Wednesday, December 31, 2014

Politik dunia Islam 2014: 10 isu utama

Oleh HARIS ZALKAPLI

Dunia Islam terus menyaksikan politik yang mencabar sepanjang tahun 2014, dengan beberapa negara Islam terlibat dalam percaturan dan persaingan kuasa-kuasa besar dunia. Perkembangan seperti konflik di Syria dan konflik daripada geopolitik kebangkitan Arab menampakkan kesannya dengan jelas pada 2014.
Dari Afrika hingga ke Asia Pasifik, politik dunia Islam memberi implikasi yang besar kepada seluruh dunia, Berikut disenaraikan 10 isu besar politik utama dunia Islam tahun 2014.

10. Dasar luar Emiriyah Arab Bersatu

Emiriyah Arab Bersatu, negara musuh utama gerakan Ikhwan al-Muslimin menyaksikan dasar luar yang aktif dan mencapai jauh pada tahun 2014. Sebagai reaksi kepada kebangkitan serantau yang melonjakkan Ikhwan terutama di Mesir, dan dasar luar negara jiran, Qatar yang mendukung perluasan kuasa Ikhwan, Emiriyah menggerakkan kempen anti orde baharu di seluruh rantau Arab dari Libya di Afrika Utara hingga ke Yaman di hujung Semenanjung Arab. Paling mengejutkan, Emiriyah dengan kerjasama Mesir melakukan serangan udara terhadap posisi kumpulan disokong Qatar dan Turki, yang bersaing untuk menguasai Libya.

9. Recep Tayyip Erdogan dan Turki baharu

Walaupun berdepan tekanan pihak pesaing, Recep Tayyip Erdogan dengan popularitinya gagal disekat oleh mana-mana pihak, dan menang pilihan raya presiden Turki, sekaligus melanjutkan posisi dalam kepimpinan Turki, selepas sebagai perdana menteri, mengambil peranan sebagai presiden. Pemimpin kepercayaan beliau, Ahmet Davutoglu yang sebelum itu menjadi menteri luar dipilih memegang jawatan perdana menteri. Gandingan Erdogan-Davutoglu ini kini mengemudi Turki yang baharu, yang pencapaiannya selama ini tergugat oleh perkembangan-perkembangan baharu serantau.

8. Bashar al-Assad dan Syria

Selepas hampir empat tahun kebangkitan di Syria bermula, Presiden Bashar al-Assad masih terus berkuasa. Walaupun kedudukannya kini tidak sekukuh sebelum ini, pemimpin kuku besi Syria ini terus berkuasa, mengambil kesempatan daripada penentang-penentang yang berpecah dan kepentingan kuasa-kuasa terlibat yang masih bimbang terhadap kemungkinan Syria pasca-Assad  yang berisiko. Kesan perang di Syria kini muncul dalam bentuk kumpulan-kumpulan militan yang lebih bebas dan bersenjata, dan kemunculan kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan al-Syam, ISIS.

7. Rundingan Iran-Barat

Rundingan antara Iran dengan kuasa-kuasa Barat dan Rusia (yang gagal disempurnakan pada 2014) disebut sebagai rundingan nuklear, untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan program pengkayaan uranium oleh Iran yang dikatakan boleh dijadikan senjata. Tetapi pemulihan hubungan Iran dengan Amerika Syarikat berupaya mengubah peta politik seluruh Asia Barat dari Lubnan ke Yaman, mengubah orde yang mahu dikekalkan oleh negara seperti arab Saudi. Sekiranya berlaku kerjasama antara Iran dengan AS (yang beberapa tandanya telah kelihatan) banyak sekutu dan musuh bakal menyaksikan sokongan dan padang permainan yang berubah dengan drastik.   

6. Abdel Fatah al-Sisi dan Mesir

Kemunculan Abdel Fatah al-Sisi sebagai presiden baharu Mesir, selepas pencapaian-pencapaian pascakebangkitan yang menjatuhkan kepimpinan Hosni Mubarak pada 2011 disempurnakan dengan kejayaan Ikhwan menguasai kepimpinan tertinggi, menunjukkan bagaimana akhirnya kuasa kesinambungan tidak dapat disekat. Perkembangan selepas 2011 kemudian menunjukkan pendemokrasian bukan satu-satunya hal yang sedang berlaku di Mesir. Tetapi, Mesir yang menjadi rebutan kuasa-kuasa serantau akhirnya menyaksikan orde lama dan negara-negara yang menyokongnya kembali menguasai.

5. Kebangkitan dan kemerosotan Qatar

Pada Disember, tekanan terhadap Qatar memuncak dengan tindakan Mesir menuntut ilmuan Islam terkemuka yang berpangkalan di Qatar, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi ditahan atas dakwaan terlibat dalam keganasan. Sebelum itu, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain memanggil pulang duta masing-masing dari Doha, ibu negara Qatar sebagai protes terhadap tindakan Qatar menyokong Ikhwan al-Muslimin dan melindungi Qaradawi. Pencapaian-pencapaian Qatar sejak 2011 juga dihakis sedikit demi sedikit oleh pesaing, seperti yang dilihat di Mesir dan Yaman.

4. Kebangkitan Houthi di Yaman

Kumpulan pemberontak Houthi telah beberapa kali cuba menggerakkan penentangan bersenjata terhadap kerajaan di Sanaa, tetapi dipatahkan setiap kali. Walau bagaimanapun, bermula penghujung 2013, Houthi mula mara menguasai kawasan di luar wilayah tradisinya. Hasil kemungkinan persefahaman antara pihak berkepentingan termasuk Arab Saudi, Emiriyah dan Iran, Houthi bertindak menghapuskan penguasaan Ikhwan Yaman yang disokong Qatar dan juga Turki. Yaman kini berdepan satu perubahan besar, yang mungkin menjadikan keadaan negara itu semakin tidak menentu.

3. Malaysia dan geopolitik MH370 dan MH17

Malaysia, negara Islam yang dilihat sebagai model oleh banyak pihak mewakili pelbagai kecenderungan politik, berdepan cabaran getir apabila tersepit dengan tiga kuasa besar dunia ekoran peristiwa kehilangan pesawat penerbangan MH370 pada Mac dan kemudian pesawat MH17 ditembak di ruang udara Ukraine. Hubungan Malaysia dengan China teruji melalui kehilangan MH370, dan dengan Rusia tercabar apabila pesawat MH17 didakwa ditembak pemisah disokong Rusia. Hubungan luar Malaysia menghadapi perubahan besar ekoran dua peristiwa ini, terutama dengan AS yang menjadi lebih terikat, pada masa sama Kuala Lumpur cuba mengekalkan hubungan baik dengan China dan Rusia.

2. Kebangkitan militan ISIS dan implikasi global

Kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan al-Syam, ISIS, muncul menakluk satu wilayah besar di utara Iraq dan menampakkan pengaruh di kawasan sekitarnya. Bermula dengan konflik bersenjata di Iraq dan kemudian Syria, ISIS dan ideologi yang dibawanya mencetuskan implikasi global yang meluas, melibatkan warga pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia dan juga negara-negara Barat. ISIS menjadi satu pencetus kepada wacana baharu dunia mengenai Islam dan politik, dengan kesan yang hampir sama dengan peristiwa 11 September, 2001 di AS.

1. Serangan Gaza dan pencerobohan Masjid al-Aqsa

Palestin berdepan dua cabaran getir, pertama serangan ke atas Gaza pada musim panas dan kemudian pencerobohan dan provokasi ke atas Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitarnya oleh Yahudi yang disokong dan dilindungi pasukan keselamatan Zionis. Dalam serangan Zionis bermula 8 Julai, lebih 2,000 warga Gaza terbunuh. Pihak Palestin walau bagaimanapun menunjukkan penentangan terkuat setakat ini, dengan serangan roket yang lebih canggih dan mencapai jarak lebih jauh, dan penggunaan terowong serangan yang lebih berkesan hingga memasuki wilayah dikuasai Zionis.  Pertempuran ini meningkatkan lagi sentimen umat Muslim seluruh dunia untuk menunjukkan sokongan kepada perjuangan Palestin, dan menjadi peristiwa yang menyatukan umat Muslim pada 2014.

Tuesday, December 23, 2014

Kenapa Mesir mahu tangkap Qaradawi?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Di dunia Arab, tiga negara kini berada di barisan paling hadapan dalam kempen menentang kebangkitan Ikhwan al-Muslimin; Arab Saudi, Mesir, dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), yang mendapat sokongan rejim-rejim Arab lain.

Di satu pihak lain, Qatar dan Turki menjadi penyokong kuat Ikhwan, dengan Qatar menjadi pendana dan pelindung politik utama kepada Ikhwan di seluruh dunia Arab. Turki di bawah Recep Tayyip Erdogan dan Ahmet Davutoglu turut menjadi sekutu rapat Ikhwan. Hamas berada dalam kem yang sama dengan Ikhwan al-Muslimin, dan pada dasarnya boleh dianggap sebagai sebahagian Ikhwan, walaupun pecahan dalam agak lebih kompleks.

Satu pihak lagi ialah Iran dan Syria, dan sekutu-sekutu bukan negara mereka seperti Hizbullah, Hamas, dan Jihad Islami. Kumpulan ini dimusuhi oleh kedua-dua kumpulan di atas kerana pelbagai isu terutama melibatkan penguasaan di dunia Arab.

Perkembangan yang berlaku di dunia Arab pada masa ini, yang ada kalanya tidak dikaitkan dengan kebangkitan Arab yang bermula pada 2011 seperti pergolakan terkini di Yaman dan tekanan ke atas Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi berkait langsung dengan kempen anti-Ikhwan dan anti-Qatar oleh kuasa-kuasa lama Arab.

Mesir yang dikuasai Ikhwan, yang disokong Qatar telah ditamatkan riwayatnya dengan kejatuhan Presiden Mohamed Morsi. Kuasa baharu di sana kini disokong oleh Arab Saudi dan sekutunya di Teluk, Emiriyah dan Kuwait.

Sejurus selepas Morsi dijatuhkan, Arab Saudi, Emiriyah dan Kuwait segera menjanjikan bantuan sebanyak AS$12 bilion, sebagai usaha mengatasi pengaruh Qatar dan menarik Mesir ke pihak mereka.

Ini bermakna, tindakan Mesir terhadap al-Qaradawi dan Ikhwan ini berkait langsung dengan kepentingan bersama Saudi, Emiriyah dan Kuwait yang kini menjadi pendukung Mesir.

Dalam usaha mengekang kebangkitan Qatar dan Ikhwan, pakatan Saudi, Mesir dan Emiriyah meningkatkan tekanan ke atas Qatar yang kini diperintah oleh emir baharu yang jauh kurang pengaruhnya berbanding emir sebelumnya.

Qatar menjadi sasaran penting kerana sebagai pendana dan pendukung Ikhwan, Qatar yang lemah akan bermakna Ikhwan di seluruh dunia Arab akan kehilangan penaung dan turut menjadi semakin lemah.

Qatar mempunyai dua aset penting sebagai instrumen dasar luarnya yang digunakan untuk mengukuhkan pengaruh, sambil membina orde baharu Ikhwan di dunia Arab, yakni stesen televisyen al-Jazeera dan ilmuan al-Qaradawi. Tindakan ke atas al-Qaradawi mampu melemahkan Qatar yang bergantung kepada ilmuan ternama ini untuk keabsahan dan prestij dalam dunia Islam.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Qatar semakin tidak disenangi negara-negara Arab lain kerana dasar luarnya itu, tetapi tindakan terhadapnya hanya dapat dilakukan dengan lebih kuat selepas emir lama turun takhta dan pakatan baharu dikukuhkan antara negara-negara Arab anti-Ikhwan.

Antara rungutan utama Emiriyah ialah al-Qaradawi yang lantang bersuara menyokong Ikhwan di negara jiran Qatar itu, selain menunjukkan sokongan kepada Ikhwan di Mesir, negara asalnya yang kini dikuasai oleh kem anti-Ikhwan.

Al-Qaradawi telah menunjukkan sokongan terhadap dasar luar Qatar dan Ikhwan serantau. Beliau memberi sokongan kepada Ikhwan di Emiriyah, Mesir dan menyatakan sokongan jelas kepada Erdogan semasa menjadi perdana menteri Turki dalam kes protes di Gezi, yang disifatkan Qaradawi sebagai satu "plot antarabangsa" untuk menjatuhkan Erdogan.

Tindakan memanggil pulang duta dari Qatar diketuai oleh Saudi beberapa bulan lalu memulakan satu tindakan bersepadu terhadap negara pangkalan Ikhwan itu. Tindakan protes itu didorong oleh isu utama dasar luar Doha yang menyokong Ikhwan, dengan al-Qaradawi menjadi satu senjata pentingnya.

Selepas itu, dapat diperhatikan yang Qatar mula menunjukkan perubahan sikap, walaupun sedikit, dalam mengimbangi hubungannya dengan Ikhwan dan negara-negara jiran yang bersama dalam pertubuhan serantau Majlis Kerjasama Teluk, GCC.

Terkini, Qatar menunjukkan pemulihan hubungan dengan Mesir yang diperintah oleh Presiden Abdel Fatah al-Sisi, yang mengetuai usaha menjatuhkan Morsi pada Julai tahun lalu.

Ini didorong oleh tekanan oleh pakatan anti-Qatar dan anti-Ikhwan yang semakin kuat dan bertekad untuk menamatkan gelombang kebangkitan Ikhwan al-Muslimin di dunia Arab. Kempen inilah juga yang mendorong tindakan diambil ke atas ilmuan al-Qaradawi, dan Interpol kemudian mengeluarkan notis tangkapan beliau.

Tindakan ke atas al-Qaradawi ini menunjukkan yang pengaruh Qatar dalam politik serantau semakin lemah pada masa ini, dan negara-negara kuasa lama Arab sedang meningkatkan kembali penguasaan.

