Friday, June 3, 2011

Berjaya kuasai Muslimat, Erdogan kini sasar timbalan, AJK Pusat

Pemilihan Dewan Muslimat PAS menghasilkan keputusan mengejutkan apabila calon-calon Erdogan menguasai ketiga-tiga jawatan tertinggi.

Siti Zailah Mohd Yusoff, ahli parlimen Rantau Panjang merampas jawatan ketua daripada Nuridah Saleh dan ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud menewaskan Wan Hasrina Wan Hassan untuk jawatan timbalan.

Naib ketua menyaksikan Mumtaz Md Nawi mengekalkan jawatan dalam persaingan empat penjuru.

Perubahan itu mengimbangi kejayaan kem ulama menguasai Dewan Pemuda yang kekal diketuai Nasrudin Hassan dan jawatan timbalan baharu dipegang Nik Abduh Nik Abdul Aziz, selepas Suhaizan Kayat menerima sokongan ramai untuk bertanding jawatan ketua semasa tempoh pencalonan.

Pengundian akan dilakukan hari ini untuk jawatan timbalan, naib presiden dan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat.

Ulama kini berusaha mengukuhkan kembali penguasaan selepas Erdogan meluaskan pengaruh dan bersuara agresif sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Perkembangan ini menyebabkan Mohamad Sabu yang mendapat sokongan Erdogan berdepan laluan sukar untuk mengatasi penyandang timbalan presiden Nasharudin Mat Isa dan pencabar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad menerima sokongan meluas akar umbi tetapi turut mendapat dukungan Erdogan ekoran pendiriannya yang kuat menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan menyokong kuat pengukuhan Pakatan Rakyat.

Ulama termasuk ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Harun Din telah menyatakan sokongan terbuka untuk gandingan presiden dan penyandang dikekalkan.

Walau bagaimanapun, populariti tokoh Erdogan seperti Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa mampu membantu mereka mendapatkan sokongan kuat daripada ahli.

Enam calon bersaing untuk merebut jawatan naib presiden, kedudukan yang merupakan posisi selesa untuk bersaing jawatan timbalan pada masa akan datang.

Jawatan itu juga bakal menjadi faktor dalam kedudukan semasa pilihan raya umum nanti, yang dijangka ramai akan diadakan beberapa bulan lagi.

Seorang pesaing naib presiden yang juga penyandang, Datuk Mahfuz Omar malah memperolehi ruang berkempen di atas pentas melalui persembahan gerakan antisaman ekor, dan turut mendapatkan presiden parti untuk disertakan dalam persembahan itu.

1 comment:

anakmuaallaf said...

Dewan Muslimat PAS tetap utuh dan kemesraan pemilihan muktamar semalam seperti pertandingan adik beradik.Muslimat PAS tidak pernah wujud puak seperti yang di laporkan di ruang ini

Ulasan dari YB Siti Zailah _ Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
~.Saf pimpinan muslimat hari ini adalah orang yang sama.Hanya berlaku penggantian tempat sahaja
~Sebelum ini beliau adalah Timbalan Ketua dan dinaikkan menjadi ketua
~Begitu juga dengan Dr Siti Mariah yang sebelum ini ada Pengarah Pilihanraya Dewan Muslimat dinaikkan menjadi Timbalan
~seterusnya Senator Mumtaz masih kekal dijawatan yang sama
~dewan muslimat benar-benar mengamalkan demokrasi, beliau sudah 30 tahun berada bersama Dewan Muslimat, mengapa bila beliau memegang jawatan Ketua timbul isu Erdogan

Ulasan dari YB Siti Mariah - Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
~Sila jelaskan maksud Erdogan yang sebenar?
~Beliau berada bersama Dewan Muslimat PAS dari tahun 1998 mengapa sekarang baru timbul isu Erdogan??

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...