peristiwa itu berlaku semasa beliau bertanya kepada Menteri Besar itu berhubung dengan isu kewujudan para bloger (penulis blog di internet) yang diraskakan mencabar parti Umno dan Barisan Nasional (BN) memandangkan kebanyakan penulis blog mengkritik pihak Kerajaan.

“Saya tidak tahu apakah orang itu tidak mahu saya bertanya hal itu kepada Idris Jusoh. Cuma bagi saya bila peluang (sidang akhbar) diadakan saya merasakan berhak bertanya apa juga isu atau permasalahan politik di negara ini,” katanya.

Katanya menjadi kebiasaan apabila menteri atau perdana menteri mengadakan sidang akhbar para wartawan akan mengambil peluang bertanya sesuatu yang terfikir olehnya, dan kalaulah beliau dihalang untuk mengajukan persoalan kepada MB itu ia jelas tidak profesional.

“Pada saya kalau begitu orang yang tarik baju saya itu tidak faham mengenai tugas dan tangungjawab media massa,” katanya.

Menurut Pak Habib yang telah menghasilkan lebih 60 buku politik semasa, mulanya beliau ingin melupakan begitu saja kejadian itu tetapi ia benar-benar menyinggung perasaanya apabila lelaki berkenaan terus berkasar dengannya sewaktu berjumpa di luar tempat sidang akhbar berkenaan.

“Saya cuba bertanya dia kenapa dia berbuat begitu, tetapi nampaknya dia tidak boleh terima dan mengancam akan memukul saya kalau saya pergi kenegerinya (Terengganu). Nanti mu gi Terengganu aku akan baham (pukul) mu, katanya,” cerita Pak Habib.

Ekoran ancaman itu beberapa wartawan dan penulis mencadangkan Pak Habib agar membuat laporan polis tetapi beliau enggan bagaimanapun, katanya, dia bersedia berhadapan dengan lelaki itu di mana saja.

“Saya tidak mahu bergaduh, saya sudah tua, seharusnya saya tidak diperlakukan begitu,”kata Pak Habib kecewa.

Dalam pada itu beliau berharap sekiranya lelaki itu salah seorang rombongan Idris Jusoh beliau berharap Idris akan memberi didikan sewajarnya kerana sikap biadab begitu boleh menjejaskan reputasinya sebagai Menteri Besar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...