Thursday, June 9, 2011

PAS ganti Umno, Umno ganti PAS

PAS kini dilihat semakin bergerak ke tengah dalam spektrum ideologi, berubah menjadi semakin liberal dan inklusif.

Walaupun kenyataan ini masih tertakluk kepada perjalanan sejarah yang panjang, ia satu akibat yang semakin boleh dibayangkan dan difikirkan.

Agamawan dalam PAS masih mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi, dan dijangka akan memberikan respons kepada hasil pemilihan yang baru berlangsung.

Walau bagaimanapun, dalam sejarah panjang kedua-dua PAS dan Umno, dapat diperhatikan perubahan pendekatan dan haluan parti-parti mewakili Melayu-Muslim utama di negara ini.

Berbanding tahun-tahun 1980-an, PAS kini sudah jauh berubah daripada garis keras dan sikap kurang menerima realiti plural masyarakat dan pengundi negara ini.

Dari satu sudut, PAS dilihat semakin berhikmah dalam menyampaikan mesej Islam, tetapi pada sudut lain, PAS dilihat semakin tunduk kepada keperluan politik pragmatik, terutama melibatkan sokongan dalam pilihan raya.

Kenyataan ini juga masih boleh diperdebatkan, tetapi semakin mudah diakui oleh ahli-ahli dan pemerhati parti Islam ini.

Di seberang lain, Umno kini, sama ada benar atau salah, semakin mengambil isu-isu Islam sebagai bahan kempen, dan semakin mengambil berat hal ehwal berkaitan masyarakat Melayu-Muslim yang sebelum ini dikuasai PAS dan diabaikan parti etnonasionalis itu.

Sebagai bahan kempen untuk pilihan raya umum akan datang, keprihatinan ditunjukkan oleh Umno dalam hal Melayu-Muslim berpotensi memberi manfaat kepadanya.

Sama ada berdasarkan sebab pragmatisme atau kesedaran sebenar, Umno semakin dekat dengan isu-isu yang sebelum ini berada dalam domain eksklusif PAS.

Walaupun berdepan cabaran komponen yang lebih asertif dan kuat menentang elemen Islam, Umno dilihat semakin terdorong untuk mengambil haluan yang lebih dekat dengan beberapa isu dasar Islam.

Akibatnya, PAS berpotensi menjadi lebih pragmatik, manakala Umno menjadi lebih lantang bersuara dalam beberapa hal ehwal Islam.

Pilihan-pilihan yang dibuat berdasarkan keperluan semasa itu, akhirnya, berpotensi pula menjadi antara ciri penting parti-parti terbabit, dan mengubah kedudukan kedua-dua parti itu dalam lanskap politik tempatan.

Wednesday, June 8, 2011

Buku Jingga perlu penilaian kritikal masyarakat

Oleh HARIS ZUAN

Buku Jingga adalah usul daripada hasil muafakat Pakatan Rakyat. Di peringkat pimpinan parti (dengan andaian mereka telah memungut hasil fikiran segenap masyarakat dengan semasaknya) telah berjaya mengemukan satu kumpulan usul yang ditandatangani oleh kepimpinan ketiga-tiga parti, sekali gus mematikan cakap-cakap yang mengatakan mana mungkin PAS, DAP dan PKR boleh membentuk dasar bersama.

Buat sekian kalinya, PR berusaha untuk membawa wacana politik Malaysia ke tahap yang lebih bermaruah – ke tahap politik dasar – politik yang membincangkan bagaimana untuk mengurus dan mentadbir negara. Usaha untuk keluar dari politik jijik yang hanya berkisar soal lubang dan lendir.

Buku Jingga ini diharap dapat menerbitkan ghairah dalam kalangan masyarakat untuk membincang, meneliti, menghujah dan mengkritik dasar-dasar serta cadangan PR ini; PR bukan hanya mahukan legitimasi politik rakyat melalui undi mereka pada pilihan raya umum akan datang, malah yang lebih mustahak adalah legitimasi moral rakyat terhadap kepimpinan PR.

Biar pakatan atas nama rakyat ini kelak benar-benar tegak kerana kehendak dan kefahaman rakyat terhadap segala apa yang diinginkan mereka. Bukan sebagaimana kerajaan Barisan Nasional kini yang hanya berdiri melalui retorik perkauman yang memualkan.

