Wednesday, June 8, 2011

Buku Jingga perlu penilaian kritikal masyarakat

Oleh HARIS ZUAN

Buku Jingga adalah usul daripada hasil muafakat Pakatan Rakyat. Di peringkat pimpinan parti (dengan andaian mereka telah memungut hasil fikiran segenap masyarakat dengan semasaknya) telah berjaya mengemukan satu kumpulan usul yang ditandatangani oleh kepimpinan ketiga-tiga parti, sekali gus mematikan cakap-cakap yang mengatakan mana mungkin PAS, DAP dan PKR boleh membentuk dasar bersama.

Buat sekian kalinya, PR berusaha untuk membawa wacana politik Malaysia ke tahap yang lebih bermaruah – ke tahap politik dasar – politik yang membincangkan bagaimana untuk mengurus dan mentadbir negara. Usaha untuk keluar dari politik jijik yang hanya berkisar soal lubang dan lendir.

Buku Jingga ini diharap dapat menerbitkan ghairah dalam kalangan masyarakat untuk membincang, meneliti, menghujah dan mengkritik dasar-dasar serta cadangan PR ini; PR bukan hanya mahukan legitimasi politik rakyat melalui undi mereka pada pilihan raya umum akan datang, malah yang lebih mustahak adalah legitimasi moral rakyat terhadap kepimpinan PR.

Biar pakatan atas nama rakyat ini kelak benar-benar tegak kerana kehendak dan kefahaman rakyat terhadap segala apa yang diinginkan mereka. Bukan sebagaimana kerajaan Barisan Nasional kini yang hanya berdiri melalui retorik perkauman yang memualkan.

Maka adalah menjadi kewajiban masyarakat untuk bersikap kritis terhadap Buku Jingga ini. Pastinya kita tidak mahu masyarakat hanya menurut segala apa yang disuakan ke muka mereka. Sebagaimana yang terjadi kini.

Betapa kita kecewa dengan sikap para oportunis politik – dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di kampung-kampung, membawalah kepada media – yang hanya fasih mengulang-ulang slogan 1 Malaysia untuk semua acara dan majlis yang mereka anjurkan. Entah apa landasan 1 Malaysia itu (jika ada?), tak siapa peduli. Janji teriak!

Namun, sikap ini tidak sukar untuk difahami. BN selama ini memang cenderung membentuk rakyat menjadi warga yang pasif. Warga yang menurut tanpa menyoal. Warga yang tidak ada upaya analitikalnya. Warga yang hilang maruahnya.

Akan tetapi, adalah menjadi satu kerugian jika mahasiswa – yang berjuang soal autonomi universiti – turut terperangkap dengan sikap yang merugikan demokrasi ini.

Mengapa tiba-tiba mahasiswa mahu keluar dengan Buku Jingga versi mereka sendiri? Mengapa kini? Bukan sebelum PR? Adakah kelompok mahasiswa yang mahu menentang campur tangan eksekutif terhadap pentadbiran universiti ini tidak jauh bezanya dengan belia yang menjerit-jerit 1 Malaysia di Dataran Putrajaya tempoh hari?

Tambah jengkel, dokumen yang bakal dihasilkan (atau diciplak konsepnya?) ini dinamakan sebagai Harapan Baru Mahasiswa!

Jelas, untuk memikirkan nama pun mahasiswa kita gagal untuk berfikir Independen (ya, Independen dengan "I" besar).

Penulis percaya PR juga tidak mahu mahasiswa menjadi alat parti politik. Malah, mahasiswa sendiri berang dilabel sebegitu. Seharusnya mahasiswa mengupas kandungan Buku Jingga ini seilmiah mungkin dan jika mampu dibawa wacananya ke setiap celah masyarakat.

Biar masyarakat umum memahami hasrat PR dan memberi maklum balas untuk membaikinya agar benar-benar mencerminkan keinginan masyarakat terbanyak.

Maka, semoga para pimpinan mahasiswa kita dapat membina isu, agenda dan strategi mereka sendiri. Tidak salah untuk berkongsi nada dengan PR, namun bukannya copy and paste dan edit sebagaimana tugasan kuliah! Seharusnya mahasiswa menjadi suara rakyat, bukanya tukang
sorak PR.

Demokrasi hanya berjalan tegap melalui penglibatan aktif warganya menyemak setiap struktur kekuasaan; dan PR – meskipun belum menjadi kerajaan pusat – adalah salah satu struktur kekuasaan yang wajib disemak secara kritis. Tanpa penglibatan aktif ini, warga hanya menjadi boneka tanpa tali para elit politik.

Haris Zuan ialah bekas aktivis mahasiswa, dan penyunting buku Malaysia-Lah: Himpunan Analisa Terpilih Kaki Lepak, terbitan Gerakbudaya, 2010.

