Monday, April 21, 2008

Pulau Pinang perlu utamakan orang bukan kereta

PULAU PINANG, 21 April: Pulau Pinang memerlukan sistem pengangkutan yang lebih cekap berbanding dengan jambatan kedua yang akan membawa lebih banyak kereta ke pulau itu.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinanf (CAP) mencadangkan agar sistem LRT dibina menghubungkan tanah besar dengan pulau atau menambahkan lagi perkhidmatan feri.

Dengan cara ini, ia boleh mengurangkan kesesakan di pulau itu yang sedang menjadi masalah besar penduduknya sekarang, kata Presiden CAP, S. M. Momamed Idris dalam suratnya kepada Siasah yang bertajuk utamakan orang ramai dari kereta.

"Sebuah lagi jambatan hanya akan menambahkan lagi kesesakan lalu lintas terhadap jalan raya di Pulau Pinang yang sudah sedia sesak dengan kereta," tulisnya.

Terdapat pilihan yang lebih baik daripada membina Jambatan Kedua. Salah satu daripadanya ialah mempertingkatkan perkhidmatan feri, kata beliau.

Untuk tujuan ini, lebih banyak feri diperlukan, dan lebih banyak pangkalan feri dibina di beberapa kawasan strategik di bahagian pulau dan Seberang Perai. Perkhidmatan bas yang mencukupi juga perlu diadakan untuk membawa penumpang dari pangkalan dan ke bahagian lain.

Jika hubungan ketiga diperlukan antara Pulau Pinang dan Seberang Perai diperlukan, maka ia seharusnya dihubungkan dengan Transit Aliran Ringan (LRT), yang boleh memuatkan lebih ramai penumpang berbanding kereta persendirian yang menyebabkan kesesakan.

Seperti juga dengan perkhidmatan feri, bas dan LRT dapat memberikan perkhidmatan antara pulau dan Seberang Perai, kata beliau.

"Paling penting, tumpuan mestilah diberikan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang. Ini lebih efisien, menjimatkan kos dan memelihara alam sekitar dalam usaha untuk membawa penumpang dari bahagian A ke bahagian B, terutama sekali dalam masa harga minyak yang mahal dan pemanasan global," katanya.

Sehubungan itu, RM4.3 bilion atau sebahagian daripadanya boleh digunakan untuk membiayai rangkaian pengangkutan yang lebih berkualiti yang memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada penduduk Pulau Pinang.

Ia mungkin tidak sehebat Jambatan Kedua yang menjadi mercu tanda baru tetapi ia lebih mesra pengguna dan sudah tentu perkara inilah yang paling dikehendaki oleh penduduk, katanya.

3 comments:

kmy said...

Salam,

Rakyat tidak perlu kepada KEMEGAHAN. Jika Jambatan Ke 2, untuk KEMEGAHAN lupakan saja. Lebih baik peruntukan itu disalurkan utk KEMUDAHAN & PENGANGKUTAN AWAM.


kmy

mas said...

Kalaulah dengan membina jambatan ke2 itu,ada udang di sebalik mee.Lebih baik wang sebanyak Rm 4.3billion itu di gunakan untuk menolong rakyat miskin.

Unknown said...

Pembinaan jambatan kedua akan menambahkan kesesakkan lalulintas disebelah bahagian pulau yang kita sedia maklum pada ketika ini kesesakkan di Georgetown serta bandar-bandar lain dibahagian pulau menjadi semakin teruk. Pembinaan LRT menyeberangi laut juga boleh dibina diantara Butterworth dan terminal feri disebelah bahagian pulau. Ini juga akan menjadi mercutanda negara kerana laluan LRT ini adalah yang pertama di Malaysia yang dibina merentasi laut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...