Oleh MUHAMMAD ATIULLAH OTHMAN
Sungguh mengejutkan pendedahan Mustafa Akyol mengenai hasil kajian Liberal Turkish
pada 2006 yang mendapati bahawa tuntutan masyarakat Turki agar kembali
kepada syariah menurun dari 21 peratus kepada sembilan peratus dalam
tempoh tujuh tahun sejak Islamic Calvinism diperkenalkan.
Islamic
Calvinists adalah golongan yang menumpukan nilai dan kesufian tetapi
mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Golongan ini ditubuhkan untuk
mengambil alih kekuasaan Parti Refah sehinggalah Parti Keadilan dan
Pembangunan, AKP, menaiki tangga politik pada 2006.
Kajian tahun
2006 ini jugalah, kehendak masyarakat Turki kepada undang-undang rejam
menurun kepada satu peratus sahaja. Malah, idea jihad medan perang sudah
bertukar kepada jihad ekonomi, selera tulisan-tulisan pembaca novel pun
telah beralih arah dari citra Islam kepada kebejatan moral sekular.
Lebih
teruk dari itu lagi, kem Islamis turut mengkritik budaya Islam dan
beralih kepada bentuk hidup Muslim yang individualistik, serta mengubah
arah dari citra ketaatan kepada agama kepada citra kebebasan. Inilah
suasana yang golongan liberal Turki rancang bagi menyediakan AKP sebagai
Islamis mengambil pentadbiran kerajaan.
Gerakan liberal memang
sah perancangan antarabangsa. Kini, gerakan liberal ini pula
mengemukakan satu gerakan baharu sebagai langkah antarabangsa. Satu
tesis berjaya dihasilkan bagi mengetengahkan neoliberal antarabangsa,
pascamodenisme dan kepelbagaian budaya kepada AKP yang ditulis oleh
Burak Ozcetin bagi mendapatkan doktor falsafah di Middle East Technical
University pada 2011.
Tidak hairanlah, Akyol menyebut golongan
pembangkang menjadi rakan sekular-liberal kerana sekular-liberal gagal
dipertahankan oleh pemerintah. Beliau mencadangkan mengubah wajah
Islamisme kepada pasca-Islamisme.
Pandangan Akyol bukanlah
bersandarkan kepada pandangan Asef Bayat sendiri yang berbicara mengenai
sosial, politik dan hak. Beliau bukan bersandarkan pandangan Olivier
Roy dan Gilles Kepel mengenai kegagalan Islamisme membuka ruang baharu
dimensi politik moden dan menghalang pemikiran radikal.
Beliau
lebih jauh mengheret pandangan pasca-Islamisme kepada bentuk liberal
iaitu Islam adalah serasi dengan demokrasi, sekular, kapitalisme, hak
asasi manusia dan nilai-nilai Barat. Kesemua idea ini diaduk dalam
pasca-Islamisme yang pernah dicanang oleh Islamic Rennaisance Front
(IRF) oleh pengerusinya iaitu Dr Ahmad Farouk Musa.
Kegiatan
liberal ini adalah selaras dengan keinginan Barat. Alain Roussilon
menyatakan Barat tengah menunggu dan mendesak rangka kerja
pasca-Islamisme disegerakan. Bentuk pasca-Islamisme yang diinginkan
adalah menolak pemikiran radikal Islam, lebih mirip kepada pemikiran
Protestan Kristian atau pemikiran liberal Muslim, perwatakan masyarakat
Muslim yang lebih moderat dan yang paling penting adalah bagi menolak
idea negara Islam dan perlaksanaan syariat Islam. Kandungan Islam
Liberal ini sudah berjaya dimuatkan dalam pasca-Islamisme oleh Husnul
Amin dalam disertasinya yang bertajuk From Islamism to Post-Islamism.
Tanpa
syak lagi, terdapat desakan dari pihak Barat dan liberal Turki bagi
mengetengahkan Islam Liberal dalam pasca-Islamisme. Persoalan yang
timbul adalah mengapakah mereka mendesak pasca-Islamisme disegerakan?
