Tuesday, May 24, 2011

Tuan Ibrahim calon kompromi atau pemecah undi?

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini menyandang jawatan naib presiden PAS akhirnya mengambil keputusan yang dijangkakan banyak pihak; bertanding jawatan nombor dua parti.

Ini bermakna persaingan nombor dua bakal menyaksikan pertambahan seorang lagi calon, sekiranya Nasharudin Mat Isa dan Mohamad Sabu tidak berganjak dan tidak ada calon lain menyertai persaingan.

Kemasukan Tuan Ibrahim meletakkan dua tokoh ulama dalam persaingan.

Tempoh dua hari ini akan diperhatikan dengan minat oleh pemerhati untuk melihat sebarang perkembangan terbaharu.

Tuan Ibrahim sejak awal menyatakan tidak berminat bertanding timbalan presiden, tetapi mengubah keputusan menjelang dua hari tempoh akhir penerimaan pencalonan.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu cuba ditonjolkan sebagai calon kompromi oleh sesetengah pihak, sebagai pilihan yang terbaik berbanding Nasharudin yang dinilai tidak berjaya dan Mohamad yang dilihat tidak mempunyai ciri-ciri pemimpin nombor dua selepas presiden parti.

Ramai yang menyokong Nasharudin dalam pemilihan lepas pada 2009 hanya berbuat demikian untuk mengekalkan tokoh daripada kalangan ulama terus memegang jawatan timbalan presiden.

Dengan adanya tokoh lain, ramai yang menyokong Nasharudin boleh - tetapi tidak semestinya - mengubah sokongan kepada Tuan Ibrahim, alternatif calon ulama.

PAS di negeri Pahang contohnya, berpotensi besar memberi sokongan kepada Tuan Ibrahim walaupun mencalonkan Nasharudin dan Mohamad semasa tempoh pencalonan.

Banyak pencalonan kepada Nasharudin dikatakan diberi ekoran kenyataan Tuan Ibrahim tidak mahu bertanding jawatan timbalan presiden.

Pada masa sama, sokongan kepada Mohamad juga bergantung kepada faktor menolak Nasharudin dan keengganan Tuan Ibrahim bertanding timbalan sebelum ini.

Tetapi satu kemungkinan yang dimbimbangi ramai penyokong ulama ialah perpecahan undi yang akan memenangkan Mohamad.

Ekoran jumlah pencalonan yang tidak semestinya diterjemahkan kepada undi dalam pemilihan, pelbagai kemungkinan masih boleh dijangka.

Beliau yang mempunyai hubungan keluarga dengan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dinilai berkebolehan dalam bidang akademik dan berperwatakan alim, ciri yang dirasakan boleh mengukuhkan kepimpinan ulama dalam parti.

Beliau turut dikatakan mendapat sokongan Nik Abdul Aziz untuk merebut kerusi timbalan presiden dalam pemilihan Jun nanti.

Tuan Ibrahim menang dalam cubaan kali pertama bertanding naib presiden, yang dilihat sebagai ukuran populariti beliau.

Ramai menjangkakan kem ulama akan memberikan sokongan kepada Nasharudin atau tokoh lain yang dilihat boleh membawa kepimpinan ulama, sebagai penyokong presiden, pemangku dan juga bakal penggantinya.

Sebelum ini Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib membuat kenyataan menggesa presiden dan timbalan dikekalkan.

Dalam kempen menentang Mohamad, potensi peranan pemimpin popular itu sebagai pemangku presiden dan tahap pendidikan agama beliau menjadi antara isu negatif yang ditimbulkan oleh pengkritik beliau.

Mohamad walau bagaimanapun menurut sumber yang rapat dengannya tidak berminat untuk merebut jawatan presiden, dan dalam senario terburuk sekiranya presiden tidak dapat bertugas, beliau hanya akan memangku dan membiarkan pemilihan parti memilih presiden baharu.

Walau bagaimanapun, mengambil kira pelbagai perubahan yang boleh berlaku, kedudukan Mohamad di kerusi timbalan presiden juga dinilai boleh mencetuskan banyak perubahan yang bakal memberi kesan meluas, terutama dalam memecahkan tradisi timbalan presiden daripada kalangan ulama.

Kemungkinan-kemungkinan itu, yang mampu mengubah tradisi kepimpinan ulama yang difahami sebahagian besar ahli PAS, dikhuatiri oleh pengkritik-pengkritik beliau.

Kehadiran Tuan Ibrahim kini menjadi satu faktor yang mengubah permainan yang sebelum ini dijangka akan mempertemukan calon-calon utama, Nasharudin dan Mohamad dalam perebutan timbalan.

4 comments:

Anonymous said...

mcm mana tuan ibrahim tahu yg dia dpt banyak pencalonan? bukan ke itu maklumat sulit yg hanya diketahui oleh jk pemilihan parti? ada org dedah ke maklumat tu?

Anonymous said...

Zombi Kg Pisang (Part 1)

Jika berita ini sahih, maka kebobrokan berpolitik dalam PAS semakin terserlah.

Apa tidak bobroknya apabila seorang yang dilabel "ulama" jadi kongkalikong dengan pendirian awalnya sendiri yang dilihat jauh lebih berprinsip.