Maka adalah menjadi kewajiban masyarakat untuk bersikap kritis terhadap Buku Jingga ini. Pastinya kita tidak mahu masyarakat hanya menurut segala apa yang disuakan ke muka mereka. Sebagaimana yang terjadi kini.

Betapa kita kecewa dengan sikap para oportunis politik – dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di kampung-kampung, membawalah kepada media – yang hanya fasih mengulang-ulang slogan 1 Malaysia untuk semua acara dan majlis yang mereka anjurkan. Entah apa landasan 1 Malaysia itu (jika ada?), tak siapa peduli. Janji teriak!

Namun, sikap ini tidak sukar untuk difahami. BN selama ini memang cenderung membentuk rakyat menjadi warga yang pasif. Warga yang menurut tanpa menyoal. Warga yang tidak ada upaya analitikalnya. Warga yang hilang maruahnya.

Akan tetapi, adalah menjadi satu kerugian jika mahasiswa – yang berjuang soal autonomi universiti – turut terperangkap dengan sikap yang merugikan demokrasi ini.

Mengapa tiba-tiba mahasiswa mahu keluar dengan Buku Jingga versi mereka sendiri? Mengapa kini? Bukan sebelum PR? Adakah kelompok mahasiswa yang mahu menentang campur tangan eksekutif terhadap pentadbiran universiti ini tidak jauh bezanya dengan belia yang menjerit-jerit 1 Malaysia di Dataran Putrajaya tempoh hari?

Tambah jengkel, dokumen yang bakal dihasilkan (atau diciplak konsepnya?) ini dinamakan sebagai Harapan Baru Mahasiswa!

Jelas, untuk memikirkan nama pun mahasiswa kita gagal untuk berfikir Independen (ya, Independen dengan "I" besar).

Penulis percaya PR juga tidak mahu mahasiswa menjadi alat parti politik. Malah, mahasiswa sendiri berang dilabel sebegitu. Seharusnya mahasiswa mengupas kandungan Buku Jingga ini seilmiah mungkin dan jika mampu dibawa wacananya ke setiap celah masyarakat.

Biar masyarakat umum memahami hasrat PR dan memberi maklum balas untuk membaikinya agar benar-benar mencerminkan keinginan masyarakat terbanyak.

Maka, semoga para pimpinan mahasiswa kita dapat membina isu, agenda dan strategi mereka sendiri. Tidak salah untuk berkongsi nada dengan PR, namun bukannya copy and paste dan edit sebagaimana tugasan kuliah! Seharusnya mahasiswa menjadi suara rakyat, bukanya tukang
sorak PR.

Demokrasi hanya berjalan tegap melalui penglibatan aktif warganya menyemak setiap struktur kekuasaan; dan PR – meskipun belum menjadi kerajaan pusat – adalah salah satu struktur kekuasaan yang wajib disemak secara kritis. Tanpa penglibatan aktif ini, warga hanya menjadi boneka tanpa tali para elit politik.

Haris Zuan ialah bekas aktivis mahasiswa, dan penyunting buku Malaysia-Lah: Himpunan Analisa Terpilih Kaki Lepak, terbitan Gerakbudaya, 2010.

Tuesday, June 7, 2011

Menilai pandangan Roketkini tentang Islam

Oleh ABU IMAD AL-MAHSHARI

Ia tidak memerlukan masa yang terlalu lama untuk sebuah parti tua, dengan ideologi yang utuh kukuh, yang mendokong ideologi liberal, demokratik sekular Malaysia melalui organ media baharu mereka berbahasa Melayu yang bertujuan meluaskan lebaran pengaruhnya kepada masyarakat Melayu untuk melangkau bicara, menjengah masuk kepada persoalan Islam dan syariat.

Dalam komunikasi sms saya bersama editor SiasahDaily, saya berhasrat untuk menyuntik persoalan dan perbahasan minda selepas mengetahui pelancaran Roketkini sebelum tanggal 20 Mei, 2011.

Saya diberitahui, SiasahDaily akan menyiarkan komentari pendek berkenaan hal ini. Jawapan sms saya, yang juga merupakan satu soalan adalah “Bagaimana agaknya Roketkini akan memberi liputan terhadap persoalan Islam, syariah, murtad dan sebagainya?”

Liputan SiasahDaily berkenaan Roketkini pada 26 Mei 2011 cuba menjawab persoalan saya ini dengan kenyataannya: “Roketkini juga kelihatan masih berhati-hati dan memberi tumpuan pada isu-isu yang selamat - berbanding isu seperti penukaran agama dan undang-undang Islam - dan tidak mendedahkannya kepada kontroversi yang boleh menjejaskan misinya.”

