Tuesday, October 30, 2007

Kelantan masih harapkan minyak didaratkan di pantainya

KOTA BHARU, 30 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon agar "Emas hitam anugerah Allah yang dipinggirkan dalam ECER" dikaji semula untuk didaratkan di bumi Kelantan sendiri.

Permohonan itu disebutkan didepan Perdana Menteri sediri ketika berucap dalam majlis perasmian Wilayah Ekonomi Pantai Timur peringkat negeri Kelantan dekat sini petang semalam.

"Walaupun cadangan pendaratan gas dan minyak di pesisir pantai kita masih tidak diberi perhatian dalam ECER, saya masihlah memandang kepentingannya sebagai sesuatu yang bersifat mendesak.

"Pada kami, ia sepatutnya diletakkan sebagai paksi asas dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri," kata Nik Aziz.

Seperti yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lalu, katanya, kerajaan negeri Kelantan masih merayu agar gas dan minyak didaratkan di Pantai Senok (Kelantan).
Bukan senang deposit emas hitam ini boleh terbentuk, katanya.

Dengan penuh susah payah Allah S.W.T. telah ratusan jutaan tahun memeram, mengatur dan memprosesnya secara sebab musabab jauh di kerak bumi.

Dengan segala percaturan kimia melalui mendapan humus, fosil dan tindak balas haba di perut bumi, Allah S.W.T. telah dengan segala ehsan menyimpan lalu menganugerahkan bumi Kelantan dan laut Kelantan dengan bahan semahal ini.

Mensia-siakan nikmat namanya apabila ia seolah-olah dibuat-buat 'terlepas pandang' dan tidak ditimbangkan untuk dimasukkan ke dalam pelan induk pembangunan Wilayah yang sebesar dan sepenting ini, tegas beliau.

"Setakat ini, kami hanya berputih mata melihat khazanah bumi kami dipunggah dan dihirup sepuas-puas oleh golongan amir politik tanpa didaratkan di pantai Kelantan sendiri walaupun sesudu teh," tambah beliau lagi.

Dalam feqah Islam, katanya, telah lama ditulis "hukmul fa il wal khu roji wa rriqaz".

Bahkan zakat yang dipungut daripada sesebuah perkampungan tidak boleh dipindah zakat itu ke tempat lain kecuali terlebih dahulu diagih-agihkan kepada al mustahiqiin tempatan.

"Ini adalah hukum Allah dan Rasul. Tak disempurna di dunia oleh pihak al-umara', ia akan disempurna juga oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak," tegas Nik Aziz.

"Sesungguhnya hari keputusan (hari kiamat) itu adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya." (Surah Ad-Dukhaan: Ayat 40).

Untuk menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terkini, katanya, kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan penubuhan sebuah jeti penghantar (supply base) di Pengkalan Kubur, Tumpat, khusus untuk sokongan kerja penggerudian minyak dan gas di Joint Development Area (JDA) dengan Thailand dan Vietnam, di luar pesisir pantai Kelantan.

Kerja pembinaan Jeti tersebut mulai Oktober ini dan ianya akan menjadi pemangkin kepada satu industri yang dapat mengembangkan ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan.

"Dalam keadaan-keadaan yang seperti inilah, relevannya kita mengetepikan sentimen politik bersifat kepartian.

"Tidakkah boleh kita menjadikan maudhu' ini sebagai perkara bersama untuk dikongsikan secara pintar bagi tujuan yang sama," jelasnya.

"Saya masih ingat betapa murninya ketika KUB menandatangani persefahaman ini bagi pihak Pusat dizaman Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996 dahulu.

"Ini kekal terlipat dalam sejarah; kisah benar sebuah 'pelan indah' yang tidak menjadi hingga sampai ke hari ini," tambah beliau lagi.

Monday, October 29, 2007

Tahniah...Minggu dapat cucu dan anak


Datin Seri Wan Azizah menimang cucunya yang pertama. Ia dilahirkan oleh anak sulong beliau bersama Anwar, Nurul Izzah. Raja Petra Kamarudin juga memperolehi cucunya minggu lalu di Manchester, England. Upacara belah mulut cucunya dibuat sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kebetulan ada di sana kerana menguruskan kes samannya ke atas akhbar Daily Mirror.

Di Siasah, empat kakitangan kami juga mendapat anak minggu lalu. Terakhir Puan Dang Fatihah Ahmad Subky melahirkan anak keduanya pada 24 Oktober. Sebelum itu, Hafiz Baki, (Pengarang Berita), Haris Zulkapli (Pengarang rencana) dan Adnan Ibrahim (penyunting) turut mendapat cahaya mata baru masing-masing.