Hal ini juga sedang menyukarkan lagi politik dunia Islam akibat perpecahan dalaman dan persaingan kuasa yang sengit, menambahkan lagi realiti kompleks dalam era kebangkitan pada masa ini. - Disember 19, 2014

Sunday, November 9, 2014

Tentera laut Asean mula tumpu pasukan amfibia

Oleh KOH SWEE LEAN COLLIN

Tentera laut Asia Tenggara sentiasa berusaha membina kemampuan yang seimbang, akibat daripada geografi maritim dan pelbagai cabaran keselamatan dalaman.

Ini bukan sahaja mencerminkan keperluan setiap negara yang berbeza tetapi juga keadaan ekonomi yang berbeza yang menuntut prioriti ditetapkan.

Dalam hal ini, pasukan amfibia yang sering dilihat sebagai kurang menarik, sentiasa tidak diutamakan berbanding aset-aset berkeupayaan tinggi seperti kapal dan kapal selam bersenjata peluru berpandu.

Sejak sedekad lalu, hal ini mula berubah.

Enam daripada sembilan anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) kini memiliki pasukan darat amfibia seperti Kor Marin Amerika Syarikat atau Infantri Tentera Laut Rusia.

Ini semua bukan kebetulan kerana mengurus pasukan yang berbeza dengan tentera darat ini bukan murah. Tambahan pula, kapal amfibia yang diperlukan untuk memberi keupayaan mobiliti pasukan ini juga mahal walaupun sistemnya kurang kompleks berbanding aset bersenjata.

Pada awal 1990-an, Indonesia membeli 12 buah kapal pendaratan kelas Frosch dari Jerman dengan harga murah. Ini mendorong Malaysia membeli KD Sri Inderapura, kapal 8,450 tan terpakai dari Tentera Laut Amerika Syarikat. Dilengkapi dengan dok pelantar pendaratan (LPD) besar untuk membawa kapal dan kenderaan tempur kecil dan pelantar untuk dua atau lebih helikopter saiz sederhana.

Kemudian Singapura menggantikan kapal pendaratan lamanya dengan empat buah LPD buatan tempatan seberat 8,500 tan pada hujung 1990-an. Perolehan ini semua ialah petanda penting kerana kebanyakan kapal amfibia Asia Tenggara ialah kapal era Soviet dan Perang Dunia ke-2 yang dipersoalkan kemampuan untuk beroperasi.

Walau bagaimanapun, kemampuan amfibia Asean masih terhad dan tidak mampu memberi bantuan kemanusiaan ekoran tsunami pada Disember 2004. Sejak itu, Indonesia dan Thailand terutamanya mula membeli LPD baharu.

Indonesia membeli lima LPD kelas Makassar 11,400 tan (satu daripadanya dijadikan kapal hospital) berdasarkan reka bentuk Korea Selatan. Thailand memperkenalkan HTMS Ang Thong, varian ubah suai direka bentuk di Singapura, yang menunjukkan kemampuan membantu mangsa tsunami di Aceh.

Minat terhadap kemampuan amfibia ini walau bagaimanapun tersekat akibat dana yang terhad. Asean mula memberi tumpuan pada ancaman yang jelas. Contohnya, walaupun KD Sri Inderapura perlu diganti ekoran kebakaran pada 2009, masalah belanjawan menyebabkan Malaysia menangguhkannya, dan memberi tumpuan pada platform kawalan dan pencegahan penggunaan laut melalui pembelian kapal peronda dan kapal selam, untuk digunakan menangani lanun dan terkini, ketegangan di Laut China Selatan.

Minat terhadap kemampuan amfibia diperbaharui semula kebelakangan ini. Julai lalu, Myanmar dilaporkan mula berunding dengan pembina kapal Indonesia untuk membeli LPD kelas Makassar yang tidak didedahkan jumlahnya.

Sekiranya urusniaga ini berlaku, Myanmar akan melakukan satu lonjakan. Filipina juga akhirnya meneruskan program melibatkan kontrak membeli kapal LPD kelas Makassar.

Sebelum itu, Filipina hanya memiliki sebuah kapal pendaratan buatan tempatan yang mula digunakan pada 2011, satu-satunya tambahan kepada keupayaan Filipina yang kebanyakannya daripada era Perang Dunia ke-2. 

Banyak pihak mengaitkan perkembangan ini dengan operasi bantuan bencana dan kemanusian, yang diperlukan dalam beberapa insiden kebelakangan ini seperti Taufan Haiyan. Ini mungkin disokong oleh rancangan Singapura untuk membeli sebuah kapal yang digelar kapal pengangkut pesawat mini, kapal pelbagai misi.

Walaupun peningkatan ini mungkin dinilai sebagai usaha kolektif untuk meningkatkan kemampuan bantuan oleh negara-negara Asean, ada juga faktor-faktor lain. Ini termasuk modenisasi dan pengoperasian pasukan darat amfibia, dan juga perubahan doktrin yang melebihi daripada sekadar bantuan bencana dan kemanusiaan.

Misalnya, ekoran pertempuran dengan militan Sulu di Lahad Datu, Sabah, Menteri Pertahanan Malaysia Dato' Seri Hishamuddin Hussein memberitahu wartawan pada Oktober 2013 bahawa usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan keupayaan pertahanan amfibia.

Semasa lawatan kerja ke Hawaii Januari lalu, beliau meminta bantuan AS untuk membangunkan satu pasukan khusus tentera amfibia berdasarkan model Marin AS. Latihan bersama Eksesais Amfibia Malaysia-AS di Lahad Datu mungkin satu langkah ke arah kerjasama ini.

Indonesia juga sedang memperbaharui kemampuannya. Baru-baru ini, ia melancarkan kapal amfibia terbaharunya, KRI Teluk Bintuni, dan merancang untuk membeli sekurang-kurangnya enam buah lagi kapal jenis ini. Kor Marin Indonesia juga sedang meningkatkan keupayaan. Pada Julai 2013, Jakarta dilaporkan merancang menubuhkan batalion ke-10 marin sebagai sebahagian program perluasan dan penstrukturan semula tentera laut. Tambahan kapal amfibia buatan Rusia yang dioptimumkan untuk serangan amfibia, tiba pada Januari 2014, menjadikan jumlah keseluruhan kapal amfibia marin Indonesia 54 buah. Indonesia juga dilaporkan merancang untuk membeli dari Ukraine.

Selain faktor misi bantuan, perkembangan ini juga dipengaruhi sebahagiannya oleh program amfibia kuasa sekitar Asia. Australia sebagai contoh kini sedang mula menggunakan kapal pelantar pendaratan helikopter kelas Canberra berdasarkan kelas Juan Carlos, dan mempunyai rancangan untuk memiliki pasukan amfibia yang siap siaga menjelang 2016.

Korea Utara juga menyediakan rancangan pada 2013 untuk memperolehi sebuah kapal pendaratan amfibia yang lebih besar daripada Dokdo seberat 19,000 tan yang sedia ada, kemungkinan juga berdasarkan kelas Juan Carlos. Korea juga baru melancarkan kapal pendaratan buatan tempatan, LST-II seberat 4,500 tan pada September 2013, dan bercadang membeli tiga lagi kapal seumpamanya.

Jepun sedang menubuhkan pasukan amfibia khusus untuk memenuhi keperluan dasar pertahanannya, melibatkan pulau-pulau di selatan termasuk Senkaku/Diayou yang dipertikaikan. Ini termasuk menubuhkan pasukan seperti Marin AS menjelang 2015 yang akan dilengkapi kenderaan tempur amfibia dan helikopter Osprey MV-22, dan juga kapal pendaratan besar yang lebih berkemampuan berbanding LPD kelas Osumi, dijangka mula berkhidmat pada Mac 2019. Jepun juga sedang mendapatkan pengetahuan tentang operasi serangan amfibia melalui latihan dengan Kor Marin AS.

Paling menarik tumpuan ialah China yang rancak meningkatkan kemampuan pasukan amfibia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kor Marin China sedang melaksanakan modenisasi dengan meningkatkan keupayaan infantri dan kenderaan amfibia, disokong kapal yang lebih besar. Ogos tahun lalu, Beijing dilaporkan mula membina dok pendaratan helikopter berdasarkan kapal kelas Mistral Perancis.

China baru-baru ini menarik perhatian lagi apabila memperlihatkan kemampuan amfibianya di perairan dipertikaikan. Kapal LPD kelas Yuzhao 17,600 tan sering dilihat bersama pasukan Marin China, helikopter dan kapal serangan pendaratan di perairan dipertikaian.

Kemampuan amfibia China yang dilihat berdasarkan pertikaian Laut China Selatan mungkin faktor penting mendorong peningkatan pasukan amfibia di Asia Tenggara. Ini paling utama dilihat pada Filipina dan Vietnam, dan juga Indonesia dan Malaysia. Filipina baru-baru ini mengisytiharkan peralihan daripada pasukan keselamatan dalaman kepada pasukan pertahanan luaran dengan fokus pada Laut China Selatan. Kapal baharu yang akan diterima pada 2016-17 akan menyokong kerahan pasukan ke kawasan yang jauh di Kepulauan Spratly.

Vietnam kini bergerak ke arah membina keupayaan kawalan laut ofensif yang boleh digunakan sekiranya kedudukan dikuasainya di Spratly ditawan. Walaupun keupayaan amfibia masih kecil, Vietnam telah memberi tumpuan pada misi Spratly. Tentera laut infantri Vietnam juga sedang melaksanakan modenisasi yang sederhana dan mula membeli peralatan baharu.

Malaysia tidak menuntut kawasan yang besar di Spratly, dan tidak mengejutkan apabila ia tidak menunjukkan reaksi marah semasa berlaku pencerobohan wilayah perairannya oleh China. Tetapi Kuala Lumpur sedar cabaran China di Laut China Selatan. Walaupun rancangan menubuhkan pasukan amfibia bermodelkan Marin AS dikaitkan dengan insiden Lahad Datu, tidak boleh ditolak kemungkinan langkah itu juga diambil berdasarkan perkiraan Laut China Selatan. Berdasarkan perkiraan ini, latihan bersama dengan AS berguna untuk persediaan di Sabah dan juga Spratly.

Indonesia juga memerhatikan Laut China Selatan. Mac tahun ini, pemimpin tentera Indonesia Jeneral Moeldoko mengisytiharkan pengukuhan pertahanan sekitar Kepulauan Natuna di hujung selatan Laut China Selata, lokasi kapal perang China sering menceroboh. Beliau menggesa pemantauan Laut China Selatan dan berkata sebarang peristiwa di Laut China Selatan mungkin merbahaya kepada Indonesia kerana boleh merebak ke negara itu.

Pembinaan kekuatan Indonesia juga kelihatan berdasarkan kemungkinan pertikaian maritim dengan Malaysia. Pada Mei 2014, Marin Indonesia terlibat dalam latihan melibatkan operasi udara-darat-laut yang bertujuan meningkatkan keupayaan respons terhadap Malaysia berhubung blok hidrokarbon Ambalat di Laut Celebes.

Kapal pendaratan amfibia sukar dibezakan antara kemampuan pertahanan dan serangan. Memang sifatnya ialah dua kegunaan, yang boleh digunakan untuk misi bantuan tetapi juga tindakan agresif merampas wilayah maritim. Pada era bencana semakin kerap, keupayaan ini menjadi pilihan oleh Asean.

Walau bagaimanapun, disebabkan dua fungsi inilah wujud kemungkinan lain, terutama bila digabungkan dengan pasukan tentera laut yang lain. Kemampuan amfibia ini menjadi lebih relevan dengan pertikaian wilayah. Untuk menangani masalah ini, pasukan amfibia serantau perlu digalakkan mengadakan latihan bersama bukan sahaja untuk membina ketahanan serantau terhadap bencana, tetapi juga membina keyakinan dan kepercayaan.- November 3, 2014

Koh Swee Lean Collin ialah felo penyelidik bersekutu di Institut Kajian Pertahanan dan Strategi di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.  Artikel asal, Southeast Asia's Emerging Amphibious Forces, diterbitkan di laman The Diplomat.

Wednesday, November 5, 2014

Gerakan Islam, liberalisme dan pasca-Islamisme

Oleh MUHAMMAD ATIULLAH OTHMAN

Sungguh mengejutkan pendedahan Mustafa Akyol mengenai hasil kajian Liberal Turkish pada 2006 yang mendapati bahawa tuntutan masyarakat Turki agar kembali kepada syariah menurun dari 21 peratus kepada sembilan peratus dalam tempoh tujuh tahun sejak Islamic Calvinism diperkenalkan.

Islamic Calvinists adalah golongan yang menumpukan nilai dan kesufian tetapi mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Golongan ini ditubuhkan untuk mengambil alih kekuasaan Parti Refah sehinggalah Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, menaiki tangga politik pada 2006.

Kajian tahun 2006 ini jugalah, kehendak masyarakat Turki kepada undang-undang rejam menurun kepada satu peratus sahaja. Malah, idea jihad medan perang sudah bertukar kepada jihad ekonomi, selera tulisan-tulisan pembaca novel pun telah beralih arah dari citra Islam kepada kebejatan moral sekular.

Lebih teruk dari itu lagi, kem Islamis turut mengkritik budaya Islam dan beralih kepada bentuk hidup Muslim yang individualistik, serta mengubah arah dari citra ketaatan kepada agama kepada citra kebebasan. Inilah suasana yang golongan liberal Turki rancang bagi menyediakan AKP sebagai Islamis mengambil pentadbiran kerajaan.

Gerakan liberal memang sah perancangan antarabangsa. Kini, gerakan liberal ini pula mengemukakan satu gerakan baharu sebagai langkah antarabangsa. Satu tesis berjaya dihasilkan bagi mengetengahkan neoliberal antarabangsa, pascamodenisme dan kepelbagaian budaya kepada AKP yang ditulis oleh Burak Ozcetin bagi mendapatkan doktor falsafah di Middle East Technical University pada 2011.