Malangnya, ia tidak memerlukan masa yang lama; Roketkini tidak mampu untuk menyekat desakan dan suara hatinya yang membuak-buak, yang kukuh berpegang pada pemikiran dan ideologi liberal sekular demokratik dan terpaksa mula memberi pandangan berkenaan Islam, syariah dan prinsip perjuangan PAS.

Melalui artikel bertajuk lunak 27 Mei 2011, Cara Sopan dan Beradab Membantah Konsert – Roketkini menyatakan pendirian dengan mengetengahkan pendirian tokoh lebih liberal dalam PAS, Khalid Samad yang sering mengambil pendekatan sangat toleran untuk dijadikan model kepimpinan di kalangan kepimpinan PAS oleh DAP yang pada pendapat mereka sepatutnya dicontohi oleh pemimpin lain PAS.

Dalam kenyatan tersebut, bagi saya, ia adalah hal yang tidak terlalu keterlaluan kerana ia hanya sekadar pandangan dari organ media DAP berkenan sebuah parti lain, dalam kes ini PAS, tentang kepimpinan yang sebenarnya harus dimiliki oleh parti tersebut – yang lunak dan beradab bagi persepsi mereka.

Mungkin ada penyokong tegar PAS yang akan marah; kerana kelancangan DAP untuk memberi rating baik “baik” dan “buruk” kepada mana-mana pemimpin mereka. Namun saya sedar sebahagian besar ahli PAS akan berdiam diri demi menjaga keutuhan Pakatan Rakyat.

Namun malangnya, argumentasi dalam menaikkan kepimpinan ahli Parlimen Shah Alam itu, bagi saya diwarnai kenyataan pengadilan (judgemental statement) terhadap Islam dan syariah atau mungkin lebih tepat sekadar pendirian PAS terhadap Islam dan syariah.

Roketkini menyatakan, “Apabila meneliti rasional bantahan ini, ianya agak berasas. Bagi saya, Khalid pada dasarnya tidak membantah penganjuran konsert, sebaliknya beliau mempersoalkan aspek lokasi dan infrastruktur.”

Roketkini meneruskan komentar dengan menyatakan “Bantahan Khalid ini saya sifatkan sebagai satu bantahan bermaruah dan rasional, terutama apabila datangnya PAS yang mana persepsi umum ialah akan sentiasa menolak sebarang konsert hiburan yang didakwa sebagai 'budaya Barat' dan 'budaya kuning.'”

Secara jelasnya ini bermakna semua bantahan dari PAS atau mana-mana badan Islam lain terhadap konsert yang rata-ratanya dan sewajarnya dibantah atas hanya sanya alasan bertentangan dengan tuntutan Islam dan syariah dan konsert sebagai mekanisme atau alat kepada penyebaran budaya “kemunkaran” yang jika disebarkan akan merosakkan akhlak umat – bagi pandangan Roketkini atau DAP; bantahan tersebut adalah sesuatu yang tidak bermaruah dan tidak rasional.

Di sini kita melihat perbezaan definisi ketika Roketkini membicarakan persoalan maruah, rasional, akhlak, mahupun amar maaruf dan nahi munkar. Ini, menjadi hujah yang lebih kukuh untuk mereka yang tidak meyakini makna dan dan tujuan prinsip-prinsip Islam atau “kenyataan-kenyataan umum” Islam, agar tidak menggunakannya sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri akan membicarakannya dalam maksud yang berbeza atau bertentangan atau menyesatkan.

Roketkini, sekali lagi memberi kenyataan pengadilan, sekaligus kepada PAS secara khusus dan Islam secara umumnya dengan menyatakan, “Jika PAS mahu menjadi penjaga moral, adalah lebih baik jika ia berperang habis-habisan menentang rasuah dan salah guna kuasa.”

Tidak salah untuk menginterpretasi lanjut maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh Roketkini bahawa: Persoalan akhlak, bagi mereka tidak harus dikawal selia kerana ia adalah kebebasan individu dan jika tindakan tersebut seolah-olah menjadikan PAS sebagai "polis moral."