3 comments:

Anonymous said...

Zombi Kg Pisang

Aku kira boleh memahami didih bara bergejolakan di dada penulis yang pastinya seorang muda lantaran menyemboyankan cabaran buat golongan siswa/i untuk tampil membedah Buku Jingga.

Cuma di sebalik taburan janji muluk-muluk yang mendominasikan kandungannya, aku terpanggil bertanya setakat manakah sebenarnya pautan termeterai sesama ahli gabungan bernama Pakatan Rakyat ..., apabila melihat paparan nama-nama besar yang mengolah persefahaman itu.

Ketika PAS meletakkan pimpinan nombor wahidnya iaitu sang Presiden untuk berdiri memegang teguh cokmar setikawan - DAP sekadar mewakilkan sang Penasihat parti, dan lebih trajis apabila PKR sekadar menamakan seorang Ketua Umum yang langsung tiada punya keberadaan secara sah apatah lagi eksekutif sifatnya di dalam parti itu.

Tidakkah keadaan ini hanya menjadikan PAS yang bakal terpalit dengan segala natijah kebobrokan - tapi berkongsi apa jua untungnya.

Benar - kita wajar kupas isinya. Tapi benar juga untuk kita mengenal dulu pemain-pemain yang terlibat.

Abu Imad said...

Mana dia Audit dan Penilaian PR tentang janji-janji manifesto lepas... dah nak tutup ka buku lama, bukak buku Jingga baru?.

Politik Malaysia karat. Nak buat Penilaian, tambah-tambah nak kutuk orang; pandai, penilaian dalaman PR macam mana la plak.

Thats why its true; Democracy is not about delivering Truth and Justice, its about managing perception. Malangnya, ini bukan kaedah siyasah Islam.

... hihi elok juga Mahasiswa pun buat buku penilaian baru gerakan mahasisawa sebelum nak buat "sloganan" baru ... lembik je group student skarang. Politik minat tapi turun padang setahun sekali ...

hahahaha dah jadi macam hisham rais dok gelak macam ni

hahahaha

Abu Imad

Anonymous said...

Buku cerita bergambar Doraemon adalah jauh lebih baik dari buku penipu Buku Jingga itu. Apa tidaknya, janji-janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga itu, ibarat menanam tebu dibibir kerana sebelum ini Menifesto PRU 12, sudah tunggang langgang, banyak tak dibuat, berdasarkan pemerhatian kasar, lebih dari 80% apa yang dijanjikan dalam Menifesto PRU 12 oleh Pakatan Rakyat tak dibuat, macam-macam alasan dia auta. Contohnya isu Kampung Buah Pala, kononnya kalau mereka dapat menang dan berkuasa di Pulau Pinang, maka tanah penduduh kampung akan diserahkan kembali kepada penduduk kampung dan menuduh kerajaan Barisan Nasional di Pulau Pinang sebelum PRU 12 sebagai perompak kerana mengambil wang premium RM 1 juta, sedangkan selepas menang di Pulau Pinang, bukan sahaja DAP, PKR dan PAS tidak kotakkan janji untuk dapatkan kembali tanah penduduk kampung untuk diserahkan kembali kepada penduduk kampung, malahan ambil baki wang premium tanah RM 2 juta, bukannya wang itu nak digunakan untuk bantu penduduk Kampung Buah Pala, lain pula yang dibuat oleh Pakatan Rakyat. Inilah kalau Barisan Nasional ambil wang premium RM 1 juta dituduh perompak, maka Pakatan Rakyat ambil wang premium RM 2 juta adalah kepala perompak dan bapak perompaklah. Malahan selepas kemenangan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, penduduk Kampung Buah Pala diabaikan, malahan usaha untuk mendapatkan penempatan baru bagi penduduk berkenaan diusahakan oleh Barisan Nasional, sedangkan Pakatan Rakyat seperti DAP, PKR dan PAS hanya tahu berceramah dan berpolitik di sana sini setiap hari tanpa mempedulikan rakyat. Inilah kalau sudah Menifesto PRU 12 Pakatan Rakyat pun tunggang langgang, inikah pula Buku Jinggang, terus terguling-gulinglah. Kampung Buah Pala baru satu kes, banyak kes lain yang tak larat nak disenaraikan termasuk di Selangor, Kedah dan Kelantan, lain dijanji masa pilihanraya, lain yang dibuat oleh Pakatan Rakyat selepas menang pilihanraya di negeri-negeri berkenaan. Boleh percayakan penipu macam Pakatan Rakyat ini? Nilailah sendiri. Baca balik Menifesto PRU 12 Pakatan Rakyat, dan buat penilaian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...