Tidak hairanlah, Akyol menyebut golongan pembangkang menjadi rakan sekular-liberal kerana sekular-liberal gagal dipertahankan oleh pemerintah. Beliau mencadangkan mengubah wajah Islamisme kepada pasca-Islamisme.

Pandangan Akyol bukanlah bersandarkan kepada pandangan Asef Bayat sendiri yang berbicara mengenai sosial, politik dan hak. Beliau bukan bersandarkan pandangan Olivier Roy dan Gilles Kepel mengenai kegagalan Islamisme membuka ruang baharu dimensi politik moden dan menghalang pemikiran radikal.

Beliau lebih jauh mengheret pandangan pasca-Islamisme kepada bentuk liberal iaitu Islam adalah serasi dengan demokrasi, sekular, kapitalisme, hak asasi manusia dan nilai-nilai Barat. Kesemua idea ini diaduk dalam pasca-Islamisme yang pernah dicanang oleh Islamic Rennaisance Front (IRF) oleh pengerusinya iaitu Dr Ahmad Farouk Musa.

Kegiatan liberal ini adalah selaras dengan keinginan Barat. Alain Roussilon menyatakan Barat tengah menunggu dan mendesak rangka kerja pasca-Islamisme disegerakan. Bentuk pasca-Islamisme yang diinginkan adalah menolak pemikiran radikal Islam, lebih mirip kepada pemikiran Protestan Kristian atau pemikiran liberal Muslim, perwatakan masyarakat Muslim yang lebih moderat dan yang paling penting adalah bagi menolak idea negara Islam dan perlaksanaan syariat Islam. Kandungan Islam Liberal ini sudah berjaya dimuatkan dalam pasca-Islamisme oleh Husnul Amin dalam disertasinya yang bertajuk From Islamism to Post-Islamism.

Tanpa syak lagi, terdapat desakan dari pihak Barat dan liberal Turki bagi mengetengahkan Islam Liberal dalam pasca-Islamisme. Persoalan yang timbul adalah mengapakah mereka mendesak pasca-Islamisme disegerakan? Adakah kerana kegagalan Kemalisme di Turki, Jamal Abdul Naser di Mesir dan Zine el-Ebidine Ben Ali di Tunisia mengekalkan hegemoni sekular?

Adakah liberal dan sekular tidak lagi mampu berdepan mengetengahkan idea dan gerakan agar diikuti masyarakat dunia Islam? Atau adakah pasca-Islamisme adalah citra menukar wajah Islamisme kepada mesra liberal dan sekular selepas menyedari sekular dan liberal sudah tiada tempat di hati umat Islam?

Hanya dua negara yang berjaya menukar citra Islamisme kepada pasca-Islamisme iaitu di Turki dan Tunisia. Di Turki, regim tentera Turki yang beraliran sekular telah menahan Recep Tayyip Erdogan selama setahun kerana dikaitkan dengan parti Refah. Apabila keluar dari penjara, Erdogan terus menyebut agar memberi peluang kepada demokrasi dan liberal menyalurkan kepada masyarakat satu suasana menikmati lebih kebebasan.

Masyarakat merasai sendiri kebebasan ini di bawah pentadbiran AKP berbanding Refah yang dilihat sebagai Islamis. Ideanya, demokrasi Barat adalah lebih bebas dari Turki lalu mengajak ke arah demokrasi bebas. AKP dengan bantuan Kemalisme berjaya membuat tekanan sehingga demokrasi Turki berjalan dengan baik. Ini memberi impak baik kepada AKP untuk terus berkuasa.

Di Tunisia pula, gerakan pasca-Islamisme telah lama dan awal. Kenaikan Rached Ghannouchi membuka lembaran kepada puak sekular agar bersama-sama dengan Islamis. Ruang ini telah membuka lembaran pasca-Islamisme diketengahkan.

Malah, Pusat Kajian Islam dan Demokrasi, CSID, di Washington, Amerika Syarikat yang merupakan pusat kajian sekular dan liberal telah berjaya dibawa ke dalam pentadbiran Ghannouchi yang mengetengahkan idea demokrasi, ekonomi bebas dan hak masyarakat sivil.

Kejayaan pasca-Islamisme di Turki dan Tunisia sedang diaplikasikan di dunia Islam. Negara-negara yang sedang giat dimomokkan dengan pasca-Islamisme adalah Mesir, Yaman, Pakistan dan Malaysia. Baki negara-negara Islam yang lain sedang diusahakan. Sebagai contoh, parti Wasat sedang dinaikkan atas nama pasca-Islamisme padahal parti ini adalah berhaluan sekular yang pro-Abdel Fattah al-Sisi.

Atas tujuan inilah, Akyol telah membentangkan kertas kerjanya di Kaherah, Mesir yang bercerita pengalaman Turki menghadapi Islamisme. Justeru, tidaklah pelik, bekas pimpinan Ikhwan al-Muslimin yang dibuang keahliannya iaitu Kamal Helbawi telah bersama bersekongkol dengan pemerintah Mesir bagi menghidupkan pasca-Islamisme. Dengan harapan, keinginan masyarakat Mesir terhadap syariat akan menurun.

Golongan liberal dan Barat sudah mengetahui bahawa ideologi sekular dan liberal sudah gagal. Kini, mereka menggerakkan dua ideologi ini dengan penjenamaan baharu. Jikalau mereka menggunakan ideologi sekular dan liberal bagi berhadapan dengan pencinta syariat Islam, seluruh umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sudah mengetahui jawapan-jawapannya dalam karya-karya ulama sejak kurun ke-20 lagi.

Cuma yang tinggal adalah harapan dari anak-anak muda Islam dan menanti kebangkitan semula para pemikir dan cendekiawan abad ke-20 ini mengemudi perjuangan di awal era abad ke-21 ini agar terus berhadapan idea baharu liberal, yang dimunculkan sebagai pasca-Islamisme.

Dr Muhammad Atiullah Othman ialah pensyarah pengajian Islam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tuesday, November 4, 2014

Selepas AS berundur, China mahu kuasai Afghanistan

Oleh DIRK VAN DER KLEY

Dalam masa dua bulan, pasukan keselamatan asing di Afghanistan akan menyerahkan tanggungjawab keselamatan kepada pasukan tempatan.

Sebagai persediaan untuk penyerahan ini, dan kemudian pengunduran pihak tentera asing, Beijing telah meningkatkan usaha diplomasinya di Afghanistan, yang sebelum ini secara tradisinya tidak menonjol.

China telah mengusahakan berpuluh mekanisme diplomasi dua hala dan pelbagai hala dengan Afghanistan dan negara-negara sekitar dengan tumpuan diberikan pada isu keselamatan. Diplomasi, selain peningkatan kerjasama ekonomi, ialah satu tunjang utama China di Afghanistan.

Kepentingan utama China di Afghanistan ialah keselamatan. China mahu mengelakkan penyebaran fahaman yang oleh mendorong aktiviti terorisme ke wilayah Xinjiang, dan pada masa sama memastikan Afghanistan tidak menjadi satu pangkalan untuk militan Uyghur.

Beijing tidak akan menempatkan tenteranya di Afghanistan, jadi bagaimanakah ia akan menggunakan diplomasi untuk menghalang ketidakstabilan merebak ke Xinjiang?

Beijing akan cuba mengurangkan ancaman keselamatan melalui dua cara.

1. Menstabilkan Afghanistan, atau menghalang kemerosotan dalam keadaan keselamatan Afghanistan yang telah sedia buruk.
2. Sekiranya langkah 1 gagal, hadkan penyebaran ketidakstabilan baharu dan kurangkan ancaman langsung terhadap Xinjiang.

Pengaruh langsung Beijing dalam menstabilkan Afghanistan adalah terhad. Hal ini memerlukan komitmen bantuan sokongan ekonomi yang besar.

Dari sudut diplomasi, Beijing mengajak negara-negara jiran menyumbang kepada pembangunan semula Afghanistan. Tetapi hal keselamatan diserahkan kepada pasukan bersenjata Afghan dan tentera asing yang masih ada. Amerika Syarikat kemungkinan besar akan memainkan peranan pengantara di Afghanistan jika perlu, seperti yang berlaku semasa kebuntuan dalam pilihan raya yang lalu.

Berhubung menghalang penyebaran ketidakstabilan baharu, Beijing mempunyai lebih pilihan melalui cara diplomasi. China mempunyai hubungan dengan pelbagai pihak, termasuk individu dan kumpulan di Afghanistan, termasuk Taliban.

Sejak kerajaan Hamid Karzai berkuasa pada 2001, hubungan dengan Taliban dilakukan melalui orang tengah. Tetapi kebelakangan ini Beijing dilaporkan membina semula hubungan terus dengan Taliban yang telah terbina sejak sebelum penaklukan AS pada 2001.

Beijing mahu jaminan yang Afghanistan tidak akan berfungsi sebagai satu pangkalan untuk kumpulan militan Uyghur. Ia juga mahu pelaburan China di Afghanistan dilindungi daripada serangan Taliban.

Wujud pelbagai pandangan bercampur-campur tentang keberkesanan pendekatan ini. Ada sumber dari China yang mengatakan Taliban tidak mahu membangkitkan kemarahan Beijing kerana ini akan menyukarkan hubungan kumpulan itu dengan Pakistan yang juga mempunyai hubungan rapat dengan China.

Ada juga yang mempersoalkan komitmen Taliban terhadap tuntutan-tuntutan China. Militan telah menyerang projek sumber China di Afghanistan beberapa kali, dan pada tahun 2012 Reuters memetik seorang jurucakap Taliban sebagai berkata yang kumpulan itu menentang pelaburan terbesar China di Afghanistan, sebuah lombong tembaga dekat Kabul.

Beijing juga telah meluaskan kehadiran diplomatiknya di rantau ini. China berharap dapat mencapai konsensus mengenai Afghanistan dengan negara-negara sekitar kerana ia berada di barisan hadapan dalam menangani ketidakstabilan di Afghanistan.

Bentuk konsensus ini masih tidak jelas, tetapi mungkin melibatkan usaha meningkatkan kerjasama serantau berhubung isu seperti antinarkotik dan menentang terorisme, dengan langkah-langkah praktikal seperti perkongsian hasil risikan, latihan ketenteraan bersama dan latihan perundangan dan penguatkuasaan undang-undang bersama (sesetengah kerjasama ini telah dijalankan secara dua hala melalui Pertubuhan Kerjasama Shanghai, SCO).

Terdapat banyak halangan untuk mencapai agenda China ini. Pegawai-pegawai di negara Asia Tengah disyaki mempunyai hubungan baik dengan pedagang dadah. Pada masa sama juga telah wujud lama kerisauan terhadap Pakistan yang membantu melindungi teroris. Malah, hubungan sesama negara Asia Tengah juga tidak baik.

Walaupun berdepan cabaran, pendekatan diplomatik Beijing kelihatan mencukupi untuk menangani ancaman teroris dari Afghanistan. Jumlah militan Uyghur yang berlindung di Afghanistan dan juga Pakistan masih kecil, dan kemampuan militan Uyghur dari luar untuk melancarkan serangan ke atas China masih terhad. Mereka perlu meningkatkan kemampuan berganda untuk mampu menjadi ancaman yang tetap kepada China.

Walau bagaimanapun, campurtangan dalam bentuk diplomasi, ekonomi dan ketenteraan tidak mampu menyekat propaganda dari teroris yang menggunakan agama daripada sampai ke Xinjiang.

Hal ini secara konsisten disebut oleh pihak China sebagai ancaman luar yang paling besar terhadap kestabilan Xinjiang.

Kerajaan China mungkin memperbesarkan ancaman ideologi dari luar, seperti yang dilakukan oleh banyak kerajaan. Masalah Xinjiang hampir keseluruhannya bersifat domestik, yang muncul daripada peminggiran populasi Uyghur melibatkan kekangan keagamaan, ketidakseimbangan ekonomi dan diskriminasi yang telah berleluasa. Tetapi dibimbangi yang mesej-mesej ideologi mungkin diterima oleh kumpulan ini.

Kumpulan bersenjata Uyghur yang beroperasi di luar paling dikenali, Parti Islam Turkistan, menggalakkan penggunaan taktik keras di Xinjiang dan menyokong pemisahan.

Hebahan medianya juga semakin canggih sejak beberapa tahun lalu. Kumpulan lain seperti ISIS dan al-Qaeda juga telah menunjukkan sokongan secara ideologi kepada Uyghur di Xinjiang, walaupun sokongan hanya terhad dan tidak termasuk sokongan operasi.

Penganalisis China memahami had kemampuan diplomasi dalam menangani hal keselamatan berkaitan Afghanistan. Tetapi diplomasi dilihat, bersama dengan bantuan ekonomi, sebagai pilihan yang terbaik daripada pilihan-pilihan yang terburuk.

Shi Lan daripada Akademi Sains Sosial Xinjiang menyimpulkan pilihan ini: "Dialog ialah pilihan terbaik yang ada untuk menyelesaikan masalah. Saya sendiri merasakan sukar untuk mencapai sebarang hasil, tetapi kita mesti mencuba." - Oktober 27, 2014

Tulisan ini, dipetik dari laman Lowy Interpreter, tajuk asalnya China's Afghanistan Policy: Testing the Limits of Diplomacy.

Tuesday, October 21, 2014

Kempen pegang anjing bermatlamat salah

Oleh MUHAMMAD FAISAL ASHAARI 

Isu pegang anjing yang heboh sehari dua ini bukan sekadar dibincangkan dari sudut hukum atau dari sudut fiqh, tetapi lebih dari itu ia perlu dibincangkan dari sudut pemikiran moden yang berkembang dalam kalangan generasi baru.