Sewajarnya PAS menjadi polis moral dalam hal-hal yang lain selain persoalan akhlak. Sememangnya dalam keadaan PAS amat bergantung kepada undi bukan Muslim dalam pilihan raya kecil dan nasional, persoalan sebegini tidak wajar diperdebatkan dan lebih baik sekali didiamkan.

Namun harus menjadi persoalan kepada kepimpinan PAS tentang kelancangan Roketkini yang sewenang-wenangnya membahaskan perkara ini dalam medan terbuka khususnya kepada kelompok sasaran politik asasi PAS iaitu pengundi Melayu beragama Islam yang berbahasa Melayu.

Tambah lagi, apabila ulama dan intelektual PAS sudah lama tidak membahas dan mencapai ijtimak dengan "nas dan dalil" tentang pelbagai pendirian PAS terhadap pelbagai persoalan moral, akhlak, syariah, pembangunan, ekonomi mahupun siasah.

Dalam kebanyakan pendirian PAS mutakhir ini, PAS akan mengambil pendirian daripada mana-mana pemimpin politik kanan PAS apabila mendapat restu dari PR. Suasana musyawarah dan keperluan berpegang pada ijitimak sudah semakin suram dalam PAS.

Bagi saya persoalan rasionalisasi politik adalah perkara kedua. Namun apabila Roketkini mula memberi pendirian tentang apa yang lebih rasional dan bermaruah dalam pandangan Islam maka ia adalah satu kelancangan yang harus diperbetulkan.

Walaupun ia menyentuh lebih khusus terhadap PAS, namun malangnya roh, jasad, ideologi, akhlak dan maruah PAS secara seluruhnya adalah sepatutnya berkaitan Islam seperti tertulis dalam perlembagaan PAS.

Saya percaya ini hanyalah permulaan baharu untuk Roketkini terus mendendangkan lagu-lagu berkait Islam, melalui lidah, pena dan "dewan ulama" mereka.

Walau bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan untuk PAS tidak berkata apa-apa berkenaan hal ini demi kepentingan kesepakatan dalam PR dan misi Putrajaya yang diidam-idamkan.

Abu Imad al-Mahshari adalah seorang aktivis pembangunan dan masyarakat dari utara Semenanjung di Institut Abu Dzar.

Sunday, June 5, 2011

Ulama-Erdogan dan dualisme dalam PAS


Oleh HARIS ZALKAPLI

Pemilihan kepimpinan PAS yang baru berlalu tidak dapat mengelak daripada dinilai daripada sudut pemisahan golongan agama dan bukan berpendidikan agama, walaupun simplistik dan cenderung untuk menyeleweng takrifnya.

Satu pemisahan yang sering digunakan ialah "ulama dengan bukan ulama," "ulama dengan profesional," dan juga "konservatif-reformis."

Dari sudut definisi yang mudah difahami, ulama boleh diterjemah sebagai sarjana ilmu Islam, yang sepatutnya tidak disamakan dengan "ustaz" yang merupakan mereka yang memperoleh pendidikan agama, tetapi tidak pada peringkat yang lebih tinggi sehingga dinilai sebagai ulama.

Istilah yang meliputi kedua-dua ulama dan ustaz ialah agamawan, iaitu mereka yang menerima pendidikan agama Islam dalam pengkhususan.

Dalam wacana popular tentang kumpulan-kumpulan dalam PAS di media negara ini, dapat diperhatikan istilah profesional digunakan dengan mudah terhadap sesiapa sahaja yang bukan ulama, termasuk Datuk Mahfuz Omar dan Mohamad Sabu.

Istilah profesional sering digunakan pada masa awal PAS menerima kemasukan ramai pakar-pakar dalam bidang profesional seperti guaman, kejuruteraan dan sebagainya.

Ini digunakan secara mudah untuk beberapa tujuan, antaranya untuk menunjukkan PAS bukan lagi sebuah parti "lebai" atau "kampung" seperti yang dilihat dalam persepsi ramai.

Tetapi penggunaan mudah ini kemudian diterima secara rigid, dan mewujudkan dualisme ulama dan profesional, pembahagian yang mungkin paling sering digunakan dalam wacana popular mengenai PAS.

Secara umumnya, pembahagian ini dilakukan untuk membezakan mereka yang berpendidikan agama dengan yang bukan, sesuatu yang sebenarnya diterima secara agak meluas dalam parti itu sendiri, yang menilai sifatnya sebagai gerakan Islam sebagai penting dan perlu dipastikan berterusan.

