Monday, May 16, 2011

Kes liwat Anwar uji Pakatan Rakyat

Kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin gabungan parti-parti pembangkang Pakatan Rakyat menjadi ujian terhadap kesabaran gabungan itu menghadapi tekanan hebat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Pagi tadi hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Zabidin Mohd Diah mengarahkan Anwar membela diri dalam kes dakwaan liwat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Perkembangan yang dijangka ini meningkatkan kebimbangan pihak yang menyokong kuat kepimpinan Anwar dalam PR dan melihat tidak ada calon lain yang berkemampuan seperti pemimpin berusia 63 tahun itu.

Pihak yang menyokong kuat Anwar melihat pemimpin-pemimpin lain dalam PR terutama pemimpin parti terbesar gabungan itu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengetuai PAS sebagai tidak mempunyai kelayakan yang cukup dan tidak popular.

Ramai daripada kalangan itu menyifatkan PR akan berdepan masalah besar kekosongan kepimpinan yang boleh menjadi penyatu antara PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP sekiranya Anwar dijatuhi hukuman penjara.

Ada kalangan dalam dan luar PAS menggesa parti itu mengambil kesempatan menguasai kepimpinan PR ekoran masalah yang dihadapi Anwar.

Wujud juga kebimbangan sesetengah pihak akan mendorong PAS meninggalkan PR ekoran masalah yang dicetuskan isu video seks dikaitkan dengan Anwar dan kes liwat yang dihadapi kini.

Ketiadaan Anwar mampu memberi kesan negatif yang besar terutama kepada parti dipimpin tokoh itu, iaitu PKR yang tidak dapat dipisahkan daripada bekas timbalan perdana menteri itu.

Isu kepimpinan Anwar merupakan satu isu yang sangat divisif dalam PAS, yang menyaksikan pertembungan golongan dikuasai ulama dengan Erdogan yang pro-Anwar.

Perkembangan ini menjadikan usaha kumpulan Erdogan dalam PAS untuk menguasai kepimpinan parti dan menjadi lebih vokal menjadi lebih penting untuk agenda tersebut, terutama disebabkan penentangan dan rasa kurang senang yang kuat dalam parti Islam itu terhadap Anwar, lebih-lebih lagi selepas timbul rakaman video aksi seks yang dikaitkan dengan beliau.

Sebelum ini, muncul kenyataan terbuka dari kalangan pemimpin-pemimpin PAS yang menuntut penilaian semula persetujuan PR memilih Anwar sebagai perdana menteri sekiranya PR berjaya menubuhkan kerajaan pusat.

Ekoran pelbagai masalah yang menimpa Anwar, ada kalangan yang menggesa beliau mengundur diri daripada peranannya sebagai pemimpin pada masa ini untuk meredakan serangan Umno dan Barisan Nasional terhadap PR.

PAS menjadi parti yang paling jelas menunjukkan sikap tidak menyokong dan mempertahankan Anwar sepenuhnya ekoran muncul kes video seks, apabila ada pemimpin membuat kenyataan yang tidak membela Anwar dan menyerahkan kepada siasatan pihak berkuasa.

Sunday, May 15, 2011

Dekati ulama, mainan politik bijak Anwar Ibrahim

Pemimpin utama pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdepan tekanan ekoran dikait dengan video seks dan menjelang keputusan mahkamah 16 Mei esok, kini mengadakan kempen besar-besaran dengan mendekatkan dirinya dengan ulama.

Tokoh agama Dr Wahbah al-Zuhaili kini menjadi agamawan terbaharu dilibatkan dalam kempen untuk membersihkan imej Anwar.

Al-Zuhaili dibawa berceramah di negara ini, dalam satu usaha membina persepsi positif untuk Anwar.

Tokoh agama itu dibawa bersama dalam program bertema "menolak fitnah" terhadap Anwar, yang merupakan usaha menolak dakwaan mengaitkan ketua parti pembangkang itu dengan satu rakaman aksi seks.

Satu contoh permainan imej ini ialah satu kain pemidang mengiklankan satu program disertai tokoh agama antarabangsa itu, gambar wajah Anwar diletakkan bersebelahan gambar Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan gambar besar wajah al-Zuhaili.

Imej seperti itu, yang bersandarkan kredibiliti tokoh agama tersebut lebih memudahkan orang ramai untuk mempercayai dakwaan-dakwaan terhadap Anwar sebagai tidak berasas.