Adakah kerana kegagalan Kemalisme di Turki, Jamal Abdul Naser di Mesir
dan Zine el-Ebidine Ben Ali di Tunisia mengekalkan hegemoni sekular?
Adakah
liberal dan sekular tidak lagi mampu berdepan mengetengahkan idea dan
gerakan agar diikuti masyarakat dunia Islam? Atau adakah pasca-Islamisme
adalah citra menukar wajah Islamisme kepada mesra liberal dan sekular
selepas menyedari sekular dan liberal sudah tiada tempat di hati umat
Islam?
Hanya dua negara yang berjaya menukar citra Islamisme
kepada pasca-Islamisme iaitu di Turki dan Tunisia. Di Turki, regim
tentera Turki yang beraliran sekular telah menahan Recep Tayyip Erdogan
selama setahun kerana dikaitkan dengan parti Refah. Apabila keluar dari
penjara, Erdogan terus menyebut agar memberi peluang kepada demokrasi
dan liberal menyalurkan kepada masyarakat satu suasana menikmati lebih
kebebasan.
Masyarakat merasai sendiri kebebasan ini di bawah
pentadbiran AKP berbanding Refah yang dilihat sebagai Islamis. Ideanya,
demokrasi Barat adalah lebih bebas dari Turki lalu mengajak ke arah
demokrasi bebas. AKP dengan bantuan Kemalisme berjaya membuat tekanan
sehingga demokrasi Turki berjalan dengan baik. Ini memberi impak baik
kepada AKP untuk terus berkuasa.
Di Tunisia pula, gerakan
pasca-Islamisme telah lama dan awal. Kenaikan Rached Ghannouchi membuka
lembaran kepada puak sekular agar bersama-sama dengan Islamis. Ruang ini
telah membuka lembaran pasca-Islamisme diketengahkan.
Malah,
Pusat Kajian Islam dan Demokrasi, CSID, di Washington, Amerika Syarikat
yang merupakan pusat kajian sekular dan liberal telah berjaya dibawa ke
dalam pentadbiran Ghannouchi yang mengetengahkan idea demokrasi, ekonomi
bebas dan hak masyarakat sivil.
Kejayaan pasca-Islamisme di
Turki dan Tunisia sedang diaplikasikan di dunia Islam. Negara-negara
yang sedang giat dimomokkan dengan pasca-Islamisme adalah Mesir, Yaman,
Pakistan dan Malaysia. Baki negara-negara Islam yang lain sedang
diusahakan. Sebagai contoh, parti Wasat sedang dinaikkan atas nama
pasca-Islamisme padahal parti ini adalah berhaluan sekular yang
pro-Abdel Fattah al-Sisi.
Atas tujuan inilah, Akyol telah
membentangkan kertas kerjanya di Kaherah, Mesir yang bercerita
pengalaman Turki menghadapi Islamisme. Justeru, tidaklah pelik, bekas
pimpinan Ikhwan al-Muslimin yang dibuang keahliannya iaitu Kamal Helbawi
telah bersama bersekongkol dengan pemerintah Mesir bagi menghidupkan
pasca-Islamisme. Dengan harapan, keinginan masyarakat Mesir terhadap
syariat akan menurun.
Golongan liberal dan Barat sudah mengetahui
bahawa ideologi sekular dan liberal sudah gagal. Kini, mereka
menggerakkan dua ideologi ini dengan penjenamaan baharu. Jikalau mereka
menggunakan ideologi sekular dan liberal bagi berhadapan dengan pencinta
syariat Islam, seluruh umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran
Islam sudah mengetahui jawapan-jawapannya dalam karya-karya ulama sejak
kurun ke-20 lagi.
Cuma yang tinggal adalah harapan dari
anak-anak muda Islam dan menanti kebangkitan semula para pemikir dan
cendekiawan abad ke-20 ini mengemudi perjuangan di awal era abad ke-21
ini agar terus berhadapan idea baharu liberal, yang dimunculkan sebagai
pasca-Islamisme.
Dr Muhammad Atiullah Othman ialah pensyarah pengajian Islam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
No comments:
Post a Comment