Dari sudut fiqh, ada mazhab yang ketat dalam isu pegang anjing dan pula mazhab yang memberikan ruang dan kelonggaran seperti mazhab Hanafi. 
Ia sepatutnya tidak menjadi masalah yang besar kerana wujud kelonggaran dari sudut agama.

Masalahnya ialah ia bercanggah dengan adat dan tradisi orang Melayu di negara ini yang berasa canggung dengan anjing. Ia dikukuhkan lagi dengan mazhab fiqh orang Melayu yang berasaskan kepada mazhab Syafie yang kurang mesra dengan anjing. 

Dari sudut pemikiran, mengetengahkan isu pegang anjing merupakan suatu jenis pemikiran yang dinamakan sebagai pascamodenisme iaitu pemikiran yang sentiasa mengkritik apa yang telah mapan atau yang sudah biasa diamalkan dalam masyarakat atau melakukan sesuatu menyanggah kebiasaan masyarakat. Ia menjadi trend semasa kepada generasi masa kini yang dipercayai atas alasan itu adalah hak mereka.

Banyak aktiviti kehidupan generasi masa kini yang cuba menyalahi amalan kebiasaan pada masa lalu yang dianggap sebagai inovasi. Malah, menyanggahi amalan kebiasaan dalam sesetengah keadaan sangat digalakkan atas nama inovasi. Memang tidak semua sanggahan terhadap tradisi itu haram melainkan sekiranya menyanggah perkara yang diwajibkan dalam agama. 

Sikap suka menyanggahi amalan tradisi termasuk agama adalah sifat utama kepada liberalisme dan pluralisme yang cuba membebaskan diri dari sebarang ikatan autoriti. Sifat agama yang mengikat tidak membenarkan penganutnya membebaskan diri dan melakukan amalan ikut hawa nafsu.

Namun, bagi seorang pluralis dan liberalis, tradisi dan agama telah mengongkong kehidupan mereka. Maka, menyanggahi tradisi termasuk agama adalah suatu keperluan. Mereka mengkritik biarpun perkara yang sudah tetap di dalam agama. Fenomena inilah yang disebut sebagai pascamodenisme.

Isu pegang anjing merupakan suatu usaha yang halus yang boleh dikaitkan dengan usaha untuk meruntuhkan pegangan umat Islam terhadap tradisi, termasuklah agama. Setakat ini, pegang anjing bukanlah suatu isu penting yang perlu diangkat sebagai bahan perbincangan oleh umat Islam.

Banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian oleh orang Islam seperti isu akidah, isu arak dan sebagainya. Tetapi ia diangkat sebagai isu yang penting dipercayai mempunyai agenda yang tertentu dan sebahagian dari kempen besar contestation dalam “politik baharu” yang ingin dibawa masuk ke dalam negara ini. Kali ini mungkin pegang anjing, mungkin akan datang lain pula isunya. 

Saidina Ali berkata: "Kata-kata yang betul, tetapi digunakan untuk tujuan yang salah."

Dr Muhammad Faisal Ashaari ialah akademik pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Monday, October 20, 2014

Pakatan anti-dolar Rusia, China dan Iran

Selepas beberapa bulan rancangan Rusia dan China untuk melaksanakan rancangan yang konkrit untuk menghakis pengaruh dolar Amerika Syarikat, kedua-dua negara akhirnya mencapai satu siri perjanjian perdagangan dan kewangan pada Isnin, 13 Oktober lalu.

Pertemuan pemimpin tertinggi Rusia dan China bulan Mei lalu telah meningkatkan lagi perhatian kepada rancangan Moscow-Beijing ini, yang akhirnya termeterai minggu ini.

Pemimpin kedua-dua negara menandatangani perjanjian tenaga, perdagangan dan kewangan yang disebut sebagai dasar beralih ke Asia yang telah mencapai hasilnya.

Perjanjian ini juga dicapai untuk membantu kedua-dua Rusia dan China berdepan dengan sekatan yang semakin ditingkatkan ke atasnya oleh Barat, terutama selepas krisis Ukraine.

Sebanyak 38 perjanjian dicapai di Moscow dalam pertemuan antara Perdana Menteri Rusia Dmitri Medvedev dan Perdana Menteri China Li Keqiang, melibatkan kerjasama tenaga dan pertukaran mata wang bernilai 150 bilion yuan atau AS$25 bilion, yang boleh membantu mengurangkan peranan dolar dalam perdagangan kedua-dua negara.

Perjanjian-perjanjian tersebut ialah antara tanda kejayaan awal dasar beralih ke timur yang diarahkan oleh Presiden Vladimir Putin untuk mengelakkan peminggiran akibat sekatan.

Pada Mei lalu, kedua-dua negara memeterai perjanjian perdagangan gas asli bernilai AS$400 bilion, yang dicapai segera selepas Barat meningkatkan tekanan terhadap Rusia ekoran krisis Ukraine.

Amerika Syarikat dan Eropah memberi sokongan kepada kumpulan pro-Barat di Ukraine, yang melakukan protes besar-besaran sehingga mencetuskan krisis, yang akhirnya mendorong Rusia menakluk Crimea.

"Saya menganggap keupayaan kita membuka kemungkinan baharu walaupun berdepan sekatan sebagai satu pencapaian penting," kata Medvedev selepas majlis menandatangani perjanjian.

Tetapi China menunjukkan tanda yang rasa curiga masih belum terhapus sepenuhnya, apabila kelihatan masih berhati-hati, termasuk ketika mengulas prospek perjanjian pada 2015 pembinaan saluran bekalan gas kedua membekalkan gas Rusia ke China.

"Kerjasama dalam gas asli antara Rusia dan China telah lama berjalan. Tetapi banyak lagi rundingan antara syarikat terbabit perlu diadakan," kata Li.

Perjanjian ini membantu Rusia yang semakin disekat oleh Barat, termasuk dalam sektor perbankan yang menyukarkan bank Rusia untuk berurusan dengan pasaran Barat.

Pertukaran mata wang yang dicapai, melibatkan Rusia dan China berurus niaga dengan satu sama lain dalam mata wang ruble dan yuan, membantu China meluaskan penggunaan yuan di peringkat antarabangsa, sekaligus mengurangkan penggunaan dolar.

China, yang memiliki 34 peratus daripada AS$4 trilion rizab asing yang dilaburkan dalam hutang kerajaan AS, mahu menghadkan kerugian yang boleh disebabkan oleh penurunan nilai dolar dalam jangka pendek. Perancangan jangka panjangnya ialah meningkatkan pengaruh yuan dan menjadikannya satu mata wang rizab global.

Medvedev berkata,perdagangan antara Rusia dengan China berkembang sebanyak lebih daripada 100 peratus sepanjang enam tahun ini antara AS$40 bilion kepada AS$90 bilion.

Menurutnya, Rusia dan China ialah rakan dagang yang rapat, satu lagi kenyataan yang menegaskan kepentingan perdagangan kedua-dua negara, yang kini memasuki satu fasa yang kuat dipengaruhi geopolitik kuasa-kuasa besar. 

Di bawah perjanjian baharu ini, kerjasama akan dijalankan dengan lebih mendalam antara pengeluar minyak milik negara Rosneft dan Perbadanan Petroleum Nasional China, termasuk dalam projek gas asli cecair dan kemungkinan bekalan gas asli cecair ke China.

Bank-bank VTB, VEB dan Bank Pertanian Rusia - yang seperti Rosneft juga terjejas akibat sekatan - menandatangani perjanjian rangka kerja dengan Bank Exim China untuk pengurusan kredit.

Pengendali telefon bergerak MegaFon dan Bank Pembangunan China bersetuju untuk menguruskan pembiayaan bernilai AS$500 juta.

Li, yang tiba di Rusia dari Jerman kemudian akan ke sidang kemuncak pemimpin Eropah dan Asia, dan dijadual bertemu Putin untuk perbincangan.

Satu lagi tanda pemulihan hubungan antara Rusia dan China ialah peningkatan eksport minyak mentah ke China sepanjang Januari hingga September sebanyak hampir 45 peratus. Penghantaran ke Eropah dari pelabuhan Primorsk di Laut Baltik merosot hampir 20 peratus.

Menurut satu syarikat perunding tenaga, JBC Energy, eksport semakin bertambah ke pasaran Timur dan merosot ke Barat, trend yang dijangka terus meningkat dalam keadaan politik semasa.

Beijing mahu meningkatkan urus niaga dengan Rusia, mengambil kesempatan daripada kemerosotan hubungan Moscow dengan Barat, yang kini berada pada tahap terburuk selepas Perang Dingin.

Walau bagaimanapun, masih banyak perlu dilakukan untuk menghapuskan rasa saling mencurigai antara satu sama lain, yang baru menyelesaikan pertikaian sempadan pada dekad lalu.

Beijing berminat untuk melabur dalam pembangunan infrastruktur, tenaga dan komoditi di Rusia, tetapi Moscow mungkin berhati-hati dalam membenarkan pelaburan dalam industri strategik.

China mungkin juga bimbang untuk melabur dalam ekonomi Rusia yang berdepan pelbagai hambatan, termasuk sekatan dan kemerosotan harga minyak, eksport paling penting Rusia.

Pada masa sama, Rusia juga merancang bersama Iran untuk menubuhkan sebuah bank kerjasama untuk meningkatkan perdagangan dua hala dan mengatasi sekatan terhadap sektor perbankan Iran, lapor media Iran Press TV baru-baru ini.

Tehran dan Moscow sedang mengkaji kemungkinan membuka halaman baharu dalam perdagangan antara kedua-dua negara yang memberikan keupayaan untuk memecahkan dominasi mata wang Barat dalam urusniaga dua hala, Asadollah Asgaroladi, ketua Dewan Perniagaan Iran-Rusia dilapor berkata.

"Oleh kerana bank-bank Rusia bimbang akan implikasi berurusan dengan Iran disebabkan sekatan, kami mahu menubuhkan bank kerjasama Iran-Rusia dengan bantuan bank pusat dan sektor swasta kedua-dua negara," kata Asgaroladi.


"Bank seperti itu akan boleh menukarkan wang antara dua pihak menggunakan rial Iran dan rubles Rusia, tanpa menggunakan dolar, euro atau pound," tambahnya.

Iran telah mengalami kesukaran ekonomi beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan sekatan Barat terhadap sektor tenaga dan kewangan Iran.

Malah, sejak beberapa tahun lalu, Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas beberapa individu dan entiti Iran walaupun pada masa sama meneruskan rundingan untuk mencapai penyelesaian komprehensif program nuklear Iran. (Reuters, Xinhua)

Kerana memusuhi Kurdi, AKP memihak kepada ISIS?

Oleh CENGIZ CANDAR

Pada 7 Oktober lalu, saya bersama rakan sekerja dan seorang sahabat lama Hasan Cemal makan malam di Istanbul. Dalam perjalanan ke restoren berkenaan, saya difahamkan berlaku kekacauan di wilayah-wilayah yang diduduki rakyat Kurdi di Turki.

Ramai yang terbunuh dan perintah berkurung terpaksa dikenakan di enam pusat wilayah dan beberapa daerah. Sewaktu kami duduk makan, kami diberitahu bahawa di beberapa kawasan di Istanbul, tercetus pergaduhan antara pihak berkuasa dengan pembantah; Cemal menerima panggilan bertali arus.

Dia memberitahu saya bahawa awal pagi esok beliau akan ke sempadan wilayah Mardin menyertai majlis yang dihoskan Datuk Bandar Ahmet Turk, seorang ahli politik Kurdi veteran, barangkali seorang tokoh Kurdi yang sangat dihormati dalam kalangan pendapat awam Turki.

Berita ini tidak mengejutkan saya. Cemal boleh dianggap sebagai dekan bagi institusi kewartawan Turki. Beliau telah terlibat dalam profesyen berkenaan lebih daripada 40  tahun, dan pernah berkhidmat sebagai ketua pengarang akhbar tertua di Turki, Cumhuriyet, selama satu dekad.

Sewaktu pemerintahan tentera pada awal 1980-an, beliau berada dalam jawatankuasa eksekutif, Institut Akhbar Antarabangsa. Selepas mempamerkan karier profesional yang cemerlang untuk tempoh masa yang panjang, beliau menjuruskan dirinya membuat laporan-laporan lapangan khususnya mengenai isu Kurdi.

Beliau kerap berjalan dan membina hubungan yang kukuh dalam kalangan ahli politik elit Kurdi. Beliau baru menerbitkan sebuah buku bertajuk, Kurdistan Gunlukleri (Urutan Sejarah Kurdi), mengenai perjalanannya yang banyak dan hubungan yang dimilikinya di Rojava, daerah masyarakat Kurdi di Syria, bersebelahan sempadan Turki.

Apabila kumpulan Negara Islam di Iraq dan al-Syam (ISIS) mula menyerang dan melakukan keganasan di Kobani, dan Turki pada waktu itu hanya bertindak melihat kuasa ekstremis menyembelih masyarakat Kurdi dan berfikir apakah kesannya ke atas masyarakat Kurdi di Turki, Cemal tidak mampu berbuat apa-apa melainkan harus pergi ke daerah tersebut membuat laporan.

Dan itulah yang beliau lakukan. Inilah sedutan daripada tulisan pertama beliau pada 8 Oktober di bawah tajuk Serhildan-I (Kebangkitan Kurdi). Membaca impresi Cemal menjadikan tajuk itu lebih menarik: "Ahmet Turk berkata, 'Saya menjadi bingung dengan isu Kobani ini. Saya pernah fikir bahawa Turki akhirnya akan membantu Kurdi. Saya silap. Ia tidak berlaku.'"

