Oleh HARIS ZALKAPLI
Dunia
 Islam terus menyaksikan politik yang mencabar sepanjang tahun 2014, 
dengan beberapa negara Islam terlibat dalam percaturan dan persaingan 
kuasa-kuasa besar dunia. Perkembangan seperti konflik di Syria dan konflik daripada geopolitik kebangkitan Arab menampakkan kesannya dengan jelas pada 2014.
Dari Afrika hingga ke Asia Pasifik, politik 
dunia Islam memberi implikasi yang besar kepada seluruh dunia, Berikut 
disenaraikan 10 isu besar politik utama dunia Islam tahun 2014.
10. Dasar luar Emiriyah Arab Bersatu
Emiriyah
 Arab Bersatu, negara musuh utama gerakan Ikhwan al-Muslimin menyaksikan 
dasar luar yang aktif dan mencapai jauh pada tahun 2014. Sebagai reaksi 
kepada kebangkitan serantau yang melonjakkan Ikhwan terutama di Mesir, 
dan dasar luar negara jiran, Qatar yang mendukung perluasan kuasa 
Ikhwan, Emiriyah menggerakkan kempen anti orde baharu di seluruh rantau 
Arab dari Libya di Afrika Utara hingga ke Yaman di hujung Semenanjung 
Arab. Paling mengejutkan, Emiriyah dengan kerjasama Mesir melakukan 
serangan udara terhadap posisi kumpulan disokong Qatar dan Turki, yang 
bersaing untuk menguasai Libya.
9. Recep Tayyip Erdogan dan Turki baharu
Walaupun
 berdepan tekanan pihak pesaing, Recep Tayyip Erdogan dengan 
popularitinya gagal disekat oleh mana-mana pihak, dan menang pilihan 
raya presiden Turki, sekaligus melanjutkan posisi dalam kepimpinan 
Turki, selepas sebagai perdana menteri, mengambil peranan sebagai 
presiden. Pemimpin kepercayaan beliau, Ahmet Davutoglu yang sebelum itu 
menjadi menteri luar dipilih memegang jawatan perdana menteri. Gandingan
 Erdogan-Davutoglu ini kini mengemudi Turki yang baharu, yang 
pencapaiannya selama ini tergugat oleh perkembangan-perkembangan baharu 
serantau.
8. Bashar al-Assad dan Syria
Selepas hampir 
empat tahun kebangkitan di Syria bermula, Presiden Bashar al-Assad masih
 terus berkuasa. Walaupun kedudukannya kini tidak sekukuh sebelum ini, 
pemimpin kuku besi Syria ini terus berkuasa, mengambil kesempatan 
daripada penentang-penentang yang berpecah dan kepentingan kuasa-kuasa 
terlibat yang masih bimbang terhadap kemungkinan Syria pasca-Assad  yang
 berisiko. Kesan perang di Syria kini muncul dalam bentuk 
kumpulan-kumpulan militan yang lebih bebas dan bersenjata, dan 
kemunculan kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan al-Syam, ISIS.
7. Rundingan Iran-Barat
Rundingan
 antara Iran dengan kuasa-kuasa Barat dan Rusia (yang gagal 
disempurnakan pada 2014) disebut sebagai rundingan nuklear, untuk 
menyelesaikan isu-isu berkaitan program pengkayaan uranium oleh Iran 
yang dikatakan boleh dijadikan senjata. Tetapi pemulihan hubungan Iran 
dengan Amerika Syarikat berupaya mengubah peta politik seluruh Asia 
Barat dari Lubnan ke Yaman, mengubah orde yang mahu dikekalkan oleh 
negara seperti arab Saudi. Sekiranya berlaku kerjasama antara Iran 
dengan AS (yang beberapa tandanya telah kelihatan) banyak sekutu dan 
musuh bakal menyaksikan sokongan dan padang permainan yang berubah 
dengan drastik.    
6. Abdel Fatah al-Sisi dan Mesir
Kemunculan
 Abdel Fatah al-Sisi sebagai presiden baharu Mesir, selepas 
pencapaian-pencapaian pascakebangkitan yang menjatuhkan kepimpinan Hosni
 Mubarak pada 2011 disempurnakan dengan kejayaan Ikhwan menguasai 
kepimpinan tertinggi, menunjukkan bagaimana akhirnya kuasa kesinambungan
 tidak dapat disekat. Perkembangan selepas 2011 kemudian menunjukkan 
pendemokrasian bukan satu-satunya hal yang sedang berlaku di Mesir. 