WPI: Kebimbangan PAS jadi kenyataan


JOHOR BAHRU, 29 Okt: Pemuda PAS Johor menyifatkan, kebimbangan PAS terhadap masa depan tanah-tanah milik orang melayu/bumiputera akan tergadai mula menjadi kenyataan apabila media memaparkan bagaimana pemaju pembangunan sudah mula menawarkan kepada pemilik tanah untuk membeli tanah mereka dengan harga yang cukup tinggi.

Demikian kata Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil dalam kenyataan medianya.

Menurutnya, media melaporkan, seorang pemilik tanah telahpun mengakui bahawa telah menerima tawaran jualbeli tanah dengan harga RM350,000 bagi satu ekar tanah. Beliau menyebut bahawa proses jualbeli tanah tersebut telah diproses dan sedang menunggu penyerahan milik sahaja.

Katanya, Pemuda PAS Johor yakin bahawa ramai lagi pemilik tanah yang telahpun merelakan tanah-tanah mereka untuk dibeli oleh mana-mana broker atau pemaju tanah dengan tawaran yang cukup lumayan.

Inilah ‘bencana’ yang cukup membimbangkan PAS seolah-olahnya pembangunan yang dicanangkan oleh kerajaan kononnya akan membantu rakyat Johor terutamanya kepada orang melayu dalam WPI sebenarnya masih tidak dirancang dengan teliti sehingga menyebabkan agensi-agensi kerajaan terlambat untuk memikirkan apakah bentuk ekonomi yang dapat dibangunkan terhadap tanah-tanah milik orang melayu.

Laporan penuh dalam Siasah.

Selepas terlebih tujuh bulan penjara:Amri masih menunggu pampasannya

KUALA LUMPUR, 29 Okt: 26 Oktober 2007, genaplah sudah Amri Abdullah, 37 tahun dibebaskan serta merta oleh Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur setelah didapati terlebih penjara selama 217 hari.

Beliau sepatutnya menerima pampasan ekoran kesilapan terlebih penjara itu tetapi selepas dua tahun, Amri masih meraba-raba untuk mendapatkan keadilan untuk dirinya.

Hakim Mahkamah Rayuan pada 26 Oktober 2005 membebaskan serta merta Amri dan mengesahkan beliau terlebih penjara.

Keputusan itu dicapai sebulatsuara oleh Hakim Datuk Gopal Sri Ram, Datuk James Fong Chen Yuen dan Datuk Zulkifli Ahmad Makinudin.

Ekoran itu, Amri melalui peguamnya telah memfailkan tuntutan kepada Mahkamah Tinggi agar beliau diberikan pampasan yang sewajarnya. Hakim meminta kerajaan melalui Timbalan Pendakwaraya membuat tawaran pampasan kepada Amri agar kes itu diselesaikan di luar mahkamah.

Namun, sehingga sidangnya pada 23 Oktober yang lepas kes itu belum selesai. Jabatan Peguam Negara hanya menawarkan RM1.5 juta kepada Amri selepas tersalah penjara selama 217 hari atau kira-kira 7 bulan.

Amri menolaknya dengan alasan ia tidak memadai selepas trauma, masalah dan kesan yang beliau alami ekoran terlebih penjara tersebut. Banyak perkara yang beliau boleh buat sepanjang 217 hari itu.

Bagi Amri, beliau sepatutnya mendapat lebih lagi berdasarkan kes-kes yang telah diputuskan oleh mahkamah di Malaysia dan juga kes-kes seumpamanya yang berlaku di luar negara sebelum ini.

Dapatkan laporan penuh dalam Siasah.

Wednesday, October 24, 2007

Pendatang asing bakal timbulkan masalah kepada semua

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) sendiri kini bangkit membantah kedatangan yang terlalu berlelusasa para pekerja asing ke negara ini selepas lain-lain pihak membangkitkannya sebelum ini.

Ini berikutan dari kedatangan mereka yang terlalu ramai sehingga penduduk tempatan terpaksa berebut peluang dengan mereka.

Anggota Parlimen Pasir Puteh, Alwi Che Ahmad berkata, kerana tidak tahan dengan apa yang berlaku, beliau sendiri telah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempengerusi JK Kemasukan Buruh Asing ini bagi membangkitkan perkara ini.
Ketika bercakap dalam Dewan Rakyat hari ini (24 Oktober), beliau berkata masalah buruk asing terlalu buruk di negara ini.

Pekerja asing di negara ini bukan sekadar buruh kasar di kilang, ladang dan kawasan pembinaan sahaja bahkan sudah merebak ke bidang perniagaan.