Cemal percaya tindakan Ankara membiarkan sahaja kelompok Kurdi menghadapi kumpulan ganas ISIS merupakan isu yang menghilangkan sepenuhnya kepercayaan kelompok Kurdis kepada negara. Beliau menulis, "Mereka yang tidak pernah mengundi kami, mereka yang menyokong AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) semuanya berada di Suruc. Mereka berada di atas jalan raya sekarang. Dasar Ankara membiarkan ISIS untuk menghapuskan PKK (Parti Pekerja Kurdistan) dan PYD (Parti Kesatuan Demokratik) dengan tujuan untuk mengajar mereka, telah memusnahkan segala-galanya.

"Membiarkan masyarakat Kurdi dipenggal kepala, perempuannya dirogol serta sikap pasif Turki terhadap sikap ganas ini menghilangkan terus kepercayaan masyarakat Kurdi pada Ankara. Masyarakat Kurdi dapat melihat bagaimana negara itu membutakan mata terhadap perlakuan ISIS."


"Merujuk kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan, Ahmet Turk berkata, 'Di mata rakyat, Erdogan sekarang seorang diktator. Apa jenis kesombongan yang ditunjukkannya?'

"Ahmet Turk seterusnya menyambung, 'Dengar, apa yang kita lalui sejak dua hari lepas adalah serhildan Kobani, satu kebangkitan. Di luar usaha mana-mana organisasi. Ia adalah kebangkitan rakyat. Asas cara berfikir negara tidak berubah. Tengok, beberapa tahun kemudian, kereta perisai akan kembali semula ke atas jalan raya. Dengan cara berfikir seperti ini, kesamarataan bagi rakyat Kurdis adalah mimpi palsu. Kamu tidak akan mampu menyelesaikan isu ini menurut cara berfikir seperti itu."

Cemal kemudian memetik pandangan masyarakat Kurdi yang tidak dikenali: "Mengenai pemisahan, seorang daripada mereka berkata, 'Dasar AKP adalah memberi sokongan kepada ISIS. Itu dasar yang memecahbelahkan Turki. Rakyat Kurdi dapat melihat realiti ini. Mereka faham bahawa proses rundingan bukan untuk menyelesaikan masalah tetapi untuk melemahkan masyarakat Kurdi.'

"Yang lain menambah, 'Erdogan meletakkan ISIS dan PKK dalam bakul yang sama, semuanya dipanggil kumpulan pengganas. Ini membuatkan rakyat Kurdi sakit hati. Mereka tidak percaya semua ini berlaku.'"

Pada tengah malam 9 Oktober, Cemal menulis Serhildan-II dari bandar Kurdi iaitu Suruc, yang sempadannya hanya dipisahkan oleh landasan keretapi dari Kobani:

"Kamu dengar rungutan terhadap Erdogan dalam setiap langkah di sini. Beliau berkata Kobani kemungkinan ditawan dan akan ditawan. Tidakkah beliau sedar bahawa Diyarbakir telahpun jatuh dan ditawan? Jika hal ini terus berlaku, minta Tuhan menolong kita, keseluruhan negara ini akan hangus. Adakah Erdogan sedar hal ini?"

Arzu Yilmaz merupakan seorang ahli akademik muda berketurunan Kurdi. Beliau adalah calon kedoktoran di jabatan sains politik, Universiti Ankara, dan beliau dianggap sebagai tokoh yang mempunyai perspektif paling terkehadapan dalam isu Kurdi.

Untuk disertasi PhD nya, beliau menghabiskan masa lebih dua tahun di Dahuk, wilayah Kurdi Iraq, di mana beliau mengkaji pergerakan politik Kurdi. Pada saat tercetusnya kebangkitan rakyat di wilayah Kurdi di Turki, beliau menulis seperti berikut:

"Jangan sesiapa pun diperbodohkan. Turki secara terbuka telah mengisytiharkan perang, bukan sahaja di luar sempadannya, malah di dalam negara juga. Rakyat Kurdi telah bangkit. Di Kurdistan telah berlaku kebangkitan popular dengan sokongan popular yang belum pernah berlaku sebelum ini. Apa yang jelas, tidak kira kota, bandar atau kampung. Ia adalah bom yang besedia untuk meletup."

Satu perkara kecil yang tidak menarik minat ramai orang, bagi saya sangat penting. Teyrenbazen Azadiya Kurdistan (TAK), dipercayai merupakan organisasi cabang dalam PKK, yang bertanggungjawab ke atas beberapa aksi keganasan di kawasan bandar, mengeluarkan kenyataan yang berbunyi: "Peringatan kepada pemilik-pemilik senjata yang selama ini dihalakan ke arah Kobani. Mulai sekarang, semua bandar utama merupakan medan tempur kami dan semua kekuatan musuh menjadi sasaran utama kami. Apabila Kobani dibakar, semua bandar di Turki tidak akan tidur selesa. TAK akan memindahkan semua kesengsaraan yang ditimpakan di Kobani, kepada kekuatan musuh di bandar-bandar besar dan akan menjadikannya neraka."

Laporan media pada 9 Oktober menyifatkan rekod TAK sebagai berikut: "TAK, yang merupakan sebahagian daripada PKK tetapi beroperasi secara bebas daripada organisasi tersebut, sehingga kini mendakwa bertanggungjawab terhadap banyak peristiwa serangan bom di bandar-bandar besar dan tempat tarikan pelancong. Serangan di Kusadasi, Marmaris dan Antalya dalam 2005 dan 2006, dan serangan pada 22 Jun 2010 di Istanbul yang mengorbankan lima orang, empat daripadanya anggota tentera, didakwa dilakukan TAK. Serangan pada 31 Oktober 2010 di Taksim, Istanbul yang mencederakan 32 orang, dan serangan pada 20 September 2011 di Ankara yang membunuh tiga orang juga didakwa dilakukan organisasi ini."

Turki memilih jalan yang sangat bahaya ke arah keganasan, yang memungkinkan berlakunya perang saudara dan perbalahan kelompok masyarakat. Ini merupakan berita yang sangat buruk. Lebih buruk lagi, PKK dan pemimpinnya yang dipenjarakan Abdullah Ocalan tidak akan berupaya mengawal perkembangan tersebut.

Kita akan menyaksikan skop tindakan spontan kebangkitan masyarakat Kurdi di Turki dan bakat ahli politik elit Kurdi menangani keadaan ini.

Bagi kerajaan Turki - yang kelihatannnya telah hilang keupayaan untuk berfikir secara komprehensif - usaha untuk menghalang Turki daripada terjerumus ke dalam kancah perang saudara kebanyakkannya bergantung kepada ahli politik elit Kurdi dan kawalannnya ke atas generasi baru Kurdi, yang menunjukkan keberangan semakin memuncak ekoran peristiwa di Kobani.

Kerana, jika apa yang berlaku ini adalah "serhildan," maka kejadian selepas ini dijangkakan lebih buruk.


Artikel ini dipetik daripada laman Al-Monitor, dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh MUHAMMAD NOR ABD SAMAD.

Sunday, October 19, 2014

India mula tumpu Laut China Selatan

Oleh C RAJA MOHAN

Hakikat bahawa Laut China Selatan disebut buat pertama kali dalam kenyataan bersama antara India dan Amerika Syarikat semasa lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Washington telah mendapat perhatian semua. Rujukan terhadap wilayah perairan itu lebih memberi gambaran tentang perubahan sikap di bawah Modi berbanding dasar New Delhi terhadap pertikaian maritim di Laut China Selatan dan Timur antara Beijing dan jiran-jirannya di Asia, terutama Jepun, Vietnam dan Filipina.

Sejak China menjadi semakin asertif di Pasifik, New Delhi yang turut terlibat dalam pertikaian dengan Beijing di Himalaya, mula mempertimbangkan isu kebebasan navigasi. Ini memandangkan sebahagian besar perdagangan India yang semakin meningkat dengan Asia Timur melalui Laut China Selatan.

Modi telah mempertegaskan semula hal ini dalam kenyataan bersama dengan Presiden AS Barack Obama dan menegaskan pendirian India bahawa pertikaian wilayah maritim di Laut China Selatan perlu diselesaikan menurut Konvensyen Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut, UNCLOS.

Penegasan ini kini semakin biasa muncul dalam kenyataan bersama India dengan rakan-rakan di Asia Timur. Apa yang baharu dalam hal ini ialah New Delhi di bawah Modi tidak lagi segan-segan dalam menegaskan pendirian yang selari dengan AS. Salah satu legasi diplomasi yang dikesali, yang lahir daripada dasar berkecuali India ialah keengganan India untuk menegaskan pendirian yang selari dengan AS berhubung isu serantau dan global. Modi yang lebih yakin membantu dalam hal ini dengan menyuntik sedikit pragmatisme dan keterbukaan dalam pendirian India.

Kepentingan India dengan AS, sebuah kuasa maritim terulung dunia, kini semakin selari, ekoran perdagangan yang meningkat dan kebergantungan yang meningkat pada lautan sebagai laluan import sumber tenaga.

Persamaan kepentingan ini dicerminkan oleh kerjasama yang semakin meluas antara tentera laut India dan AS sejak India mula dilanda globalisasi ekonomi pada 1990-an. Tetapi kelihatan wujud sikap teragak-agak dalam pentadbiran Aliansi Progresif Bersatu (UPA, yang ditubuhkan pada 2004) sebelum ini untuk merealisasikan potensi sepenuhnya kerjasama dengan tentera laut dengan AS. Modi, walau bagaimanapun, menunjukkan kesediaan untuk menerokai potensi ini.

Maka, tidak mengejutkan apabila Modi dan Obama bersetuju meningkatkan kerjasama maritim dua hala dan meningkatkan kualiti siri latihan tentera laut Malabar. Siri eksesais Malabar bermula pada awal 1990-an di bawah kerajaan Parti Kongres pimpinan PV Narasimha Rao, dan didayakan lagi oleh Pranab Mukherjee, yang berkhidmat sebagai menteri pertahanan pada dua tahun pertama kerajaan UPA berkuasa bermula 2004.

Tetapi kerjasama keselamatan maritim antara India dengan AS mula merosot selepas AK Anthony menggantikan Mukherjee sebagai menteri pertahanan pada 2006. Anthony kelihatan kurang sedar terhadap kepentingan maritim India dan teragak-agak untuk memperkukuhkan kerjasama dengan AS. Beliau malah tidak selesa dengan nama "Malabar" yang dipilih untuk menamakan latihan bersama India dengan AS, yang dikhuatiri menyinggung sentimen Muslim di negeri asal beliau, Kerala.

Tempoh tujuh tahun Modi di kementerian pertahanan telah membantutkan kerjasama tentera laut India dengan AS dan juga negara-negara lain. Modi bakal mengambil masa yang agak lama untuk memulihkannya.

Rujukan terhadap meningkatkan latihan Malabar dalam kenyataan bersama menunjukkan yang New Delhi dan Washington kini bersedia untuk bukan sahaja meningkatkan kualiti latihan itu tetapi juga membuka penyertaan kepada pihak lain seperti Jepun, Australia, Singapura dan negara-negara Asia Timur lain yang berminat.

Satu lagi yang menarik ialah kenyataan tentang meningkatkan kerjasama teknologi tentera laut antara kedua-dua negara. Menurut spekulasi pihak yang dekat dengan perbincangan, AS mungkin telah bersedia untuk menawarkan beberapateknologi kritikal kepada India untuk membantu pembinaan kapal pengangkut pesawatnya yang baharu. 

Diplomasi maritim Modi tidak terhad kepada ruang ketenteraan laut sahaja. Pembangunan infrastruktur rentas sempadan menjadi satu prioriti utama bagi kerajaan beliau. Kenyataan bersama Modi dengan Obama menyebut tentang kerjasama dalam mengintegrasikan benua kecil itu dengan pasaran Asia Timur melalui satu "Koridor Ekonomi Indo-Pasifik."

Cadangan ini serupa dengan rancangan China untuk membina laluan sutera maritim menghubungkan Lautan Pasifik dan Hindi. Bagi India, yang kelihatan curiga terhadap rancangan China di Lautan Hindi, Koridor Ekonomi Indo-Pasifik mungkin satu langkah pertama dalam membina laluan sutera maritimnya sendiri.


C Raja Mohan ialah penganalisis politik antarabangsa dan penulis buku Samudra Manthan: Sino-Indian Rivalry in the Indo-Pacific. Artikel ini dipetik dan diterjemahkan daripada The Indian Express.

Saturday, October 11, 2014

Selepas kemaraan Houthi, ke mana hala tuju Yaman?

Selepas pertempuran dan protes besar-besaran sejak hujung tahun lalu, pihak yang paling banyak mendapat keuntungan ialah kumpulan Houthi, yang kini mendapat suara yang lebih besar dalam usaha penubuhan kerajaan baharu, selepas diabaikan dalam persidangan dialog kebangsaan sebelum ini.

Houthi yang meningkat pencapaian dan pengaruhnya dengan setiap pertembungan dengan kerajaan kini mencapai kemuncaknya apabila berjaya menguasai Sanaa dan meningkatkan pengaruhnya dalam kerajaan di ibu negara, selepas berjaya menewaskan Islah dan sejumlah kecil tentera yang menentang mereka - pada masa sama mendapat sokongan daripada sebahagian tentera Yaman - dua kumpulan berpengaruh yang menguasai Yaman.

Kemenangan Houthi ini tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai peningkatan penguasaan Syiah dan Iran, ekoran hubungan baik Houthi dengan Tehran, walaupun tidak jelas lagi sejauh mana Houthi dapat menguasai pentadbiran di Sanaa dan membantu mencapai agenda serantau Iran, disebabkan kedudukannya sebagai minoriti Zaidiyah dan bukan sebahagian puak terkuat di Yaman.

Houthi walaupun dapat menguasai Sanaa dilihat tidak meneruskan kemaraan lebih jauh lagi, dipercayai kerana bimbang dengan reaksi keras yang bakal diundang melalui tindakan yang lebih drastik itu, selepas membuat kejutan dengan langkah pantas menguasai ibu negara dan lokasi-lokasi penting.