Penekanan kepada fitnah secara konsisten untuk tempoh yang panjang juga berupaya untuk mendorong orang ramai mengaitkan terus semua tuduhan terhadap Anwar sebagai fitnah.

Tindakan tokoh-tokoh agama bersama mempertahankan Anwar mengukuhkan kempen beliau dalam menolak dakwaan-dakwaan terhadapnya.

Gambar-gambar di kain pemidang mengiklankan program Pakatan Rakyat atau ceramah Anwar mengulas tuduhan-tuduhan terhadapnya biasa meletakkan gambar wajah Anwar bersebelahan tokoh agamawan, termasuk Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Anwar sering melibatkan Nik Abdul Aziz dalam ceramah bersama selepas bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan menimbulkan tuduhan liwat terhadapnya.

Seperti juga kempen hari ini, tema fitnah dijadikan fokus utama ceramah-ceramah tersebut, yang terus mengaitkan tuduhan Saiful itu dengan rancangan melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Anwar dikenali mempunyai hubungan baik dengan tokoh-tokoh agama antarabangsa dan mereka menyumbang kepada pembinaan positif ketua Parti Keadilan Rakyat itu, kerana dikenali ramai sebagai berkawan dengan tokoh agama.

Beliau walau bagaimanapun turut bersahabat dengan Paul Walfowitz, tokoh neokonservatif Amerika Syarikat yang terlibat membina kes untuk pentadbiran Presiden George W Bush untuk mewajarkan serangan ketenteraan ke atas Iraq, tetapi agak kurang digunakan untuk membina imej positif.


Artikel berkaitan: Tapi Dia Ada Ambil Gambar dengan Nik Aziz! di PolitikPop.com.

Saturday, May 14, 2011

Timbalan presiden penentu PAS dalam Pakatan Rakyat?

Timbalan presiden selepas pemilihan kepimpinan PAS pada muktamar awal Jun nanti bakal menjadi faktor penting dalam menentukan hubungan parti itu dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Mohamad Sabu yang mendapat sokongan meluas merentasi kem pada masa ini dilihat akan mengukuhkan kedudukan PAS sebagai ahli gabungan PR.

Mohamad merupakan penyokong kuat PAS terus bersama PR, walaupun berdepan pelbagai kritikan berhubung PAS yang dilihat dikuasai dan tidak menunjukkan kepimpinan dalam gabungan itu.

Bekas naib presiden PAS itu juga berpendirian teguh menolak sebarang urusan dengan Umno, yang dianggap usaha menyelamatkan parti Melayu ketika parti itu sedang tergugat ekoran Pilihan Raya Umum ke-12.

Pengkritik melihat PR terlalu didominasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, dan menggesa PAS membebaskan diri daripada pakatan yang didakwa menjadi liabiliti kepadanya itu.

Mohamad mempunyai hubungan sangat baik dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Aktivis popular PAS itu sebelum ini dilihat sebagai pengkritik kuat Anwar dalam PAS, tetapi mula kelihatan berkompromi selepas penubuhan PR.

Pada masa ini, Mohamad menerima sokongan kuat semua golongan dalam PAS terutama kem yang dikenali “Erdogan,” dipercayai disebabkan pendiriannya berhubung PR dan penyandang timbalan presiden, Nasharudin Mat Isa.

Mohamad bersaing dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan timbalan presiden bersama Datuk Husam Musa yang juga bekas naib presiden dan Nasharudin pada pemilihan yang lalu tahun 2009.

Husam telah menyuarakan hasrat untuk tidak bertanding merebut jawatan timbalan presiden pada tahun ini.

Nasharudin dikritik sebagai tidak menunjukkan prestasi yang baik sepanjang memegang jawatan timbalan presiden, tetapi masih mendapat sokongan kuat banyak pihak.

Beliau turut dikaitkan dengan usaha berbaik dan menjalin hubungan politik dengan Umno, dakwaan yang turut dikaitkan dengan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang oleh pihak tertentu.

Mohamad dalam kempennya untuk merebut jawatan timbalan presiden mengemukakan agenda membantu presiden untuk mengukuhkan PAS.

Pendirian Mohamad walau bagaimanapun tidak sepenuhnya selari dengan sikap Abdul Hadi berhubung haluan PAS dan PR.

Presiden PAS itu mempunyai pandangan tersendiri berhubung peranan PAS dalam PR, dan pernah mencadangkan kerajaan perpaduan nasional melibatkan semua parti politik di negara ini.