Ramai tidak bimbang dengan orang Indonesia, Bangladesh atau Myanmar tetapi ramai orang Melayu yang bimbang pandatang asing dari China dan India.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.


Tuesday, October 23, 2007

Flight participant bergema di radio Era pula

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Selepas berlegar di sekitar media yang bukan utama, semalam isu angkasawan kita didakwa hanya 'flight participant' sahaja telah bergema di radio nombor satu negara, radio Era.

Seorang pendengar telah menelefon Era kira-kira jam 6.10 petang semalam (22 Oktober) dan berbual dengan DJ Era, Linda Onn dalam ruangan 'Yang sedap dan yang tidak sedap di dengar'.

Dalam perbualan itu, pendengar Era itu berkata, cerita yang tidak berapa sedap didengar adalah laman web NASA (Agensi Angsalepas Amerika) masih menyatakan Dr Sheikh Muszhapar Shukor sebagai flight participant sahaja bukannya cosmonout atau astronout.

Linda yang menjadi DJ ketika itu bertanya, di mana beliau mendengarnya, pendengar itu berkata, melalui laman web NASA sendiri.

Ketika ditanya, apa alamatnya, pendengar itu berkata dia tidak ingat tetapi ia boleh dicari dengan mudah melalui laman web Google.

Isu angkasawan Malaysia dinamakan sebagai flight participant timbul sejak Sheikh Muszhapar dan rakan-rakannya diperkenalkan oleh laman itu bakal ke ISS.

Menurut laman web Wikipadia, kamus internet, flight participant adalah nama khusus yang dirujuk kepada 'pelancong angkasa' sebagaimana yang pernah dinikmati oleh beberapa jutawan sebelum ini.

Perdana Menteri sebelum ini mempertahankan, penghantaran angkasawan itu bukan satu pembaziran dan ia tidak memakan peruntukan untuk pembangunan yang lain kerana 'kerajaan masih ada duit untuk itu'.

Monday, October 22, 2007

Presiden PAS menang saman ke atas Daily Mirror

LONDON, 22 Oktober: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Jumaat lepas telah memenangi kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris berhubung kes laporan palsu ke atas beliau.

1 Mei yang lalu Daily Mirror di dalam akhbar dan juga web mereka, secara terang-terangan menyiarkan gambar Datuk Seri dan mengaitkan beliau sebagai perancang beberapa siri pengeboman di United Kingdom termasuk sebuah pusat membeli-belah di Kent.

Beliau juga telah dituduh sebagai orang ketiga dalam pertubuhan Al-Qaeda, dan sedang di tahan di Guantanamo Bay.

Mahkamah 19 Oktober telah di beritahu bahawa, Daily Mirror telah mengakui kesilapan di atas laporan palsu tersebut dan telah menyiarkan permohonan maaf tersebut di akhbar dan web mereka.

Mereka juga bersetuju untuk membayar segala pampasan dan yuran guaman yang ditanggung oleh pihak Abdul Hadi.

Abdul Hadi telah di wakili oleh peguam Adam Tudor dan Mohamed Hanipa Maidin sebagai peguam di Malaysia.

Abdul Hadi telah merakamkan rasa gembiranya selepas perbicaraan dan menyifatkan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan aktiviti Al-Qaeda sangat menjejaskan imejnya sebagai tokoh gerakan Islam yang memilih demokrasi sebagai jalan perjuangan.

Dengan kemenangan kes ini, membuktikan PAS komited dengan keamanan dan bersedia mengorak langkah dalam isu dialog Islam dan Barat, kata Abdul Hadi.

Laporan oleh Zulk Jay, London

Thursday, October 18, 2007

Kerajaan diarah bayar RM2.5 juta kepada bekas tahanan ISA


KUALA LUMPUR, 18 Okt: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan kerajaan membayar RM2.5 juta kepada Abdul Malek Hussin sebagai pampasan selepas beliau didera dan dihina semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1998 lalu.

Mahkamah mendapati, penahanan itu tidak sah dan beliau telah didera semasa dalam tahanan polis itu. Beliau juga dinafikan hak untuk berhubung dengan peguamnya.

Dalam samannya, Malek mendakwa beliau telah diserang secara fizikal dan mental. Beliau mendakwa ditampar, ditendang dan ditumbuk dengan kuat pada kepalanya sehingga pengsan.
Dia juga mendakwa ditelanjangi, makan bahan yang kotor dan didera secara seksual.

Sementara itu, Malek ketika dihubungi berkata, penghakiman ini mengesahkan penderaan terhadap beliau telah berlaku dan bercadang untuk membuat laporan polis baru berikutan keputusan ini.