Tindakan kumpulan pemberontak ini tidak mahu berundur daripada Sanaa walaupun selepas perjanjian dicapai mengundang keresahan ramai, dan telah mendorong serangan daripada pihak al-Qaeda yang anti-Syiah.

Kemaraan Houthi ini kini digunakan untuk mengukuhkan naratif kebangkitan Syiah yang mengancam penguasaan Sunni di rantau Arab secara simplistik dan mengundang ketakutan, seperti yang digunakan di Syria dan Iraq untuk memperlihatkan pertembungan Sunni-Syiah dan membakar lagi sentimen sektarian.

Walau bagaimanapun, selain disebarkan oleh pihak musuh Iran dan Syiah, pihak di Iran sendiri turut menyumbang kepada pengukuhan pandangan ini, apabila ada pihak di Iran sendiri melihat kemaraan Houthi sebagai satu kejayaan Iran. Seorang ahli Parlimen Iran, Alireza Zakani dilaporkan berkata yang Iran kini menguasai empat ibu negara Arab; Baghdad, Damsyik, Beirut dan Sanaa.

Naratif ancaman Syiah digunakan dalam propaganda panjang dalam konflik di Syria, hingga menyuburkan medan perang itu dengan militan dari seluruh dunia Islam, yang akhirnya membawa Syria dan juga seluruh dunia Islam ke satu konflik ganas sektarian dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

Pelbagai kumpulan yang menjadikan penentangan terhadap Syiah sebagai satu bahagian utama perjuangan muncul dan beroperasi di Syria dan kawasan sekitar, yang bentuk paling buruknya ialah militan yang menamakan diri mereka Negara Islam di Iraq dan al-Syam.

Sebahagian media telah menampakkan kecenderungan membingkaikan perkembangan di Yaman dengan memberi tumpuan yang terlalu besar pada kata kunci Syiah, yang ekoran naratif yang dibangunkan dan disebarkan hasil konflik di Syria, memberi gambaran hanya mengenai satu sudut peristiwa yang kompleks itu.

Yaman yang telah sedia menjadi satu pangkalan al-Qaeda kini berpotensi untuk terjerumus dalam konflik sektarian yang dahsyat, dan menarik militan-militan dari seluruh dunia Islam yang tertarik dengan mesej sektarian yang terhasil daripada konflik ini.

Pemerhatian terhadap perkembangan terkini ini, selain ditumpukan pada Iran, juga perlu diberikan pada Arab Saudi yang juga satu pemain utama dan mendapat manfaat daripada kemaraan Houthi yang berjaya menjejaskan musuh di negara jirannya itu.

Pada masa sama, Arab Saudi yang kelihatan mencapai satu persefahaman dengan Iran yang menyokong Houthi tidak akan membiarkan negara jirannya itu menjadi kubu Iran dan Houthi, yang mempunyai lebih banyak perbezaan berbanding persamaan.

Menurut seorang pemerhati, Abdullah Hameed al-Deen yang menulis di akhbar al-Hayat, Riyadh dan Tehran kelihatan bekerjasama secara taktikal dalam memberikan sokongan untuk Houthi menewaskan Islah dan kelompok yang dilihat mengkhianati Ali Abdullah Saleh, sekutu kuat Saudi di Yaman.

Tulis Abdullah, pada tahap ini, Riyadh membenarkan Houthi mara dan Iran mendapat manfaat daripada perkembangan ini, tetapi kemaraan Houthi dan potensi perluasan pengaruh serantau Tehran ini tidak akan dibenarkan berterusan lebih daripada yang sepatutnya.

Menurutnya, pada tahap seterusnya, Saudi dijangka akan bergerak untuk kembali menguasai Yaman melalui pihak-pihak yang mempunyai hubungan baik dengannya, selepas musuh-musuhnya terdiri daripada Ikhwan al-Muslimin dan pihak yang bekerjasama dengan Ikhwan untuk menjatuhkan Ali Abdullah ditewaskan oleh Houthi.

Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi sendiri ialah sekutu Saudi dan sekutu penting Amerika Syarikat dalam "perang menentang terorisme."

Sekiranya ini berlaku, Riyadh perlu membina persefahaman dengan Houthi dan Iran, sekiranya tidak mahu rancanganya itu berdepan halangan dan tentangan. Perkembangan terbaharu ini, yang semakin jelas selepas pertemuan wakil Riyadh dan Tehran di New York, Amerika Syarikat beberapa minggu lalu menunjukkan satu kecenderungan baharu Arab Saudi dan Iran untuk menyelaraskan dasar luar masing-masing berdasarkan perkembangan semasa, walaupun masih mempunyai perbezaan yang besar.

Di pihak lain, Qatar dan Turki melihat penghakisan pengaruh yang pantas berlaku selepas pencapaian-pencapaian luar biasa sejak beberapa tahun lalu hingga sekitar 2012, pada masa imbangan kuasa di rantau Arab berubah dengan dramatik.

Qatar sebelum ini bekerjasama rapat dengan Saudi dalam usaha menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad di Syria, dengan memberikan bantuan persenjataan, kewangan, sokongan media dan diplomasi kepada kumpulan-kumpulan penentang rejim Bashar.

Doha menerima tekanan kuat Riyadh dan jiran-jiran Majlis Kerjasama Teluk yang lain - selain Oman yang berpendirian berbeza - untuk tidak lagi menyokong Ikhwan al-Muslimin serantau, dan beberapa tindakan Saudi dan sekutu kebelakangan ini telah melemahkan kedudukan serantau Qatar.

Perkembangan terkini di Yaman menunjukkan yang negara ini menjadi medan persaingan terbaharu kuasa-kuasa serantau, dan membuktikan lagi yang kebangkitan rakyat yang bermula empat tahun lalu masih belum sampai kepada satu penamat, tetapi telah membuka kepada pelbagai kemungkinan dan meningkatkan lagi persaingan geopolitik yang sengit. - Oktober 2, 2014

Thursday, October 9, 2014

Menilai potensi parti pasca-Islamis di Malaysia

Sarjana Perancis, Olivier Roy dalam bukunya The Failure of Political Islam menyediakan penjelasan asas tentang pasca-Islamisme, istilah yang kemudian dicetuskan dan dipopularkan oleh akademik dari Amerika Syarikat, Asef Bayat untuk menjelaskan kecenderungan kumpulan politik Islam yang mengubah pendekatan dan pegangan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Perkembangan melibatkan pencapaian politik kumpulan Islam yang bermodel Ikhwan al-Muslimin dilihat sebagai petunjuk bahawa politik Islam menghadapi keadaan yang semakin sukar untuk mengemukakan cara Islam untuk menangani persoalan semasa.

Slogan "Islam penyelesaian semua masalah" akhirnya berdepan rintangan sukar realiti politik dan pentadbiran yang amat kompleks dan jauh lebih sukar daripada dua pilihan hitam dan putih.

Walaupun masalah yang dikemukakan oleh Roy disifatkan oleh sesetengah pihak daripada Islam Syiah sebagai "kegagalan Islam politik Sunni," Bayat mengemukakan masalah yang sama melanda dunia Syiah di Iran pasca-Khomeini.

Bagi sesetengah pihak, apa yang dikemukakan oleh Roy dan kemudian Gilles Kepel disifatkan sebagai satu pemerhatian yang terlalu awal, sedangkan proses perubahan dan adaptasi gerakan Islam masih terus berjalan.

Antara yang mengkritik bacaan Roy dan Kepel ialah sarjana Tariq Ramadan, yang dalam satu program di Kuala Lumpur menyifatkan yang Roy cuba menyesuaikan perkembangan terkini di Asia Barat dengan hasil karyanya berhubung "kegagalan Islam politik."

Perkembangan bermula 2011 di Tunisia, Mesir dan Maghribi, dan sedekad sebelum itu di Turki menguatkan tesis kemunculan dan kebangkitan pasca-Islamisme untuk menggantikan Islamisme tradisional.

Hal ini disambut dengan positif oleh media dan akademik di Barat dan juga dalam kalangan Muslim liberal di negara-negara Islam. Pasca-Islamisme dinilai seperti satu jawapan tuntas kepada persoalan sama ada Islam sesuai dan selari dengan demokrasi, satu tajuk yang sangat bermasalah yang menghalakan perbincangan ke arah yang sebahagian besarnya tidak produktif.

Dalam media Barat, model pemerintahan Turki oleh Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, kerap disebut-sebut pada masa awal sejurus pemeritahan lama Presiden Hosni Mubarak dijatuhkan dan kumpulan Islam Ikhwan dilihat berpotensi mengambil alih pemerintahan.

Parti berkecenderungan pasca-Islamis AKP yang ditubuhkan oleh sekumpulan ahli yang berpisah haluan daripada parti Islamis Turki menerima sokongan popular, dan pada masa sama berjaya membawa Turki ke satu arah yang lebih maju dan disegani di peringkat serantau dan global, terutama dalam dunia Islam.

Tempoh yang suka dilihat sebagai satu fasa baharu ini disifatkan sebagai permulaan satu "revolusi pasca-Islamis," dengan menetapkan bahawa satu hasil yang pasti daripada kebangkitan massa di dunia Arab dan perubahan politik yang diakibatkan ialah kemunculan dan kemenangan parti-parti pasca-Islamis.

Selepas kejayaan AKP di Turki, sebuah lagi parti dengan nama yang sama di Maghribi, Parti Keadilan dan Pembangunan, PJD, sebuah lagi parti yang diangkat sebagai model parti pasca-Islamis, memenangi pilihan raya di dan kini menguasai pentadbiran negara Afrika Utara itu.

Malah di Maghribi, PJD mengatasi Parti Istiqlal yang merupakan sebuah parti bekas Islamis. Tarikan pasca-Islamisme PJD, yang bermodelkan AKP di Turki berjaya menarik sokongan ramai.

Dengan dasar yang lebih liberal dan pragmatik, AKP dan PJD boleh dilihat sebagai model kejayaan parti-parti pasca-Islamis di Asia Barat, selepas kebangkitan yang mengubah, atau memulakan satu proses perubahan dan penyesuaian landskap politik rantau itu.

Tetapi perjalanan panjang pasca-Islamisme - malah takrifan istilah atau tesis itu sendiri - masih baharu bermula, dan masih terlalu awal untuk menulis satu kesimpulan tentang kejayaan bermakna parti-parti pasca-Islamis.

Contoh unggul pasca-Islamisme, AKP di Turki telah mula berdepan masalah demokrasi sejak beberapa tahun lalu. PJD yang menjanjikan reformasi di Maghribi turut berdepan tuntutan janji perubahan yang ditaburkan selama ini.

Di Malaysia, kecenderungan pasca-Islamis telah dapat diperhatikan pada sesetengah kumpulan Islam dan pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS sendiri, yang biasa disebut sebagai kalangan progresif.

Kelompok ini memperlihatkan kecenderungan pasca-Islamisme yang jelas, walaupun sesetengahnya masih tidak bersedia memisahkan diri dari parti yang konservatif dan dikuasai elemen kepimpinan ulama seperti Majlis Syura Ulama.

Berdasarkan populariti tokoh-tokoh berkecenderungan pasca-Islamis, sebuah parti dengan identiti dan ideologi mempunyai potensi untuk wujud dan berpartisipasi dalam medan politik Malaysia, walaupun banyak perlu dilakukan untuk mengekalkan stamina dan penerimaan oleh pengundi.

Kecenderungan generasi muda yang agak liberal dan perkembangan demografi pada masa depan memberi gambaran masa depan yang agak cerah untuk sebuah parti pasca-Islamis.

Walau bagaimanapun, seperti dijelaskan tadi, parti-parti berkecenderungan pasca-Islamis seperti AKP dan PJD turut berdepan cabaran getir, dan sentiasa ada kemungkinan persaingan yang amat sengit dengan Islamis dan kelompok konservatif yang lebih dekat dengan lebih ramai pengundi yang biasanya berada di luar jangkauan parti pasca-Islamis yang lebih elitis dan urban. - September 30, 2014

Friday, September 26, 2014

Apa yang sedang berlaku di Yaman?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Apa yang sedang berlaku di Yaman berkait langsung dengan perubahan kepimpinan dan aliansi selepas kebangkitan massa yang akhirnya menyebabkan Presiden Ali Abdullah Saleh yang telah memerintah selama 33 tahun diundurkan.

Perkembangan ini turut berkait langsung dengan persaingan kuasa-kuasa serantau Asia Barat, yang juga dikesankan oleh kebangkitan rakyat yang bermula pada 2011.

Konflik yang telah berlangsung sejak hujung tahun lalu ini juga berkait dengan kepentingan kuasa-kuasa serantau di sana, yang lebih meluas daripada persaingan proksi antara Arab Saudi dan Iran - atau Sunni dengan Syiah - seperti yang dilihat oleh sesetengah pihak.

Banyak pihak terlibat dalam krisis terbaharu ini, walaupun tumpuan banyak diberikan pada kumpulan pemberontak Houthi yang beraliran Syiah Zaidiyah dengan kubu kuat di utara Yaman bersempadan dengan Arab Saudi.

Politik Yaman kuat dicorakkan oleh kuasa puak-puak berpengaruh yang menguasai kerajaan sejak pemerintahan Syiah Zaidiyah ditamatkan dan Yaman muncul sebagai sebuah negara republik, satu-satunya di Semenanjung Arab.

Aliran Zaidiyah yang disebut hakikatnya bukan garis pemisah atau penentu paling utama - walaupun tidak dinafikan peranan pentingnya - seperti tanggapan sesetengah pihak, kerana Houthi turut mendapat sokongan Sunni, dan Ali Abdullah yang memerangi Houthi selama pentadbiran beliau juga bermazhab Syiah Zaidiyah.

