KUALA LUMPUR, 1 Okt: Pembentukan tiga Penal Bebas untuk menyiasat ketulinan klip video VK Lingam dianggap tidak berwibawa kerana ia tidak dilantik di bawah mana-mana akta berkaitan dengannya dan bersifat 'pentadbiran' (adminstratif) semata-mata.
Ia pula tertakluk sepenuhnya kepada kerajaan yang sememangnya berkepentingan dalam isu ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan tiga penal bagi menyiasat ketyulinan video klip Lingam yang memaparkan skandal penyusunan pegawai kanan badan kehakiman di negara ini.
Video klip yang dirakam pada tahun 2002 itu didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Sri Anwar Ibrahim.
Sehari selepas pengumuman Najib itu, lebih 2,000 peguam turun berarak dari Palace of Jistice menuju ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya bagi mendesak agar diadakan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman itu dan seluruh masalah yang dialami institusi kehakiman.
Mereka berarak dengan memakai pakaian rasmi mereka sebagai peguam iaitu bersut hitam sambil membawa pelbagai jenis kain pemidang dan melaungkan tuntutan agar sistem kehakiman diperbaharui segera.
Pengerusi Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan berkata, "Kami berjalan untuk keadilan, kami mahu badan kehakiman diperbaharui." Beliau juga berkata, "peguam tidak berjalan hari-hari. Tetapi bila peguam berjalan, mesti ada masalah."
Sebelum ini, Peguam yang juga AJK PAS Pusat, Muhamed Hanipa Maidin berkata, penubuhan Penal yang dikatakan bebas ini hanya membazirkan wang rakyat kerana yang diperlukan adalan Suruhanjaya Diraja yang bebas.
"Bagi saya, kerajaan wajar terus melaksanakan apa yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan dalam isu ini iaitu meminta Yang Dipertuan Agung menubuhkan Tribunal. Penubuhan JK Bebas silap-silap hanya membazirkan wang rakyat sahaja," kata beliau mengulas isu yang sama.
Menurut Hanipa yang juga AJK PAS Pusat, taraf Tribunal lebih tinggi dari Ketua Hakim Negara. Dengan itu, siasatan lebih menyeluruh boleh dibuat berbanding dengan JK Bebas ini yang anggotanya junior berbanding Ketua Hakim Negara yang ada sendiri.
Ketua Penal Bebas yang dibentuk Najib ini, Haidar Mohd Nor dalam wawancaranya dengan TV3 mengesahkan perlantikan beliau dibuat bukan di bawah mana-mana akta tetapi bersifat 'adminstratif' sahaja dan pihak mengharapkan pihak-pihak yang ada maklumat agar secara sukarela datang untuk memberikan keterangan.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang pula berpendapat, Ketua Penal ini, Haidar Mohd Nor tidak layak duduk dalam penal ini kerana dia terlibat dalam pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara dahulu. Beliau adalah Pendaftar Mahkamah Persekutuan ketika itu.
Sedangkan, kes Tun Salleh adalah permulaan kepada merosotnya intergriti institusi kehakiman di negara ini, kata Lim.
No comments:
Post a Comment