"Saya mahu pegawai polis yang mendera saya itu didakwa," katanya kepada Siasah.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Wednesday, October 17, 2007

Malaysia bukan 'boleh' tetapi 'bodoh' - akhbar Australia

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Sebuah akhbar Australia bukannya menyifatkan Malaysia sebagai "boleh" tetapi "bodoh" apabila membelanjakan RM95 juta untuk menghantar rakyatnya di angkasa lepas.

Kolumnis akhbar The Age, Melbourne, Michael Backman dalam tulisannya menyifatkan para pemimpin Malaysia sering berbangga dengan pencapaiannya tetapi apabila ditanya kepada orang luar Malaysia, di manakah Malaysia? mereka tidak akan tahu pun negara kecil itu.

"Thas not Malaysia "boleh", that's Malaysia "bodoh" (stupid)," tulis Backman mengakhiri tulisannya yang disiarkan 15 November 2006 lagi ketika Malaysia sedang mengwar-warkan akan menghantar rakyatnya ke angkasalepas.

Ia disebarkan secara meluas dalam internet selepas Angkasawan Malaysia, Dr Sheikh Muzaffar Shukur dihantar ke ISS menggunakan kapal angkasa milik Rusia baru-baru ini.

Menurut Backman, pemimpin Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) sering menunjuk-nunjuk dengan pencapaian yang diperolehi oleh Malaysia.

Antaranya, Malaysia menggunakan syarikat minyak miliknya, Petronas untuk membina Kuala Lumpur City Centre (KLCC), iaitu bangunan yang tertinggi ketika ia dibina.

"Malaysia sangat berbangga dengan bangunan ini. Padahal mereka hanya membuat sedikit sahaja untuknya.

"Duitnya datang dari bumi (minyak Petronas), juruteranya dikontrakkan kepada syarikat Korea Selatan.

"Bahkan, mereka tidak pun menguruskan kompleks perniagaan yang ada di bangunan ini. Ia diuruskan oleh syarikat Australia, Westfield," tulis Backman dalam tulisannya.

Tentang angkasawan, Backman menulis, rakyat Malaysia itu hanya menumpang kapal angkasa milik orang lain dengan membayar kapal itu seumpama teksi sahaja.

"Apa yang Malaysia dapat dengan menggunakan program angkasalepas milik orang lain sebagai teksi? Sah tiada manafaat teknologi yang diperolehi. Tetapi sudah tentu Malaysia sekali lagi akan berkata 'boleh". Masalahnya mereka tidak, ini bukan program angkasawan mereka," tulis Backman.

Laporan lanjut dalam Siasah Ahad ini.

ECER lebih sesuai jadi ecer sahaja?

Oleh PENULIS KHAS
ECER dalam bahasa Inggeris adalah East Coast Economic Region tetapi dalam bahasa Melayunya ecer bermakna membahagikan. Apa makna membahagikan, macam-macam boleh ditafsirkan.

Bagi orang Terengganu, kalau kita kata 'ecer rata' maknanya kita membahagikan apa yang kita ada merata-rata. Atau boleh juga ditafsirkan membahagikan apa yang kita ada di kalangan kita. Kau dapat satu, aku dapat satu dan mereka juga dapat satu. Siapa aku, kau dan mereka itu? Inilah persoalannya.

Mengikut pelan ECER, RM112 bilion wang akan dibelanjakan di atas tanah yang meliputi 51 peratus keluasan tanah di Semenanjung Malaysia ini. Ia akan mengambil masa dalam tiga rancangan Malaysia iaitu ke 9, 10 dan 11. Atau dengan kata lain, sehingga tahun 2020 nanti.
Kononnya, pada tahun tahun 2020 nanti wilayah yang meliputi Ecer ini akan menjadi wilayah yang telah membangun (developed area).

Mengikut pelan ECER juga, pertanian akan mendapat paling sedikit peruntukan iaitu 4 peratus sahaja. Yang tertinggi adalah pengangkutan dan infrastruktor (43%), Pelancungan (15%), Pendidikan dan Kemudahan Awam (15%) dan pembuatan dan downstrean petrokimia (9%).
Sumber kewangannya pula pelabur swasta (20%), syarikat berkaitan kerajaan (14%), kerajaan Pusat (39%) dan PFI (27%).

ECER bakal dilancar Perdana Menteri 29 Oktober ini di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu. Pada petangnya di Kompleks sekolah Wakaf Mek Zainab Kota Bharu dan esoknya, 30 Oktober di Padang Awam MPK, Kuantan.

Amat menarik bukan, satu lagi peristiwa penting bakal berlaku di Batu Burok selepas Tragedi Berdarah Batu Burok di mana dua orang awam yang menyertai ceramah anjuran Bersih ditembak dengan peluru hidup oleh polis.