Selain Houthi, kumpulan lain yang terlibat termasuk kelompok Salafi yang mempunyai pengaruh kuat di Yaman selama ini, dan Ikhwan al-Muslimin, yang bersama Salafi dan keluarga berpengaruh al-Ahmar - keluarga paling kuat dalam gabungan puak Hashid - membentuk Parti Islah yang ditubuhkan pada 1990, sekutu kuat Presiden Ali Abdullah sehingga beliau berundur.

Salafi mempunyai pengaruh kuat di Yaman hasil hubungan baik dengan kerajaan Ali Abdullah dan kerajaan Saudi, yang menggunakan mereka sejak sekian lama untuk menangani pesaing seperti Parti Sosialis Yaman - yang menguasai Yaman Selatan sehingga penyatuan pada tahun 1990 - dan kumpulan-kumpulan lain.

Salafi, dipimpin Abdul Majid al-Zindani merupakan seteru kuat Houthi, yang menjadi satu punca tindakan keras Houthi terhadap Universiti al-Iman, pusat kegiatan Salafi dan dikaitkan juga dengan al-Qaeda, yang kini menjadikan Yaman sebagai salah satu pangkalannya.

Houthi terlibat dalam konflik bersenjata dengan kerajaan, terbaharu sejak 2004 hingga 2011, dan berhasil mencapai matlamat mereka sedikit demi sedikit terutama melibatkan wilayah dikuasai. Perkembangan terkini menyaksikan Houthi mendapat kelebihan paling besar.

Islah yang kini dikuasai Ikhwan memainkan peranan penting dalam menjatuhkan Ali Abdullah hasil kebangkitan yang bermula pada 2011, menjadi satu sebab permusuhan bekas presiden itu terhadap Islah.

Islah menjadi broker penting dalam perjanjian mengundurkan Ali Abdullah - yang turut melibatkan Arab Saudi, pihak yang membantu presiden itu berundur dengan selamat - dan menyerahkan jawatan presiden kepada orang nombor dua, Abd Rabbuh Mansur Hadi.

Ikhwan yang tidak berpuas hati dengan aturan itu, hingga menjejaskan hubungan Islah dengan Riyadh dan mendorong Qatar berusaha melebarkan pengaruh di Yaman bermula 2011 dengan memberikan sokongan kepada Islah, selari dengan dasar menyokong Ikhwan di Mesir dan Syria sepanjang kebangkitan.

Bermula 2011, Islah merapatkan diri dengan Qatar dan Turki, dua pemain serantau yang mempunyai agenda untuk meluaskan pengaruh di seluruh rantau Arab, dan pada sekaligus melebarkan lagi jurang dengan sekutu lama Arab Saudi.

Ali Abdullah turut memusuhi keluarga al-Ahmar, setelah dikhianati oleh Jeneral Ali Mohsen al-Ahmar semasa kebangkitan yang akhirnya menjatuhkan Ali Abdullah. Puak Ali Abdullah dan keluarga al-Ahmar kedua-duanya daripada puak yang sama, Sanhan, dan kedua-duanya mempunyai pengaruh masing-masing dalam gabungan puak Hashid.

Persaingan Ali Abdullah dengan keluarga al-Ahmar - walaupun mengekalkan kerjasama demi kepentingan kuasa - sejak sekian lama akhirnya menjadi permusuhan yang jelas ekoran perubahan politik yang dramatik pada 2011.

Pemberontak Houthi berkongsi kepentingan dengan Ali Abdullah dan penyokongnya dalam hal Islah dan keluarga al-Ahmar, yang menjadi penentang kuat Houthi selama ini.

Hal ini menyebabkan Ali Abdullah dilihat berperanan aktif dalam membantu kemaraan Houthi ke Sanaa dan keupayaan menguasai ibu negara dalam masa sebulan tanpa tentangan yang setara.

Kepentingan yang pelbagai dilihat dalam krisis terbaharu ini, yang memperlihatkan pihak yang tidak sehaluan selama ini berkongsi kepentingan yang sama, seperti Tehran dan Riyadh yang masing-masing mendapat manfaat melalui peningkatan pengaruh Houthi dan pengunduran Ikhwan al-Muslimin.

Saudi mengetuai kempen serantau bersama Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait dalam mematahkan kemaraan Ikhwan yang disokong Qatar, sebelum ini di Mesir dan kini di Yaman.

Pengaruh Saudi merosot di Mesir dan Yaman ekoran perubahan politik sepanjang kebangkitan yang bermula pada 2011, tetapi perkembangan di Mesir dan Yaman membantu memelihara kembali kepentingan Riyadh.

Perkembangan terbaharu di Yaman ini bakal membawa implikasi yang berpotensi memanjangkan lagi pertembungan, mengundang reaksi balas yang keras daripada kumpulan-kumpulan yang melihat kebangkitan Houthi - dan kepentingan Syiah Zaidiyah serta perluasan pengaruh Iran yang dikaitkan dengannya - sebagai satu ancaman besar.

Perjanjian yang dicapai membuka ruang kepada satu proses pemulihan dan pembinaan negara yang baharu, tetapi rasa tidak puas hati antara pihak yang bermusuh selama ini dijangka akan terus kekal.

Hal ini jelas dapat diperhatikan berdasarkan kelebihan yang diperolehi oleh Houthi hasil perjanjian yang telah dicapai, yang memberikan pihak Houthi perkara-perkara penting yang menjadi tuntutan mereka termasuk lebih diwakili dalam pemerintahan baharu, termasuk suara dalam pemilihan perdana menteri.

Pada masa sama, situasi tidak stabil yang telah berlarutan sejak sekurang-kurangnya lima tahun lalu bakal menyuburkan lagi elemen militan di negara itu, yang menjadi semakin meluas ekoran peningkatan aktiviti bersenjata kebelakangan ini.

Politik identiti yang dibawa oleh pemberontak Houthi, golongan Salafi yang semakin tercabar dan cuba dipinggirkan, dan pemain-pemain penting daripada puak-puak dan keluarga-keluarga berpengaruh yang turut tergugat bakal meningkatkan elemen sektarian dalam kekacauan di Yaman.

Persaingan antara kuasa-kuasa serantau juga mampu menjadi lebih sengit, apabila pihak-pihak bertelagah kini mempunyai keperluan yang lebih besar untuk menharapkan sokongan daripada pihak yang sedia membantu, terutama kuasa-kuasa serantau yang memiliki kemampuan kewangan dan bantuan lain termasuk senjata.  - September 25, 2014


Wednesday, September 24, 2014

PAS tidak khianati rakan tahaluf

Isu kedudukan PAS dalam kerjasama politik Pakatan Rakyat tidak henti-henti diperdebatkan, dalam kerangka sama ada PAS akan kekal dalam PR atau keluar dan bergabung dengan Umno.

Persoalan yang berbentuk spekulasi dan malah fitnah ini telah didengari sejak 2008, dan sejak itulah dakwaan ini tidak putus dinafikan oleh pimpinan tertinggi parti.

Tahun ini, dalam muktamar tahunan di Batu Pahat, Johor, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar sekali lagi menegaskan yang PAS kekal bersama PR.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakan tahaluf agar menghormati PAS, tidak membelakangi PAS dalam menghasilkan sebarang "rancangan besar," sentimen yang dirasai ramai dalam parti berhubung rancangan Langkah Kajang.

Rancangan menukar menteri besar Selangor dan meletakkan pemimpin lain tidak dipersetujui oleh PAS yang melihat tidak ada keperluan untuk tindakan ini - yang merupakan satu rancangan besar - dilaksanakan.

Abdul Hadi mengingatkan ahli yang tahaluf siyasi bersama PR ialah sesuatu yang perlu diteruskan dengan istiqamah, tetapi dengan memastikan parti menjadi lebih kuat hasil kerjasama ini.

"Tahaluf yang dilaksanakan ini mestilah memperkuatkan parti, dan bukan sebaliknya. Amat malang sekiranya tahaluf ini menyebabkan ada pihak yang cuba melemahkan kita, mengkucar-kacirkan kita, sehingga ada yang pening dan mabuk lantaran sanggup berlawanan sesama sendiri," tegas Abdul Hadi, merujuk kepada sikap sesetengah ahli yang kuat dipengaruhi agenda pihak di luar parti hingga menjejaskan parti sendiri.

Beliau turut mengingatkan yang perjuangan PAS ialah perjuangan Islam yang berpaksikan aqidah tauhid, dan bukan perjuangan politik biasa.

Selari dengan itu, beliau menegaskan yang PAS sememangnya bersama PR dan tidak akan khianat, menolak dakwaan PAS mahu bersama Umno sebagai fitnah.

"Sepanjang sejarah perjuangan PAS, kita tidak pernah khianat kepada rakan tahaluf kita, maka kita minta rakan tahaluf kita juga tidak memgkhianati tahaluf ini.

"Sebagai sebuah parti politik besar, apa jua rancangan besar mestilah diputus bersama sebelum ianya dilaksanakan," tegas Abdul Hadi.

"Dalam masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa tohmahan kononnya PAS mahu menyertai Umno atau bergabung dengan Umno menyertai BN adalah api fitnah yang dicetus oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan reputasi perjuangan Islam dan memecah belahkan keutuhan jamaah kita," tegasnya lagi.

"Namun sebagai sebuah jamaah Islam yang membawa rahmat kepada semua, kita tetap berpegang kepada prinsip Islam dan terus beristiqamah untuk memelihara perpaduan ummah berasaskan tali Allah."

PAS kebelakangan ini sering dipersoalkan dan didakwa mahu bekerjasama dengan Umno dalam mengekalkan kerajaan di Selangor, sebagai lanjutan dakwaan-dakwaan sebelum ini.

Penegasan terbaharu Abdul Hadi ini menjawab sekali lagi dakwaan yang PAS mahu bersama dengan Umno dengan jawapan tegas yang PAS tidak mengkhianati tahaluf siyasi. - September 18, 2014

Friday, September 12, 2014

Akta Hasutan hangatkan persaingan liberal-konservatif dalam Umno

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tiga tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengambil satu tindakan mengejutkan apabila memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, ISA, dalam suasana negara menunggu Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan Najib itu menggerakkan pemerintah Umno dan Barisan Nasional ke arah yang lebih liberal, sehingga mencetuskan kegusaran dalam parti itu yang sebahagian besar ahlinya cenderung konservatif.

Pada masa itu, ramai pemerhati melihat dengan optimis tetapi berhati-hati terhadap tindakan berani Najib yang tidak dijangka itu.

Dalam parti, tindakan memansuhkan ISA yang dilihat sebagai satu instrumen penting untuk memelihara keselamatan negara dilihat sebagai satu lagi tindakan yang menunjukkan kecenderungan liberal Najib.

Najib mula dilihat berkecenderungan lebih liberal apabila memunculkan retorik 1 Malaysia yang dilihat sebagai didasari atau bersumber fahaman liberal, yang tidak selari dengan pegangan ketuanan Melayu yang dipertahankan Umno selama ini.

Debat berhubung Akta Hasutan 1948 hari ini sekali lagi menghangatkan persaingan liberal dan konservatif dalam Umno, yang berlangsung dengan sengit dalam era Najib yang mencabar ini.

Gelombang pendakwaan menggunakan Akta Hasutan yang sedang berjalan ini memperlihatkan Najib sebagai pemimpin yang semakin autoritarian, tetapi pada masa sama beliau menunjukkan yang akta itu akan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional yang dilihat sebagai lebih disenangi kelompok liberal di dalam dan luar parti.

Kelompok konservatif tidak mahu Akta Hasutan dimansuhkan kerana menganggapnya sebagai penting untuk memelihara kesejahteraan negara.

Selepas ISA dimansuhkan, konservatif melihat pemansuhan Akta Hasutan akan meruntuhkan satu lagi benteng penting pertahanan keselamatan dan keharmonian negara.

Najib pada 11 Julai, 2012 berjanji yang Akta Hasutan akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional. "Melalui pemansuhan dan penggubalan rang undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea," kata Najib dipetik Bernama.

"Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi."

Sentimen menyokong Akta Hasutan ini diwakili oleh tokoh Melayu konservatif Datuk Ibrahim Ali yang lantang menyuarakan penentangan terhadap usaha memansuhkan akta tersebut. Beliau dilapor berkata akta ini masih diperlukan untuk mencegah perkara yang boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional turut menggesa Akta Hasutan ditambahbaik untuk menangani hasutan dan penghinaan agama yang dilakukan di media sosial.

"Cegah sebelum musnah. Kalau pemimpin Umno dah faham apa dalam fikiran orang Melayu, ini petanda baik. Masih ada talian hayat. Kekalkan dan tambah baik Akta Hasutan," katanya dipetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilapor berkata kerajaan sedia meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain bagi menangani penghinaan dan hasutan di media sosial.

Muhyiddin dilihat sebagai mewakili kelompok konservatif dalam Umno, yang mendapat sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi pengkritik kuat terhadap kecenderungan liberal Perdana Menteri Najib dan kemaraan tokoh-tokoh liberal dalam Umno seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kritikan terhadap Najib dan liberal dalam Umno juga muncul ekoran kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah, ketua pegawai eksekutif Yayasan Kesederhanaan Global, GMMF, sebuah badan yang dibina untuk melonjakkan imej moderat Najib di peringkat antarabangsa.

Saifuddin mengambil pendirian menyokong pemansuhan Akta Hasutan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, dan secara konsisten menulis di Twitter menyertai kempen memansuhkan Akta Hasutan.

Saifuddin menunjukkan sokongan kepada akademik Universiti Malaya yang didakwa, Azmi Sharom, dan menganggap pendakwaan itu menyekat kebebasan akademik.

Beliau menganggap pelaksanaan Akta Hasutan kini sebagai bersifat drakonian dan selektif.  Katanya, Najib perlu disokong untuk memansuhkan Akta Hasutan. "Rakyat perlu menggalakkan dia untuk melakukannya. Tidak semua orang di sekeliling Najib mempunyai pemikiran yang sama dengan dia. Jika beliau mahu melakukannya, maka rakyat harus memberi sokongan kepada mereka," katanya dipetik media.