Ide beliau itu walau bagaimanapun dikecam sebagai usaha mengadakan pakatan PAS dengan Umno, mewujudkan perdebatan sengit antara dua kumpulan besar dalam parti itu.

Abdul Hadi masih berdepan tekanan dan kritikan ekoran dikaitkan dengan kegagalan rancangan perubahan kerajaan pusat 16 September, 2008 diketuai Anwar.

Tekanan terhadap beliau muncul lagi menjelang muktamar tahun ini apabila isu kelayakan beliau menjadi presiden PAS muncul lagi di media.

Prof Dr Abdul Aziz Bari mengulangi kritikan terhadap Abdul Hadi tidak lama dulu, dan pemikir libertarian Wan Saiful Wan Jan menulis ulasan yang diterbitkan di beberapa media menggesa presiden PAS itu melepaskan jawatan.

Kritikan terhadap Abdul Hadi kali ini walau bagaimanapun ditolak oleh ramai pihak termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Thursday, May 12, 2011

Suhaizan, Raja Ahmad calon paling popular Pemuda PAS

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss kekal calon paling popular untuk merebut jawatan-jawatan tertinggi sayap Pemuda PAS dalam pemilihan kurang sebulan daripada sekarang.

Suhaizan dikatakan menerima pencalonan terbanyak untuk bersaing bagi jawatan ketua pemuda, mencabar Nasrudin Hassan.

Raja Ahmad, yang menang tanpa bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda PAS Perak baru-baru ini menerima sokongan ramai untuk bertanding jawatan naib ketua Pemuda PAS.

Turut menjadi pilihan ramai ialah Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar yang dicalonkan untuk jawatan timbalan ketua.

Firdaus yang mengetuai Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan timbalan ketua.

Jawatan itu kini disandang Azman Shapawi Abdul Rani yang tidak lagi dilihat sesuai untuk memegang jawatan itu selepas satu penggal.

Raja Ahmad merupakan calon paling popular dalam kalangan ketiga-tiga pemimpin pemuda itu, menerima sokongan meluas dari seluruh negara.

Beliau juga berada di kedudukan paling selamat berbanding dua jawatan tertinggi yang masih terbuka kepada pertandingan atau kompromi lain.

Nasrudin masih menerima sokongan dan pencalonan, manakala kedudukan timbalan mungkin menyaksikan persaingan sengit.

Beliau yang kini mengetuai Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS dikatakan menerima jumlah menggalakkan dari seluruh negara, termasuk 24 pencalonan dari Perak, 15 dari Johor dan empat negeri iaitu Kelantan, Selangor, Pahang dan Kedah masing-masing memberikan 10 pencalonan.

Suhaizan yang pernah dipecat daripada jawatan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor, menerima sokongan berdasarkan aktivisme beliau dalam parti dan di peringkat nasional.

Beliau merupakan antara pemimpin pemuda yang paling berprofil tinggi di peringkat nasional disebabkan penglibatannya dalam demonstrasi dan kempen-kempen lain.

Suhaizan, Firdaus dan Raja Ahmad dilihat sebagai satu gandingan untuk mengetuai sayap pemuda pada penggal akan datang, tempoh yang dijangka berlaku Pilihan Raya Umum ke-13.

Ketiga-tiga calon menerima sokongan luas sebahagiannya disebabkan pendirian yang dilihat tidak berpihak kepada mana-mana kem dalam parti, yang bersaing dengan sengit sejak Pilihan Raya Umum ke-12.

Umno angkat Naquib al-Attas

Umno pada sambutan ulang tahun ke-65 semalam mengambil kesempatan meningkatkan imej di mata orang Melayu dengan memberi anugerah kepada tokoh ilmuan Islam, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Naquib ialah ilmuan Malaysia paling dikenali dalam bidang falsafah dan pemikiran Islam di peringkat antarabangsa.

Karya paling popularnya, Islam and Secularism yang diterbitkan pada 1978 merupakan hasil tulisan yang memberi impak besar kepada pemikiran di dunia Islam, terutama di dunia Melayu.

Buku yang menjadi rujukan penting itu dinilai sebagai satu pemerhatian dan penerangan yang cemerlang berhubung pandangan dunia Islam dan konsep seperti al-din, kritikan terhadap tamadun Barat dan sekularisme.

Beliau ialah pengasas pusat pengajian tinggi Islam, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).