Dalam kalangan tertentu PAS, kelayakan pendidikan agama dinilai dengan sangat kritikal, sehinggi menjadi kriteria untuk dipilih sebagai pemimpin, bukan sahaja di peringkat tertinggi tetapi juga peringkat lebih rendah.

Atas sebab ini, tidak boleh ditolak sepenuhnya pembahagian agamawan dengan bukan agamawan kerana sentimen ini wujud dalam PAS dan terus dijadikan kriteria pemilihan pemimpin.

Tetapi kelayakan pendidikan agama masih tidak dapat menjawab pelbagai persoalan termasuk kemampuan dan melaksanakan tugas-tugas yang diperlukan dalam parti, terutama apabila kelayakan itu dijadikan sebab mutlak pemilihan.

Isu yang lebih penting ialah penghayatan nilai-nilai agama yang lebih luas, dan kemampuan memaknakan dan menterjemahkan agama dalam kehidupan, atau amalan kepada teori agama.

Kedua-dua label "profesional" dan "ulama" tidak secara automatik menjadikan pemegangnya memenuhi tuntutan-tuntutan yang diperlukan, kerana profesionalisme tidak boleh diharapkan secara automatik daripada seseorang profesional, seperti juga penghayatan dan pelaksanaan agama tidak datang secara automatik daripada seseorang agamawan.

Berkait dengan dualisme ini ialah label progresif yang sering digunakan untuk menyifatkan pemimpin-pemimpin berkelayakan "profesional," sedangkan sifat progresif juga dapat dimiliki oleh agamawan.

Penggunaan istilah seperti di atas tidak adil kepada agamawan kerana secara automatik memaknakan golongan agamawan atau ulama sebagai tidak progresif.

Sifat progresif perlu dibuktikan dan merupakan kualiti yang boleh turun dan naik, dan tidak sewajarnya dikait terus, misalnya, dengan bidang pendidikan seseorang.

Konotasi ini dapat diperhatikan pada sesetengah komentar mengenai hasil pemilihan kepimpinan PAS dalam muktamar yang berakhir hari ini.

Satu lagi yang banyak digunakan ialah "Erdogan," yang diletakkan berseberangan dengan ulama atau agamawan.

Satu asas utama pembahagian ini ialah pendirian berkait pelbagai isu, yang salah satu paling berprofil tinggi ialah usaha melakukan perubahan kerajaan pusat melalui lompat parti wakil pemerintah ke parti-parti pembangkang.

Saya sendiri memilih untuk menggunakan istilah Erdogan (daripada nama Recep Tayyip Erdogan, perdana menteri Turki sekarang ini) kerana melihat ia mempunyai asas yang boleh diterima.

Apapun yang mendasari pemilihan dan penggunaan istilah ini oleh pencetus asalnya, ia mempunyai satu kaitan jelas dengan pasca-Islamisme.

Dalam wacana Islam politik, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) disifatkan sebagai sebuah parti pasca-Islamis atau model terbaik pasca-Islamisme, yang antara cirinya ialah wacana yang tidak lagi tertumpu pada isu ideologi dan dengan bahasa agama yang biasa dilihat pada gerakan Islam.

Pasca-Islamisme dinilai sebagai penggunaan bahasa yang kontemporari, sifat yang dilihat lebih liberal dan inklusif berbanding Islamisme, istilah untuk menyifatkan sebahagian besar gerakan dan parti Islam.

Dalam PAS, kumpulan yang disifatkan sebagai Erdogan mempunyai ciri-ciri pasca-Islamis, seperti bercakap dalam bahasa kontemporari dan tumpuan yang lebih kepada isu hak, pluralisme dan sebagainya yang berkaitan.

Satu lagi ciri persamaan ialah hubungan baik dengan tokoh pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi isu yang agak sensitif pada sesetengah pihak.

Pelabelan Erdogan ini digunakan untuk memberi gambaran umum satu aliran pemikiran dan faksi, dan tidak semestinya seragam semuanya.

Label Erdogan dan ulama digunakan untuk menyifatkan dua kumpulan utama yang bersaing, dengan pendirian berbeza kedua-duanya dalam beberapa isu, tanpa menafikan perbezaan-perbezaan dalam setiap kumpulan atau menyatakan hanya dua kumpulan itu yang wujud dalam PAS.

Label seperti ini, tidak semestinya secara automatik terkait secara langsung dengan benar atau salah, positif atau negatif.