Saifuddin tewas di kerusi Parlimen Temerloh dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, dengan sebahagian puncanya ialah penolakan ahli-ahli Umno terhadapnya ekoran kecenderungan liberal beliau.

Akta Keharmonian Nasional terus menerima reaksi bercampur-campur daripada kalangan ahli Umno dan tokoh-tokoh Melayu.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada Julai lalu dilapor berkata Majlis Konsultasi Perpaduan Negara yang menyumbang kepada penggubalan Akta Keharmonian Nasional dikuasai kelompok liberal.

Abdul Hamid yang menolak tawaran mempengerusikan majlis itu dilapor berkata majlis itu dibimbangi diperalat untuk menghakis hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

"Saya takut kiranya saya akan menjadi 'pengkhianat' kepada bangsa Melayu dan agama Islam," beliau dipetik berkata.

Satu pandangan konservatif turut disiarkan akhbar Umno, Utusan Malaysia julai lalu, tulisan pemerhati politik, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim.

Beliau menegaskan, "Kita sememangnya cukup bimbang sekiranya Rang Undang-Undang Harmoni Nasional yang bakal menggantikan Akta Hasutan 1948 terlampau menjulang Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara Lapan yang memperuntukkan kesamarataan itu sehinggakan mengetepikan pula empat perkara sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), kedaulatan Raja-Raja Melayu (Perkara 181) dan Bahagian III berkaitan kerakyatan (Perkara 14-30).

"Kekhuatiran ini pada dasarnya berasas kerana kelihatannya ketika ini yang berlegar-legar dalam fikiran sebahagian ahli berfahaman liberal dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara agak menjurus untuk menguar-uarkan Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan," tulisnya.

Kritikan keras terhadap Najib bakal meningkat lagi ekoran perkembangan terbaharu ini, dan ini diburukkan lagi oleh kemerosotan hubungan beliau dengan Mahathir kebelakangan ini.

Wartawan veteran Abdul Kadir Jasin pada April lalu menegaskan yang lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bertemu Najib dijelaskan oleh dasar liberal yang dilaksanakan Najib.

Debat berhubung isu pemansuhan Akta Hasutan ini, dan penggubalan Akta Keharmonian Nasional kini menunjukkan dengan jelas perbezaan pemikiran dalam kalangan liberal dan konservatif dalam Umno, dan menjadi ujian terkini terhadap Najib dalam usahanya melaksanakan perubahan ke arah yang lebih liberal untuk memelihara kedudukannya. - September 9, 2014

Wednesday, September 10, 2014

Cabaran dasar luar Turki era Erdogan-Davutoglu

Oleh HARIS ZALKAPLI

Turki kini menerima presiden dan perdana menteri baharu yang dijangka akan secara bersama berperanan lebih aktif dan meluas dalam pemerintahan negara itu, termasuk melibatkan hal dasar luar.

Gandingan Presiden Recep Tayyip Erdogan dengan Perdana Menteri Ahmet Davutoglu dijangka memberi tumpuan pada politik serantau dan global dalam usaha meningkatkan lagi profil Turki di mata dunia, selepas sedikit tergendala ekoran kesan-kesan daripada kebangkitan massa dan perubahan landskap politik serantau.

Berikut ialah keadaan hubungan Turki dengan kuasa-kuasa serantau dan global, memperlihatkan apa yang bakal dihadapi oleh Erdogan-Davutoglu.

  • Arab Saudi dan sekutu di Teluk Parsi
Arab Saudi dan sekutu-sekutu kuatnya di Teluk Parsi berpendirian bertentangan terhadap kebangkitan massa di rantau Arab dengan Turki, yang melihat secara positif kebangkitan yang dinilai sebagai pendemokrasian itu.

Secara umumnya, Ankara dan Riyadh memimpin dua arus yang bertentangan ini, satu pihak menyambut perubahan radikal dalam politik manakala satu pihak lagi mahu status qou dipelihara.

Walau bagaimanapun, di Syria, Turki dan Saudi berada di pihak yang sama untuk satu tempoh, apabila kedua-duanya menyokong penentang pemerintah walaupun matlamat akhir masing-masing berbeza.

Pertembungan kepentingan utama Turki dan Saudi pada masa ini ialah Mesir, yang kembali dikuasai kelompok mesra Saudi, yang merampas kuasa daripada sekutu Turki, Mohamed Morsi dan Ikhwan al-Muslimin.
  • Dunia Islam
Pengaruh Turki semakin meningkat sejak sedekad lalu, apabila pemerintahan AKP meneruskan usaha memulihkan ekonomi Turki dan mencapai satu tahap yang tinggi, menjadikan politik lebih stabil dan meningkatkan peranan diplomasi Turki di rantau Asia Barat.

Diplomasi dan aktivisme pertubuhan masyarakat sivil melibatkan seluruh dunia Islam melonjakkan nama Turki, ditambah dengan populariti Erdogan yang mendapat liputan positif media.

Turki di bawah Presiden Erdogan dan gandingannya dijangka berusaha meningkatkan lagi imej Turki di dunia Islam, paling utama melalui peranan dalam isu Palestin, dalam dasar yang digelar neo-Uthmaniyyah oleh pemerhati.

Turki kini sedang memulihkan kedudukan di Asia Barat ekoran perkembangan melibatkan kebangkitan rakyat yang kini mendatangkan akibat yang tidak menyebelahinya.

  • Mesir
Mesir ialah negara yang diharapkan untuk meluaskan pengaruh Turki di rantau Arab, melalui hubungan baik kerajaan AKP dengan Ikhwan al-Muslimin.

Hubungan Ankara-Kaherah meningkat apabila Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan mendapat sekutu Ikhwannya menguasai pemerintahan Mesir, mengambil alih daripada rejim yang berhubungan baik dengan Saudi.

Perubahan itu menyediakan peluang untuk Ankara menjalankan agenda dasar luarnya, melibatkan Mesir, Gaza dan seluruh rantau Arab. Ankara juga mendapat manfaat apabila dilihat sebagai memimpin Kaherah melalui satu transisi ke arah politik yang lebih demokratik.

Hubungan baik ini walau bagaimanapun terhenti apabila Morsi dijatuhkan oleh penentang Ikhwan dengan kerjasama pihak tentera yang masih mempunyai kuasa. Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait segera memberi bantuan kewangan untuk mengukuhkan pemerintahan baharu yang dikuasai tentera.
  • Amerika Syarikat dan Eropah
Turki ialah sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, yang penting kerana kedudukannya di antara Eropah dan Asia Barat yang sentiasa bergolak.

Amerika Syarikat memelihara hubungan baik dengan Turki kerana kepentingan tersebut, serta untuk memelihara sebuah negara Islam yang sekular dan demokratik. Turki juga satu-satunya negara Islam dalam pertubuhan keselamatan kolektif itu.

Hubungan Turki dengan AS terjejas ekoran tindakan Ankara mengambil tindakan dasar luar yang lebih bebas sehingga menjejaskan hubungan dengan AS dan Israel.

Di bawah AKP, Turki kelihatan lebih menumpukan pada sebelah Asia, termasuk membina hubungan lebih rapat dengan Pertubuhan Kerjasama Shanghai yang dipimpin China dan Rusia, pada masa usahanya untuk diterima sebagai anggota Kesatuan Eropah semakin sukar.
  • Israel
Hubungan Turki-Israel terjejas teruk akibat peristiwa serangan komando Zionis ke atas kapal bantuan kemanusiaan Turki, Mavi Marmara dan mengorbankan warga Turki pada 2010.

Peristiwa ini berlaku pada masa Turki dilihat sebagai semakin cenderung ke dunia Islam dan mengabaikan hubungan dengan Barat, tanggapan yang semakin kuat susulan serangan itu kerana nama Turki melonjak naik di dunia Islam.

Peningkatan hubungan Turki dengan Hamas dan tumpuan pada isu Palestin menyebabkan profil Turki dan Erdogan yang semakin baik, yang diperlukan dalam meluaskan pengaruhnya.

Dasar luar baharu Turki ini menjejaskan hubungan dengan Israel hingga ke saat ini. Erdogan sebagai presiden dijangka meneruskan tumpuan pada Palestin dan menjadikan hubungan dengan Israel terus dingin, walaupun Turki kekal mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
  • Syria
Syria mempunyai beberapa isu kritikal dengan Turki sejak pemerintahan Presiden Hafez al-Assad, antaranya melibatkan militan Kurdi dan bekalan air, tetapi hubungan kedua-dua negara berada di tahap yang sederhana.

Di bawah Presiden Bashar al-Assad dan Perdana Menteri Erdogan, hubungan semakin baik, tetapi kemudian Turki terlibat dalam usaha memerangi pemerintahan Assad dengan menyokong dan menyalurkan senjata kepada penentang kerajaan.

Pemerintahan Assad berjaya bertahan selepas lebih tiga tahun menghadapi konflik bersenjata, menjadikan hubungan kedua-dua negara semakin sukar, lebih-lebih lagi memandangkan Davutoglu sebagai perdana menteri akan berdepan dengan Bashar al-Assad yang cuba dijatuhkan sebelum ini.

Sempadan yang luas antara kedua-dua negara, kewujudan Kurdi yang boleh mendapatkan bantuan dari Syria dan isu lain dicetuskan oleh konflik bakal menyukarkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
  • Iraq
Hubungan Ankara-Baghdad terjejas, antaranya akibat urusniaga minyak antara Turki dengan kerajaan Kurdistan di utara Iraq. Baghdad mendakwa Turki bertindak membelakangi kerajaan pusat Iraq apabila membeli minyak dari Kurdistan dan menjadi laluan eksport minyak, pada masa wujud pertikaian berhubung hasil yang diserahkan kepada pusat.

Turki dalam hal ini dilihat menyumbang kepada perpecahan Iraq, kerana tindakannya mengambil kesempatan berurusniaga dengan kerajaan Kurdistan tanpa mengambil kira kerajaan pusat di Baghdad.

Turki juga didakwa terlibat dalam melindungi dan membantu pembangkang Sunni di Iraq. Hubungan Turki-Iraq berpotensi untuk terus sukar, terutama disebabkan isu kerajaan Kurdistan dan kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan al-Syam.

Barat telah mula membekalkan senjata kepada kumpulan Kurdi untuk berdepan dengan ISIS, perkembangan yang berpotensi memberi kesan kepada Turki pada masa akan datang.
  • Qatar 
Sejak kebangkitan Arab menampakkan beberapa kejayaan, Turki dan Qatar ialah dua negara yang dijangka bakal mendapat manfaat paling besar, terutama di Mesir yang kelihatan bakal menaikkan Ikhwan al-Muslimin untuk menguasai negara Arab berpengaruh itu.

Ankara dan Doha ialah pendukung utama Ikhwan di Mesir dan Syria, yang cuba dipengaruhi peralihan kepimpinannya. Kedua-dua negara juga merupakan sekutu rapat Hamas, dan boleh berperanan dalam isu Palestin, yang mencetuskan reaksi daripada negara-negara Arab.

Hubungan dengan Qatar - negara Arab Teluk yang mengekalkan hubungan paling baik dengan Turki - semakin selari sejak bermula kebangkitan Arab dan kedua-dua memiliki kelebihan masing-masing untuk menguasai atau berhubungan baik dengan negara-negara yang dilanda kebangkitan, daripada Mesir dan juga Syria.

Turki dan Qatar terjejas selepas kepimpinan Mohamed Morsi di Mesir dijatuhkan, dan kepimpinan baharu disokong kuat Saudi dan sekutu Arab Teluk lain.
  • Iran
Kedua-dua Ankara dan Tehran berkepentingan di Iraq, melibatkan etnik Kurdi dan kuasa Sunni bagi Turki dan pengaruh terhadap pemerintahan Baghdad bagi Iran.

Kedua-dua Turki dan Iran bersempadan dengan Iraq dan terkesan dengan krisis dan konflik yang berlaku. Kedua-dua kuasa juga bersaing melebarkan pengaruh di Asia Tengah, tetapi Ankara melihat hubungan dengan Iran dapat membantu dalam banyak hal.

Turki memerlukan kerjasama Iran dalam membantunya menghadapi realiti politik serantau baharu. Hubungan Ankara-Tehran semakin baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pada masa sama hubungan Turki dengan negara-negara Arab, terutama Arab Saudi dan Mesir, merosot teruk ekoran dasar Ankara menangani kebangkitan Arab dan respons kedua-dua kuasa Arab tersebut.

Hubungan politik dan perdagangan Turki-Iran semakin meningkat, dan Turki melihat Iran sebagai rakan strategik yang penting pada masa ini dan masa hadapan.

  • Rusia
Hubungan Turki dengan Rusia banyak melibatkan perdagangan, terutama bekalan tenaga yang diperlukan oleh Turki. Rusia ialah sumber utama bekalan gas untuk Turki, dan pada masa sama Turki mendapat manfaat dengan menjadi salah satu laluan penting bekalan gas ke Eropah.

Kedudukan geografi Turki di laluan eksport tenaga dari Rusia ke Eropah memberi kelebihan kepada Turki dalam hubungan dengan kedua-dua kuasa. Kebangkitan Rusia juga mendorong Turki melihat Rusia sebagai rakan yang semakin penting untuk didekati dan dikekalkan hubungan yang baik.

Turki pula menjadi satu lagi negara Islam yang berpotensi membina hubungan lebih baik dengan Moscow selepas Iran, yang kedua-dua Turki dan Iran berada di kedudukan strategik.

Ankara dan Moskow saling memerlukan bukan sahaja dalam perdagangan tetapi kestabilan politik di wilayah Laut Hitam dan bekas Soviet yang dikongsi bersama, dan juga melibatkan wilayah Rusia dan bekas Soviet yang didiami warga rumpun Turki. - Ogos 24, 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...