Penganugerahan Anugerah Melayu Terbilang ini berpotensi meningkatkan imej Umno dalam isu keilmuan Islam dan dalam kalangan ilmuan dan aktivis Melayu Muslim.

PAS kebelakangan ini dilihat mengabaikan dan kurang agresif menangani isu-isu seperti pluralisme agama dan kalimah Allah digunakan Kristian Katolik yang menjadi perhatian ilmuan dan aktivis Islam yang sebahagian besarnya memandang tinggi Naquib.

Parti Islam itu didakwa sesetengah pihak mengutamakan perkiraan politik pilihan raya apabila mengambil sikap yang lunak menangani isu penggunaan kalimah Allah oleh Katolik.

Penganugerahan oleh Umno ketika berdepan ujian besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 boleh dilihat sebagai sebahagian kempen memulihkan dan membina imej.

PAS pada muktamar di Shah Alam, Selangor pada 2009 memberi anugerah pejuang bahasa kepada Sasterawan Negara A Samad Said yang menjadi salah seorang penentang dasar pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Walaupun lambat menyertai kempen anti-PPSMI itu, PAS berjaya mengambil manfaat daripada gerakan tersebut.

Wednesday, May 11, 2011

Ulama PAS masih boleh pengaruhi pemilihan timbalan

Walaupun selesa dan yakin dengan sokongan yang sedang diterima melalui pencalonan, pesaing jawatan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu masih boleh digugat oleh kenyataan dan tindakan ulama untuk memastikan jawatan nombor dua itu terus diduduki agamawan.

Minggu lalu, Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib menyatakan sokongan kepada presiden dan timbalan presiden dan menggesa mereka dikekalkan.

Sebelum itu, Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan menyokong Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jawatan timbalan.

Tuan Ibrahim - yang mempunyai hubungan keluarga dengan Nik Abdul Aziz - walau bagaimanapun telah menolak untuk bertanding jawatan itu.

Pemerhati dalam parti masih melihat laluan yang kelihatan mudah bagi Mohamad kini akan berdepan halangan besar ekoran satu kenyataan atau halangan lain dikemukakan oleh golongan ulama dalam parti.

Pencalonan diterima Mohamad dilaporkan melebihi jumlah diperolehi Nasharudin Mat Isa, penyandang timbalan presiden.

Pencalonan walau bagaimanapun tidak boleh dijadikan ukuran utama sokongan yang bakal diterima dalam undian di muktamar.

Tindakan oleh ulama mampu memberi kesan besar kepada pengundian parti disebabkan suara mereka yang lebih didengari di peringkat akar umbi dan kalangan yang mengundi di muktamar.

Tempoh sehingga awal Jun yang panjang memungkinkan sebarang usaha dilakukan untuk menjejaskan sokongan terhadap Mohamad.

Antara isu yang dicetuskan oleh penentang Mohamad kini ialah timbalan presiden bakal menggantikan presiden sekiranya beliau tidak dapat menjalankan tugas.

Mohamad menerima sokongan meluas berdasarkan penolakan beliau terhadap sebarang rundingan dan kerjasama dengan Umno dan rasa tidak puas hati terhadap Nasharudin yang berleluasa.

Golongan ulama walau bagaimanapun masih terbuka untuk berunding dengan parti terbesar pemerintah itu dalam isu-isu tertentu seperti perpaduan Melayu dan isu berkaitan Islam.

911 dan kesannya terhadap politik Malaysia

Oleh HARIS ZALKAPLI

Kebenaran, dikatakan menjadi korban pertama perang. Dalam perang yang disebut "memerangi terorisme," kebenaran bukan sahaja menjadi korban, tetapi juga menjadi sasaran utama.

Dalam wacana terorisme yang dibina hasil peristiwa serangan pada 11 September, 2001 di Amerika Syarikat, dengan mudah sekali kumpulan-kumpulan Islam dikaitkan dengan terorisme atau kecenderungan untuk bertindak militan, atau mempunyai "Islamist tendency."

Istilah Islamist dibiarkan (atau diharapkan) dimengertikan menurut tafsiran negatif, untuk memenuhi agenda pihak tertentu meletakkan Islam dalam kedudukan defensif dan apologetik.

Wacana akademik dan media berkenaan tajuk gerakan Islam atau political Islam menjadi sangat tertumpu pada isu keselamatan (security centric) dan politik.