Dalam politik kepartian, perbezaan-perbezaan tidak dapat dielakkan daripada wujud. Perbezaan ialah realiti mana-mana kumpulan yang menghimpunkan manusia.

Pembahagian sewajarnya tidak digunakan secara simplistik, seperti ulama lawan progresif yang memberi konotasi negatif kepada satu pihak, dan definisi seharusnya dipilih dengan cermat.

Tetapi, pembahagian juga perlu untuk memberi gambaran secara umum, untuk menyifatkan ciri-ciri tertentu yang dapat diperhatikan.

Kepimpinan baharu PAS cetus debat peranan ulama

Pelbagai bacaan muncul ekoran kemenangan besar pemimpin-pemimpin yang bukan berpendidikan agama dalam pemilihan PAS dalam muktamar tahun ini.

Banyak pihak melihat perkembangan ini sebagai persediaan PAS untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Presiden parti itu sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan kepimpinan yang baru dipilih ialah "kabinet pilihan raya PAS."

Hal ini turut diperhatikan oleh pengkaji politik Dr Bridget Welsh dari Sekolah Sains Sosial, Universiti Pengurusan Singapura, yang menyifatkan pemimpin baru dipilih itu sebagai satu "pasukan bekerja."

"Pemimpin-pemimpin yang baru dipilih itu merupakan satu pasukan bekerja, bekerja keras, mempunyai semangat aktivisme dan keazaman melonjakkan PAS dan gabungan pembangkang," kata Welsh kepada SiasahDaily.

Menurutnya, pasukan ini akan memberi semangat baharu kepada PAS dan membawa parti itu keluar daripada "perasaan tewas" yang dialami.

"Mereka membawa satu situasi menang-menang kepada PAS, dan meletakkan parti itu setara dengan DAP, serta menguatkan lagi dialog dengan PKR," katanya.

Pemerhati politik Malaysia dan Asia Tenggara itu menyifatkan pasukan baharu yang memenangi pemilihan jawatan-jawatan tertinggi parti itu sebagai "teras generasi reformasi" yang menghargai kepentingan gabungan Pakatan Rakyat.

Mengulas isu peranan dan sikap ulama yang menjadi perhatian dalam pemilihan kali ini, Welsh menegaskan hal itu tidak boleh dilihat secara simplistik.

"Bukan semua ulama itu sama. Tetapi wujud sekelompok ulama dari negeri tertentu yang kurang berkemampuan untuk memahami kepelbagaian rakyat Malaysia, malah dalam PAS sendiri," ujarnya.

Jelasnya, perkembangan ini bakal menjadikan peranan ulama mengalami perubahan-perubahan daripada peranan yang dilihat pada masa kini.

Keperluan perubahan peranan ulama ini turut dilihat oleh ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS, Riduan Mohamad Nor.

Menurutnya, ulama tidak boleh lagi hanya menjadi ulama fiqh seperti yang dilihat pada masa kini, tetapi perlu meningkatkan pemahaman bidang lain termasuk sains sosial dan isu-isu berkaitan politik semasa.

"Seperti disebut presiden dalam ucapan dasar, ulama tidak sepatutnya mempunyai ilmu tetapi tidak faqih dan tidak mempunyai dimensi pemikiran selain daripada bidangnya," kata Riduan dalam satu wawancara ringkas dengan SiasahDaily.

Menurutnya, keputusan pemilihan muktamar kali ini menunjukkan bahawa perwakilan telah menghantar mesej kepada ulama yang dilihat tidak memenuhi prestasi yang diharapkan.

Jelas Riduan lagi, ramai ulama gerakan Islam di beberapa negara Islam menunjukkan kepentingan dan keperluan ulama yang turut berperanan sebagai intelektual mencakupi bidang yang lebih luas.

Menurutnya, pendidikan tahap tinggi di pusat-pusat pengajian yang tidak tertakluk kepada dualisme pendidikan, atau pemisahan pendidikan agama dengan bidang lain perlu dicontohi.

Beliau memberi contoh pemimpin gerakan Islam Sudan, Hassan al-Turabi yang menerima pendidikan tinggi di Sorbonne, Perancis, tetapi diterima kedua-dua golongan berpendidikan tradisional dan kontemporari.

Walau bagaimanapun, beliau tidak melihat PAS sebagai sepenuhnya gagal dalam hal ini, kerana pernah mempunyai pemimpin seperti Dr Burhanuddin al-Helmi yang bukan agamawan tetapi mewakili semua golongan dalam parti.

