ECER dalam bahasa Inggeris adalah East Coast Economic Region tetapi dalam bahasa Melayunya ecer bermakna membahagikan. Apa makna membahagikan, macam-macam boleh ditafsirkan.
Bagi orang Terengganu, kalau kita kata 'ecer rata' maknanya kita membahagikan apa yang kita ada merata-rata. Atau boleh juga ditafsirkan membahagikan apa yang kita ada di kalangan kita. Kau dapat satu, aku dapat satu dan mereka juga dapat satu. Siapa aku, kau dan mereka itu? Inilah persoalannya.
Mengikut pelan ECER, RM112 bilion wang akan dibelanjakan di atas tanah yang meliputi 51 peratus keluasan tanah di Semenanjung Malaysia ini. Ia akan mengambil masa dalam tiga rancangan Malaysia iaitu ke 9, 10 dan 11. Atau dengan kata lain, sehingga tahun 2020 nanti.
Kononnya, pada tahun tahun 2020 nanti wilayah yang meliputi Ecer ini akan menjadi wilayah yang telah membangun (developed area).
Mengikut pelan ECER juga, pertanian akan mendapat paling sedikit peruntukan iaitu 4 peratus sahaja. Yang tertinggi adalah pengangkutan dan infrastruktor (43%), Pelancungan (15%), Pendidikan dan Kemudahan Awam (15%) dan pembuatan dan downstrean petrokimia (9%).
Sumber kewangannya pula pelabur swasta (20%), syarikat berkaitan kerajaan (14%), kerajaan Pusat (39%) dan PFI (27%).
Sumber kewangannya pula pelabur swasta (20%), syarikat berkaitan kerajaan (14%), kerajaan Pusat (39%) dan PFI (27%).
ECER bakal dilancar Perdana Menteri 29 Oktober ini di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu. Pada petangnya di Kompleks sekolah Wakaf Mek Zainab Kota Bharu dan esoknya, 30 Oktober di Padang Awam MPK, Kuantan.
Amat menarik bukan, satu lagi peristiwa penting bakal berlaku di Batu Burok selepas Tragedi Berdarah Batu Burok di mana dua orang awam yang menyertai ceramah anjuran Bersih ditembak dengan peluru hidup oleh polis.
Menurut maklumatnya, pada peringkat awal Pulau Duyung hendak digunakan sebagai tapak pelancaran. Tetapi bagi mengelakkan projek ini bakal dikaitkan dengan satu lagi projek untuk Patrick "Badawi" Lim yang sedang membangunkan pulau itu, ia tidak jadi diadakan.
Tetapi pemilihan Batu Burok juga bakal menjadikan ianya satu isu. Orang ramai akan teringat, disitulah Suwandi Abdul Ghani, 37, dan Muhamad Azman Aziz, 21, yang mahu menyertai majlis ceramah pembangkang ditembak dengan peluru hidup oleh polis.
Yang paling menarik dalam ECER adalah siapa bakal mendapat keuntungan paling banyak dalam perbelanjaan wang sebanyak RM112 bilion ini? Orang juga akan bertanya, dari manakah wang itu hendak diambil selepas Perdana Menteri ini pernah berkata, Perbendaharaan Negara sudah hampir kosong apabila beliau menerima tampuk pemerintahan negara dari PM sebelum ini, Tun Dr Mahathir.
Sebagaimana yang dinyatakan di atas, 39 peratus sumber kewangan projek ini datangnya dari Kerajaan Pusat. Ini bermakna RM35.84 bilion sumber kewangannya akan disediakan oleh Kerajaan Pusat. Jadi, dari mana wang itu hendak diambil atau dikorek kalau benar apa yang dikatakan PM itu?
Mungkin ada yang berkata, inilah kehebatan pentadbiran Pak Lah. Dari Perbendaharaan Negara yang hampir kosong, beliau berjaya mengisinya dengan dana melebihi RM35 bilion. Ini tidak termasuk lagi perbelanjaan yang hendak dibuat di wilayah-wilayah pembangunan lain seperti NCER, WPI dan juga lain-lain wilayah.
Atau semua perancangan ini sekadar di atas kertas sahaja. Sekadar janji-janji menjelang pilihan raya. Bila melihat ini, rakyat akan berpinar biji mata dan menyokong dacing. Pelaksanaannya belakang kira, tunggulah lima tahun lagi, bila dekat dengan pilihan raya sekali lagi, baru kita fikir balik.
Berhubung dengan hanya 4 peratus sahaja peruntukan untuk pertanian pula, ramai juga tertanya-tanya...kalau begitu hanya 4 peratus sahajalah yang benar-benar dapat dimanafaatkan untuk orang Melayu kerana merekalah yang terlibat secara langsung dalam bidang pertanian ini.
Padahal 87 peratus penduduk di bawah wilayah ECER adalah Bumiputra dan mereka dikira paling ramai dalam kumpulan miskin tegar yang turut menjadi sasaran ECER ini.
Peruntukan yang lain nampaknya akan sampai ke tangan kawan-kawan 'perniaga' lah nampaknya.
Mungkin inilah yang dikatakan ecer mengikut istilah orang Terengganu tadi. Mari kita ecer peruntukan ini untuk rakan-rakan kita. Membantu para kontraktor kita (43% untuk pengangkutan dan infra), membantu ahli perniagaan kita memajukan chalet mereka (15 % untuk pelancungan), membantu rakan-rakan kontraktor kita dalam projek pendidikan dan kemudahan awam (15 %) dan lain-lain lagi.
Kalau itu gitu, ECER lebih sesuai menjadi ecer sahaja.
No comments:
Post a Comment