Menurut maklumatnya, pada peringkat awal Pulau Duyung hendak digunakan sebagai tapak pelancaran. Tetapi bagi mengelakkan projek ini bakal dikaitkan dengan satu lagi projek untuk Patrick "Badawi" Lim yang sedang membangunkan pulau itu, ia tidak jadi diadakan.

Tetapi pemilihan Batu Burok juga bakal menjadikan ianya satu isu. Orang ramai akan teringat, disitulah Suwandi Abdul Ghani, 37, dan Muhamad Azman Aziz, 21, yang mahu menyertai majlis ceramah pembangkang ditembak dengan peluru hidup oleh polis.

Yang paling menarik dalam ECER adalah siapa bakal mendapat keuntungan paling banyak dalam perbelanjaan wang sebanyak RM112 bilion ini? Orang juga akan bertanya, dari manakah wang itu hendak diambil selepas Perdana Menteri ini pernah berkata, Perbendaharaan Negara sudah hampir kosong apabila beliau menerima tampuk pemerintahan negara dari PM sebelum ini, Tun Dr Mahathir.

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, 39 peratus sumber kewangan projek ini datangnya dari Kerajaan Pusat. Ini bermakna RM35.84 bilion sumber kewangannya akan disediakan oleh Kerajaan Pusat. Jadi, dari mana wang itu hendak diambil atau dikorek kalau benar apa yang dikatakan PM itu?

Mungkin ada yang berkata, inilah kehebatan pentadbiran Pak Lah. Dari Perbendaharaan Negara yang hampir kosong, beliau berjaya mengisinya dengan dana melebihi RM35 bilion. Ini tidak termasuk lagi perbelanjaan yang hendak dibuat di wilayah-wilayah pembangunan lain seperti NCER, WPI dan juga lain-lain wilayah.

Atau semua perancangan ini sekadar di atas kertas sahaja. Sekadar janji-janji menjelang pilihan raya. Bila melihat ini, rakyat akan berpinar biji mata dan menyokong dacing. Pelaksanaannya belakang kira, tunggulah lima tahun lagi, bila dekat dengan pilihan raya sekali lagi, baru kita fikir balik.

Berhubung dengan hanya 4 peratus sahaja peruntukan untuk pertanian pula, ramai juga tertanya-tanya...kalau begitu hanya 4 peratus sahajalah yang benar-benar dapat dimanafaatkan untuk orang Melayu kerana merekalah yang terlibat secara langsung dalam bidang pertanian ini.

Padahal 87 peratus penduduk di bawah wilayah ECER adalah Bumiputra dan mereka dikira paling ramai dalam kumpulan miskin tegar yang turut menjadi sasaran ECER ini.
Peruntukan yang lain nampaknya akan sampai ke tangan kawan-kawan 'perniaga' lah nampaknya.

Mungkin inilah yang dikatakan ecer mengikut istilah orang Terengganu tadi. Mari kita ecer peruntukan ini untuk rakan-rakan kita. Membantu para kontraktor kita (43% untuk pengangkutan dan infra), membantu ahli perniagaan kita memajukan chalet mereka (15 % untuk pelancungan), membantu rakan-rakan kontraktor kita dalam projek pendidikan dan kemudahan awam (15 %) dan lain-lain lagi.

Kalau itu gitu, ECER lebih sesuai menjadi ecer sahaja.

36 lokasi rehat dan rawat mendapat sokongan

KUALA TERENGGANU, 17 Okt: Langkah PAS Terengganu melalui Badan Kebajikan dan Kemasyarakatan menyediakan sebanyak 36 buah lokasi Hentian Sementara Perantau Sempena Adil Fitri tahun ini bermula 10, 11 dan 12 Oktober 2007 mendapat pujian pengguna jalan raya.

Mereka menyifatkan sumbangan itu walaupun kecil amat bermakna sekali kepada mereka sebagai pengguna jalanraya.

Pusat itu disiapkan di sepanjang jalan utama dari Kemaman sehinggalah Besut. Setiap tempat telah disediakan banner khas sebagai penanda arah dan tempat yang disediakan untuk memudahkan pengguna.

Lokasi-lokasi hentian tersebut melibatkan masjid, surau serta markaz di bawah kelolaan PAS di lapan kawasan bermula dari Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali pada satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, baru-baru ini mengumumkan penyediaan tempat tersebut.

Katanya, penyediaan lokasi hentian sementara itu merupakan salah satu dari usaha PAS membantu kerajaan negeri bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.