"PAS tidak gagal dalam hal ini, tetapi apa yang kita ada sekarang masih tidak mencukupi."

Saturday, June 4, 2011

Mohamad Sabu menang timbalan presiden PAS, hangatkan debat kepimpinan ulama

Mohamad Sabu disahkan memenangi jawatan timbalan presiden PAS untuk penggal 2011-2013, menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad mendapat undi tertinggi , 420, Nasharudin memperolehi 224 manakala Tuan Ibrahim mendapat 399 undi.

Naib pula dimenangi dua penyandang Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa.

Perubahan kepimpinan ini meletakkan semua timbalan dan naib presiden bukan daripada kalangan agamawan atau ulama, mencetuskan persoalan tentang konsep kepimpinan ulama yang menjadi ikutan banyak pihak dalam parti itu.

Ini merupakan kali kedua Mohamad mencabar jawatan timbalan presiden selepas tewas pada 2009 dalam persaingan melibatkan penyandang dan Husam.

Kemenangan Mohamad ini meletakkan tokoh bukan agamawan di kedudukan nombor dua PAS, kedudukan yang dilihat bakal pengganti presiden.

Perkembangan ini dijangka akan menghangatkan lagi debat berhubung konsep kepimpinan ulama, yang dijadikan hujah untuk memastikan kedudukan timbalan sentiasa dipegang agamawan.

Beberapa tokoh PAS, Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib dan Subky Abdul Latif menyatakan sokongan terbuka terhadap calon agamawan untuk jawatan timbalan presiden menjelang pemilihan kali ini.

Mohamad walau bagaimanapun berpendapat kepimpinan ulama tidak semestinya bermakna jawatan tertinggi, tetapi Majlis Syura Ulama.

Mohamad mendapat sokongan dipercayai sebahagian besarnya berdasarkan kemampuannya menggerak massa dan peranan yang dikaitkan dengan peranan semasa pilihan raya umum akan datang.

Beliau pernah memangku jawatan ketua pemuda, menjawat jawatan naib presiden dan menjadi ahli Parlimen.

Demonstrasi Bersih pada 2007 yang dikaitkan sebagai penyumbang kemenangan besar pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 digerakkan sebahagian besarnya oleh Mohamad.

PAS dan Pakatan Rakyat, isu yang tidak berkesudahan

Sesetengah media terus menjadikan isu PAS bersama Pakatan Rakyat sebagai berita, selepas dua konvensyen diadakan dan tanpa sebarang tanda jelas PAS menimbangkan untuk keluar daripada kerjasama itu.

PAS terus dilihat defensif dalam hal ini manakala sesetengah pihak terus menekan PAS untuk terus menjawab dan membuktikan komitmen parti itu.

PAS sewajarnya tidak perlu defensif dalam hal ini, kerana komitmen PAS sebagai rakan dalam PR telah terbukti, dari segi sumbangan dan sikap yang diambil ketika berdepan serangan lawan, seperti dalam kes video seks dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakikatnya, PAS ialah parti yang paling menunjukkan komitmen dan pengorbanan dalam kerjasama PR, walaupun ketinggalan dari segi kerusi di peringkat nasional berbanding rakan-rakan PR lain. Dari segi ini, boleh dihujahkan PAS telah menunjukkan komitmen paling tinggi.

Ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam telah sekali lagi menegaskan pendirian PAS dalam hubungan dan kerjasama dengan PR.

Sudah tentu, kerjasama parti berbeza ideologi dan asas penyokong mempunyai keterbatasan dan had-had tertentu, yang tidak sewajarnya dibaca sebagai tanda kelemahan dari segi komitmen, kerana setiap parti perlu mengambil kira kepentingan dan asas kewujudannya sendiri.

Kerjasama, terutama dalam hal-hal tertentu, antara parti-parti politik dalam medan politik negara ini - termasuk PAS dengan Umno - bukan sesuatu yang luar daripada biasa dan semestinya dibaca sebagai sesuatu yang jahat.

Realpolitik (faktor kuasa dan hal praktikal), pada tahap-tahap tertentu masih perlu diambil kira, tanpa perlu ia menguasai segala tindakan. Bukankah penubuhan dan kerjasama parti-parti dalam PR itu sendiri juga mengambil kira faktor realpolitik?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...