Tuesday, June 5, 2012

Himpunan Hijau lagi bukti kuasa mobilisasi PAS

Tiga perhimpunan besar dengan matlamat menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini; perhimpunan ulang tahun Umno ke-66, perhimpunan belia di Putrajaya anjuran kerajaan Barisan Nasional dan Himpunan Hijau Menuju Putrajaya oleh PAS.

Selepas beberapa hari berakhir Himpunan Hijau di Alor Setar, Kedah oleh PAS, perhimpunan ini menunjukkan kesan paling positif kepada penganjurnya, berbanding perhimpunan belia dan ulang tahun Umno.

Selain perbandingan mudah dan terpilih seperti yang tersebar di laman jaringan sosial Facebook, satu kelebihan yang masih dimiliki PAS ialah kemampuan menggerakkan jumlah ahli yang besar, dan digerakkan secara keseluruhannya dengan inisiatif ahli dan parti.

Perhimpunan di Alor Setar minggu lalu telah membuktikan lagi kemampuan mobolisasi PAS ini, yang menyebabkan PAS terus menjadi aset penting dalam gabungan Pakatan Rakyat dan kempen Bersih.

Kemampuan mobilisasi ini menjadikan PAS tunjang kepada segala aktiviti menggerakkan massa, satu senjata terhadap pemerintah yang masih belum digunakan sepenuhnya oleh pembangkang dan gerakan antirejim.

Sejak perhimpunan Bersih pertama pada hujung 2007 hingga yang terbaharu April lalu, PAS menjadi penentu yang memastikan kehadiran besar peserta.

Kejayaan perhimpunan di Alor Setar Jumaat lalu paling utama melibatkan jumlah ahli yang hadir, yakni sekitar 100,000 orang, pada hari bekerja sebahagian besar negeri lain, dan di negeri Kedah yang agak jauh ke utara semenanjung.

Selain itu, kejayaan perhimpunan itu (tanpa kes yang memalukan seperti kemalangan kereta lumba) sedikit memulihkan persaingan dalaman melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS, yang mencetuskan berita panas penggantian menteri besar dan persengketaan seorang exco dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.  

Kritikan-kritikan pemerintah termasuk pemimpin Umno terhadap perhimpunan itu juga kelihatan lemah dan sekadar menyuarakan kritikan tanpa sebarang isu yang substantif.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, Himpunan Hijau menyumbang kepada pembinaan dan pengekalan momentum untuk menghadapi pilihan raya.

Ucapan presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kelihatan memberi fokus sepenuhnya kepada usaha memenangi kerajaan persekutuan, dengan menyifatkan masa kini merupakan masa terbaik untuk PAS mencapai kejayaan itu.

"Sejak mencapai kemerdekaan, PRU kali ini adalah peluang terbaik bagi PAS untuk merealisasikan cita-cita murni tersebut, justeru saya menyeru seluruh ahli-ahli PAS dan pendukung kebenaran supaya bersiap sedia ke arah itu," kata Abdul Hadi.

Momentum menuju pilihan raya - dan bukan kaitan terus atau ukuran jumlah yang hadir dengan jumlah undi dalam pilihan raya nanti - menjadi kejayaan terbesar Himpunan Hijau, yang boleh dijadikan pembakar semangat kepada parti.

Walau bagaimanapun, selain isu persiapan Pilihan Raya Umum ke-13 dan menuju Putrajaya, isu setelah sampai di Putrajaya juga perlu mula difikirkan dengan serius, melibatkan kedudukan dan pengaruh PAS dalam kerajaan baharu sekiranya berjaya dibentuk nanti.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...