"Ini bertujuan membantu kerajaan dalam kempen mengurangkan kemalangan jalan raya yang saban hari banyak berlaku di musim perayaan," ujarnya.

Monday, October 8, 2007

Dedah sumber video di depan Suruhanjaya Diraja - Anwar


KUALA LUMPUR, 8 Okt: Nama orang yang memberikan pita video rakaman perbualan Datuk VK Linggam dengan seorang yang dikira sebagai Ketua Hakim Negara sekarang akan didedahkan jika satu Suruhjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga kini orang berkenaan tidak bersedia untuk didedahkan maklumat tentang dirinya kerana 'bimbangkan keselamatan dirinya'.

Anwar berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas dua pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) merekodkan kenyataannya berkaitan perkara itu.

Anwar berkata, beliau telah memberitahu kedua-dua pegawai BPR itu, beliau tidak bersedia untuk mendedahkan sumber pita video itu melainkan di depan satu Suruhanjaya Diraja.

Anwar juga berkata, dia akan mendedahkan baki rakaman video 14 minit itu tidak lama lagi selepas mendapat kebenaran dari sumbernya.

Anwar dan dua orang kanannya diugut akan dipenjarakan jika enggan memberikan sumber pita video Linggam itu.

PAS lebih senang pilihan raya lambat lagi


KUALA LUMPUR, 8 Okt: PAS lebih senang jika pilihan raya diadakan lebih lambat lagi berbanding dengan cakap-cakap ianya akan diadakan antara November tahun ini hingga Mac tahun depan, kata Naib Presidennya, Datuk Husam Musa.

"Kita yakin, semakin lambat pilihan raya lebih bagus untuk kita," kata Husam dalam majlis berbuka puasa bersama media di Pejabat Agung PAS, dekat sini.

Turut serta di samping lebih 20 wakil media adalah Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, Ketua Pengarah Pilihan raya, Datuk Mustafa Ali dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifli Ahmad.

Menurut Husam, PAS sedang dalam proses menyebarkan maklumat dalam internet kepada masyarakat umum dan jika ianya berjalan dengan baik, penguasaan media BN akan musnah dan memudahkan pembangkang seperti PAS menyampaikan maklumat kepada rakyat.

"Jadi lagi lambat pilihan raya lagi bagus," kata Husam dalam majlis itu.

Baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan pilihan raya lambat lagi walaupun sebelum ini pilihan raya diramalkan November ini.

Menurut Husam, sejak kebelakangan ini semakin ramai pihak tampil ke depan menyampaikan mesej tidak berpuashati mereka kepada Perdana Menteri hatta melalui media yang dikuasai BN sendiri.

"Baru-baru ini, Mingguan Malaysia menyiarkan wawancara dengan bekas hakim Sheikh Daud. Ia mengkritik Pak Lah secara jelas dalam mengendalikan masalah yang melanca institusi kehakiman," kata Husam dalam majlis itu.

Laporan penuh dalam Siasah Jumaat ini. Siasah diterbitkan lebih awal menjelang Aidil Fitri ini. Selepas raya, Siasah akan terbit seperti biasa.

Thursday, October 4, 2007

MB Kelantan sedih rakyat Kelantan dinafi nikmati hasil gas

KOTA BHARU, 4 Okt : Walaupun dianugerahkah dengan sumber galian gas yang banyak dan Petronas berkemampuan untuk mendaratkannya di Kelantan, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap bersedih apabila hak itu dinafikan dengan mendaratkan gas tersebut di Thailand.

"Saya sedih mengapa gas dari JDA di perairan Kelantan didaratkan di Thailand. Tiada sebab langsung. Pendaratan di Thailand kalau dibuat juga tidak berkat kerana harta kita dibawa ke tempat lain," katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan Mengenai Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri hujung bulan ini katanya.

ECER akan melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor.

Ia melibatkan 51 peratus kawasan tanah di Semenanjung Malaysia dan bakal berakhir pada tahun 2020.

Sehingga kini, Kelantan masih berharap gas dan minyak yang ditemui berhampiran pantai Kelantan di daratkan di pantai negeri itu kerana ia paling dekat dengan kawasan penemuan itu.

Pendaratan gas dan minyak itu diharapkan dapat menjadi pemangkin ekonomi Kelantan yang didiami lebih 95 peratus orang Melayu.

PAS Kelantan letak ramai muka baru


KOTA BHARU, 4 Okt: PAS akan meletakkan semua muka baru di kawasan yang masih belum dimenangi lagi oleh parti itu di Kelantan, kata Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut berapa jumlah kerusi yang akan terlibat dengannya.
Selain itu Nik Aziz juga bertegas yang beliau akan bertanding untuk kekal di kerusi DUN selain bertindak mengetuai jentera pilihanraya PAS untuk PRU ke-12 nanti.

