Saturday, October 11, 2014

Selepas kemaraan Houthi, ke mana hala tuju Yaman?

Selepas pertempuran dan protes besar-besaran sejak hujung tahun lalu, pihak yang paling banyak mendapat keuntungan ialah kumpulan Houthi, yang kini mendapat suara yang lebih besar dalam usaha penubuhan kerajaan baharu, selepas diabaikan dalam persidangan dialog kebangsaan sebelum ini.

Houthi yang meningkat pencapaian dan pengaruhnya dengan setiap pertembungan dengan kerajaan kini mencapai kemuncaknya apabila berjaya menguasai Sanaa dan meningkatkan pengaruhnya dalam kerajaan di ibu negara, selepas berjaya menewaskan Islah dan sejumlah kecil tentera yang menentang mereka - pada masa sama mendapat sokongan daripada sebahagian tentera Yaman - dua kumpulan berpengaruh yang menguasai Yaman.

Kemenangan Houthi ini tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai peningkatan penguasaan Syiah dan Iran, ekoran hubungan baik Houthi dengan Tehran, walaupun tidak jelas lagi sejauh mana Houthi dapat menguasai pentadbiran di Sanaa dan membantu mencapai agenda serantau Iran, disebabkan kedudukannya sebagai minoriti Zaidiyah dan bukan sebahagian puak terkuat di Yaman.

Houthi walaupun dapat menguasai Sanaa dilihat tidak meneruskan kemaraan lebih jauh lagi, dipercayai kerana bimbang dengan reaksi keras yang bakal diundang melalui tindakan yang lebih drastik itu, selepas membuat kejutan dengan langkah pantas menguasai ibu negara dan lokasi-lokasi penting.

Tindakan kumpulan pemberontak ini tidak mahu berundur daripada Sanaa walaupun selepas perjanjian dicapai mengundang keresahan ramai, dan telah mendorong serangan daripada pihak al-Qaeda yang anti-Syiah.

Kemaraan Houthi ini kini digunakan untuk mengukuhkan naratif kebangkitan Syiah yang mengancam penguasaan Sunni di rantau Arab secara simplistik dan mengundang ketakutan, seperti yang digunakan di Syria dan Iraq untuk memperlihatkan pertembungan Sunni-Syiah dan membakar lagi sentimen sektarian.

Walau bagaimanapun, selain disebarkan oleh pihak musuh Iran dan Syiah, pihak di Iran sendiri turut menyumbang kepada pengukuhan pandangan ini, apabila ada pihak di Iran sendiri melihat kemaraan Houthi sebagai satu kejayaan Iran. Seorang ahli Parlimen Iran, Alireza Zakani dilaporkan berkata yang Iran kini menguasai empat ibu negara Arab; Baghdad, Damsyik, Beirut dan Sanaa.

Naratif ancaman Syiah digunakan dalam propaganda panjang dalam konflik di Syria, hingga menyuburkan medan perang itu dengan militan dari seluruh dunia Islam, yang akhirnya membawa Syria dan juga seluruh dunia Islam ke satu konflik ganas sektarian dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

Pelbagai kumpulan yang menjadikan penentangan terhadap Syiah sebagai satu bahagian utama perjuangan muncul dan beroperasi di Syria dan kawasan sekitar, yang bentuk paling buruknya ialah militan yang menamakan diri mereka Negara Islam di Iraq dan al-Syam.

Sebahagian media telah menampakkan kecenderungan membingkaikan perkembangan di Yaman dengan memberi tumpuan yang terlalu besar pada kata kunci Syiah, yang ekoran naratif yang dibangunkan dan disebarkan hasil konflik di Syria, memberi gambaran hanya mengenai satu sudut peristiwa yang kompleks itu.

Yaman yang telah sedia menjadi satu pangkalan al-Qaeda kini berpotensi untuk terjerumus dalam konflik sektarian yang dahsyat, dan menarik militan-militan dari seluruh dunia Islam yang tertarik dengan mesej sektarian yang terhasil daripada konflik ini.

Pemerhatian terhadap perkembangan terkini ini, selain ditumpukan pada Iran, juga perlu diberikan pada Arab Saudi yang juga satu pemain utama dan mendapat manfaat daripada kemaraan Houthi yang berjaya menjejaskan musuh di negara jirannya itu.

Pada masa sama, Arab Saudi yang kelihatan mencapai satu persefahaman dengan Iran yang menyokong Houthi tidak akan membiarkan negara jirannya itu menjadi kubu Iran dan Houthi, yang mempunyai lebih banyak perbezaan berbanding persamaan.

Menurut seorang pemerhati, Abdullah Hameed al-Deen yang menulis di akhbar al-Hayat, Riyadh dan Tehran kelihatan bekerjasama secara taktikal dalam memberikan sokongan untuk Houthi menewaskan Islah dan kelompok yang dilihat mengkhianati Ali Abdullah Saleh, sekutu kuat Saudi di Yaman.

Tulis Abdullah, pada tahap ini, Riyadh membenarkan Houthi mara dan Iran mendapat manfaat daripada perkembangan ini, tetapi kemaraan Houthi dan potensi perluasan pengaruh serantau Tehran ini tidak akan dibenarkan berterusan lebih daripada yang sepatutnya.

Menurutnya, pada tahap seterusnya, Saudi dijangka akan bergerak untuk kembali menguasai Yaman melalui pihak-pihak yang mempunyai hubungan baik dengannya, selepas musuh-musuhnya terdiri daripada Ikhwan al-Muslimin dan pihak yang bekerjasama dengan Ikhwan untuk menjatuhkan Ali Abdullah ditewaskan oleh Houthi.

Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi sendiri ialah sekutu Saudi dan sekutu penting Amerika Syarikat dalam "perang menentang terorisme."

Sekiranya ini berlaku, Riyadh perlu membina persefahaman dengan Houthi dan Iran, sekiranya tidak mahu rancanganya itu berdepan halangan dan tentangan. Perkembangan terbaharu ini, yang semakin jelas selepas pertemuan wakil Riyadh dan Tehran di New York, Amerika Syarikat beberapa minggu lalu menunjukkan satu kecenderungan baharu Arab Saudi dan Iran untuk menyelaraskan dasar luar masing-masing berdasarkan perkembangan semasa, walaupun masih mempunyai perbezaan yang besar.

Di pihak lain, Qatar dan Turki melihat penghakisan pengaruh yang pantas berlaku selepas pencapaian-pencapaian luar biasa sejak beberapa tahun lalu hingga sekitar 2012, pada masa imbangan kuasa di rantau Arab berubah dengan dramatik.

Qatar sebelum ini bekerjasama rapat dengan Saudi dalam usaha menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad di Syria, dengan memberikan bantuan persenjataan, kewangan, sokongan media dan diplomasi kepada kumpulan-kumpulan penentang rejim Bashar.

Doha menerima tekanan kuat Riyadh dan jiran-jiran Majlis Kerjasama Teluk yang lain - selain Oman yang berpendirian berbeza - untuk tidak lagi menyokong Ikhwan al-Muslimin serantau, dan beberapa tindakan Saudi dan sekutu kebelakangan ini telah melemahkan kedudukan serantau Qatar.

Perkembangan terkini di Yaman menunjukkan yang negara ini menjadi medan persaingan terbaharu kuasa-kuasa serantau, dan membuktikan lagi yang kebangkitan rakyat yang bermula empat tahun lalu masih belum sampai kepada satu penamat, tetapi telah membuka kepada pelbagai kemungkinan dan meningkatkan lagi persaingan geopolitik yang sengit. - Oktober 2, 2014

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...