Seluruh kehidupan manusia terkesan oleh akibat-akibat daripada reaksi terhadap aksi terorisme 11 September itu, dari yang kecil (seperti had cecair yang boleh dibawa dalam kapal terbang) hingga isu-isu besar global (seperti perkiraan dalam membuat kenyataan isu seperti nuklear).

Dunia, sama ada bersetuju atau tidak, memasuki era pasca-911 atau "age of terror," dengan hampir segala isu perlu dilihat dari perspektif 911, termasuk falsafah dan sumber tenaga Asia Tengah.

Negara-negara kuasa besar mengambil kesempatan daripada wacana antiterorisme untuk menjadikan pembangkang Islamis sebagai mangsa.

Rusia meletakkan pejuang militan Chechnya dan Kaukasus sebagai teroris, China mewarnakan Muslim Uyghur sebagai teroris, malah negara-negara Asia Tengah majoriti Muslim turut mengambil kesempatan sama untuk memangsakan pembangkang.

Di Malaysia, PAS turut menjadi mangsa wacana menyeleweng itu, dan dengan mudah dikait dengan ciri-ciri atau kecenderungan ganas.

Istilah negara Islam, hudud dan sebagainya yang menjadi sebahagian wacana parti Islam itu mula mendapat warna negatif.

Wacana ini hakikatnya sudah lama dipergunakan oleh pemerintah pimpinan Umno terhadap PAS, terutama pada era Umno belum lagi mempunyai kepandaian untuk menggunakan wacana Islam.

Cuma selepas 11 September, 2011, wacananya menjadi lebih sofistikated dan dilihat semakin penting.

Parti-parti bukan Melayu bertindak lebih jauh lagi dengan mengeksploit fahaman salah penyokong mereka mengaitkan parti Islam itu dengan hal-hal negatif berhubung sifat militan.

Hubungan dan kerjasama melibatkan PAS diserang sebagai membina hubungan dengan kumpulan Islam, yang telah dibina imej negatifnya.

DAP sebagai contoh, bertindak pragmatik dalam hal menjalin kerjasama dalam pakatan yang melibatkan PAS, dengan dua kali menarik diri daripada kerjasama politik pembangkang.

Malah, DAP menarik diri daripada Barisan Alternatif, gabungan empat parti pembangkang termasuk PAS tidak lama selepas 11 September, 2001.

DAP telah memanfaatkan wacana antiterorisme untuk dikaitkan dengan PAS, untuk menjarakkan diri daripada parti berasaskan agama itu dan menebus "dosa" kepada penyokongnya, sekaligus melepaskan serangan terakhir untuk memburukkan gabungan yang ditinggalkannya itu.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah dengan agresif mengaitkan Islam (PAS, negara Islam) dengan serangan 11 September, 2001 dalam kempennya pada 2002 itu, selepas perang mulut dengan PAS berhubung isu peranan Islam dalam politik di Malaysia.

DAP telah meletakkan isu 911 sekali dengan 929 (29 September, tarikh perdana menteri ketika itu, Datuk Seri [Tun] Dr Mahathir Mohamad membuat perisytiharan Malaysia sebagai negara Islam) dalam kempen "No to 911, No to 929, Yes to 1957."

Tindakan itu membina atau menguatkan persepsi kaitan Islam dengan terorisme, melalui kenyataan yang meletakkan 911 sekali dengan perisytiharan Malaysia sebagai negara Islam dan tindakan menarik diri daripada pakatan disertai PAS.

Dalam kenyataan itu, pemimpin kanan DAP itu menggesa rakyat Malaysia untuk "say 'no' both to the PAS Islamic State and the Umno Islamic State and to make clear that while Malaysians do not want terrorism or any form of extremism to rear its ugly head in Malaysia.."

Sukar untuk kenyataan itu dibaca tanpa mengaitkan secara tidak langsung negara Islam (dan juga PAS) dengan terorisme.

Secara licik sekali, DAP meletakkan semua tajuk-tajuk itu yang dapat dengan mudah dikaitkan dengan Islam, dalam satu kelompok, menyumbang kepada pembinaan persepsi negative terhadap PAS dan sekaligus Islam.

Hal itu mendedahkan bagaimana wacana terorisme ekoran peristiwa 11 September, 2001 telah dipergunakan untuk kempen politik negatif pihak-pihak berkepentingan, dengan mengambil kesempatan daripada persepsi salah berhubung Islam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...