"Saya sudah sebut akan bertanding. Dan suratkhabar pun sudah menyiarkan," katanya sambil tersenyum biar pun nampak keletihan akibat banyak program yang dihadirinya.

Sebelum ini, Pesuruhajaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali memaklumkan, PAS akan meletakkan 50 peratus muka baru di Terengganu.

Sebuah akhbar harian pula menyiarkan, PAS akan meletakkan 16 muka baru di negeri yang mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri itu.

Penal Bebas siasat ketulinan klip video VK Lingam: "Kami tiada kuasa"

KUALA LUMPUR, 4 Oktober: Selepas mesyuarat pertama Penal Bebas mengkaji kesahihan Skandal Klip Video VK Lingam, ketuanya, Tan Sri Haidar Mohd Nor secara jelas berkata, penal itu tidak ada kuasa termasuk untuk memanggil saksi atau untuk memberikan perlindungan kepada saksi.

Walaupun tidak ada kuasa, salah seorang anggotanya, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar memohon agar saksi datang memberikan keterangan 'demi Malaysia'.
Untuk mendapatkan perlindungan, kata Haidar, saksi boleh memberikan keterangan menerusi Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Suasana berbeza untuk dua peristiwa

1) Laporan media tempatan tentang kes Myanmar


2) Nasib Suwandi Abdul Ghani...apakah peluru perlu digunakan

Memetik tajuk "Peluru bukan jawapan", akhbar METRO 1 Oktober menunjukkan betapa berlakunya double standard akhbar kita dalam melaporkan berita. Situasi yang hampir sama, layanan yang hampir sama, dan akhbar yang sama. Namun laporan agak berbeza.

Isu PBBB 809 (Peristiwa Berdarah Batu Buruk 8 Sept 2007) dilayan seolah-olah hanya wujud sebelah pihak sahaja dalam peristiwa itu. Apatah lagi kebanyakan akhbar tidak begitu berani melaporkan penggunaan peluru hidup yang dilakukan oleh seorang anggota polis dalam insiden terbabit.

Apa yang lebih menarik pada artikel akhbar berkenaan adalah, betapa pihak keselamatan yang melepaskan peluru hidup disifatkan sebagai BACUL kerana bertindak ganas terhadap orang awam yang tidak bersenjata. BACUL juga kerana mengambil pendekatan BERKASAR dengan rakyat sedangkan masih wujud ruang untuk diplomasi dan perbincangan.

Itu adalah gambaran yang diberikan METRO kepada suasana di Myanmar. Bagaimana di Batu Buruk, Terengganu?

Perlu dipersoalkan apakah langsung tidak boleh diadakan perbincangan atau diplomasi dengan pimpinan pakatan Bersih bagi menyelamatkan suasana pada malam tersebut?

Apakah pihak keselamatan tiada pengalaman bahawa sikap keras, maka natijahnya juga adalah kekerasan. Atau mungkin kerana pengalaman itu menjadikan mereka lebih bersedia sepertimana yang dirancang?

Bermakna, melalui pengalaman lalu, jika mahu berlaku huru-hara dalam ceramah pembangkang, maka perlu diganggu dan dihalang ceramah itu. Halangan bukan sekadar sekatan jalanraya, malah turut melibatkan anggota FRU dan provokasi dari SB akan memastikan suasana lebih panas dan lakonan akan lebih real.

Mungkin lebih 'sedap' jika dikatakan, jika suasana tidak cukup panas dengan air asid dan bom asap, maka lepaskan tembakan peluru hidup bagi mempercepatkan kesan dari orang awam.

Apa yang berlaku di luar negara itu seolah-olah satu gambaran untuk menjawab apa sebenarnya yang berlaku di Terengganu pada 8 September lalu. Apakah kewajaran peluru hidup digunakan, dan apakah layanan pihak keselamatan berada pada tahap yang boleh dipercayai.

Kita hanya membaca gambaran negara kita dari pandangan akhbar tempatan sahaja. Apakah pandangan akhbar luar negara terhadap negara kita? Apakah polis kita dilihat mesra rakyat pada mereka?

Monday, October 1, 2007

Penal Bebas tidak berwibawa?


KUALA LUMPUR, 1 Okt: Pembentukan tiga Penal Bebas untuk menyiasat ketulinan klip video VK Lingam dianggap tidak berwibawa kerana ia tidak dilantik di bawah mana-mana akta berkaitan dengannya dan bersifat 'pentadbiran' (adminstratif) semata-mata.