Tetapi, Mesir yang menjadi rebutan kuasa-kuasa serantau akhirnya 
menyaksikan orde lama dan negara-negara yang menyokongnya kembali 
menguasai.
5. Kebangkitan dan kemerosotan Qatar
Pada 
Disember, tekanan terhadap Qatar memuncak dengan tindakan Mesir menuntut
 ilmuan Islam terkemuka yang berpangkalan di Qatar, Syeikh Dr Yusuf 
al-Qaradawi ditahan atas dakwaan terlibat dalam keganasan. Sebelum itu, 
Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain memanggil pulang duta 
masing-masing dari Doha, ibu negara Qatar sebagai protes terhadap 
tindakan Qatar menyokong Ikhwan al-Muslimin dan melindungi Qaradawi. 
Pencapaian-pencapaian Qatar sejak 2011 juga dihakis sedikit demi sedikit
 oleh pesaing, seperti yang dilihat di Mesir dan Yaman.
4. Kebangkitan Houthi di Yaman
Kumpulan
 pemberontak Houthi telah beberapa kali cuba menggerakkan penentangan 
bersenjata terhadap kerajaan di Sanaa, tetapi dipatahkan setiap kali. 
Walau bagaimanapun, bermula penghujung 2013, Houthi mula mara menguasai 
kawasan di luar wilayah tradisinya. Hasil kemungkinan persefahaman 
antara pihak berkepentingan termasuk Arab Saudi, Emiriyah dan Iran, 
Houthi bertindak menghapuskan penguasaan Ikhwan Yaman yang disokong 
Qatar dan juga Turki. Yaman kini berdepan satu perubahan besar, yang 
mungkin menjadikan keadaan negara itu semakin tidak menentu.
3. Malaysia dan geopolitik MH370 dan MH17
Malaysia,
 negara Islam yang dilihat sebagai model oleh banyak pihak mewakili 
pelbagai kecenderungan politik, berdepan cabaran getir apabila tersepit 
dengan tiga kuasa besar dunia ekoran peristiwa kehilangan pesawat 
penerbangan MH370 pada Mac dan kemudian pesawat MH17 ditembak di ruang 
udara Ukraine. Hubungan Malaysia dengan China teruji melalui kehilangan 
MH370, dan dengan Rusia tercabar apabila pesawat MH17 didakwa ditembak 
pemisah disokong Rusia. Hubungan luar Malaysia menghadapi perubahan 
besar ekoran dua peristiwa ini, terutama dengan AS yang menjadi lebih 
terikat, pada masa sama Kuala Lumpur cuba mengekalkan hubungan baik 
dengan China dan Rusia. 
2. Kebangkitan militan ISIS dan implikasi global
Kumpulan
 militan Negara Islam di Iraq dan al-Syam, ISIS, muncul menakluk satu 
wilayah besar di utara Iraq dan menampakkan pengaruh di kawasan 
sekitarnya. Bermula dengan konflik bersenjata di Iraq dan kemudian 
Syria, ISIS dan ideologi yang dibawanya mencetuskan implikasi global 
yang meluas, melibatkan warga pelbagai negara termasuk Malaysia, 
Indonesia dan juga negara-negara Barat. ISIS menjadi satu pencetus 
kepada wacana baharu dunia mengenai Islam dan politik, dengan kesan yang
 hampir sama dengan peristiwa 11 September, 2001 di AS. 
1. Serangan Gaza dan pencerobohan Masjid al-Aqsa
Palestin
 berdepan dua cabaran getir, pertama serangan ke atas Gaza pada musim 
panas dan kemudian pencerobohan dan provokasi ke atas Masjid al-Aqsa dan
 kawasan sekitarnya oleh Yahudi yang disokong dan dilindungi pasukan 
keselamatan Zionis. Dalam serangan Zionis bermula 8 Julai, lebih 2,000 
warga Gaza terbunuh. Pihak Palestin walau bagaimanapun menunjukkan 
penentangan terkuat setakat ini, dengan serangan roket yang lebih 
canggih dan mencapai jarak lebih jauh, dan penggunaan terowong serangan 
yang lebih berkesan hingga memasuki wilayah dikuasai Zionis.  
Pertempuran ini meningkatkan lagi sentimen umat Muslim seluruh dunia 
untuk menunjukkan sokongan kepada perjuangan Palestin, dan menjadi 
peristiwa yang menyatukan umat Muslim pada 2014. 
 

No comments:
Post a Comment