Apakah justifikasinya menukar keputusan asal walhal justifikasi asal yang diberi jauh lebih kukuh lagi berhemah?

Tuan Ibrahim (TI)merupakan orang lama akademik (boleh dibaca sebagai ustaz penceramah) yang belum lama berpencak di arena politik. Keberadaan berpolitiknya boleh dianggap cetek malah tidak keterlaluan dikatakan tidak terbukti kentalnya, terutama jika mengambil kira prestasi PAS di negeri Pahang itu sendiri.

Adakah semata-mata kerana desakan pihak tertentu maka TI pusing 360 darjah lalu menganggap pendirian asal untuk hanya menerima jawatan parti tanpa bertanding (secara konsensus majoriti) sebagai pendirian yang ralat?

Lihat Harun Din (HD). Itulah pendirian asalnya dan HD kekal berpegang hingga hari ini.

Perubahan fikiran TI persis sama hangat dengan perubahan fikiran seorang lagi anak Kelantan yang agak popular iaitu bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim. Boleh bilang hari kata orang tu!

Lebih bobrok apabila tambah lagi seorang anak Kelantan, iaitu Husam Musa pulak tak pasal-pasal umum bertanding Naib Presiden selepas secara begitu terang lagi nyata mengumumkan akan hanya bertanding merebut kerusi AJK Pusat PAS.

Nampak gayanya kena lagi Mat Sabu. Alahai .., itulah bila labu-labi di sekelilingnya kental kedegilan dengan agenda besar mereka.

Anonymous said...

Zombi Kg Pisang (Part 2)

Hakikatnya, tidak perlu berlaku perebutan dan kongkalikong bagi jawatan Timbalan Presiden PAS ini jika PAS secara kukuh mempunyai sistem pemilihan kepimpinan yang lebih berkesan dan berdasarkan merit.

Selepas beberapa penggal sebagai Timbalan Presiden PAS, kegagalan Nasharuddin Isa (NI) sebenarnya bukan sesuatu yang memerlukan penilaian semula (baca mempertahankan jawatan). Nasharuddin gagal. Markahnya bawah 50% daripada markah penuh 100%. Bukan sepenggal tapi selama mana NI memegang jawatan itu. Perkara ini bukan rahsia. Perkara ini sudah menjadi fakta yang diketahui umum. Puak "ulama" dalam PAS seharusnya mencari orang lain sebagai mewakili mereka - dan entah atas alasan apa sebenarnya puak "ulama" menganggap NI sebagai "ulama" - jika tidak hanya disebabkan NI sudah lepas iddah dengan puak Erdogans asalnya.

Maka seperti Muktamar lepas, bertalu-talulah kempen sms akan berlaku termasuk pelbagai janji yang ditabur tidak terkecuali majlis-majlis makan tajaan.

Macam UMNO jugak rupanya. Sebiji tu.

Muktamar lepas, majoriti perwakilan menjadi kalut dan hilang kawalan emosi apabila seorang perwakilan Temerloh berucap "menyamakan" PAS dengan UMNO. Belum sempat intipati diperhalusi secara rasional, perwakilan Muktamar terpekik-pekik mendesak ungkapan itu ditarik balik.

Seperti yang kini terjadi kepada Pesuruhjaya PAS Pahang - perwakilan tersebut mengaku "terpaksa" menarik balik kerana desakan tetapi sebenarnya sangat berpegang dengan apa yang diucapkan sehingga hari ini.

Pemimpin politik Islam WAJIB orang yang berani lagi megah dengan keIslaman dirinya dan organisasinya.

Orang sebegini belum tentu mereka yang dilabel "ulama" namun secara jelas belum diuji.

Lihat saja si Yusuf Al-Qaradawi, yang kini amat dipersoalkan kredibilitinya sebagai "tokoh ulama" dunia - apabila diuji dengan kebangkitan rakyat yang berlaku di seluruh dunia Arab.

Al-Qaradawi kini dikatakan tidak lebih daripada sahabat akrab penguasa/raja-raja Arab yang sangat berkepentingan.

Semoga semua perwakilan PAS di Muktamar kali ini menilai segala sesuatu dengan penuh hemah lagi bijaksana - dan berjiwa berani menetapkan keputusan serta tidak sekadar menjadi pak turut mana-mana "tokoh", "ulama", "tok guru", tuan guru", "dato-dato", "dr-dr", "yb-yb" apa lagi "al-al itu & ini", "ustaz-ustaz" dll.

Dan jangan sesekali membiarkan PAS dicucuk hidung lalu melonggarkan taki ikatan Islaminya selama ini - sama ada dari dalam, terutama dari luarnya.

PAS kena kembali memaruahkan jati diri sebagai bukan sekadar parti politik, malah lebih besar daripada itu, sebagai sebuah wadah/gerakan Islam yang tulen.

Selamat BerMuktamar & Tolong Jaga Kebersihan di sekitar Taman Melewar.

Ahmad Khairul Ikhwan Abdullah Jr said...

Salam..

Kita serahkan kepada perwakilan untuk membuat pilihan yang terbaik. Semoga semua perwakilan yang mengundi kepimpinan parti dapat melakukan yang terbaik, Insyaallah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...