Ia pula tertakluk sepenuhnya kepada kerajaan yang sememangnya berkepentingan dalam isu ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan tiga penal bagi menyiasat ketyulinan video klip Lingam yang memaparkan skandal penyusunan pegawai kanan badan kehakiman di negara ini.

Video klip yang dirakam pada tahun 2002 itu didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Sri Anwar Ibrahim.

Sehari selepas pengumuman Najib itu, lebih 2,000 peguam turun berarak dari Palace of Jistice menuju ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya bagi mendesak agar diadakan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman itu dan seluruh masalah yang dialami institusi kehakiman.

Mereka berarak dengan memakai pakaian rasmi mereka sebagai peguam iaitu bersut hitam sambil membawa pelbagai jenis kain pemidang dan melaungkan tuntutan agar sistem kehakiman diperbaharui segera.


Pengerusi Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan berkata, "Kami berjalan untuk keadilan, kami mahu badan kehakiman diperbaharui." Beliau juga berkata, "peguam tidak berjalan hari-hari. Tetapi bila peguam berjalan, mesti ada masalah."


Sebelum ini, Peguam yang juga AJK PAS Pusat, Muhamed Hanipa Maidin berkata, penubuhan Penal yang dikatakan bebas ini hanya membazirkan wang rakyat kerana yang diperlukan adalan Suruhanjaya Diraja yang bebas.


"Bagi saya, kerajaan wajar terus melaksanakan apa yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan dalam isu ini iaitu meminta Yang Dipertuan Agung menubuhkan Tribunal. Penubuhan JK Bebas silap-silap hanya membazirkan wang rakyat sahaja," kata beliau mengulas isu yang sama.

Menurut Hanipa yang juga AJK PAS Pusat, taraf Tribunal lebih tinggi dari Ketua Hakim Negara. Dengan itu, siasatan lebih menyeluruh boleh dibuat berbanding dengan JK Bebas ini yang anggotanya junior berbanding Ketua Hakim Negara yang ada sendiri.

Ketua Penal Bebas yang dibentuk Najib ini, Haidar Mohd Nor dalam wawancaranya dengan TV3 mengesahkan perlantikan beliau dibuat bukan di bawah mana-mana akta tetapi bersifat 'adminstratif' sahaja dan pihak mengharapkan pihak-pihak yang ada maklumat agar secara sukarela datang untuk memberikan keterangan.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang pula berpendapat, Ketua Penal ini, Haidar Mohd Nor tidak layak duduk dalam penal ini kerana dia terlibat dalam pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara dahulu. Beliau adalah Pendaftar Mahkamah Persekutuan ketika itu.

Sedangkan, kes Tun Salleh adalah permulaan kepada merosotnya intergriti institusi kehakiman di negara ini, kata Lim.

Kementerian Pertahanan jadi sungai wang


KUALA LUMPUR, 1 Okt: Memualkan dan kini 'bau busuk' yang dihasilkan dari Kementerian Pertahanan sudah merebak ke luar negara apabila media asing mula melaporkan segala penyelewengan yang berlaku di kementerian yang dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri itu.
Laman web Asia Sentinel melaporkan, sekurang-kurangnya USD300 juta telah berjaya dikumpulkan oleh kroni Umno, rakan-rakan Najib dan pihak-pihak lain dari tiga projek kementerian itu sahaja.

Ketiga-tiganya adalah pembelian Jet Sukhoi dari Rusia, kapal selam Scorpean dari Perancis dan projek bot peronda tentera laut.

Yang memalukan adalah pembelian itu dibuat "walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang selamat sejak 40 tahun lalu, Kementerian Pertahanan adalah sungai wang untuk Menteri Pertahanan, kroni Umno dan para jeneral" lapor Asian Sentinel yang berpengkalan di Hong Kong.

Dan bagi laman web itu, Najib Tun Razak adalah pemain utama di belakang semua ini sejak beliau mula menjadi Menteri Pertahanan pada tahun 1999 dan ini semua "di luar jangkaan para pemimpin kementerian itu sebelum ini," lapor Asia Sentinal lagi.

Menurut laporan itu, ketiga-tiga kes ini pecah melalui tiga kejadian yang berbeza.

Kes Scopean melalui perbicaraan kes pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu, kes Sukhoi melalui saman yang dikemukakan rakan kongsi syarikat yang menjadi agen pembelian itu IMT Defence Sdn. Bhd. manakala kes bot peronda didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Ketiga-tiganya mengaitkan Najib sebagai pemain penting kononnya dalam usaha untuk memodenkan pertahanan negara.
Laporan penuh dalam Siasah cetak
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...