Wednesday, February 29, 2012

Pemuda PAS tolak pemimpin jamaah bukan Muslim

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan menyertai debat panas kepimpinan PAS daripada kalangan bukan Muslim dengan menegaskan penolakan terhadap cadangan itu.

Nasrudin dalam satu tulisan panjang disiarkan di blog mengemukakan hujah agama berhubung pendiriannya menolak cadangan tersebut.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dalam satu wacana semalam dilapor berkata PAS bersedia menerima timbalan presiden bukan Muslim sebagai memenuhi keperluan semasa untuk menjadi lebih terbuka.

Menurut Nasrudin dalam tulisannya itu, bersandarkan syarak, sebuah jamaah Islam dilarang daripada mengambil orang bukan Muslim sebagai "orang dalam" yang diberi kepercayaan mengetahui rahsia kaum Muslimin.

Jelasnya, hal ini kerana kedudukan bukan Muslim dalam kepimpinan sebuah gerakan Islam akan memberi implikasi termasuk dalam melibatkan kepatuhan dan perkara lain yang berkaitan dengan agama.

Menurut Nasrudin, PAS walau bagaimanapun masih dapat menjalankan kerjasama dalam bentuk lain dengan bukan Muslim, tanpa mengubah wajah parti itu sebagai sebuah gerakan Islam.

"Kesimpulannya, tidak usahlah kita membuka kepimpinan jamaah kepada orang bukan Islam kerana ia bercanggah" dengan dalil agama.

Menurutnya lagi, PAS boleh "mengeratkan kerjasama dan pakatan dengan" orang bukan Muslim "dalam mewujudkan amalan politik dan pemerintahan yang bersih dan adil untuk semua rakyat Malaysia."

Pertikaian terbaharu ini merupakan episod terkini perbezaan pandangan dalam PAS berhubung keanggotaan bukan Muslim dalam parti itu, yang ditubuhkan sebagai sebuah gerakan Islam yang mempunyai majlis syura sebagai pemandu pergerakan parti.

Cadangan menerima bukan Muslim sebagai orang nombor dua itu turut menimbulkan persoalan tentang kedudukannya yang terbuka untuk menggantikan presiden parti.

PAS sejak kebelakangan ini menjadi lebih inklusif dan meningkatkan komponen penyokong bukan Muslim parti itu yang diberikan kedudukan lebih tinggi berbanding sebelumnya.

Parti itu walau bagaimanapun terdedah dengan pelbagai dakwaan termasuk didakwa mengorbankan prinsip untuk memenuhi tuntutan politik pilihan raya yang memerlukan sokongan daripada pengundi pelbagai kaum dan agama.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...